EYE ME

MEI (mummy, emak, ibu) Syurga Anak-Anak

‘Tiga wanita tercantik di dunia ini bagiku. Ibuku, bayangannya dan bayangannya di cermin” – Khalil Gibran 

Mei bulan istimewa kau dan aku. Kalau kamu belum lagi menjadi ibu, atau tidak berpeluang menjadi ibu barangkali, namun kamu pasti punya seorang yang dipanggil ibu. Wanita yang melahirkan kamu, membesarkan kamu dan kalaupun dia bukan yang mengandungkan kamu, tetapi daripada sebesar tapak tangan dia memberikan kasih sayang, serta bertanggung jawab mendidik kamu sehingga kamu bisa menjadi manusia. Dia wajib disayangi, sakitnya dijaga, dia ditaati. 

Dia, ibu, terlalu istimewa. Doa setiap ibu terlalu tinggi nilainya dan dikabulkanNya.  Doa ibu setanding doa Nabi untuk umatnya. Membawa kemuliaan, dapat menolak fitnah, membuka pintu rezeki dan pintu hidayah. Maka setiap anak wajib mentaati, menghormati dan berbuat baik kepada kedua dua ibu bapa.  Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa seorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, siapa orang yang paling berhak saya perlakukan dengan baik? Rasulullah menjawab, “Ibu.” Dia bertanya, “setelah itu siapa?” “Ibumu.” “Setelah itu siapa?” “Ibumu.” Bertanya lagi, “setelah itu siapa?” “Bapakmu.” (Bukhari & Muslim). 

“For a mother is the only person on earth who can divide her life among 10 children and each child still have all her love.”

Cukup untuk kamu tidak berkata kasar kepada ibu, jauh sekali mengherdik dan berlaku kejam kepadanya.  Cukup untuk kamu sehingga ke akhir hayatnya disuruh berbakti dan menjaganya penuh dengan kasih sayang, tidak dilemparkan dia ke rumah orang tua, dan dibiarkan dia selamanya tidak diambil tahu halnya, tidak dijengok malah sehingga mengaku kamu sudah tidak punya ibu, kerana dia sudah meninggal kamu sewaktu kecil lagi. Kejamnya kamu! 

Ibu wajib dihormati, dan wanita keseluruhannya. Jangan pernah merendahkan wanita kerana Allah sendiri mengangkat wanita dalam seluruh surah yang disebut An Nisa (Wanita). Sungguh agung dia, “Be respectful to women, for they are the mothers of mankin.” Ali bin Abi Thalib’

Tiga tahun yang lalu, saya kehilangan insan yang saya panggil emak. Maka hilang lah tempat saya mengadu dan minta didoakan atas apa juga halangan dan kedukaan yang dihadapi; anak sakit, kepada mak saya mohon dia doakan, anak hendak menghadapi ujian, juga kepada mak saya adu minta didoakan supaya lulus cemerlang, rezeki kurang, juga kepada dia kita minta tolong mendoakan kerana doa ibu amat mustajab. Malah ketika mak sakit pun kita masih mohon dia berdoa untuk kita kerana Allah juga berjanji antara doa yang diterima adalah daripada doa orang yang sakit, tambah ibu sendiri, kerana Allah memperkenankan doa setiap ibu.

Kasih ibu tiada bertepi. Melihat  mummy (ibu mentua) gagah bangun menyediakan capati dan kari ayam untuk Hisham yang tidak berselera makan kerana melawan sakit kansernya, saya mengalirkan air mata. Mummy tahu masakannya yang paling sedap untuk tekak si anak, dan hampir setiap hari ada sahaja masakan disediakan. Begitulah kasihnya seorang ibu kepada anak. “Biar mummy yang sakit, biar mummy yang pergi dulu,” rintihnya.  Sehingga bernazar membaca surah-surah tertentu sebanyak 1000 kali setiap hari. Bagi orang yang tidak sihat, memang keletihan namun demi anak, ibu mampu buat apa sahaja. Pada seorang ibu di matanya, anaknya sentiasa kecil biarpun usia anak lebih separuh abad. Daddy juga, saya tidak pernah melihat dia begitu sedih, malah menangis mengetahui anak mereka didiagnos kanser usus. 

“Saya sudah lama tidak bercakap dengan mak saya,” teman memberitahu. “Degil, kalau sudah sakit buatlah cara sakit. Seribu nasihat, akhirnya saya kata, Elok tak payah cakap, nak tengok bila mak  hendak berubah atau tidak,” katanya.  (tengok, mak disuruh berubah, bukan anak yang patut berubah) 

Apa yang besar sangat ceritanya sehingga tidak mahu bertegur sapa dengan emak sendiri. Masa saya di rumahnya satu hari, kami makan bersama tetapi langsung si anak tidak berkata apa pun. Mukanya masam merenung si emak. Itu di hadapan tetamu, jika di belakang  bagaimana agaknya? Bayangkan tiga tahun sudah dia tidak bercakap dengan emaknya.  Emaknya sakit, dia hubungi abangnya, abang datang dan bawa si emak ke hospital. Abang datang bersembang dan menyuapkan ibunya makanan. Abang yang datang memandikan maknya bila mana emaknya tidak sihat. (Syurga tempat si anak ini.) Dia, yang tinggal bersama kadang-kadang sebulan tidak nampak muka hidung maknya. Kalau terserempak hidangan di meja sudah disiapkan oleh pembantu, dia duduk makan tapi nama hendak bertanya khabar mak, tidak. Pembantu lah yang menjadikan pengantara mereka berdua. Saya tidak tahu pengakhir ceritanya kerana selepas itu saya malas nak berbaik dengannya.

Seorang lagi teman, setiap tahun bila tiba Raya, dia mencari alasan untuk tidak bersama ibunya. “You tidak balik Raya?” “Balik ke mana, i mana ada kampung?”  “Mother I tinggal di Bangsar. Tetapi I tidak pernah beraya dengannya. Tak jenguk pun?” ceritanya bangga. Sudah bertahun-tahun,  tahun ini pun I dah book flight Raya untuk bersama kawan di London. Last year I Raya di Sarawak, sebelum itu Raya dengan famili kawan di Johor Baru dan sebagainya…” 

Dan bila saya cuba nasihat, “No need sis, you tidak faham.”  Sempat juga saya mengorek cerita. Yang membuat dia marah sangat kepada maknya kerana si ibu melebihkan kakak dan adik lelakinya. “Sejak daripada kecil mama tidak pedulikan I, jadi mengapa I kena pedulikan dia? Lantak lah dia hendak buat apa… pandai-pandailah dia hidup. Harta ayah dia beri banyak kepada kakak, adik. Harta dia I tahu banyak sebab keturunannya darah diRaja dan  I percaya dia akan beri semua pada mereka. I pun tidak berharap sangat duitnya.”  

Sehinggalah si ibunya sakit tenat, barulah dia menjenguk sekali di hospital dan wajahnya tidak langsung berduka bila ibunya meninggal. Saya mendengar kawan-kawan mengucapkan takziah, Stay strong, you take care…” Akuinya, tiada setitik air mata yang jatuh di pipinya sehinggalah apabila mereka adik beradik dipanggil oleh peguam untuk mendengar wasiat.

Hari ini kawan saya ini langsung hilang daripada sosial circle . Dia memutuskan untuk menyendiri, tidak tahu kerana apa tetapi ada mengatakan, kederhakaannya kepada si ibu membuat dia mahu menyendiri sampai mati. Dia malu. Dia sakit jiwa. Dia mahu mengabdikan dirinya hanya kepada Allah (alhamdulillah), kerana hanya Allah sahaja tempat dia mengadu, dan mengharap kan taubatnya diterima. Selama ini dia menyangka kan ibunya kejam, tetapi dia lupa yang dia seorang sahaja daripada adik beradiknya belajar di luar negara,  dengan belanja yang terlalu banyak. Itu pun mereka tidak pernah berkisah, Mereka tidak pernah pun minta dia membayar balik. Dan apabila dia pulang dengan jawatan yang besar, dan gaji yang tinggi, dia leka melayan nafsunya. Tetapi apabila ayahnya meninggal diberitahu untuk dia sekian-sekian sahaja jumlahnya, dia teramat marah.

Kasih ibu selamanya. Di dalam wasiat tanpa dia menyangka harta peninggalan ibu yang dinamakan atasnya sahaja berjuta-juta. Dan dengan wang yang dia sendiri tidak pernah menyangka simpanan ibunya amat banyak, bercampur dengan saham-saham ayahnya untuk dia, wang insurans dan banyak lagi, cash sahaja ratus ribu. 

“Walau duit berjuta dalam tangan, aku tidak happy. Untuk apa pun duit, kahwin pun tidak?” katanya. Barangkali kerana tamak sangat dulu Allah tutup pintu nafsu aku. Sekarang aku faham, tidak semestinya wang yang banyak boleh buat manusia gembira,’’ katanya 

“Mahu rasanya aku gali balik kubur mama dan mohon diampunkan segala dosa,” katanya. Sebuah sampul surat juga diserahkan kepadanya memberitahu isi hati si ibu yang hampa dengan tindakan seorang anak. Antara isi surat, “Mummy tahu anak mummy hanya selang dua pagar sahaja dengan pintu gate  rumah mummy, tetapi anak mummy pilih untuk tidak menjenguk mummy, walhal hari itu Hari Raya. Anak mummy bertahun-tahun tidak pernah datang bertanya apa sebenarnya cerita. Anak mummy yang mummy didik penuh sopan dan bergaya, i gave you the best outfit, big brands just to see you as the most handsome young man among your friends. Kawan-kawan kamu pakai kasut Bata, dan baju dari Globe Silk Store, tetapi my young and handsome  boy pakai baju dibeli di Selfridges, Paul Smith. George dan kamu lupa jam Rolex pertama kamu, umur 12 sudah mummy hadiahkan kamu jam mahal. Tak apa my son,  mummy tetap maafkan kamu,” tulis emaknya.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak tidak berguna. 

Jalan ke syurga Allah bentang luas tetapi diri buta tidak nampak. Yang sempat minta ampun, syukur, yang tidak sempat hanya Allah yang menentukan. Orang yang derhaka kepada ibu ayah, masa di dunia sudah menerima balasan. Bila saya ingat-ingat balik beberapa peristiwa, saya dapat rasakan, yang lupa kepada mak ayah, lebih-lebih lagi yang zalim kepada mereka, di dunia sudah sengsara hidup, azab sudah ditunjukkan.

Suka saya mendengar video daripada pendakwah terkenal Ebit Lew. Antara yang saya ingat, 

“Kalau anak sakit, berikan sedekah dulu atas sebaik nama ibu kamu, kalau kamu mahu apa sahajalah cuba sedekah atas nama ibu kamu, inshaAllah ditunaikan hajat kamu. Saya melihat wajah ibu sewaktu dikapankan, tersenyum cantik.  Gembira sangat, inshaAllah ditempatkan ibu saya bersama orang-orang soleh.”

 

MEI (mummy, emak, ibu) adalah syurga bagi anak-anak.

 

Happy Mother’s Day.

[thb_gap height=”100″]

Related posts

Rakyat Mahu Bebas

Wirda Adnan

Demi Sebuah Tas Berjenama…

Wirda Adnan

Yang Pasti Syawal Tidak Seronok Lagi

Wirda Adnan

Leave a Comment