Yaa muqollibal quluub tsabbit qolbi’alaa diinik
Wahai Dzat yang maha membolak-balikan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.
Sungguh panggilanNya ini teramat istimewa, nun berjuta di luar sana menunggu untuk dijemput, tetapi tidak ramai dimakbulkan, waima wang berjuta pun tidak boleh membeli keistimewaan ini tanpa restuNya. Alhamdulilah saya tidak mahu mengsia-siakan seketika di sana kerana masanya terlalu-lalu berharga.
Ibadah Haji sudah selesai. Syukur Allah menyediakan yang terbaik untuk diri ini; di padang Arafah saujana mata memandang, kami berteduh dalam khemah yang lapang berhawa dingin… terlalu selesa untuk mendekatNya. “Ya Allah selama ini aku telah berbuat aniaya terhadap diriku sendiri, jika Engkau tidak mengampuniku, pastilah aku tergolong orang yang rugi. Ya Tuhanku, ampuni dosa-dosaku dan hapuskan kesalahan-kesalahanku serta wafatkanlah aku bersama orang yang salih. Ampuni dosaku, baik yang kecil dan yang besar, yang terdahulu dan terkemudian, yang nyata dan yang tersembunyi.”
Lalu ketika matahari terbenam kami meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah, separuh malam di situ sebelum berangkat ke Makkah. Dalam berjuta manusia kami memasuki ruang tawaf mengelilingi Kaabah tujuh pusingan yang menghampiri dengan Kaabah, Subhanallah. Siapa yang menjangkakan kemudahan diberiNya sebegini rupa. Tidak berhimpit-himpit, tiada tolak menolak, dan dalam nyaman angin malam, selesai semua seketika sebelum azan yang pertama. Begitulah juga ketika di Mina sewaktu melontar di Jamrat… ketika bermabit di ruang-ruang kosong di bahu jalan, sementara polis yang menghalangi dengan bunyi siren yang terlalu kuat, mungkin bagi sesetengah ia suatu ujian, sebaliknya saya redha dan merasakaan kalau tiada halangan bisa terus nyenyak. Ia ubat berjaga untuk terus berselawat dan beristighfar sebanyaknya. Allah memberikan lagi kelebihanNya, dalam ribuan manusia saya sendiri setiap kali melontar beroleh ruang betul-betul di hadapan dan tanpa diganggu. “Ya Allah aku juga membuang sifat-sifat buruk dan celaku yang mungkin tidak aku sedari yang ada di dalam diriku.”
“Ya Allah, jadikan hidupku mulai hari ini hingga detik-detik terakhir kematianku penuh dengan ketaqwaan, keimanan, kemudahan dan kebahagiaan. Lapangkan kuburku, jauhkanlah aku daripada seksa kubur. Mudahlah aku ya Allah di padang Mahsyar hingga hari penghisaban. Mudahkan penghisaban diriku. Ya Allah masukkan aku ke syurgaMu, jadikan aku termasuk orang yang kau izin untuk memandang wajahMu kelak di akhirat.” Amiinn amiinn Ya Rabbal Aalamiin.
Tanggal 13 September dan setelah 27 hari di tanahMu, lewat senja menjejakkan kaki kami ke tanah kelahiran. Dan tanggal 15 September, syukur sekali lagi kerana saya dapat menyambut hari kelahiran saya bersama suami, anak-anak dan menantu. Dan pesan si ibu ini, (meminjam kata ulamak Hasan Al Bashri), Anak-anakku, dunia ini hanya mempunyai tiga hari, yakni hari kelmarin yang telah pergi bersama dengan semua yang menyertainya, hari esok yang kamu mungkin tidak akan pernah menemuinya, hari ini yang kamu miliki, maka beramallah hari ini.”
Anak-anakku, Allah telah menyedia semua yang terbaik untuk kita, hanya mungkin kita sahaja yang kurang bersyukur atau kurang sabar, sehingga kita merasakan kehidupan ini tidak adil. Bangunlah anak-anakku daripada ‘tidurmu’, dan isi hari-hari kamu dengan kerja yang berfaedah juga terus beribadah, nanti keindahan akan dikecapi di dunia dan di akhirat.
Sayang, hidup ini ibarat sedang berpergian di jalanan, kalau tidak mengikuti aturan di jalan, maka akan celakalah ia, Dan di ketika hidup jangan biarkan diri kamu berada di dalam kegelapan kerana dalam kegelapan bayangan pun akan meninggalkan kamu. Kehidupan dunia ini tidak lain kecuali permainan dan hiburan, sedang kampung akhirat itu hidup yang sebenarnya.
Pesan bondamu lagi, setelah kehidupan yang pendek ini, kamu akan menjalani kehidupan yang abadi. Bila kamu memahami rahsia tugasmu dalam kehidupan dan mengikhlaskan untuk Tuhanmu, pasti ada kenikmatan yang menantimu.
“Ya Allah Kau ampunkan segala dosa anak-anakku. Panjangkan umur mereka. Kau tetapkan hati mereka di dalam iman, Murahkan rezeki dan berikan mereka kesihatan tubuh badan. Kau sembuhkan segala penyakit yang ada di tubuh mereka. Ya Allah, berikan kesabaran yang tinggi, budi pekerti yang mulia, jadikan mereka insan yang penuh kasih sayang dan insan terbaik di dunia dan akhirat.”
Untuk ibu dan ayahku yang terlebih dahulu meninggalkan kami, “Ya Allah aku mohon agar Kau ampunkan segala dosa-dosa mereka, peliharalah dan tempatkan mereka bersama golongan yang mulia di’llliyyin dan terimalah segala amalan kami di dunia ini sebagai pahala yang mengalir kepada mereka.”
“Ya Allah, Kau berkatilah rumahtanggaku. Panjangkan jodoh kami ya Allah dan satukan kami sebagai suami isteri hingga ke syurgaMu. Satukan hati kami ya Allah dan limpahkan hati kami dengan kasih sayang, kesabaran, saling menghormati dan saling memerlukan.
“Ya Allah jadikan aku isteri yang terbaik untuk suamiku, dan jadikan suamiku sebagai suami yang terbaik untukku. Ya Allah Kau redhailah perkahwinan kami ini. Ya Allah berikanlah rahmatMu agar kami dapat hidup bahagia selamanya. Jangan Kau uji ikatan perkahwinan kami dengan ujian yang tidak mampu kami tempuhi ya Allah. Jauhikan kami daripada godaan syaitan yang ingin memusnahkan rumah tangga kami dan jauhi kami daripada manusia yang jahat yang mahu meruntuhkan rumah tangga kami. Jauhikan kami daripada hasad dengki dan fitnah jahat yang bertujuan menggugatkan kebahagiaan kami.
“Ya Allah bukakan pintu kebajikan, rezeki yang halal, barakah, nikmat, kekuatan fizikal dan mental, kesihatan, keselamatan dan syurga kepada kami. Hindarkan kami daripada bala dunia dan akhirat dan jauhkanlah kepada kami dengan kebenaran Al Quran yang besar dan nabiMu yang mulia daripada kejahatan dunia dan akhirat. Semoga Engkau mengampuni kami dan mereka dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang Pengasih lagi maha Penyayang.
A’udhu bi kalimatil-lahil-tammati, minkulli syaitanin wa hammah. Wa min kulli’aynin lammah. “I seek refuge in the perfect words of Allah, from every devil and every beast, and from every devil eye.” sunan ibn Majah vol 4, book 31, hadith 352.