Disember bakal meninggalkan kita. Dan rata-rata antara kita juga mahu ia segera pergi, kerana cerita sepanjang 2020 bagi kebanyakan kita tidak seindah tahun-tahun terdahulu. Ramai kehilangan kerja, kereta tersadai, rumah tergadai. Anak bini, makan dan pakai, ada yang perlukan ihsan insan-insan bermurah hati, sungguh ia menyentap hati dan perasaan melihat akan kesengsaraan yang dialami.
Sempat ke lorong-lorongan gelandangan, jiwa resah, hati retak terkala melihat dengan mata kepala keperitan hidup mereka. Bayangkan kalau mereka itu adalah anak beranak kita atau saudara mara dari darah daging kita. Cucuran air mata tidak boleh membantu mereka yang derita. Ada yang sudah enam bulan dibuang kerja, menganggur, lantas meraih simpati untuk seberkas nasi yang nanti boleh dikongsi dengan anak bini di rumah. Itu yang punya tempat tinggal sebuah bilik kecil disewa sekeluarga, bagaimana yang langsung tidak punya wang menyewa, yang tidur di lorong-lorong kecil, yang tiada tempat untuk membuang najis dan membersihkan badan, oh cukup menyayat hati. Kata mereka ada hanya dapat mandi sebulan sekali itu pun curi-curi masuk tandas pejabat berdekatan. Untuk sesuap nasi mujurlah ada bantuan insan-insan prihatin menyalurkan makanan, sekurang-kurangnya dalam sehari adalah makanan mengalas perut kosong, tetapi untuk hari esok belum tentu ada yang datang menyumbang.
‘Ya Allah
Cubaan ini begitu berat buat mereka tapi aku percaya di sebalik ini semua Engkau punya rencana yang terbaik’
Pilu, sayu. Kesangsaran hidup terdampar di depan mata. Kami ke kawasan-kawasan gelandangan cuba membantu setakat mampu, semoga ramai lagi yang prihatin meneruskan usaha meringankan beban penderitaan mereka.
Kita semua sedar kelembapan ekonomi dan dengan kepayahan mencari rezeki boleh mendatangan kemurungan dan pelbagai masalah. Di tempat gelandangan tempoh hari seorang lelaki kira-kira dalam usia 30-an duduk seperti mogok. Diajak mengambil makan pun enggan, katanya biarlah dia lapar kerana mahu cepat mati. Entah apa penderitaannya tiada siapa tahu. Sedih melihatnya namun apakah begini caranya menyelesaikan masalah?
Teman menarik lengannya, “Kamu tidak boleh begini. Bangun, makan, pergi cuci badan…” panjang bebelnya. Betul orang begini perlu ditiupkan semangat, semangat untuk kembali membina hidup. Saya sarankan orang yang pegang kerajaan tolong segera turun pandang. Keadaan gelandangan bertambah-tambah teruk, dan ia tidak boleh dibiarkan, sesuatu wajib dilakukan sekarang juga.
“The outbreak of novel corona virus pneumonia will inevitably have a relatively big impact on the economy and society… For us, this is a crisis and it also a big test.”
Ya, cuma tinggal beberapa hari ini sisa-sisa 2020, renungkan sejenak apakah yang dapat kita lakukan untuk membetulkan dan memperbaiki lompong-lompong yang dalam ini untuk diisikan dengan kebaikan. Menukar gaya hidup kepada kesederhanaan daripada kemewahan. Betapa ramai yang sebelum ini bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk. Menabur wang ke lantai konon untuk memberikan semangat agar orang yang melihat berasa iri dan turut sama berniaga produknya, dan akan cepat kaya, miliki istana sebesar istananya. Dia naik riak, bongkak, dan rasa wang boleh membeli segala-galanya.
Cerita pandemik virus corona sudah tentu meninggalkan kesan teramat mendalam, dalam hidup kita. Duduk di rumah, sosial distancing, batas pergerakan, pakai topeng dan kemestian menjaga SOP pasti sedikit sebanyak menyukarkan, rimas, tertekan, geram, marah, takut dan pelbagai rasa yang bergelodak di jiwa. Nyawa manusia terancam, akibatnya ramai terkorban dan setakat ini lebih 1.5 juta kematian di seluruh dunia. Maka inilah punca dunia ini menjadi tidak nyaman lagi untuk diduduki, menjadi tidak seronok lagi diterokai, menjadi tidak ada hati lagi untuk memuja tempat-tempat indah yang mesti dilawati sebelum mati, barangkali. Tidak tampil mengimpikan berada di musim sejuk bermain salju atau berada di tengah kota fesyen dunia berbangga menyarung jenama terkenal. Gucci, Fendi, LV, Marni, Dior, Chanel, Hermes, atau sebutlah apa jua jenama yang dulu menjadi kebanggaan bila dipakai dan dijinjing dan konon ia menentukan siapa kamu di mata dunia, semua itu tidak lagi menjadi kebanggaan, kegilaan dan igauan, ia tidak membawa banyak makna dalam hidup manusia saat petaka yang melanda.
Di sebalik pandemik dan kelembapan ekonomi semasa negara, ia menjadi lebih buruk dan porak poranda kerana ketidak kestabilan politik semasa yang menambah kepada bebanan meruncupnya ekonomi negara. Semua ini menjelaskan lagi penderitaan rakyat yang semakin menjadi-jadi. Dangkal bunyinya bila mana individu-individu yang berkuasa meraih pendapatan ratusan ribu ringgit sebulan sedangkan rakyat ada yang kelaparan.
Namun daripada kecelaruan dan kesangsaran ini ada banyak ilmu yang dipelajari. Ia mengajar manusia bermacam-macam, khasnya tentang kemanusiaan dan peradaban hidup, tentang tanggungjawab manusia terhadap alam semesta, tentang kebersihan, kesusilaan dan banyak lagi, tentang hidup yang sementara di dunia dan bekalan yang bakal dibawa ke akhirat.
‘Syukurlah apa yang kau miliki, kerana kau tidak akan pernah tahu bila kehilangannya’
Pandemik Covid-19 ini mengajar kita untuk bermuhasabah diri, mendidik hati dan jiwa memikirkan sanak saudara yang derita dan tetangga yang belum tentu ada bekalan beras dan gula. Pandemik mengajak kita untuk insaf, bersyukur kerana sekurang-kurang walaupun diberhentikan kerja masih ada simpanan untuk makan dan pendidikan. Betapa untungnya kita yang satu ketikanya berjimat dan ada simpanan. Ambil ikhtibar daripadanya. Katalah kita enjoy lupa dunia, bukankah sengsara jadinya. Pandemik mengajak kita bersyukur suami dan anak masih tidak dibuang kerja, membuatkan kita baru rasa setiap keringat kita itu berharga. Bagaimana nasib mereka yang tiba-tiba tanpa pemberitahuan, esoknya kerja sudah tiada dan nak buat apa?
‘Ultimately, the greatest lesson that Covid-19 can teach humanity is that we are all in this together’ – Kiran Mazumdar- Shaw
Pandemik meminta kita membetulkan yang telah rosak dan musnah, mengisi jiwa menjadi bertambah murni dan seterusnya membantu membina semula kelembapan ekonomi. Kita sebagai rakyat sesungguhnya bertanggungjawab kepada diri dan masyarakat, kepada bangsa dan tanah air, semoga usaha ini sedikit sebanyak membina semula kepada kestabilan ekonomi dan politik.
Pandemik membuat kita sedar, hanya Allah yang menentukan segala-galanya. Mengajar kita tidak lupa sujud kepada yang Esa, pada Dia kita mohon dijauhi daripada jangkitan, padaNya kita doa atas semua kebaikan, kalaupun ajal sudah tiba tetapi mati dalam husnul khotimah.
Ya Robb…
Pasrahkan aku dengan takdirMu
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdir adalah yang terbaik buatku dan keluarga.
Jauhkan lelah ini dari hatiku
Isi kembali dengan kesabaran
Kerana keyakinanku
Akan janjiMu…
Selamat tinggal Disember 2020, semoga Januari membawa rahmat kepada kita semua.