Jangan Kedekut Mencantikkan Diri

Beauty has always been costly. Ya untuk memenuhi keperluan cantik, melicinkan dan menegangkan kulit, membuatnya putih berseri, dan solekan terletak cantik, bibir berukir indah, pipi bagai pauh dilayang dan yang lain-lainnya belum termasuk perhiasan yang lain sudah tentu memerlukan belanja yang banyak. Namun apakah anda akan berhenti melakukan kerana tidak mahu membazir wang? Apakah anda rela untuk membenarkan kulit muka kering mengelupas, bawah mata hitam bagaikan wang 50 sen tertampal padanya, bibir pucat lesi, badan sudah mengalahkan tong dram?

Sebagai wanita dalam apa pun keadaan cuba pastikan yang anda tidak mensia-siakan kurniaanNya, Cantikkan diri, ya luangkan sedikit masa untuk diri sendiri. Jangan biarkan wajah kereput dek tidak berjaga dan membenarkan diri dilihat jauh lebih tua daripada usia sebenar.

Sering kita akan memberi alasan tiada masa, letih dan malas kerana banyak hal lain yang mahu difikirkan; hal kerjaya, anak, suami, menjaga ibu dan ayah dan seribu macam alasan. Tetapi saya mahu bertanya anda, kalau anda sendiri tidak menjaga wajah, bentuk badan dan penampilan anda, bolehkah orang lain melakukan untuk anda?

Fikirkan, bila diri sudah gedempol, apabila wajah mengerutu dan bintik hitam mewarnai wajah, di bawah mata sudah ada  guli yang tertampal di atasnya, tiada orang lain dapat membantu, Hah, you’re the one who suffer, you are the one to be blamed for your own bad habit. Berapa ramai yang bangun menyebelahi anda, dan memuji yang anda menjadi begitu kerana terlalu sibuk melayan keluarga, sehingga tiada masa dengan diri sendiri? 

Percayalah kalau anda sudah tidak lagi sedap dipandangan mata sang suami, kalau pun dia tidak mencari perempuan lain, dia masih tidak mahu beri credit malah tetap menyalahkan anda yang tidak pandai bersolek berdandan, berdiet dan sebagainya. Malah, dia masih tidak boleh menerima hakikat si isterinya, pada usia 30-an sudah macam nenek 60-an, yang 40-an, dia akui sudah tidak berselera menyentuhnya. Sedihkan?

Adik, kakak, kawan-kawan ku di luar sana, fikirkan juga tentang diri. Sesibuk mana pun adakan masa untuk melayan diri sendiri. Luangkan 20 ke 30 minit daripada masa 24 jam sehari hanya untuk diri. Bercerminlah, berbedak dan berginculah pada masa yang sepatutnya berbuat demikian.  Pakailah baju cantik, kasut dan belilah tas tangan berkualiti. Mengapa tidak asal tidak keterlaluan?

Jagalah penampilan kerana kita wanita. Selagi kita masih mampu bangun dan duduk sendiri, selagi kita masih boleh berjalan dan membawa kereta dan ke sana ke sini, selagi kita mampu keluar bekerja dan tiada halangan untuk mencari pendapatan setiap bulan, selagi itu kita cubalah meraikan diri. Layan kehendak hati, tiada salahnya berbelanja untuk diri setelah penat lelah bekerja.  ‘Sedekah’ wang anda itu kepada tukang urut, kepada pakar kecantikan untuk kerjanya di salon dandanan dan kecantikan yang ditugaskan membelai wajah anda. Biar si tukang facial menggunakan kepakarannya membantu untuk menegangkan kulit anda. Rawat wajah dengan produk-produk yang terbukti keberkesanannya. Dengar si gadis kaunter yang cuba menerangkan kepada anda akan teknologi terkini dalam dunia kecantikan dan mengapa anda harus memilikinya? If anyone tells you not to buy a new makeup, stop talking to them, you don’t need that kind of negativity in your life…

Bergaya dengan baju dan kasut baru. Tidak mampu ke Dior, beli Zara. Tidak mampu Zara beli kain di Kamdar dan jahit sendiri. Tidak tahu menjahit, belajar, kalau hendak berjimat sangat. Yang penting kamu cantik, lawa.. bergaya dan dilihat cantik. Ini semua membuat diri lebih yakin dan berani. Bila ramai memuji daripada mengeji bererti anda punya personaliti yang elok untuk dicontohi. Never underestimate the power of red lipstick and high heels.

‘Ubat-ubat’ cantik di kaunter memang banyak dan bijaklah memilih. Duit menjadi tidak bernilai kalau ia tidak digunakan. Duit menjadi habuk andai dibiarkan berkepok-kepok di bawah bantal dan tidak digunakan. Sayang, ramai wanita pandai  cari duit, tetapi tidak pandai menggunakan kepada jalan yang betul. Yang sedihnya kedekut tidak tentu fasal pada diri sendiri.

Saya teringat cerita seorang teman, memberitahu yang sepupunya punyalah banyak wang, tetapi bajunya jarang sangat bertukar ganti. Gincu dan bedak yang dimiliki katanya sudah seusia anaknya 10 tahun, Produk cantik itu, tak habis-habis, katanya. Masakan hendak habis kalau tidak dipakainya. Pewarna matanya hanya satu warna, yakni biru dan sebulan sekalipun tidak nampak dia menggunakan. Dia tidak kenal pun cleanser, toner, moisturiser, jauh sekali serum, krim siang  mahupun krim malam.

Yang membuat dia bercerita, dan sedih mendengar cerita itu,  sepupunya sewaktu hayatnya memakai baju baru hanya apabila dibeli oleh suami. Gincu dan bedak juga diminta belikan. Katanya semua itu tanggung jawab suami kepada isteri. Lalu duitnya sebagai pegawai kerajaan digunakan untuk apa? Hal rumahtangga semua urusan suaminya menyediakan. Duit sekolah dan pakaian anak tidak syak lagi tanggung jawab suami. Pernah katanya, duit suami duit dia, duit dia duit dialah.  Maka semua duit-duitnya itu dimasukkan ke bank. Setiap bulan dia menghantar duit ke bank, dan dia tidak jemu untuk menyelaraskan buku bank-banknya.

Duit dia di bank lebih RM700 ribu tidak termasuk saham-saham, wang simpanan pekerja dan yang lain… Dan tanah serta ada juga beberapa utas emas.

Si teman menamatkan cerita sepupunya dengan linangan air mata. “Sepupu diserang angin ahmar,  dan meninggal dunia.”

Wang menjadi milik suami dan anak-anak. Suami berkahwin lain, dan dengan wang simpanan arwah isteri dia berkereta baru, membina banglo, dan membawa isteri baru tinggal di banglo mewahnya.

Sengaja saya membawa cerita ini memberitahu, jangan kita sampaikan kedekut untuk mencantikkan diri kita, dan akhirnya yang enjoy dengan duit kita orang lain. Isteri muda yang tidak sebeberapa muda berbelanja duit suami untuk mencantikkan diri supaya dia sentiasa muda di hadapan suaminya. Kata teman, “rupanya dia menyimpan duit untuk isteri muda sang suami.”

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON