DESPERADOGAYA HIDUP

“Ceraikan I, ceraikan I,” Dari Banglo Mewah, Kini Merempat Di Flat

Anak kepada kisah yang akan diceritakan di dalam Desperado kali ini menghubungi saya beberapa kali, mohon saya mendengar luahan hatinya. Ia mengenai ibunya sendiri (saya namakan ibunya Datin X). Katanya dia tidak ada tempat mengadu. Dan mahu mencurahkan apa yang menyesakkan hati dan perasaannya kepada saya. Katanya lagi dia peminat setia MajalahWM dan padanya majalah ini amat istimewa, pelbagai ilmu di dalamnya, pelbagai kisah menarik sebagai bacaan dan lebih daripada itu sebagai teladan. “Saya membaca semua kisah derita dan perit di dalam Desperado dan harap puan boleh dengar kisah saya pula.”

Sudah saya nasihatkan mama puluhan kali bawa bersabar, tapi mama tetap dengan perangainya. Sejak saya kenal apa makna cerai sehinggalah saya ini sudah nak bernikah (umur 20 tahun), perangai mama tidak berubah… sikit-sikit minta cerai, sikit-sikit minta cerai. Tak ada besar pun sangat hal yang hendak ditengkarkan dengan papa tetapi mama, begitu senang dengan perkataan cerai. Kalau ikutkan papa kot lebih seribu kali dia boleh lafazkan tetapi papa berfikir panjang juga. Kami anak-anak masih kecil dan perlukan sebuah keluarga ‘to be together’, tu pandangan papa masa itu.”

“Mama asalnya isteri kedua (ini seperti diberitahu oleh papa sebab mama tidak pernah pun buka mulut hal ini.) Tapi sebelum berkahwin lagi dia memaksa papa ceraikan isteri pertama. Dengan isteri pertama papa ada dua anak. Dengan mama dan papa, tiga anak, saya sulung. Cerita papa dia sayang kepada isteri pertamanya tetapi kerana asyik didesak, tidak lama selepas papa berkahwin dengan mama, dia terpaksa menceraikan isteri pertamanya.

Papa termakan helah mama yang mengatakan dia jadi kaya sebab tuah bersama dengan mama. Papa asalnya hidup sederhana tetapi selepas berkenalan dengan mama keadaan hidupnya yang kais pagi makan pagi menjadi bertambah senang. Tiga tahun papa simpan mama sebab mama tidak mahu berkahwin selagi tidak menceraikan isteri pertamanya. Itu pun setelah mama dikatakan naik hantu dan memberi kata dua pada papa (dan papa tidak mahu kehilangan mama dan tidak mahu jadi miskin dan kerana takut kena sumpah mama), akhirnya mama berjaya dalam usahanya membuat papa bercerai. 

Ini satu cerita yang menyayat hati juga, apa salahnya mak cik pun tidak tahu, dan dalam diam selepas kami sudah pandai hal dunia dan agama, kami adik beradik pergi mencari mak cik. Baik orangnya, dan dia pun sudah berkahwin, malah mak cik bersyukur kerana suaminya insan yang penyayang dan lebih daripada itu pandai ilmu agama. Allah berikan mak cik kebaikan setelah hidupnya dengan anak-anak lama merana. Papa bagi juga nafkah  tetapi ala kadar sahaja, dan walaupun sudah senang lenang kerana mendapat kontrak kerajaan, papa masih memberi nafkah yang tidak setimpal dengan duitnya. Sebaliknya kami dilimpah dengan kemewahan. Papa pun tak ada malu anak dari darah dagingnya ditanggung oleh orang lain iaitu suami ibu.

Mama Suka Bergaduh?

Mama insan yang tidak pernah rasa bersyukur barangkali. Dan satu lagi dia rasa dia boleh kontrol papa, dan hendak papa dengar semua katanya. Kalau papa enggan layan dia akan mengamuk menggila. Dia akan buat apa sahaja menyakiti hati papa. Contoh papa cakap di telefon, dia akan tarik telefon di tangan. Papa masuk bilik dan kunci bilik kerana tidak mahu dengan bebelnya, dia akan ketuk pintu sehingga pintu pecah, entahlah rumah kami itu asyik tukar pintu bilik. Papa lari masuk bilik anak-anak atau bilik tetamu, dia juga mahu masuk ke bilik itu, dan kalau pintu dikunci dia akan tendang sehingga pintu boleh terkopak atau dia bawa parang. Pernah sekali dia ambil kapak dan kapak-kapakkan pintu sehingga dia dapat masuk ke dalam. Atau dia akan telefon dan telefon sehingga selalu papa matikan terus telefon. Dan bila dimatikan telefon, mama pula mengamuk sebab apa papa mati telefon. Pendek kata semuanya tidak kena. Mama tidak kisah papa tengah mesyuarat ke, dia akan telefon tidak berhenti. Buat sekali sangat staf-staf papa suruh papa jawab telefon. Kemudian mulutnya tidak pernah berhenti daripada membebel setiap waktu tidak kira di mana, dan sehingga dia letih barangkali barulah diam. Satu lagi mama suka mengungkit-ungkit, oh kalau dia belanja atau beli dengan duitnya, dia akan ungkit sampai tidak tahan telinga dibuatnya.

Hari berlalu, mama terus dengan perangai buruknya, terutama kalau ada yang matanya tidak kena. Mama rasa dia cerdik, dia ingat dia bijaklah bila minta cerai, dia ingat dengan cakap cerai, papa yang akan takut kehilangannya. Kata papa kerana perangai buruk mama, rasa sayangnya pada mama sudah lama hilang. Malah di awal perkahwinan lagi papa dah rasa amat tawar hati dengan mama tetapi demi kami tiga beradik papa pertahankan perkahwinannya. Mula-mula dulu ada juga keluarga sebelah papa pesan sama papa, supaya banyak-banyak bersabar kerana mereka tidak mahu melihat rumah tangga papa gagal kali kedua, tetapi lama-kelamaan mereka juga bosan menasihati papa kerana perangai buruk mama. Mereka tidak tahan dengan mama yang kadang kalanya macam hilang akal, mengamuk tak tentu fasal. Kalau mahu dia diam, papa kena duduk melayannya, tidak boleh keluar lepak dengan kawan-kawannya dan tidak boleh apa juga aktiviti luar. Papa suka motosikal berkuasa tinggi, tapi mama pula takut membonceng motor, jadi mama tidak boleh ikut serta dan kata papa elok juga mama tidak minat naik motor kerana dia kadangkala dimalukan oleh mama di hadapan kawan-kawanya. Mama suka tunjukkan yang dia boleh kontrol papa. Papa sudah warning mama banyak kali jangan nak cuba ajar dia terutama di hadapan kawan-kawannya tapi mama tak pernah sekalipun hendak dengar cakap papa. Yang dia tahu, dia dan sekeluarga sekarang senang adalah atas doa dan tuah dia, sebab itu dia sombong.

Mama ingat papa tidak tahu yang mama menyombong dengan saudara maranya. Ya bukan sahaja di sebelah papa tetapi sebelah mama juga. Malah dengan kawan-kawan pun dia tunjuk lagak. Kerana itu mama tidak banyak kawan dan saudara mara pun jarang mahu singgah ke rumah kami. Masakan tidak kalau mama tidak suka seseorang itu, walaupun saudara dia tidak beri mereka masuk rumah. Kalau kawan dia datang rumah dan kebetulan kawannya datang bersama seseorang dan dia tidak berkenan dengan kawannya itu, walaupun dia belum kenal (katanya dia boleh baca peribadi seorang) dia tidak benarkan masuk rumah. Ya satu lagi mama sangat takut kalau kawan-kawan dia bawa kawan atau saudara mereka yang bergaya dan cantik, dia takut nanti akan pikat papa, huh cemburu mama memang kelas pertama. Jika ada kawan-kawannya yang bercerai oh oh mama paling takut berbaik dengan kawan-kawannya itu, takut kawannya rampas suaminya. Dia selalu ingat semua orang sukakan lakinya itu. Dan dia ingat semua orang hendakkan lakinya. Bila dia tahu ada budak pejabat ada yang baik dengan papa, dan selalu pergi mesyuarat di luar bersama papa atau keluar lunch atau teh petang bersama papa, itulah yang dia tidak sanggup control diri, kadang-kadang mama pergi serang hingga ke pejabat sehingga cerita-ceritanya menjadi topik besar pejabat papa dan client papa juga.

“Dan papa pun satu, dia sangat ramah dengan semua orang, jadi orang pun memang suka dengan papa. Papa pandai berlawak, sebab itu ramai orang suka. Papa juga orangnya bergaya, walaupun tidak handsome mana, bila ada duit ramai lah yang puji papa. Oh jangan dipuji papa di hadapan mama, mama akan mengamuk. Bagi mama dia memang pilih kawan. Yang dia rasa lebih daripadanya, kalau orang itu dia rasa lebih kaya daripadanya, dia tidak juga suka berkawan. Jika perempuan itu lebih cantik dan bergaya juga dia tidak mahu berkawan sebab dia rasa kalau orang itu kurang daripadanya dia boleh control.

Apa yang mama hendak daripada papa? Dia mahu papa belai dia selalu. Mama mahu papa ikut bontotnya, mahu papa tunjuk pada kawan-kawan papa yang papa bertuah berkahwin dengan dia, dan mama mahu papa puji mama depan kawan-kawan setiap masa. Kata papa setahun dua selepas berkahwin bolehlah, tapi dah tua-tua dan dengan perangainya rasa geli geleman.

Mengenai papa pula dia ni dulu-dulu seorang playboy. Hendak kata papa kacak langsung tidak, tapi perempuan keliling pinggang. Biasanya buat kerja sales ini banyak jenis orang yang dia kenal, jual pula kereta mewah, aduh semua orang besar dia kenal dan akhirnya dia pun jadi terkenal (bila dia dapat banyak projek kerajaan tapi jenis pakai undertable lah. Kata mama papa kaya sebab dia, dia yang bawa tuah, anak-anaknya juga bawa tuah tidak macam anak-anak mak cik yang tiada luck, dan tidak bersekolah tinggi. 

Bila sudah berduit pandai-pandailah cari peluang untuk mendapatkan title. Ini juga atas desakan mama sebab kata mama selagi tak ada title susah nak dapat kontrak dan jalankan kerja. Dan papa dipaksa bayar sana sini untuk mendapatkan anugerah itu, pendek cerita dapatkan mama title Datin X.

Setelah mendapat title Datin, dan tinggal di banglo mewah, dan pakai berjenama perangai mama lagilah menjadi-jadi. Al maklum datin lah katakan, adik beradik sendiri pun kena panggil dia Datin, saudara mara usah cakaplah, kalau panggil dengan nama atau pangkat dia jeling mereka. Jadi sepupu sepapat terus menjauhkan diri daripadanya. Kadang-kadang kesian juga tengok macam mana mama layan pembantu rumah, macam mereka itu betul-betul kuli mereka, mengarah tidak henti, itu sebab pembantu datang dan pergi, ya lah siapa yang sanggup melayan kerenah Datin X ini, sombong tidak bertempat. Selalu kami anak-anak dijadikan alasan kenapa pembantu kena buat ini buat itu, tetapi sebenarnya dia memang hendak semua orang tunduk kepadanya.

Rumah besar lawa, sebab mama boleh tahan taste nya, kalau tidak diberi duit dia pun mengamuk. Tapi tidak mengapa, papa tidak berapa kisah kalau untuk mencantikkan suasana, cuma jikalau membazir papa bising. Bila papa bising, mama naik 10 kali tinggi suara dan mulalah mengungkit itu ini membuat keadaan menjadi tegang. Dan kemudian mula lah mama melolong minta diceraikan. Selalu dia marah papa sebab papa pun sudah mula lewat pulang rumah dan tidak lagi suka makan di rumah. Kata papa, dia sakit telinga dengan bebel mama. Kata papa dia malas hendak mendengar hari-hari minta cerai sebab itu dia lebih senang menghabiskan masa di luar, dengan siapa dan di mana papa lepak tidak juga mama tahu, tapi satu hari mama dapat tahu rupanya papa masa bujangnya ada beli rumah flat. Dan rumah itu pun sudah lama tidak diduduki sesiapa. Pernah adik lelaki tinggal di situ sebelum adik papa itu kahwin dan kemudian rumah itu kosong.

Mama dalam pada itu tidak bijak pula kerana rumah agam itu tidak di bawah namanya. Mama mungkin lupa dan dia ingat dia akan tinggal di situ selama-lamanya kerana itu dia gila-gila hias rumah itu. Sering sahaja bertukar ganti perhiasan dengan menggunakan khidmat pakar untuk menghias.

Satu hari nasib mama memang tidak baik. Seperti perangai buruknya yang jika ditegur lebih menjadi-jadi dan menggila, dia minta papa ceraikan dia. Papa pun masa itu sudah give up dan sudah tidak mahu lagi menyelamatkan rumah tangganya. Sebaik mama jerit minta cerai, apa lagi papa yang tidak lagi cool seperti biasa, terus melafazkan cerai. Katanya itu lah kali ketiga papa menjatuhkan cerai dan begitulah terlerailah hubungan suami isteri dan tiada lagi boleh rujuk dan sebagainya. Mama pun memang lupa yang sebelum ini telah dua kali dijatuhkan talak dan hari itu dia dijatuhkan sekali lagi talak melengkap talak tiga ke atas mama.

Mama ingat dia boleh duduk di rumah agam kepunyaannya tetapi tidak, papa bertindak menghalau mama keluar. Papa kata rumah itu adalah rumahnya dan mama yang mesti keluar kerana selama ini mama yang hendakkan perceraian itu dan terima lah nasibnya menjadi janda talak tiga. Dan pada usia 50-an adakah orang lagi yang hendakkan mama? Kata papa sebaliknya yang menunggu untuk berkahwin dengannya berbaris-baris, dia boleh pilih yang mana-mana dia suka dan bila-bila masa, malah kata papa dia boleh berkahwin hari dia bercerai itu juga kalau dia mahu.

Ke mana mama hendak pergi? Ikut hati papa dia mahu mama keluar hari itu juga tapi dia kata, itu selepas habis edah dia mahu mama keluar dari rumah juga kerana papa sudah ada pun pengganti untuk menjadi suri di rumah agamnya itu.

Mama hilang punca, dan hendak mengadu pada siapa? Pada adik beradik dia sombong, dengan ipar duai semuanya tidak kena, dan kawan-kawan pun tidak ramai. Seorang dua yang baik dengannya pun sudah menghilangkan diri, dan kata mereka kalau selalu dia amat takut berbaik dengan kawan-kawan yang sudah bercerai atau menjadi balu kerana ditakuti akan mengambil lakinya, begitu juga mereka. Mereka takut Datin X ini pula yang akan mengambil laki mereka.

Tidaklah papa kejam sangat untuk melepaskan mama begitu sahaja. Mama masih punya hak dan atas beberapa harta papa sebagai harta sepencarian. Dan rupanya juga mama ini memang boros, dia pun tidak banyak simpanan untuk dia boleh mencari kediaman agam seperti yang didudukinya sebelum ini.

Mama memang ke sana sini mencari rumah yang sesuai untuknya, dan sementara itu mama tinggal di rumah flat papa, yang mana papa suruh mama tinggal di situ. Perang besar mestilah terjadi berebut rumah itu tetapi kerana sah nama pemiliknya adalah papa, mama tiada pilihan untuk keluar dari itu.

Sebenarnya kami adik beradik bukanlah tidak sayang mama dan suka dengan peristiwa yang terjadi kepada mama dan papa tetapi apakah pilihan kami bila papa sudah bersuara. Papa mahu kami tinggal bersamanya, yang keluar hanyalah mama dan kerana semuanya masih di bawah tanggungan papa, we have no choice, but to stay put kat rumah sekarang. 

Nasi sudah menjadi bubur, mama baru tersedar dari tidurnya. Selama ini mama ingat dia berkuasa tetapi rupanya tidak. Mama memang tidak pernah terfikir akan nasib yang menimpanya, dan yang paling tidak terlintas di fikirannya adalah dia terpaksa keluar dari rumah itu dan terpaksa tinggal sendirian di flat. 

Selepas peristiwa itu terjadi barulah mama sedar diri. Datin X terpaksa menyepi dan bersendirian di rumah ‘tumpangannya’ yakni di flat. Yang itu pun bukan namanya tapi kalau mama hendak duduk di situ, kata papa sampai bila-bila pun boleh. Papa juga rupanya tiada lah banyak sangat hartanya kerana maaf cakap saya percaya, kemewahan diperolehi itu juga adalah daripada duit yang tidak berkat, jadi tiada banyak pun mama dapat.

“Saya kesian mama saat tuanya dihadapi dengan kepayahan hidup. Mama bukan janda kaya kerana papa pun sudah lama tidak bekerja, terutama dengan dia yang tiada lagi mendapat kontrak lagi dengan kerajaan dan geng-geng kayanya dulu pun sudah membawa haluan masing-masing.”

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Tanya Dr. Edmond September 2020

admin

Jurusolek Linda Rossa Memberi Tips Solekan Menjelang Hari Bahagiamu

adminwm

Pelancaran Rolls-Royce Cullinan, SUV Paling Mewah Di Dunia

admin

Leave a Comment