Salam 2023. Saat rencana ini ditulis (5.1.2023) saya mencuri masa untuk memaklumkan kepada kalian bahawa saya hari ini berasa amat gembira. Empat tahun lalu di wad sama Hospital Columbia ini, kami buat pertama kali menerima kehadiran cucu lelaki. Kini di wad sama bersama anak menantu dengan penuh syukur menyambut cucu kedua. Sudah pasti kehadiran sang puteri ini menambah keriangan. Maka keinginan untuk memiliki cucu perempuan direstui, terima kasih Allah mengurniakan cucu perempuan yang sempurna tubuhnya, (saat ini belum diumumkan nama, biarlah si ayahnya sendiri nanti yang akan memaklumkan namanya nanti.) Yang pasti opah ini amat gembira, sudah ada sepasang cucu lelaki dan perempuan, alhamdulillah. Semoga dilindungi Allah daripada sebarang kesakitan.
There’s nothing like the love of a grandmother. Not every grandma bakes cookies, but it’s safe to say that all of them hold a level of wisdom that can guide us all through life. Our grandmas help to mold our parents into the people they are and do the same for us.
Ya, air mata saya mula mengalir, terkenang kasih sayang opah yang tidak terhingga kepada cucu-cucunya. Opah melayan kami bagai anak sendiri, dua daripada adik saya diambil dan dijaga sepenuh masa kerana mak tiada pembantu untuk menguruskan lapan lagi, Begitu opah dan tok yang bukan sahaja memenuhi tanggung jawabnya sebagai ‘ibu dan ayah angkat’ dengan memberi pendidikan akhirat khasnya. Hari-hari minggu kami bila tidak bersekolah akan dipenuhi dengan pelbagai ilmu agama yang mana memang tok adalah guru agama yang singgah dari madrasah ke madrasah dan dari masjid ke masjid untuk mengajar, di rumah opah juga mengambil alih mengajar quran dan sebagainya. Didikan daripada opah dengan penuh kasih sayang membuat anak cucunya tidak hilang arah. Sudah tentu sebagai ibu juga dia bertanggung jawab mendidik setiap anaknya menjadi insan yang berhemah. Anak-anak melihat dan mengikut contoh ibu bapa dan datuk nenek mereka, andai terpesung kepada didikan yang tidak berlandaskan iman dan islam, akhlak anak cucu pasti juga terpesong. Bersyukur sangat kerana dibimbing dan dididik dengan baik oleh tangan-tangan yang dimuliakan oleh Allah, alhamdulillah.
Namun tidak semua mendapat rahmat sedemikian. Saya terpaksa mencoret kisah ini sebagai peringatan dan teladan, dan perlindungan untuk semua. Seminggu sebelum ke hospital saya menziarahi kawan lama, bercadang untuk meneroka bidang yang diselenggarakan.Bertahun-tahun tidak berjumpa dan kami terbawa kisah biasa pendidikan anak dan tanggungjawab ketua keluarga. Entah bagaimana mendalaminya dia tetiba tersedu-sedu, dan air matanya mengalir laju membasahi pipi. Nauzubillah. Ceritanya amat menguris hati dan perasaan, ceritanya terlampau dahsyat untuk saya yang mendengar menelannya. Siapa sangka ibu ini yang senyumannya tidak putus dari bibir menyimpan rahsia teramat sakit untuk ditelan dan diluahkan. Saya meringkaskan cerita ini hanya dengan memberitahu betapa kejamnya seorang atuk dan kemudian suaminya sendiri (ayah anak-anaknya) yang sanggup mempekosakan dua anak perempuannya dan cucu sendiri. Begitulah adanya manusia jijik yang belajar tinggi menjawat jawatan besar di kolej terkemuka, tetapi tidak bijak mengawal nafsu, melaknati janjinya kepada Allah sebagai penjaga kepada darah daging sendiri. Sekejam ayah dan atuk, tidak mereka sanggup menodai darah daging sendiri. Maaf saya terbawa cerita ini kerana seminggu saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan teman yang rahsianya itu disimpan ketat selama bertahun-tahun, “Saya pun tidak tahu mengapa hari ini saya ‘tergamak’ membuka pekung di dada. Malu saya kak punya bekas suami yakni ayah kepada anak-anak saya sendiri dan datuk mereka juga mengambil kesempatan untuk berbuat demikian,” katanya.
Begitulah dahsyat dan tidak keperimanusian manusia yang baginya lebih busuk daripada babi-babi di kandang. Ingat kita bukan hidup di zaman jahiliah. Semoga ‘babi-babi’ ini sedar, dan bila kamu tua nanti dan bila anak-anak tidak mempedulikan kamu, baru kamu tahu rasanya apa itu kasih sayang yang sebenarnya. Kalau mereka tidak mempedulikan kamu dan membiarkan kamu keseorangan merempat, melarat dan makan taik sendiri, itulah balasan di dunia daripada kekejaman yang telah kamu lakukan. Ya, tiba masa, yang di luar sana yang belum insaf dan masih menjalankan kerja kotor ini, sedar bahawa Allah akan membalas kejahatan kamu saat mata terbuka lagi..
Kepada ibu bapa yang baru mendapat anak saya bertemu dengan doa ini, untuk dijauhkan daripada syaitan dan musuh-musuh terutama musuh di dalam rumah sendiri.
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لامَّةٍ
“Aku berlindung kepada Allah untukmu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, daripada syaitan, binatang yang berbisa dan ‘ain yang menimpanya”. Hadis Riwayat Al-Bukhari 4/119. (Inilah doa Rasulullah SAW untuk perlindungan cucu kesayangannya Hasan dan Husin} dan elok kita juga amalkan setiap hari dengan penuh keyakinan.
Dua ribu dua puluh tiga, syukur, doa rakyat supaya ekonomi negara lebih stabil kian menemukan cahayanya dengan pola politik negara yang agak memberangsangkan. Diharap agar 12 bulan dan hari hari mendatang yang bakal dilayari ini akan membawa hikmah dalam kehidupan kita. Untuk itu saya mengajak anak-anak saya khasnya, dan kalian juga supaya bekerja lebih keras, give your best, dream big, never give up, and focus, do what you love, sayang. Ingat, stres terjadi daripada perlakuan kita sendiri, maka betulkan sikap dan buang tabiat buruk itu. Kalau bangun tidur waktu matahari sudah terpacak, rezeki pun sudah melayang jauh disambar orang lain, yang sudah keluar mencari rezeki sejak fajar menyinsing sedangkan kamu masih dibaluti selimut.
Satu hal yang saya paling kecewa melihat anak-anak muda (termasuk anak-anak saya sendiri) yang berjaga hingga jam tiga ke empat pagi (terutama hari minggu dan tidak ke pejabat), di tangan masih leka melayan telefon/laptop. Dan saat ayam berkokok menandakan subuh, waktu itulah mereka menepuk bantal dan menarik selimut. Ya Allah mana berkatnya hidup bila solat subuh terlepas? Ingat masa muda yang sudah berlalu tidak mungkin boleh dikembalikan, dan begitu pula hari-hari yang telah lewat.
Saya teringat mendengar keluhan seorang teman mengenai anaknya, “Mana tidaknya badan sakit selalu, waktu orang tidur dia berjaga, waktu orang jaga, dia tidur. Waktu makan tidak menentu, waktu solat langsung tidak tahu dan waktu berlalu dengan hidupnya tidak menentu. Lalu marah kepada hidup yang susah, marah kepada keadaannya yang tidak punya kerja tetap dan tidak dibayar gaji yang sepatutnya. Tetapi dia lupa dirinya yang tidak menyempurnakan amanah Allah.” “Tak tahu bila dia hendak sedar diri, umur sudah 30-an dan anak pun sudah empat tetapi masih di takuk lama. Anak-anak melihat, dan menjadikan ia contoh. Bila anak gagal, siapa yang mahu dipersalahkan? Aku cuma nenek yang hidup pun atas ihsan suami yang bukan pun ayah kepada anak dan atuk kepada cucu. Bila dia tiada siapa yang mampu menolong? Ingat anak-anak oii…”
Anak-anakku, keberkatan rezeki jua dapat dilihat apabila kita berasa mudah untuk melakukan amal kebaikan seperti solat, sedekah dan ringan membantu orang lain. Ingat juga keluarga yang bahagia bermula dengan rezeki yang baik dan berkah. Jika perangai ahli keluarga kita baik dan harmoni, ia petanda akan keberkatan rezeki. Pendapatan yang haram seperti hasil rasuah hendaklah dielakkan kerana ini boleh menganggu keberkatan rezeki dan kehidupan seharian. Bagaimana Allah hendak makbulkan doa sedangkan kita sendiri lupa kepada Yang Maha Memberi?
Ibu dan ayah, tentu kamu mahu melihat zuriat mu cemerlang dunia dan akhirat. ingatlah rezeki yang berkat melahirkan insan yang bertakwa dan taat kepada Allah dan RasulNya.
Di kesempatan bulan baru di tahun baru ini saya mengharapkan yang terbaik sahaja yang akan singgah di muka pintu kita semua. Doa kepada kebahagiaan, doa kepada kesejahteraan dan kesenangan dan doa untuk dijauhkan segala malapetaka yang menimpa kita, ahli keluarga, jiran tetangga dan rakyat di negara yang kita cintai ini.
May all the passing seconds, minutes, hours, days, weeks, and months of this New Year bring you immense joy and luck! Happy New Year.”