EYE ME

Cerita Kahwin

Anak sulung, anak bungsu, dua menantu, seorang cucu lelaki, seorang lagi menunggu hari inshaAllah perempuan, sungguh ia melengkapkan hidup ini. Syukur Allah mencurahkan  rahmat dan nikmat dalam melestari kehidupan sehari-hari. Kurniaan yang ada insan lain tidak dapat merasainya. Seorang teman, anaknya telah berpuluh tahun kahwin dan wang pun sudah beribu-ribu dihabiskan untuk pelbagai rawatan kesuburan namun tidak pun berhasil, sehingga usia pun sudah tidak membenarkan dia melahirkan anak. Ada juga teman, saudara dan adik beradik sudah lama menerima menantu namun belum dikurniakan anak. Ada yang ramai anak dan cukup syarat berkahwin tetapi belum dipinang atau terbuka hati berkahwin.  

Berkahwin, dan untuk meneruskan kehidupan serta mendapat zuriat perlulah disatukan secara sah. Perkahwinan bukan sekadar menjaga diri daripada dosa dan maksiat tetapi ia memperluaskan hubungan kekeluargaan. Ia membina motivasi di antara pasangan untuk sama sama berbuat amal kebaikan. Jika dahulu bersendirian, kini seorang isteri menjadi makmum kepada suaminya. Dia dapat pahala solat berjemaah dan setiap yang dilakukan mendapat pahala.

Kami sebenarnya baru sahaja mengadakan majlis perkahwinan anak, Imtiaz Hisham. Tidak mudah mengadakan majlis perkahwinan, banyak hal yang perlu diuruskan menjadikan majlis itu seboleh-bolehnya meninggalkan kenangan manis buat ibu bapa pengantin dan khasnya anak menantu, ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan juga tetamu yang diraikan. 

“Apa susah, hire sahaja perancangan perkahwinan, beras,” pintas teman. Jawapannya, tidak semudah itu, kalau anda mahu ia berjalan lancar dan kalau anda mahu ia mengikut cita rasa anda, jangan lepaskan sahaja kepada mereka. Namun jika anda jenis tidak kisah apa sahaja yang dihidangkan, janji tahu siap bila tiba harinya, tanggung risiko bila ada hal yang tidak baik berlaku.

Saya pernah ke majlis perkahwinan seorang kenalan. Sedih juga masa bersanding, bayangkan pelamin runtuh, mujurlah tiada kecederaan tetapi jeritan kuat daripada pengantin dan tetamu. Baju yang menjela panjang terkoyak rabak, ya keadaan jadi kelam kabut. Ini kerana tiadanya pemantauan daripada tuan rumah. Lepas sahaja pada perancang perkahwinan dan dia buat sesuka hatinya. 

Dan mungkin juga tetamu yang diundang melebih had yang sepatutnya, yang datang lewat sedikit akhirnya makan semata-mata nasi putih berkuah dalca yang cair. Ini juga disebabkan tiada plan dan bajet yang betul pada jumlah tetamu dan makanannya.

Keadaan beginilah yang kita mahu elakkan. Biar makanan berlebih sedikit, boleh dibekalkan kepada jiran tetangga dan saudara mara, tetapi bila tidak cukup dan tetamu pulang perut kosong, mahu tidak mahu dia bercerita juga kepada orang lain. Dan inilah yang mahu kita elakkan, mulut tempayan boleh ditutup mulut orang..viral jadinya.

Sayugia, untuk merancang majlis yang agak besar dan mahu serba serbi cantik teratur, tiada ‘hiccup’ perlukan satu pasukan yang mampu mengaturnya dari A hingga Z. Untuk ini bukan kerja sebulan dua tetapi berbulan-bulan. Jika tidak cukup tenaga pekerja adoi, memang letih. Betul, ini pengalaman saya sendiri, planning a wedding, and making it feel as meaningful and personal as possible is not always an easy feat. Kata orang, bila tiba soal hati, ada juga yang makan hati dalam beberapa hal ketika mengelolakan. Mungkin ada terasa, saya mohon maaf.

Mengadakan majlis perkahwinan perlu bijak mengatur strategi. Jika anda mahu semuanya tip top, dan jika pula bajet terhad, buat dulu rangka bajet, dan sentiasa bijak membuat perbandingan harga daripada A hingga Z. 

Entah, mungkin keluarga kami terbiasa, jika hendak membuat sesuatu ia perlu menjadi ‘sesuatu’ . Terkenang zaman ibu dan bapa saudara saya berkahwin… walaupun masih kecil tetapi saya ingat banyak perkara. Opah saya dikira orang yang bergaya, maka mahu semuanya ‘bergaya’ kata orang Perak. Dua tiga bulan sebelum kenduri, saya teringat saudara maranya sudah ‘berumah tangga’ di rumah opah. Dua tiga pondok dibina untuk tujuan penempatan saudara mara kerana kediaman yang besar itu masih tidak muat untuk semua. Dua ekor lembu tumbang, empat lima ekor kambing disembelih, beratus ekor ayam juga sebagai menu. Berpokok-pokok kelapa ditebang untuk diambil umbutnya. Selain makanan, hal-hal dekorasi juga pada opah begitu penting. Dia mahu semuanya cantik dan berseri. Dan satu kampung dijemput, kompang dan pasukan silat, pasukan mengaji dan bersyair sedia meraikan tetamu.

Emak saya juga begitu, penting majlis bukan sekadar jemput orang makan dan pulang. Dia mahu anak-anaknya merasa bahawa majlis perkahwinan anak-anaknya menjadi ingatan abadi buat seluruh keluarga. Mak juga amat berseni orangnya. Masa kakak-kakak saya kahwin dia sendiri yang menjahit cadar dan sarung bantal kerana masa itu belum banyak lagi ‘ready made’ hiasan bilik pengantin di pasaran. Mak juga bijak melayan hatinya mahukan tema-tema tertentu. Andai tema tradisional, maka bilik pengantin lengkap dengan bantal bertekad benang emas. Begitu juga dengan perhiasan barangan hantaran, mak tidak mahu dibuat cincai-cincai. Dan kami yang sudah terbiasa melihat opah, mak dan mak-mak saudara yang melihat perkara ini penting, pasti tidak mahu majlis anak-anak kami dibuat tidak seberapanya.

Zaman berubah dan sekadar kenangan, 3 November 1990 majlis pernikahan dan perkahwinan saya sendiri. Bukan tidak menghargai usaha gotong royong orang kampung untuk memasak dan menjamu tetapi mengenangkan mak dan apak sudah tua dan tidak sihat, (untuk kenduri kendara bukan kerja mudah, mesyuarat demi mesyuarat, membeli itu ini (kedai juga jauh di bandar) dan mengetahui yang hendak bergotong royong itu semuanya sudah tua-tua, orang muda sudah keluar merantau dan bekerja) saya berjaya memujuk mak dan apak agar menggunakan khidmat kateter (yang ketika itu memang tidak pernah dibuat oleh orang kampung, kira-kira keluarga kamilah orang pertama). Memang awalnya ada merasakan kami melanggar adat, tetapi akhirnya rata-rata selepas itu lebih senang cara begitu. 

Pada saya bukan sangat soal besar atau kecilnya bajet tetapi bagaimana anda merancangnya dan menjadikannya more dash than cash. Bagi saya semuanya boleh jika dirancang dengan baik. Kini perancangan perkahwinan pun tumbuh bagaikan cendawan, anda perlu membuat sebanyaknya perbandingan. Betul dalam saya yang konon mahu semua teratur dan dilihat mewah lagi cantik, tersasur juga tetapi sempat berpatah balik dan akhirnya menemui tapak majlis yang selaras dengan kehendak hati kami. 

Kerana kali ini kami hanya menghadkan tetamu kepada 500 sahaja, betul ramai yang tidak dapat diundang, tetapi yang sedihnya juga yang diundang dan memberitahu untuk hadir tidak pula hadir. Ada hadir seorang tetapi buat rsvp tiga empat orang. Sedih juga tengok kerusi kosong sedangkan ada yang berhajat tetapi tidak dapat ditunaikan kerana takut ada berdiri sepanjang malam dek dewan sendat.

Bulan ini bulan kahwin, jangan lupa check telefon anda, sekiranya mendapat undangan dan belum membuat rsvp cepat-cepat berbuat demikian, sama ada boleh hadir atau sebalik. Andai ada hal penting atau sakit atau kecemasan cuba sedaya upaya beritahu tuan rumah atau seorang daripada ahli keluarga yang turut mengundang, kalau boleh tempat anda digantikan dengan orang lain tetapi janganlah dua tiga jam sebelum majlis baru hendak maklum, sudah pasti tiada siapa yang mahu datang saat akhir.

Kami bernasib baik juga kerana punya saudara mara dan rakan taulan yang bijaksana, tidaklah banyak kerusi-kerusi yang kosong. Khabarnya baru-baru ini adalah satu majlis kahwin dan tetamu yang datang boleh dikira jari walhal masing-masing sudah berjanji. Kasihanlah dia kerana hendak menyelenggarakannya kenduri nikah kahwin ini boleh tidak makan tidak tidur dan adanya banyak juga air mata yang tumpah. Hanya orang yang melaluinya tahu dan setuju dengan cerita saya ini.

Selamat Pengantin Baru

Related posts

Ramadan, Persiapkan Diri Menjadi Lebih Baik

Wirda Adnan

Lelaki Dengar Sini…

Wirda Adnan

Jangan Lupa Anda Adalah Wanita

Wirda Adnan

Leave a Comment