EYE ME

Ramadan, Persiapkan Diri Menjadi Lebih Baik

Untuk Semua

Banyak kata yang tak sempat terucap.

Banyak rasa yang tak tersampai. 

Banyak sesal yang tidak terhapuskan. 

Aku datang dengan mendapatkan banyak cinta.

Maka aku pun akan pergi dengan banyak cinta di hati untuk semua yang aku sayangi.

Maaf untuk segalanya salah di dalam hidup ku. Terima kasih untuk seluruh cinta selama hidup ku. N. Amaliyah

Terlalu cantik kata-kata untuk saya catatkan di sini. Ya berlalu seminggu Ramadan, maaf terlewat mengisi ruang ini kerana derita post covid saya boleh tahan juga. Badan lemah dan batuk yang menyinggah sepertikan tidak mahu pergi. Itu pun saya kuat melawannya, memasak, mengemas, mengaji Quran, melebihkan zikir, menghidupkan malam dengan amalan yang jarang dibuat pada bulan-bulan yang lain.

Ramadan, apakah yang terbaik untuk kita lakukan? Pergi shopping Raya, kerana dua tahun kita tidak meraikan? Menyediakan kuih muih kerana tahun ini ramai tetamu yang akan berkunjung? Anda sibuk menyiapkan rumah, mahu hiasannya diubah untuk lebih cantik menyambut tetamu.

Sayugia, bagi diri ini itu bukan menjadi keutamaan lagi. Betul usia meningkat dan minat sudah kurang di situ. Bulan Ramadan adalah bulan teramat mulia. Rugi dipersia-siakan sebulan ini kerana tahun hadapan barangkali tidak ketemu lagi. Maksud saya, gunakan sepenuhnya peluang keemasan ini untuk mempersiapkan diri menjadi manusia lebih baik di sisiNya. Allah menjanjikan pelbagai nikmat Ramadan yang tidak ada di bulan-bulan yang lain. 

Ramadan bulan rahmat, bulan keampunan dan kelepasan dari api neraka. Riwayat al Tirmizi menyebut, “Sesungguhnya ada bagi Allah orang yang dilepaskan daripada api neraka dan ini berlaku pada setiap malam bulan Ramadan.” Disebut ibn’Abbas RA, “Setiap malam ketika berbuka, setiap malam sejuta manusia dilepaskan dari api neraka.”

Lalu apa, carilah Ramadan yang berkat dan penuh rahmat. Ia harus bermula daripada mengenai diri sendiri dulu; membuang sifat tamak dan haloba, mengikis sifat bakhil, sifat dengki, cemburu, iri hati, sifat riak, sum’ah, ujub dan takabur. Ramai sekali amal ibadah cukup baik terutama di bulan Ramadan; tamat mengaji al-Quran berkali-kali. Cantik sekali, ibadah tarawih sehingga kaki meluncur, pulang dari berjemaah di masjid lapan rakaat menyambung lagi sehingga 20 rakaat, dengan membaca surah-surah yang panjang. Bangun lagi di tengah malam tahajud dan berzikir. 

Sungguh amalannya tidak kurang dan dengan Allah ibadahnya terpuji tetapi dengan manusia sifatnya berbeza. Ada sombong, ada mudah menjatuhkan hukuman, kalau pun diri sendiri tidak membuat fitnah tetapi menyokong rakan yang berdusta. Ada yang mengumpat dan suka mengata dan jari-jarinya cepat sahaja melayan netizen dengan propaganda insan-insan munafik demi kepentingan diri sendiri. Ada dengan anak isteri dijadikan hamba di rumah. Ramai yang hanya nampak salah isteri, salah dia tidak dikira salah. Dia raja di rumah dan perangai macam Firaun. Ramai solat tidak tinggal tapi waktu sama curang, waktu sama main belakang, waktu sama buat maksiat. 

Ada, malah ramai dengan ahli keluarga terutama dan dengan rakan taulan terlalu berkira; berkira tulang empat kerat, berkira untuk membantu orang yang susah di sekeliling. Ada jenis manusia dia suka membuat orang serba salah dan membuat saudara atau kawan-kawan ‘indebted’ dengannya. Ada juga yang suka mengungkit cerita zaman tuk kaduk, cerita zaman remaja membawa ke tua. Seperti saya ingatkan seorang teman tempoh hari, “kalau berhutang sekadar sehelai baju, sehelai kain batik, AllahuAkbar niatkan sedekah sahaja malah kalau kamu sendiri tidak ingat sangat nilainya, atau berapa yang patut dibayar, tidakkah lebih baik sedekah. Pahala yang menunggu amat besar.”

Betul hutang wajib dibayar oleh si penghutang, tetapi kalau si tuan yang memberi hutang pun tidak beberapa ingat berapa dan mengapa, dan yang berhutang pula memaklumkan dia tidak tahu apa-apa, mengapa dikeruhkan tali persahabatan? Mohon kepada Allah rezeki kamu dan rezekinya akan bertambah. Dengan sifat terpuji, menginsafi kesusahan orang, Allah mengangkat martabat. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang bersedekah dan mensyukuri nikmat yang diberikan. Allah melipat gandakan setiap sen yang diberikan. Dan dengan memudahkan hidup orang lain juga menyenangkan hati orang di sekeliling, Allah mencucuri kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ramadan bulan suci, ambil kesempatan ini untuk melupa dan memaafkan orang yang telah membuat aniaya kepada diri. Sesungguhnya tidak mudah, terutama yang menjatuh maruah dan harga diri, yang membabitkan kemusnahan harta benda dan ahli keluarga, yang memisahkan cinta menjadi bala dan celaka, yang menghancurkan hari depan diri dan keluarga. Sebagai manusia biasa kita tidak pernah lari daripada membuat kesilapan dalam hidup ini. Semoga Allah mengampunkan di atas keterlanjuran yang ada di muka bumi ini. 

Dan jadikan waktu ini untuk bermunajat. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Mengasihani, atas kehendakNya ia berlaku dan barangkali ada rahsia di sebaliknya. Berbaik sangka kepada Allah, inshaAllah syurga Firdaus menanti manusia yang dizalimi. Bismilalaahiladzii laa yadhurru ma’asmihi syai-un fil ardhi wa laa fis samaa’ wa huwas samiil’ul aliim. Dengan menyebut nama Allah yang dengan namaNya tidak ada sesuatu pun yang dapat membahayakan baik yang di bumi mahupun di langit. Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Dan di kesempatan hari baik bulan baik ini, saya menyusun 10 jari memohon seribu kemaafan. Sebagai manusia biasa saya tidak lari daripada membuat kesilapan. Saya juga mengakui banyak kekurangan terutama yang membabitkan urusan dengan manusia.

‘Ya Allah, ampunilah kesalahan, kebodohan dan keterlaluanku dalam segala urusan, dan ampunilah segala dosa yang Engkau lebih mengetahui daripada aku.’

Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Aidilfitri.

Related posts

Warkah Untuk Teman-Temanku

Wirda Adnan

Khas Yang Bernama Suami dan Isteri

Wirda Adnan

HARTA PALING BERHARGA ADALAH KELUARGA

Wirda Adnan

Leave a Comment