EYE ME

Cinta Mendengar Cinta, Berkata Cinta, Melihat Cinta

Saat aku kehilanganmu, maka aku tidak akan jauh-jauh mencarimu. Tapi cukuplah aku mencarimu di dalam lubuk hatiku yang kamu selalu berada di situ

Cinta menjadi sepi, memutik sayu, syahdu, rindu, menitis air mata di bantal peluk beralas kain baldu, yang menjadi kesukaanmu. Yang belum sempat kering mahu dipakai lagi dan lagi, sehingga sudah koyak tidak dipeduli. Dan warna yang terang bertukar kelabu. Maaf hari ini aku terpaksa menukar sarungnya kepada yang baru melarikan diri daripada kenangan yang mengusik kalbu.

Dua bulan 10 hari, berbaki dua bulan lagi. Aku sedia menunggu di rumah yang kita sama-sama bina untuk membesarkan dua anak. Kau bukanlah suami yang memenuhi semua hasrat dan hajat isteri, jauh sekali berdua-dua ke sana ke mari. Tapi kau berikan aku ‘passport’ 24/7 tanpa soal. Alhamdulillah. Kau bukan pun ayah yang paling baik untuk mereka yang sewaktu kecil sering mengadu daddy garang, tetapi garangmu di mulut sahaja, belum sekali mereka dirotan, malah tiada sebatang rotan pun dimiliki. Begitu pun dengan merenung sahaja mereka sudah kecut perut dan sekali bersuara menusuk ke lubang jantung dan tidak lagi berani melakukan kesalahan sama. Dan hari itu aku melihat dua beradik mengemas-ngemas perkakas mu, dari satu laci ke satu laci, sambil itu sekejab sekejab mengelap air mata yang menitis. Merinduimu, akui Tisham, misses his father so much. “Ma, semua ini jangan diusik. Ma, jangan buang okay.. Tisham figured out what to do with all this. Barang-barang daddy ini berharga.” Tetapi sebenarnya mereka belum boleh menerima pemergiannya, almari bajunya pun tidak mahu diusik lagi, “biarlah dulu nanti kita akan sedekah pada yang memerlukan,” balas Imtiaz. 

Kau bawa cinta, rindu dan setia

Ya bila orang yang selalu bersama sudah tiada, dan pergi selamanya, tinggal kesalan, tinggal kehibaan. “Aku patut buat begitu, aku patut menghabiskan lebih masa dengannya, aku tidak seharus cakap macam itu, macam ini dengannya.” 

Kawan, kadang-kadang kita mengambil sesuatu hal itu sambil lewa. Cerita teman, ibunya teringin makan laksa Johor yang dia sendiri masak, tetapi, untuk menyiapkan hidangan seperti laksa Johor bukan mengambil masa sejam dua, paling kurang setengah hari… lalu dia ke kedai membeli sebungkus untuk maknya. “Mama makan yang ini dulu, nanti Bibah masak bila senang.” Seminggu, sebulan, dua bulan, tiga bulan telah berlalu, masih dia merasakan dia tidak ada masa untuk memasak makanan kesukaan si ibu, sehinggalah orang tuanya itu meninggal dunia. Dan kini sudah 10 tahun ibunya pergi, tetapi sesalnya tidak akan luput.

Tadi dia membuka cerita Laksa Johor, “You know my hubby sudah banyak kali minta I masak laksa Johor. Malaslah, I selalu memberi alasan dan alasan… “Jom kita beli aje, renyah membuatnya.” Kelmarin bila dia bercerita pada saya, pantas saya jawab, “You jangan menyesal untuk kali keduanya. Buatlah kalau itu yang boleh menggembirakan suami you.” Bercakap kepada orang yang baru kehilangan suami, panjang khutbah. Dia merenung tepat ke muka saya, “Betul Wirda, jangan pula I menyesal kali kedua.” “Kalau you sayang dia, kalau pun tidak selalu, sesekali tunaikan permintaannya.”

Cinta merupakan satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan antaranya, perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara perseorangan, rela berkorban untuk orang lain. Ia dapat ditunjukkan melalui perasaan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap.

Cinta adalah ibarat manusia, boleh berputik, lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta mendengar cinta, berkata cinta, melihat
cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci, cemburu, gembira, sedih, tenang, tertekan, ketawa dan menangis. 

Cinta mudah layu bila tuannya terlalu cemburu mahupun terlebih memerlu, terlebih merayu membuat pasangan boleh lemas, berakhir jemu. Maka itu beri ruang pasangan misalnya untuk ‘me time’nya; sedikit masanya untuk hobinya, untuk bersama rakan-rakan, untuk dia berehat, bersendirian, ya membuat apa yang dia suka. Seperti juga kita, ada masa kita mahu berehat-rehat dengan ibu dan adik beradik kita saja. Mahu bercerita kenangan lama mengusik jiwa, malah sesekali tidur dengan adik akak seperti zaman kanak-kanak. Kalau itu pun salah dan dilarang oleh sang suami, sudah tentu sang isteri kecil hati, kecewa. Begitu juga kekadang sang suami tidak boleh berada di sisi isteri, dan menunaikan semua kehendak dan permintaan isteri. Dan di zaman sains dan teknologi ini, zaman semua orang sudah pandai dan ada kerjaya, malah suri rumah sekalipun dia tidak sepatutnya dikongkong. Apatah lagi suami… ‘waste no more time arguing about what a good man should do.’ Sebagai isteri cuba fahami, dan jangan disebab kekurangan suami tidak dapat memenuhi kehendak itu dijadikan alasan demi alasan untuk merajuk, marah dan merasakan suami sudah tidak peduli, tak sayang lalu keluar rumah. Ingat, ‘the grass is not always greener on the other side of the fence’.

Cinta bukan untuk kita duduk dan menghadap mukanya sahaja. Saya teringat dibawa teman ke rumah kawan rapatnya. Sepanjang dua jam kami di situ, sang suami duduk satu korner, melayan perbualan kami sangat pun tidak, dan bangun kalau diminta isteri. Masa pulang kawan memberitahu, “Suami akak Sal itu baik sangat orangnya. Dia selalu bersama ahli keluarganya, melayan isteri bagai menantang minyak yang penuh, melayan mak dan ayah mentua dan adik beradik. You tengoklah tadi, dia tolong hidangkan kita, dan tengok tidak pula masuk campur dalam perbualan. I love that kind of man.” Setahun berlalu, kawannya itu meninggal dunia. Mengadu kepada saya, “Laki kak Sal itu jahat. Hari meninggal itulah sahaja hari dia ke kubur isteri dan sedih kerana tanah kubur masih merah dia sudah kahwin lain. Tak cukup itu, halau anak perempuan dan anak terunanya dari rumah sebab bini barunya tidak selesa ramai sangat orang di rumah.”

Begitu juga seorang teman, mak mentua, nenek mentua, oh sayangnya mereka kepada sang menantu sebab setiap kali anak datang ke rumahnya ditemani sang suami. Kenduri kendara dialah yang paling sibuk dan semua kerja beras.Tetapi yang mentua tidak pernah tahu dia tidak akan membenarkan isteri ke mana-mana kecuali dengannya. Satu hari nindanya tenat, suami di luar negara. Keputusan suami, tunggu dia sampai baru ziarah. Cucu hanya dapat tengok kubur yang sudah ditimbus tanah. Apa salah membenarkan isteri dan anak-anak balik dulu kemudian kamu menyusur? 

Cinta perlukan keikhlasan dan kesabaran yang setinggi-tingginya lebih-lebih lagi setelah berkahwin dan beranak pinak. Fikir masak-masak sebelum mengambil sebarang tindakan yang boleh mengguncang rumah tangga. Jangan bandingkan rumah tangga adik beradik dengan rumah tangga kamu, rumah tangga kawan dengan rumah tangga kamu, rumah tangga jiran dan sebagainya. Masing-masing punya latar belakang berbeza, keinginan, keutamaan, cara mengatur kehidupan hari-hari pun sama sekali tidak sama. Kamu sebagai doktor mungkin tidak mahu anak kamu jadi doktor, cukuplah kamu seorang sahaja yang tahu tahap tanggungjawab sedangkan pasangan pula merasakan alangkah hebatnya satu keluarga itu doktor. Begitulah kamu dan dia punya kehendak tidak sama dan penilaian tentang kehidupan pun berbeza. Sebaiknya cuba fahami dan berlaku adil, kerana tiada satu manusia pun sempurna kecuali Rasulullah yang telah dibelah jantungnya oleh Jibrail as.. Baginda maksum. 

Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang pasangan kamu mahu. Mereka percaya jika itu tidak berlaku, maka cinta itu tidak tinggi nilainya. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika kamu beri semua yang dia mahu, apakah yang tinggal pada kamu? 

Aku,
Waktu terus berlalu
Tanpa kusedari yang ada hanya aku dan kenangan
Dan cinta yang tidak berbagi
Masih teringat jelas
Senyuman terakhir yang kau berikan untukku

Aku,
Terus berjalan
Terus melangkah
Kuingin kutahu engkau ada
Berjalan di batas dua dunia – Dewi Lestari

Related posts

Sebuah Kisah Cinta

Wirda Adnan

Wirda – Time For New Beginnings

Wirda Adnan

Cerita di Wad Kecemasan

Wirda Adnan

Leave a Comment