EYE ME

Be HAPPY… And You’re Beautiful

Setiap kali pulang ke kampung ada beberapa perkara saya ‘mesti buat’. Dulu sewaktu mak masih hidup, merajuk juga dia kerana kadang-kadang lebih separuh hari saya akan hilang dari rumah. Ke mana agaknya saya?

Satu ketika saya terlalu sibuk urusan kerja di kota. Sudah tentu antara urusannya kadang kala memenuhi undangan klien dan kawan-kawan juga. Diberikan ruang yang cantik untuk pampering, kadang-kadang percuma atau dengan discount yang besar. Siapa tidak mahu pakar-pakar kecantikan sendiri yang membelek wajah? Atau berurut di spa paling luxury? Lantaran mengapa pula saya berkisah mencari spa atau salon cantik di kampung, sehingga kewujudan salon-salon kecil-kecilan di kawasan perumahan sendiri pun saya tidak tahu.

“Mengapa gunting rambut dengan bayaran lebih seratus sedangkan di sini hanya RM5, kalau di KL mewarna, cuci dan treatment sehingga tiga empat ratus? Bodohnya?” Cakap kakak buat saya tersentap. Potong rambut RM5.. saya tidak percaya. Mewarna dan treatment paling tinggi pun RM35 mashaAllah biar betul. “Jom ke salon Pak Din,” ajaknya.

Begitulah permulaan saya ke salon ini, empat  tahun yang lalu, menggunting rambut, mencuci, membuat rawatan dan berinai, terutama mewarnakan rambut, saya rasa kerja yang dilakukan amat teliti dan kemas.

Dari rambut ke muka, (selalunya saya akan datang keesokan harinya) lalu saya mencuba pula rawatan facial yang ditawarkan. Saya yang begitu sensitif dan tidak sembarangan orang boleh membelek muka, begitu senang dengan urutan si perawat, rawatan lengkap termasuk vitamin C, serum dan kolagen cuma RM45 (kalau tidak silap). MashaAllah sekali lagi saya rasa happy sangat, kerana selama ini beginilah juga rawatan yang dilakukan. Memang yang membezakan adalah produk dan tempatnya, tetapi yang penting produk digunakan berkualiti walaupun buatan negara sendiri, dan saya happy. Wajah kusam bertukar seri, segar dan tegang. Namun masih belum lengkap perawatan kecantikan saya kerana saya sudah mula berbekam. Badan saya jadi ringan, pening hilang, dan saya dapati kolestrol dan bp saya dalam keadaan stabil. Alhamdulillah, syukur dan happy sangat.

Dan biasanya sebelum pulang ke Kuala Lumpur saya bawa Manja ke rumah. Siapa Manja? Seorang ibu yang sejak usia belasan lagi sudah mula mengurut. Neneknya dulu tukang urut dan selalu datang ke rumah opah mengurut. Kepakaran diwarisi oleh ibu si Manja. Manja pula menambah ilmu kecantikan dengan pelbagai lagi kursus dan rawatan lain, menjadikan urutannya, adunan tradisional campur moden pada saya sangat-sangat sedap.

Selain demi untuk kesihatan dan kecantikan dengan bajet yang amat-amat berpatutan, ia juga membuat saya happy, dan hari-hari saya di kampung lebih bermakna. Tiga empat hari rasa macam sehari sahaja, itu belum berkumpul ramai-ramai, masak dan makan. Pekan Sabtu saya nantikan juga kerana ada sebuah gerai yang menjual pecal. Pecal Minah Janda di situ sejak saya kecil dan masih kekal dengan rasanya yang tetap sama walaupun saya sudah tua, hu hu.

Sebenarnya apa yang mahu saya coretkan di sini adalah mengenai perasaan gembira atau happy, (maaf terlajak sampai masuk cerita Manja dan pecal.) Betapa ramai insan di dunia ini tidak tahu bagaimana menggembirakan diri, dan kecewa dan murung dan marah, sakit hati, benci dan berdendam. Semua ini kerana hati tidak gembira lalu tersumbatlah perasaan iri, dengki, dendam, terancam dan sebagainya.

Bagaimana anda dapat kekal gembira sehingga ke akhir hayat? Pakar penyelidik menyarankan beberapa perkara antaranya; seperti saya yang mencari keseronokan dan ketenangan bila dibelai manja oleh si pakar kecantikan misalnya. Lalu saya sentiasa looking forward untuk balik ke kampung halaman, sekalipun kini ibu dan ayah sudah tiada. Tidaklah balik kampung dengan rasa pilu, rindu dan sendu.

Pakar juga menggalakkan anda menyesuaikan diri dengan keadaan, “Adjust your attitude. Tidak mungkin kita dapat mengawal segalanya yang akan terjadi pada diri, namun anda boleh kawal bagaimana anda boleh menerima andai keadaan yang tidak diingini terjadi pada diri. Bawa diri melihat perkara yang positif walaupun dalam keadaan yang memeritkan. Develop the habit of seeing the positive side of things. Ramai complaint tidak bahagia, but they do nothing to change it,” kata Jan-Emmanuel De Neve, seorang economist and happiness researcher. “Learning to be more optimistic is a good first step,” katanya.

Selain itu berikan tumpuan kepada apa yang anda ada. Jadilah insan yang sentiasa berterima kasih dengan apa yang kita ada. Misalnya kalau pendapatan hanya tiga ribu takkan warna rambut RM400, spa RM300 kot, hendak makan apa nanti? Elak berendam rasa kecewa kerana dulu senang dan kini sudah susah, Orang yang bijak dan optimistik akan meraikan apa yang dia ada, tidak menumpukan kepada bayang-bayang yang telah hilang atau pengalaman hitam yang silam. Dan bukan meraung marah kepada yang Esa kerana tidak memberikan yang baik-baik saja kepadanya.

Juga ‘give back’ jika anda sudah pencen inilah masanya menabur bakti dan kepandaian kepada generasi seterusnya. Luangkan waktu dan cari organisasi yang selera anda di situ ‘yang meaningful to you, then find out how you can help. Cara ini juga anda berjumpa ramai orang, khasnya kenalan baru. Dengan melakukan kerja-kerja amal ini sudah tentu mendedahkan anda akan keadaan orang lain menghadapi hidup. Buat anda insaf barangkali, dan bersimpati malah lebih mengerti keperitan orang lain. Orang yang rajin membantu sentiasa dalam keadaan dia suka dan rela bukan terpaksa lantas membuatnya lebih bahagia. Juga bersedekah, kerana ia satu sumber punca bahagia bila mana orang yang menerima amat merasai keenakan daripada hasil sedekah kita.

Akhir kata untuk diri rasa bahagia sentiasa memaafi, jangan simpan satu pun sakit yang ada di hati. Lapangkan dada untuk melupakan kata-kata keji yang pernah dilontari pada diri… pergi cari orang yang pada asalnya anda tidak mahu temui lagi kerana marah dan berasa hati. Pohon maaf (walaupun anda rasa dia yang bersalah, tidak mengapa kalau kita merendah diri, Allah Maha Mengetahui) sebelum anda pergi Haji misalnya, atau sebelum takdir Ilahi menjemput diri. Kita tidak tahu bila dan lama mana kita bisa hidup lagi. Saya merendahkan diri dan memaafi sesiapa jua yang pernah hadir di sisi selama saya hidup ini. Allah sesungguhnya Maha Kaya, bagi saya dibalasNya dengan kesihatan sepanjang di Tanah Suci sampai kini sehingga saya berkesempatan berkarya lagi. I’m extremely happy now dan pada yang membaca warkah ini saya hendak katakan, You are beautiful, you made me believe that this world is worth living in.

Related posts

CINTA SEMALAM

Wirda Adnan

Tiga Lelaki, Jadikan Iktibar

Wirda Adnan

Cinta Mendengar Cinta, Berkata Cinta, Melihat Cinta

Wirda Adnan

Leave a Comment