EYE ME

Semoga Pulangku Sebersih Bayi Yang Baru Lahir

Tidak dapat menahan sebak, air mata mengalir laju.. tetapi kali ini ia air mata gembira. Terus bersujud, sungguh inilah berita yang paling gembira, yang paling bermakna dan yang paling-paling saya tunggu-tunggukan selama ini.

Hampir dua minggu saya di dalam kegelisahan, selagi belum melihat sendiri, jiwa ini tidak tenteram. Tangan ini malas mencapai isi almari dan saya hanya letak bagasi di sebelah tanpa sudi mengisinya. Kerana takut andai khabar baik tidak menyebelahi, saya akan teramat sedih nanti.

Di sebelah sana agensi pengurusan bunyinya begitu yakin sekali, “Insha Allah, doa banyak-banyak.’  Dan itulah yang disebut mereka, doa banyak-banyak, insha Allah. Namun seminggu sudah, tiada khabar yang menyeronokkan sekalipun di Whatsapp dijamu dengan aneka doa dan nasihat, dan ibadah yang boleh diamalkan. Betul saya melayani diri beribadah juga, mengerjakan sebaik mampu untuk melebihkan solat dan berdoa kepadaNya supaya menerima diri ini mengadapNya, dan supaya Allah menyediakan diri ini kesihatan serta ketaqwaan.

Syukur Allah merestui dan dipanggilNya untuk ke rumahNya, untuk ibadah Haji tahun ini.

Sebenarnya saya sudah mengenepikan impian ke tanah suci untuk musim ini, kerana dua rayuan di Tabung Haji ditolak. Maknanya memang tiada rezeki saya kali ini. Mungkin tahun hadapan atau tahun hadapannya, atau kalau diikutkan giliran yang diberi, entah rasanya tidaklah dapat hidup sehingga 80 tahun dan baru boleh pergi.

Hati ini teringin juga merancang berpergian, ya berpergian jauh setelah berita gagal diterima. Mungkin mahu ikut rombongan geng kakak ke Eropah, atau geng group ke Iceland dan banyak lagi tempat yang mahu saya terokai namun di otak ini selalu bermain dengan pesanan arwah emak dan apak. “Pergilah Wir ke mana kamu hendak pergi, tetapi hanya boleh pergi setelah kamu mengerjakan Haji. Sebab ibadah Haji itu wajib, dan kalau duit tidak seberapa ada, dahulukan yang wajib barulah boleh bersuka-suka kemudiannya. Ingat kalau sekeliling dunia kamu terokai tetapi tidak sempat ke Makkah, berdosa besar.” “Betul mak, kecuali ditaja saya pergilah tetapi kalau duit sendiri, saya ke Haji dulu baru enjoy,” itu janji saya.

Seperti saya berjanji kepada diri kala mula-mula mengerjakan umrah pertama lebih 30 tahun yang lalu. Saya hanya join group kawan melancong hanya setelah saya tepati janji saya untuk mengerjakan umrah, sebab itulah sebaik-baiknya. Begitu pun saya dikira bertuah, sebab tugasan saya membawa saya ke merata dunia, dan semuanya percuma dan selalunya dilayan dengan kelas lima bintang. Alhamdulillah saya merasai mengelilingi hampir separuh dunia.

Aku percaya takdir Allah pastilah yang terbaik untukku, dan untukmu juga.

Ya semuanya datang begitu cepat sekali. Keputusan untuk ke Makkah mengikut visa Furada pun saya buat dalam waktu beberapa jam sahaja. Kami pun tidak diberi masa yang lama, kira-kira beginilah ‘take it or leave it’. Saya nekad, dan tidak mahu berburuk sangka, jika sudah ramai kenalan menggunakan peluang menggunakan pakej Furuda ke Makkah, mengapa pula saya sangsi? Dan pihak agensi menjanjikan andai visa tidak dapat dikeluarkan, mereka akan memulangkan semula wang. Okay, saya pun tidak mahu berfikir banyak, dan saya percaya agen ini boleh dipercayai, lagipun sudah dua kali adik dan adik ipar saya ke umrah dengan syarikat KRS Travel, insha Allah maknanya syarikat ini akan menunaikan semua janji mereka. Sebaik bersetuju saya dikehendaki menguruskan  bayaran deposit, keesokan harinya selepas subuh, kami sudah berada di Senawang menghadiri Kursus Perdana Haji anjuran syarikat ini.

Saat saya menulis ini cuma empat hari saya akan berlepas ke rumahMu. Ya Tuhanku. Kaulah yang amat Pengasih lagi amat Penyayang. Aku Kau pilih daripada jutaan insan, menjadi tetamuMu.

Allahummagfirli, Allahummar hamli, Allahumahdinii, Allahumma saddidnii

Allahumma aafinii, Allahummarzuqnii.

Ya Allah ampunilah aku, sayangilah aku, berikanlah pertunjuk kepadaku, limpahkanlah afiat (kesejahteraan) kepadaku, serta kurniakanlah rezeki kepadaku.

Adik-adikku, teman-temanku, dan kalian yang kukasihi. Bila panggilanNya telah tiba, pergilah dengan hati yang tenang, lapang dan serahkan semuanya kepada Allah, Dialah perancang akan segalanya. Yang Maha Mengetahui, Maha Mengasihani, Maha Memberi. Jangan kau risau anak kecil yang ditinggalkan, harta bendamu, binatang peliharaanmu, kelak Allah akan menjaganya. Saya mengalaminya sewaktu panggilan pertama menunaikan umrah. Di waktu itu mereka masih kecil. Ihtisham dan Imtiaz masih menyusu malam. Bagaimana nanti kalau mereka tidak mahu minum, menangis mencari ibunya, bagaimana nanti kalau si bibik lari? Oh kita memikirkan seolah-olah hanya kita sahaja yang dapat menyempurnakan tugas itu, hanya kita sahaja yang berkuasa memberikan yang terbaik untuk anak-anak?

Teman-temanku, bila masanya telah tiba, pergilah kerana percayalah Allah pemelihara yang terbaik. Sungguh kerisauan, kebimbangan dan hati yang berbaur antara suka (kerana akan menjejakkan kaki buat kali pertamanya itu), duka (kerana meninggalkan mereka, tetapi langsung tidak tercuit kala di sana. Bila kita serahkan kepada Allah dengan hati yang ikhlas, Allah menyediakan pula yang terbaik kepada orang yang kita percaya, yang kita tinggalkan untuk menjaga mereka, dan apa jua yang kita sayangi dalam keadaan yang teramat sempurna.

Allahumma inni zalamtu nafsi zulman kasira, wa la yaghfiruz zunuba illa anta, faghfirli maghfiratan min indik, warhamni innaka antal Ghafurur Rahim.

Ya Allah sungguh aku telah banyak menzalimi diriku, dan tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau. Maka, ampunilah aku dengan ampunan maghfirah dari sisiMu. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Asataghfirullaah Laa Ilaaha Ilaa HuwalHayyal Qayyuma wa Atuubu Ilaihi

Ombak debar semakin kencang, kerana aku belum pernah merasai apa yang bakal berlaku di Arafah, Muzdalifah, dan di Mina nanti. Aku serah kepadaMu Ya Allah semoga perjalanan yang satu ini adalah yang terindah di dalam hidupku.

Daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah saw bersabda; “Barang siapa melaksana ibadat Haji semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar daripada ketaatan) maka akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa),HR Bukhari, hadis Sahih.

Semoga aku akan pulang sebersihnya seperti bayi yang baru dilahirkan, insha Allah.

Labbaikallahumma labbaik… aku memenuhi pangilanMu Ya Allah.

Related posts

Membina Istana Cinta

Wirda Adnan

Ibumu, Ibumu, Ibumu. Kemudian Ayahmu

Wirda Adnan

Rakyat Mahu Bebas

Wirda Adnan

Leave a Comment