EYE ME

Nostalgia Fesyenku…

Bulan fesyen, saya ingin mengimbau kenangan menghadiri beberapa minggu fesyen di London, Paris dan Milan. Inilah pertunjukan fesyen terbesar dunia, termasuk di New York. Empat kota fesyen terkenal dunia.

Pengalaman hadir ke beberapa pertunjukan fesyen ini masih indah melekap di sanubari. Melayan kerancakan kota fesyen dengan mencuri masa ke gedung-gedung fesyen di celah pertunjukan itu sendiri. Seronok melihat tetamu pelbagai gaya, kagum dengan lokasi dan hiasan pentas dan semestinya tidak sabar menunggu kemunculan peragawati-peragawati di pentas peragaan.

Oh ya hendak juga saya beritahu, hanya di Malaysia sahaja tetamu datang dengan pakaian mengerlip mengerlap, yang meleret menyapu lantai mahupun tanah. Yang hadir dengan Hermes Togo Birkin 45, dengan dress labuh sebelah malam.

Di sana gaya tetamu jauh lebih santai. Santai tidak semestinya tidak bergaya, less is more. Apakah tujuan minggu fesyen ini? Jawapannya, dua kali setahun pereka mempersembahkan koleksi terbaru untuk musim akan datang Januari/Mac untuk musim luruh/sejuk tahun hadapannya sementara September/Oktober pertunjukkan musim bunga/panas tahun berikutnya. Ia khas untuk media fesyen, retail buyers dan individu yang mempengaruhi dunia fesyen. Dan ia dinantikan sebahagian besar pereka khasnya. Mereka mesti berkarya mendahului masa. Hasil tangan si pereka mesti ada kejutan, kelainan dan keistimewaan yang tersendiri. Setiap pentasnya bertema dan ada mesej tertentu. Ia bukan satu pentas biasa, daripada pemilihan tapak ke dekorasi, muzik dan sentuhan-sentuhan pencahayaan diadun oleh pakar dalam pelbagai bidang, malah pemilihan peragawati di runway-nya pun dibuat kadang-kadang ditempah setahun terdahulu; pakaian dibuat mengikut bentuk badan setiap seorang. Dan memang bukan mudah menjadi model kerana perlu tidak seinci pun berat badan boleh naik atau turun. Pereka membuat mengikut ukuran dan tidak boleh ditukar ganti. (Hendak juga saya menyebut, tolong tidak usahlah buat pertunjukan kalau kemut duit, dengan pentas pendek di venue amat tidak sesuai. Dan sedihnya ia mewakili nama Malaysia. Matrade perlu ambil perhatian, atau elok padamkan sahaja nama anda daripada menyokong pertunjukan seperti melepaskan batuk di tangga itu. Sampai bila pun minggu fesyen Malaysia tidak akan ke mana jika badan yang mengendalikan hanya fikirkan keuntungan diri sendiri.)

Pereka insan paling penting dan bintang pada setiap pertunjukan. Pereka dianggap Raja kepada fesyen.  Ya, bukan selebriti atau artis yang hadir pada sesi pertunjukan.  Berbeza dengan keadaan di sini, pereka menjadi insan kadang-kadang langsung tidak dipedulikan tambah pula apabila selebriti terkenal hadir. Di sana selebriti A list sekalipun seperti tidak dihiraukan. Saya sendiri pernah melihat Rihanna yang tidak dipedulikan dan Prince yang ketika itu masih hidup berjalan sendirian keluar dari tapak pertunjukan tanpa dikejar oleh peminat. Mata ini sendiri menyaksikan Priyanka Chopra selebriti Bollywood yang terpaksa juga berjalan jauh seperti kami mencari teksi untuk pulang, dengan tiada dikejar peminat. Sementara di belakang pentas jurugambar bagaikan tidak jemu mengambil gambar Karl Lagerfeld saat tamat pertunjukan Chanel di Paris dan Milan. Dirinya di kelilingi berpuluh-puluh media majalah, akhbar, stesyen-stesyen tv yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan temuramah dan gambar dan yang dikerumuni tetamu fesyen, bukan selebriti tetapi pereka itu.

Keutamaan front row diberikan kepada editor-editor dan kini beberapa blogger fesyen dunia. Hanya kebelakangan ini berapa selebriti diberikan baris depan kerana pengaruh fesyen mereka kepada dunia. Yang lain kalau pun hadir tidak tentu mendapat tempat duduk depan.

Seperti diberitahu ‘designers adalah king of the day’. Tidak semua media dibenarkan di belakang pentas. Ia dikawal rapi oleh pegawai-pegawai khas. Yang boleh masuk punya kad khas. Media sendat untuk menemuramah dan mereka ini paling ditakuti oleh pereka. Dulu zaman tiada blogger-blogger ada sedikit kelegaan buat mereka, kini dengan blogger juga diberi tempat istimewa, yang duduk di baris hadapan bersama editor-editor fesyen dunia, kehadiran mereka ini ‘menggerunkan’ si pereka. Ringkasnya si pereka tidak boleh buat silap, jika pentas mereka dikritik keras, alamat semusim itu nama dan bisnes mereka hancur. Dan untuk bangkit pada musim hadapannya juga terpulang, kadang-kadang disebabkan semusim dikritik teruk, pereka terpaksa gulung tikar.

Bagi saya ada tiga insan fesyen yang saya ingin sangat ketemu sejak mula terbabit dalam dunia kewartawanan ini; John Galliano, Donatella Versace dan Karl Lagerfeld. Dan saya tidak bermimpi, ketiga-tiganya saya dapat berjabat tangan serta bergambar. Galliano di Hong Kong pada satu event Dior terbesar pernah diadakan di kota itu. Teringat, tetamu mengenepikan celebriti A list.  Sebalik hanya mahu bergambar dengan Galliano walaupun yang hadir kala itu antaranya pelakon terkenal Charlize Theron. Saya bernasib baik kerana walaupun dikawal ketat saat saya yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar, diberikan ruang bergambar.

Dengan Donatella bertemu ketika Versace mengadakan pameran dan makan malam khas di Forbidden City di Beijing. Yang istimewanya kerana inilah kali pertamanya dalam sejarah negara China membuka ‘kota’ ini untuk tapak pertunjukan. Saya teringat sangat bila berdiri di sebelah Donatella. Kerana majlis santai dan eksklusif, saya diperkenalkan kepada pereka kontroversi ini dan sempat dia memberitahu saya yang dia memanjat tangga batu berlubang-lubang dengan kasut tumit tinggi lima incinya. Begitulah ketaksubannya dengan tumit tinggi.

Membaca berita kematian Karl Lagerfeld mengembalikan pula nostalgia saya dengannya. Berkesempatan tiga kali, dua di Milan pada pertunjukan fesyen Fendi. Masa ini saya diberi peluang ke belakang pentas bersama editor-editor hebat dunia seperti Anna Wintour dan sekali lagi di Paris untuk pertunjukan Chanel. Adalah bergambar, tetapi saya seorang yang memang jenis tidak menyimpan sangat.

Dikejutkan dengan berita pemergian lagenda fesyen Karl Lagerfeld,  pastinya satu kehilangan besar buat dunia fesyen. Berpuluh tahun insan berusia 85 tahun yang banyak kontroversi ini menguasai jenama agung ini seperti Chanel dan Fendi dan himpunannya sendiri Karl Lagerfeld, dia pengarah seni seumur hidup untuk ketiga-tiga jenama ini.

Saya teringat membaca satu rencana, katanya, “Chanel is an institution, and you have to treat an institution like a whore – and then you get something out of her.” Sebelum dia di’hired’ oleh Chanel, jenama ini sudah hampir hilang ‘nyawa’nya, fading into staid irrelevance, yang hanya mekar adalah himpunan pewangi dan alat soleknya. Beliau dengan berani mengubah strategi, dengan ketajaman mata seninya mengubah bukan sahaja nasib Chanel tetapi keuntungan jenamanya yang kini mencecah berbilion-bilion ringgit. Lagerfeld, penerima anugerah ‘The Medal of the City of Paris’ (2017), kerana banyaknya pertunjukan yang diselenggarakannya. Dia tidak pernah mahu pencen dalam dunia yang diminatinya dan meninggal ketika sedang rancak berkarya, hanya diberitakan tidak hadir pada dua pentas runway sahaja. Tidak syak lagi Karl Lagerfeld, ‘the most prolific designer of the 20th and 21st centuries’ Editor majalah Vogue Amerika menyebut ketika menyampaikan medal, The Most Outstanding Achievement Award di British Fashion Awards 2015 pernah menyebut, “More than anyone I know, he represents the soul of fashion: restless, forward looking and voraciously attentive to our changing culture.”

Sebelum Karl pergi dia pernah meninggalkan pesan, antara lain katanya, “People buy dresses to be happy, not to hear about somebody who suffered over a piece of taffeta. Me, i like to make an effort. I like nothing better than concreate reality. I’m down- to-earth person, but it is my job to make that earth more pleasant.”

Pemergiannya ditangisi, “I’m so heartbroken i almost don’t have words. The will never be another Karl Lagerfeld,” tulis peragawati terkenal Bella Hadid dalam IGnya. Daripada pelakon Keira Knightley, “This is such a great lost. He was a legend both as a man and a creative force. He will be sorely missed.”

Yang pergi tidak akan kembali tetapi yang pastinya seperti kata Vivienne Westwood, “Fashion is very important. It is life-enhancing and, like everything that gives pleasure, it is worth doing well.”

 

 

Gambar: Wan Izhar (ODS STUDIO)

Related posts

Cerita Kahwin

Wirda Adnan

Bila Berhijab

Wirda Adnan

I’m Annoyed By Fake Designer Bags And…

Wirda Adnan

Leave a Comment