EYE ME

Bila Diuji?

Assalamualaikum, maafkan saya kerana terlewat menyiapkan rencana ini. Bila laptop rosak dan tiada kedai boleh dihantar untuk dibaiki. Bila shopping mall tutup lalu tidak bisa membeli yang baru kerana ia juga sudah lanjut usia. Bila dalam suasana kelam tanah air dan di seantero dunia dengan virus Covid-19 yang merebak dan masih berleluasa menyerang manusia malah binatang juga. Dan bila kami sekeluarga yang seketika seolah diserang ‘musuh dahsyat’… ya minda saya juga padam seketika, bila mana memikirkan suami di hospital. Suami yang bertarung nyawa (bukan positif Covid-19 tetapi didiagnosis kanser kolon), ya Allah Kau sahaja yang tahu perasaan ini. 

Penantian yang saya kira amat menyeksakan. Ya setelah lebih 10 jam masih tiada khabar berita pada hari pembedahan, fikiran menjadi amat berkecamuk. Kami seisi keluarga cemas, sungguh tidak keruan dibuatnya, menunggu dan terus menunggu daripada pagi hingga ke senja. Tidak dibenarkan masuk ke wad sama sekali dengan kumpulan pengawal di luar pintu masuk ‘visitor’ ketat, strictly no visitors. Jalan-jalan juga disekat, kereta tidak boleh parking di sembarangan, tetapi sampai bila harus menunggu dan tunggunya di mana? Di rumah, jauh, di tepi jalan di kawasan hospital pula tidak dibenarkan? Senak perut. 

Jam tujuh pagi daripada pesanan ringkas sang suami memberitahu dia sudah masuk ke bilik pembedahan dan jam menghampiri tujuh malam, tiada khabar berita. Dihubungi wad tidak berjawab. Dan deringan telefon pula bertalu-lalu, si ayah bertanya khabar berita, si ibu juga di talian bersuara cemas bertanyakan hal anak tunggalnya itu. Ya Allah, aku mohon kepadaMu ya Allah agar semuanya selamat. Dan setelah jenuh menunggu, saya dan ibu saudara ahirnya dibenarkan cuma lima minit sebaik dia keluar dari bilik pembedahan. 

Alhamdulillah hari ini saya sendiri sudah boleh menarik nafas lega, setelah tiga minggu di wad suami dibenarkan pulang. Kini sang suami sudah sedikit selesa dengan beg stoma yang terpaksa digunakan sementara menunggu temu janji untuk satu lagi cityscan yang sepatutnya dilakukan pada 9 Mac,  tetapi ditunda.

Saya teringat rencana Januari menyebut kesyukuran kerana keluarga kami yang kecil ini diberiNya kesihatan yang berpanjangan. Betul jarang sangat kami berkunjung ke hospital mahupun klinik,  jarang sangat menelan pil-pil yang pahit lagi kelat. Syukur sangat. Namun tiba waktu Allah menguji, menghantar ‘K’ kepadanya. Hisham kehairanan bagaimana K boleh diperolehi. “Saya tidak merokok, tidak minum, jaga makan, dan tiada sejarah keluarga,” adunya kepada pakar yang merawat. “It can happen to anybody.” Dan Dia mengetuk sedikit sahaja pintu kenikmatan itu, melihat sejauh mana kita bisa menghadapi kesakitan, bisa bersabar, minta dekat denganNya, berselawat dan menambah ibadah, minta kami lebihkan bersedekah dan melihat akan kebesaranNya. 

Sabda Rasulullah, “Sesungguhnya besarnya suatu balasan sebanding dengan besarnya musibah yang dialami. Barang siapa redha di atas musibah tersebut maka dia akan mendapatkan keredhaan Allah. Tetapi barang siapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah.” (HR at;Tirmidzi)

Sungguh hari ini Allah menguji sekalian manusia di alam ciptaanNya, dengan wabak Covid-19 Pandemik, yang amat mengerikan. Allah mahu umatNya bermuhasabah diri; yang zalim, yang angkuh, yang konon berkuasa, yang kaya raya, yang hidup seolah dialah yang memberi nyawanya itu, yang miskin, yang melarat, yang sihat malah yang sakit juga, yang kecil, yang besar, yang tua, yang muda… ya kita semua hambaNya yang diuji. Ramai lupa untuk berterima kasih. Alam yang indah dicemar dengan serbaneka ancaman baik di daratan mahupun di lautan dan di udara juga. Gunung ganang ditebuk, dicantas malah dilupuskan, hutan belantara dan sungai dan lautan dicemari. Adanya manusia yang kejam memakan bintang hidup-hidup, yang dilarangNya tetapi masih ingkar melawan perintahNya. Sang nuklear perosak muka bumi ini, peperangan yang tidak berkesudahan, negara besar yang angkuh yang merasa mereka lah pemilik dunia dan menzalimi insan-insan kerdil yang bermunajat kepada Allah. Insan-insan kerdil dan tidak berdosa ini mahu dihapuskan dari muka bumi ini. 

Ya, “Stop it all, stop the killing, stop the suffering, stop the hurting, stop the selfishness, stop the destruction.”

Sungguh  adanya manusia yang tamak haloba, maka Allah percikkan satu virus sehingga bumi ini ‘terdiam’ sepi, sayu, senak, seksa. Virus yang teramat halus lagi kecil daripada saiz atom sedang menyerang tanpa mengenal siapa kamu. Nikmat yang diberiNya ditarik sedikit, nah apakah kita umatNya masih terlena?

Kita umat Muhammad khasnya sudah merasai kesan yang amat menyedihkan ini. Melihat 

Masjidilharam dan Kaabah yang dipagari ketat, Masjid Nabawi yang kosong, dan ya di seluruh masjid di dunia yang tidak bisa dikunjungi lagi pada setiap lima waktu, solat Jumaat… sungguh inilah antara petaka yang dikirimkan Allah kepada umatnya. Tidak boleh dibayangkan sebelum ini tempat berjuta manusia bersolat, bermunajat menjadi sepi dan terhenti ibadah sama sekali.

Cuma beberapa hari lagi kita akan menghadapi Ramadan. Sudah dikhabarkan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) tiada lagi umat Islam boleh berkumpul beribadat di rumahNya itu, maka tiada lagi ceramah-ceramah agama disediakan. Tidak ada moreh menjelang waktu berbuka dan moreh selepas tarawih. Tiada lagi kami wanita-wanita yang bertenaga ini boleh berjemaah sehingga 20 rakaat, bagi saya inilah antara kedamaian jiwa sepenuhnya kerana 30 hari dalam setahun saya dapat bersama jemaah lain mengutip pahala solat berjemaah; isyak dan solat sunat tarawih khasnya. Ya Allah janganlah dipanjangkan sehingga pula ke tahun hadapan. 

Dan besar kemungkinan ibadah Haji pada tahun ini juga diketatkan kemasukannya. Ya Allah aku memohon kepadaMu Yang Esa, sempatkanlah mereka yang sebelum ini tidak berpeluang menunaikan ibadah Haji dan Umrah mengerjakan pada tahun hadapan. Panjangkanlah umur mereka yang teringin sangat ke sana untuk beribadah di tempat yang suci ini, sebelum mereka menghembus nafas terakhir.

Ramadan akan bersua. Ingatkan inilah masa opah ini mahu menunjukkan kepada cucunda Sheraaz akan rupa bazar Ramadan, sebab tempatnya hanya di hadapan rumah. Dari tingkap boleh dilihat kesibukan penjual dan kesesakan pembeli. Dari tingkap boleh dilihat que yang panjang penggemar nasi Arab Chef Ammar dan mutabak Langkawi yang dibeli Hisham dan Imtiaz tidak tertinggal walau sehari pun. Nah semua ini sudah tidak mungkin terjadi tahun ini. Sukalah dua tiga jiran di sini yang menentang hebat bazar Ramadan di kawasan ini kerana konon mengganggu ketenteraman hidup mereka walaupun rumah mereka bukan di hadapan jalan tertutup khas Ramadan. Bahagialah mereka ini yang menentang keras bazar ini bertahun-tahun konon ia tidak hygenic sedangkan para peniaga menjaga kebersihan dan sebaik selepas bazar ditutup pekerja memunggah sampah sudah bersedia membersihkan tempat ini sehingga terlihat tiada apa yang berlaku sebelumnya. Ya bila adanya manusia yang begini yang tidak memikirkan hal orang lain yang mahu mencari sedikit lebihan wang untuk belanja menjelang Raya, sehingga inilah manusia yang berkepentingan sendiri ketawa memikirkan jalan di hadapan rumahnya sepi tiada kenderaan lalu lalang daripada jam tiga petang hingga tujuh malam. Bergembira lah kamu ya.

Sebelum saya meletakkan noktah, saya mewakili seisi keluarga menyatakan terima kasih tidak terhingga khasnya doktor dan jururawat di HKL yang memberikan khidmat terbaik. Hisham amat berpuas dan menyatakan khidmat di hospital kerajaan amat memuaskan. Kami sendiri tidak menyangka layanan dan rawatan diberikan baik sekali. Juga kepada kaum keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan yang tidak jemu berdoa, terima kasih hanya Allah yang dapat membalasnya.

Bila mana sebelum lockdown saya yang berpeluang menjenguk suami di wad  rasa amat kagum melihat para petugas memberikan khidmat mereka… masha-Allah hanya mereka yang dipilihNya sahaja mampu buat kerja ini. Dan boleh dibayangkan para petugas untuk mangsa covid-19, khas the frontliners, mereka menyahut tanggung jawab waktu sama berdepan pula dengan virus yang tidak mengenal mangsanya. Bayangkan, berkerja around the clock, ada yang tidak sempat makan dan berehat apatah lagi tidak pulang bertemu keluarga. Melihat petugas di dalam dibalut ‘guni’ biru membuat kita insaf betapa tingginya pengorbanan mereka bagi menyelamatkan  mangsa. Dan kita yang disuruh duduk di rumah sahaja pun hendak marah, mengamuk dan tidak puas hati. Sementara yang tidak peduli nasib orang lain, sebab kamu berduit, kamu angkut bertroli-troli makanan dan bahan-bahan lain sampai lupa orang di belakang. 

Ya Allah! Engkau hancurkan wabak yang ada di dalam dunia ini dan negara ini. Kalau ia di dalam masyarakat kami, engkau musnahkanlah. Kalau ia di dalam keluarga kami, kau hindarkanlah! Kalau ia dalam keluarga kami, engkau lontarlah ya Allah.

Ya Allah perkenankan doa kami. Allahummaa Aamiin Aamiin Ya Robbal’Alamiin

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Nasihat Tahun Baru

Wirda Adnan

Rindu Serindunya ke Baitullah Al Haram

Wirda Adnan

Nikmat Allah Yang Kita Lupa

Wirda Adnan

Leave a Comment