EYE ME

You Gotta Have Style

You gotta have style. It helps you get down the stairs. It helps you get up in the morning. It’s a way of life. Without it, you’re nobody. I’m not talking about lots of clothes.” Diana Vreeland (editor in chief, 1936-89)

Andai Vreeland masih hidup dan di depan saya saat ini, saya peluk cium dia kerana kata bijaknya mengenai fesyen. Benar, kerana fesyen membuat hidup menjadi lebih ceria, hilang rasa tidak bermaya, bosan dan rasa malas serta merta hilang malah melihat hari depan yang lebih pasti, lagi positif berbanding hari ini. “Fashion is very important, it is life-enhancing like everything that gives pleasure, it is worth doing well,” sambungnya.

Sesungguhnya juga fesyen memartabatkan bangsa. Kurung, cheongsam dan sari, dengannya mudah kita mengenali bangsa Melayu, Cina dan India. 

Bayangkan kamu sakit, lalu mencari pakaian paling selesa, barangkali yang paling lusuh untuk dipakai di bawah selimut tebal menutup seluruh anggota… kemudian kamu terpandang almari baju kamu yang tersusun rapi, mengikut warna mahupun jenis keraiannya. Ternampak pula baju yang baru ditempah untuk dipakai Hari Raya nanti… percayalah, ia membuat kamu lebih bersemangat dan mahu keluar cepat daripada selimut itu. Makan ubat dan berdoa agar cepat sembuh kerana tidak mahu baju baru itu nanti terbiar sepi tidak merasa disarungkan. Kamu mahu cepat sembuh supaya kamu boleh menghias diri dan… ya! kamu tidak mahu mati lagi. 

Memakai pakaian yang sesuai sebagai tanda kamu menghormati diri, menghormati majlis, menghormati tetamu yang lain juga. Masih saya mahu menegur segelintir yang tidak peka dengan adab dan tatasusila berpakaian. Menghadiri majlis perkahwinan dengan baju T dan seluar paras lutut. Hadir sebagai tetamu pada majlis perkahwinan dengan pakaian menjolok mata, sehingga lurah buah dada tersembul dan seluar dalam terlihat warnanya. Menjadi tuan rumah majlis nikah/perkahwinan anak, tetapi kain meleret dua hasta, dan tulang belakang terdedah menjadi tontonan. Ya sampai bila hendak belajar menjadi insan yang boleh dimuliakan? 

Hadir pula pada majlis berbuka puasa, kebaya jarang sendat dan kain menampakkan lutut. Hadir di pusara orang Islam dengan peha terdedah dan baju tanpa lengan (sekali pun kamu bukan Islam, pakaian begini dilarang sama sekali.) Dan kalau pun kamu yang free hair, carilah selendang menutup rambut yang mengerbang. Kamu yang menjadi raja sehari, duduk di sofa menghadap suami yang bakal diijab kabulkan, biarlah sopan gaun nikah itu, lapikkan lah les jarang itu supaya tidak terlihat kulit jernihmu dan buah dada yang membuak itu. Mak ayah tolong ingatkan anak-anak, hormati pak imam, tuk-tuk, pak cik-pak cik yang hadir di situ, atau keluarga sebelah menantu. Dan pereka pakaian, mungkin kamu sebaik orangnya untuk menasihati bakal pengantin terutama yang menempah dengan kamu. Cuba elakkan dada dan belakang yang terdedah terbelah. Ini majlis nikah (lebih sedih diadakan di masjid, maknanya tidak hormat rumah Allah), dan ini bukan parti hari jadi atau bechelorette party. Dan jururias pengantin hem pandai-pandailah menggunakan kepakaran supaya seluruh tetamu merestui majlis itu. Kan manis cerita-cerita yang baik sahaja didengari di majlis dan bila pulang daripada majlis.

Saya teringat cerita teman yang hendak mengahwinkan anaknya dengan pemuda Terengganu (dia Kadazan Dusun, beragama Kristian). Katanya, “Aku siang-siang ingatkan anak aku masa dia pergi menempah baju nikah dan kahwinnya. Hormati famili bakal suami kamu, mereka bertudung litup, jangan pula kamu dedah dada, nampak peha. Kami orang sebelah yang kebanyakan pun bukan Islam semua  pakai baju kurung dan baju Melayu.” Dan melihat majlis resepsi di sebelahnya pun rata-rata berpakaian sopan dan tidak mendedah bahagian lengan dan betis, cuma tidak bertudung.

Begitulah jika tahu mengenai adat, hormat sebagai tetamu sementera sebelah pihak lagi hormat melayan orang yang dijamu. Jangan sampai naik ke singahsana persandingan yang disaksikan hampir seribu mata, ada orang tua dan yang muda, pak lebai, pak imam, ustaz ustazah dan kamu berbaju jarang sehingga nampak warna baju dalam. Tolonglah jangan buat lagi.

Fashion you can buy, but style you possess. The key to style is learning who you are, which takes years. There is no how-to road a map to style. It’s about self expression and above all, attitude.” Iris Apfel.

Satu lagi cerita menarik mahu saya paparkan. Asalnya kami bercerita fasal fesyen, “Kak kalau saya hendak pakai barangan berjenama from top to toe bisa sahaja, memang mampu dan sesuai pun dengan kerjaya saya, tetapi saya pilih untuk bersederhana. Saya ada tanggungan, baik saya beri duit pada mak dan ayah daripada membeli beg ribu ringgit. Baik saya besarkan rumah kami di kampung supaya lebih selesa, dan hantar mak ayah pergi buat umrah dan haji, kalau lebih mak dan saudara boleh ikut serta. Tetapi saya pilih gaya hidup yang teramat sederhana. Luar kerja, pernah akak tengok saya silang berganti tas Dior atau Chanel atau Birkin. Saya adalah satu dua yang berjenama tetapi itu pun hadiah client dan kawan-kawan. Anak-anak juga saya ajar jangan leka bergaya sampai lupa jati diri. Tetapi kami mengutamakan mutu dan ketahanannya.

Teman ini jika disebut nama, orang fesyen khususnya teramatlah kenal dia. Dia disebut ‘queen’ di pentas peragaan, seorang yang tidak sombong dan tidak menunjuk-menunjuk. Namun saat menyambung ceritanya tadi, saya nampak matanya kemerahan. Dan ceritanya buat saya pula ternganga, macam tidak percaya.

Al kisah, katanya dia tidak lama lagi akan menerima menantu. Pilihan sendiri (anaknya perempuan), dan si ibu tidak mahu campur tangan, baik untuk anak itulah yang terbaik untuk ibu tunggal ini. “Kami tidak mahu memberatkan pihak sebelah, to be fair to them kami tidak meletakkan duit hantaran dan barangan hantaran yang lain.” 

“Kami menyediakan barang hantaran yang tidak terlalu mahal dan tidak pula terlalu murah. Malah ada juga rakan yang menghadiahkan barangan untuk dijadikan hantaran. Saya puas hati kerana saya mahu anak saya rasa dia insan paling gembira di hari bahagianya. Tidak terdetik pun di hati saya untuk memastikan barang hantaran orang sebelah kena jenama-jenama tertentu, kena hias secantik. Itu bukan saya dan bukan ceritanya tetapi bila anak saya memberitahu harga kain yang bakal tunangnya beli ialah semeter RM5 saya terlopong. Biar betul? Beg tangan dan kasut katanya tidak sampai nilainya RM80, alat solek entah apa jenamanya, dan sebentuk cincin emas tidak tahu berapa harganya. Mendengar, saya jadi amat kecewa, sedih, dan ya darah saya menyirap. “Bagaimana pula dengan bekas hantarannya nanti? Dibubuh dalam bag plastik aje ke?” saya tiba-tiba menyergah anak saya. Meroyan jugalah sekejab. “Bukankah fabrik itu nanti hendak dijadikan baju nikah? Kalau ya pun takkanlah kamu hendak pakai baju nikah harga RM20? Tolonglah jangan sampai memalukan mama dan keluarga kita? Kalau begitu tidak payah bertunang, bukan pun wajib.”

Ya, hendak berjimat macam mana pun, tunjukkan sedikit rasa hormat kamu. Mentang-mentang dia tidak letak harga, tak demand, jangan pula kamu ambil kesempatan. Mana kawan saya ini hendak letak muka bila mana yang dipersembahkan seperti menghina. Kita beradat, buatlah cara beradat. Hendak menyunting anak dara orang, sesuaikan juga dengan kedudukan ibu ayah, keluarga dan sahabat handainya barangkali. Maruah diri dan keluarganya mestilah dijaga. Janganlah nampak koman sangat.

Saya sendiri pernah mengahwinkan anak. Seperti mana kita hendak anak kita diraikan, kita juga mesti berbuat sesuatu supaya mereka juga merasa diraikan. Bagi saya jangan sesekali membuat orang sebelah dijatuhkan air muka mereka, dan rasa hina. Mereka ada saudara mara, ipar duai, kawan-kawan dan jiran tetangga… memang tidak perlu menjawab apa-apapun tetapi sama sama akan faham. Bagi saya buat sebaiknya, semampunya dan secantik-cantik yang boleh dan cara itu keluarga kita tidak dicemek atau dikata di belakang dan keluarganya berasa bangga lagi  dihormati. Memang harga bukanlah sebaik ukuran tetapi berpadalah. Tidak siapa menyuruh kita berhutang keliling pinggang untuk tunjuk kita ada kelas, ada taste, ada duit banyak tetapi perbuatan dan memberi yang tidak setimpal itu menjatuhkan maruah diri sendiri.

Memang ada orang yang tidak memandangnya penting, malah keluarga kami sendiri pernah terlopong bila mana barang hantaran yang dipersembahkan, astaga, sudahlah tidak memenuhi syarat adat, dan ‘macam itu pula rupanya’. Sedangkan saya dan adik saya sampai jam tiga pagi menyucuk bunga segar supaya nampak ’presentable’ tapi yang dibalas alahai, campak-campak biskut kering siap dengan balut asalnya sahaja, dibubuh dalam raga yang tidak pun berhias bunga dan riben. Kami terima tetapi sehingga kini ingatan itu tidak padam. Pernah juga keluarga sebelah menghantar hantaran yang tag harga pun tidak dibuang, kotak pun seperti dipakai seribu orang, aduh… namun apa pun kita jangan balas serupa mereka, kalau kita orang beradat.

Seyugia, jangan pula jadi seperti seorang kenalan ni, Datin ini terlebih beria-ia bukan sahaja semua barangannya berjenama, disebabkan rombongan ke rumah sebelah agak jauh nun di Utara, dia membawa juruhias sekali dan membawa bunga-bunga segar berbaldi-baldi malah sebuah van khas untuk barang hantaran sahaja. Katanya supaya yang dipersembahkan tadi jangan ada satu kuntum pun terlayu. Okaylah tu tetapi apabila yang diterimanya jauh daripada standardnya, teman saya yang tukang hias tadi memberitahu. “Muka Datin mencuka sepanjang majlis, dan sewaktu pulang sampai di satu selekoh jalan, si Datin turun dari kereta lalu mencampakkan bekas hantaran bersama isinya sekali ke dalam parit. Apa katanya, “Aku tidak pernah rasa dihina seperti ini?” Tetapi di dalam hati teman menjawab, “Kamu yang terlebih-lebih sangat, menantu kamu budak kampung, emak ayahnya orang bendang, what do you expect from them? Tak kan dibalas Chanel kot atau nak upah Rizalman untuk menghias hantaran, mestilah tidak kan?”

Sebelum kata notah, saya petik kata mutiara ini daripada Muiccia Prada, “What you wear is how you present yourself to the world, especially today, when human contacts are so quick. Fashion is instant language.”

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Rindu Serindunya ke Baitullah Al Haram

Wirda Adnan

Tiga Lelaki, Jadikan Iktibar

Wirda Adnan

Semoga 2019 Lebih Bermakna

Wirda Adnan

Leave a Comment