EYE ME

Cinta Adik Beradik

Like branches on a tree we grow in different directions yet our roots remain as one. Each of our lives will always be a special part of the other.’

Terkesan sekali membaca kisah seorang budak lelaki tujuh tahun mengendung adiknya dua tahun. Diletaknya si adik di atas meja tulisnya di sekolah, sambil dia belajar. Katanya nenek (tidak pula diceritakan di mana ibu dan ayahnya) terpaksa keluar berkerja dan tiada siapa yang boleh ditinggal menguruskan adiknya, sedangkan dia tidak mahu tidak ke sekolah. Mengalas satu tanggung jawab yang besar bagi budak tujuh tahun, dan pastinya juga kerana kasih sayang. Peristiwa ini terjadi di Filipina.

“Berbaik-baiklah pada adik beradikmu, mereka adalah hubungan terbaik kamu di masa lalu dan akan selalu bersama kamu di masa hadapan.” Baz Lurhmann.

Ya, sebelum kamu mencintai suamimu, anak-anakmu itu, kepada siapakah terlebih dahulu dihulurkan kasih itu? Kepada ayah dan ibu kamu, betul, dan kemudian siapa? Tentulah yang bukan anak tunggal cintanya kepada adik beradik. Benar kita belajar mengenai cinta dengan mereka dan mengenal cinta daripada mereka. Kita belajar berkongsi apa sahaja: makan minum, pakaian, berbagi kerja rumah, berkongsi cerita dan banyak lagi bersama-sama. Di bawah satu bumbung kita belajar erti kebahagiaan, erti kesedihan, kesusahan, suka dan duka waima jika hidup juga penuh dengan kemewahan pun, kita belajar bagaimana untuk mensyukurinya. Kita tidur di bilik sama malah sekatil. Semasa kecil mandi pun bersama, begitulah eratnya hubungan itu.

Sepuluh beradik, tiga lelaki dan tujuh perempuan. Kami diibesarkan dengan serba kekurangan tetapi mencukupi segalanya. Ini kerana kami sejak kecil diajar untuk berkongsi apa sahaja, dan jangan berdengki. Baju sekolah pun berkongsi kalau muat atau dibagikan kepada adik-adik jika masih boleh digunakan. Tiada ada satu pun milik sendiri; buku sekolah jika masih diguna pakai akan digunakan oleh adik-adik seterusnya. Ya sebiji epal dipotong empat atau lima dan dibagikan sama rata. Dan banyak lagi perkara dalam hidup seharian dibuat bersama. Bila bersama-sama ia menambah erat dan mengekalkan kasih sayang. Sudah tentu ada masa bermasam muka, bertegang urat, sehari dua tidak bertegur sapa tetapi sudah duduk bersama waktu makan, naik bas ke sekolah bersama, berjemaah waktu solat dan tidur sebilik, bergaduh pun tidak mungkin boleh lama.

Masa berlalu, masing-masing ada hala tuju, tidak selalu dapat ketemu. Namun bila ada kenduri kendara setiap seorang tahu tanggungjawab apa yang perlu dipikul. Sekali diberitahu akan ketetapan tarikh dan agendanya, tidak perlu pun dihantar kad undangan, atau bila masa bertandang dan sebagainya kerana si abang tahu peranannya, kakak dan adik juga dengan urusan mengikut kepandaian dan kepakaran diri. Yang menghias pelamin, yang mengisi bekas telur, memasak dan sebagainya, adik beradiklah yang mengalas tugas-tugas penting ini termasuk menyambut dan melayan tetamu. Menyusul pula waktu bertandang, adik beradik jugalah yang mengisi ruang tetamu orang sebelah, yang menjadi wakil keluarga dan sebagainya. Betapa pentingnya persaudaraan ini. Orang juga menilai sesebuah keluarga daripada adik beradiknya, elok perangai si abang atau kakak, inshaAllah adik-adik yang lain pun begitu biasanya.

Betullah pisang yang setandan tidak masak sekali kerana mungkin ada yang dimamah tupai, juga ada yang barangkali busuk. Namun apa pun dalam masa senang dan sukar, suka dan sedih, adik beradik masih tetap bersama. Memang lidah dan gigipun ada kala tergigit inikan adik beradik. Pertalian darah daging itu tetap tidak akan terungkai semudah itu… kasih dan sayang tetap termenteri biarpun pernah dipukul oleh badai dan ombak. Air yang dicincang tidak akan putus, kerana baik buruk dia, dia tetap adik beradik. Cinta kepada adik beradik cinta semula jadi, sejati dan tidak ambil hati. And when sister and brother stand shoulder to shoulder, who stands a chance against us?

“We always fight, but we’ll always make up as well. That’s what sisters do. We argue, we point out each other’s, frailties, mistakes and bad judgment, we flash the insecurities we’ve had since childhood, and then we came back together, until the next time.” Lisa See.

Emak dan ayah pun sudah tiada, dan kita adalah wakil untuk orang tua kita. Kita sebagai contoh kepada anak, menantu, cucu-cucu dan sepupu-sepupu. Kalau kita tidak sebulu maka tiada kata-kata ‘love you’, dan hidup menjadi tidak beautiful.

Being sister and brother means being there for each other. A gift to the heart, a friend to the spirit, a golden thread to the meaning of life. Saudara itu sedekat tangan dan kaki. Dialah satu-satu orang yang tahu bagaimana rasanya dibesarkan seperti dirimu.

Percayalah, merekalah yang tidak pernah henti berdoa untuk kita, sekalipun mereka tidak pernah memberitahunya. Lima kali sehari doa restu dipanjat untuk kebahagiaan adik beradiknya. Percayalah, selain ibu dan ayahnya, suami/isteri serta anak-anaknya kesejahteraan adik beradik adalah doa yang tidak pernah ditinggalkan.

Ya Allah Ya Rabb

Jadikan kami adik beradik,

Yang akan tetap bersama di dalam syurgaMu kelak,

Sesungguhnya aku amat menyayangi mereka, duka mereka, dukaku juga, bahagia mereka bahagiaku juga.

Ya Allah,

Kau rapatkanlah hubungan kami adik beradik,

Rahmatilah kami, ampunlah dosa adik beradik kami,

Teguhkan jambatan iman kami dan jauhkanlah kami daripada sebarang sengketa dan malapetaka. Aamin ya Rabbal Alamin.

Apakah ganjaran kepada adik beradik yang saling menyayangi?
Selain daripada mendapat keredhaan ibu bapa, mereka juga akan mendapat keredhaan Allah SWT.  Dilakarkan dalam satu hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Pada hari kiamat kelak, arasy Allah dikelilingi kerusi-kerusi yang sangat mulia. Sahabat bertanya siapa yang akan dapat duduk di kerusi tersebut. Lalu jawab Rasulullah, “Mereka adalah adik beradik yang saling menyayangi antara mereka.”

Begitulah mulianya tempat yang Allah akan beri kepada adik beradik yang saling berkasih sayang.

Related posts

Nasihat Tahun Baru

Wirda Adnan

The Future Starts Today, Not Tomorrow

Wirda Adnan

Saya Cantik

Wirda Adnan

Leave a Comment