EYE ME

Merdekakah Kita?

Bulan Merdeka, bererti juga tidak lama lagi angka usia akan bertambah. Pada usia ini apa yang sebenarnya kita amat mahu? Kesihatan yang baik, yang dapat bebas ke sana ke mari tanpa bantuan sesiapa. Ekonomi keluarga kukuh, tidak perlu clock in clock out setiap hari. Dapat menghabiskan waktu bersama ahli keluarga dan yang paling penting menggunakan sisa-sisa waktu untuk membanyakkan ibadah. Persiapan ke alam akhirat tidak boleh ditangguh. Syukur sekali kerana Allah memanjangkan usia dan sempat memberikan lebih tumpuan ke sini, membetulkan ibadah, mengaji, bertadabur, mengerjakan lebih perkara sunat bagi menampung zaman ‘jahiliah’ dulu, semoga Allah menerima ibadah kita, aamiin.

Menyebut merdeka, apa di dalam fikiran? Ya kebebasan mutlak; negara tidak dijajah, hidup bisa diraikan tanpa gangguan daripada ancaman dari dalam dan luar negara. Namun kebelakangan ini apa yang amat menyedihkan terlalu ramai yang menggunakan kuasa bebas itu untuk memporak-peranda keamanan negara. Politik tanah air sungguh menjijikkan, ramai hilang sopan dan tidak bermaruah menabur fitnah, menghina, menipu. Rasuah kian menjadi-menjadi dan dibuat terang-terangan. Pemimpin bercakaran sesama sendiri dan bermusuhan tidak berkesudahan dan menikam dari belakang tidak kira sahabat atau darah daging sendiri. Mereka lupa bangsa dan agama. Yang konon tinggi ilmu agama, bersekongkol dengan perasuah, penzina, penipu, pengkhianat. Mereka yang sepatutnya bertindak sebagai penasihat atau pembela agama sudah dirasuk ‘dajal’ membenarkan kezaliman di depan muka. Asal menguntungkan mereka dengan wang berjuta-juta sebagai habuan bersekongkol, langsung hilang maruah menghalalkan yang haram sehingga lupa pada satu masa dahulu, merekalah yang bermati-matian konon menegakkan syiar Islam. Kerana syaitan sudah merasuk, mereka lupa bahawa pengkhianatan wajib ditentang, sebalik sebagai contoh duduk semeja makan besar dan lupa wang itu adalah wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk pelbagai keperluan negara. Ya rakyat memerhati.

Satu ketika orang Melayu ini terkenal dengan beradab, sopan, lemah lembut, takut kepada kezaliman. Berpolitik ya, mengapa tidak demi kesejahteraan negara dan demi hari depan anak cucu cicit kita. Kerana tamak, angkuh, mahu berkuasa selamanya supaya dapat membolot apa yang ada, maka tidak hairanlah ada yang sanggup menggadai maruah diri. Rakyat diperbodohkan dengan mereka cerita dongeng. Rakyat juga diumpan dengan sedikit wang saku untuk menutup mulut. Bukan setakat tutup mulut tetapi sanggup berhimpun dan berasak-asak menyokong bekas pemimpin yang sudah pun didapati bersalah. Dan pemimpin yang berkuasa cuma melihat, tersengih bahawa usaha mereka memecahkan belahkan rakyat telah pun berjaya. Yang sedihnya semua angkara kezaliman yang penuh dengan tipu helah dilakukan oleh orang Melayu sendiri. 

Sungguh, enam puluh tiga tahun merdeka menjadi sampah yang busuk. Pemimpin-pemimpin sudah hilang akal sehingga sanggup melakukan tebuk atap demi kepuasan nafsu untuk berkuasa selagi boleh, kerana kalau kamu sudah di situ, sudah pegang kuasa, kamu boleh terus melonggok harta kekayaan untuk keturunan kamu-kamu sahaja.

Malang sekali pada enam puluh tiga tahun merdeka, negara majmuk berbilang kaum dan agama tidak lagi mahu bersatu dan untuk berharmoni sebaliknya menimbulkan pelbagai angkara yang boleh meretakkan keharmonian, malah menghancurkan kedamaian. 

Rakyat memerhati. Yang tamak tidak kisah bersekongkol, yang bijak pula cuba menarik mencipta pelbagai tipu helah supaya orang yang kurang akal ini akan bersatu menyokong. Negara yang sepatutnya aman selepas PRU14 diluap-luapkan dengan api kemarahan. Yang bongok menjadi tali barut kepada mereka yang bijak dengan sedikit umpanan untuk mereka menegakkan benang yang basah.

Ekonomi negara kian meruncing. Hutang negara bertimbun timbun sehingga anak cucu cicit pun belum habis untuk dibayar. Malaysia yang punya pelbagai sumber alam yang Allah kurniakan daripada bumi yang subur dan lautan yang bernilai seperti minyak, dicemari oleh kuasa-kuasa mereka yang tamak. Rakyat yang menderita.

Sebagai anak merdeka, aku sangkakan negara akan terus aman dan kita bersama-sama akan menikmati pertumbuhan ekonomi, supaya dapat diagihkan sama rata, supaya anak cucu dapat terus hidup maju. Hari ini apa yang kita nampak adalah kian hari kian malap, kian hari kian tersungkur kita-kita yang tidak punya kuasa, yang hanya mencari wang menggunakan kepandaian ilmu yang ada. Benar, kelembapan ekonomi menambah kepada tingginya indeks pengangguran. Anak-anak kita yang tamat pengajian yang mengharapkan untuk berdikari terpaksa lagi duduk di bawah bumbung ibu bapa, itu pun kalau bumbung mereka tidak tiris dan dimakan anai-anai. Ayah ibu yang ingat mereka boleh tidak lagi membanting tulang empat kerat, nampaknya terpaksa terus bekerja sehingga tua dan sehingga tidak berupaya lagi bergerak. 

Kamu yang di sana yang berkuasa, mana adab dan tata susila? Kamu lupakah rakyat menyokong kamu untuk kesejahteraan semua tetapi kamu sodok pintu dari belakang lantas meninggalkan rakyat yang terkial-kial memikirkan apa akan jadi seterusnya. Dengan harga segalanya melambung untuk makan ikan kembung pun tidak mampu, tetapi kamu-kamu boleh ketawa menghadap meja dengan lobster dan aneka hidangan yang mahal yang mana wang itu boleh menampung ratusan rakyat susah seminggu dua. Di mana kamu letak akal dan akidah kamu, konon kamu lakukan untuk membantu rakyat, sebaliknya rakyat yang miskin inilah yang membantu membesarkan periuk nasi kamu?

Sedih, yang paling saya sedih adanya yang Allah berikan akal dan ilmu yang tinggi, tetapi tidak tahu membezakan antara betul dan salah. Diakui oleh orang yang bersubahat, bukan kami tidak tahu benda itu salah, tetapi inilah peluang keemasan. Kalau tidak disokong mana mungkin aku duduk di belakang kereta mewah tidak lagi memandu, anak bini aku senang lenang. Kalau disokong puak-puak yang membangkang kerajaan, apakah mungkin dapur boleh berasap lagi dengan segala kemewahan diisi di dalamnya.

Merdekakah kita lagi, oh tidak kerana si penentang untuk kemakmuran dan kedamaian serta keselesaan rakyat jelata diheret ke mahkamah, dihina difitnah. Bebaskah kita mencari rezeki kalau sumber rezeki itu telah terpadam. Bebaskah anak cucu kita untuk mencari rezeki jika pejabat-pejabat kerajaan dan swasta khasnya tidak lagi membuka peluang kepada mereka, waima untuk ‘intership’ sekali pun. Anak kawan saya yang mendapat markah tertinggi dalam ujian guamannya sukar untuk mendapat tempat latihan, ini belum untuk mendapatkan kerja tetap dan ini belum bagi yang lulus cukup makan, di mana hendak diletakkan sijil kelayakan kalau tiada yang mahu menerima? Lagipun syarikat-syarikat itu sendiri menghadapi kesukaran dan ketidakcukupan untuk menambah pekerja. Lantas yang tidak dibuang kerja terpaksa membuat kerja-kerja orang lain kerana syarikat telah mengecilkan bisnes. Maka jam tiga pagi pun masih diminta untuk menyiapkan kerja untuk mesyuarat esoknya. Hari minggu pun dipanggil untuk bekerja.

Seyugia sehingga bila rakyat akan menderita? Kami sendiri merasai sesak dan tenat untuk mendapatkan iklan, malah belum buka mulut sudah diterangkan kerugian yang dialami, maka terloponglah, menunggu kalau-kalau ada rezeki di tempat lain. Begitu di tempat yang lain juga jawapan yang sama.  Dengan ekonomi negara yang tidak stabil ditambah dengan virus Covid-19 yang belum menampakkan akan hapus, selagi itulah sebahagian rakyat akan menderita. 

Merdekakah kita? Atap yang mana lagi mahu ditebuk? Lanun-lanun mana pula yang sudah bersedia dengan parang dan tukul untuk membolehkan mereka meloloskan diri? Rakyat memerhatikan…

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Insan Yang Bergelar Bapa

Wirda Adnan

Saya Dan Sosial Media

Wirda Adnan

Be HAPPY… And You’re Beautiful

Wirda Adnan

Leave a Comment