EYE ME

The Future Starts Today, Not Tomorrow

Bila insan yang sepatutnya hadir untuk photoshoot tidak juga muncul. Bila deadline sudah melebihi hadnya. Bila saya mesti melakukan sesuatu.

Sedih, ya. Marah, oh tidak. Kerana saya sudah lama membuang sifat-sifat seperti marah, sakit hati, kecil hati dan sifat-sifat yang membolehkan hidup saya jadi tidak selesa dan tidak tenteram. Saya belajar memahami, belajar bersabar, belajar mencari kebaikan daripada sesuatu tindakan yang tidak menyenangkan atau membantutkan pemikiran. Saya lebih memikirkan yang positif sahaja; dia tidak hadir mungkin kerana dia sakit, atau kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan atau dia tiba-tiba malu untuk melihat dirinya di cermin dan takut berhadapan dengan kamera atau tidak mahu wajahnya menjadi tatapan jutaan pembaca. Memang dia langsung tidak menghubungi untuk memberitahu; mungkin nombor telefon saya hilang bersama dengan telefonnya yang juga hilang. Seribu kemungkinan, saya tidak tahu dan tidak kisahlah, waktu sudah berlalu. Tidak perlu difikirkan kenapa dan mengapa. Kerana banyak lagi hal-hal yang lebih penting untuk kita hadapi hari ini, esok dan seterusnya. 

“Maafkan dia yang sedang berbuat kesalahan dan jangan sekali-kali mencelanya.” Imam Ghazali. (Penyebab wajah cucu saya Mohamed Sheraaz Hisham menjadi hiasan bulan ini, tetapi bertepatan pula dengan tajuk, Alhamdulillah).

Hari ini kamu mungkin dikecewakan, namun usah berdengus, usah merampus, usah memaki hamun mengeluarkan kata nista. Untuk mendapatkan apa yang kamu suka, pertama kamu harus sabar dengan apa yang kamu benci. Dan lagi nasihat daripada Imam Ghazali, “Bila kamu membalas orang yang menyakiti hatimu, dunia jadi tidak bisa melihat perbezaan antara kamu dan dia, maka tetap lah menjadi orang baik.”

Saya teringat membaca memoir mengenai Mahatma Gandhi. Dia menyebut, “Keep your thoughts positive because your thoughts become your words. Keep your words positive because your words become your behavior. Keep your behavior positive because your behavior becomes your habits. Keep your habits positive because your habits become your values. Keep your values positive because your values become your destiny.” Ya, sedap bahasa dan nasihatnya, lalu fikir-fikirkan. 

Melihat wajah anak dan cucu-cucu kita, apa yang terdetik di fikiran? Sudah tentu kita terbayang akan masa depan mereka, akan jadi apa dan siapa mereka bila besar kelak? Sesungguhnya kita mahu anak cucu kita punya masa depan yang baik; yang hidup aman tenteram, sihat sejahtera, yang tinggi ilmu dunia dan akhirat, yang dapat berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. 

Peribahasa Melayu menyebut, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ bermaksud mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi. Mengasuh, mendidik atau membentuk peribadi anak wajib bermula daripada peringkat anak-anak. Ada ibu ayah mahu anak mereka begini begitu, namun mereka sendiri tidak menunjukkan contoh dan tauladan yang baik. 

Kalau kita mahu anak kita menjadi manusia cerdik lagi berguna. Kalau kita mahu anak kita tidak biadab dan tidak rosak akhlak, kalau kita mahu hari depan mereka cerah dan sempurna, menjadi insan yang disenangi, dikasihi dan mereka nanti sebagai pemimpin ahli keluarga dan masyarakat, kita sendiri mesti menjadi pemimpin yang tulus, bijak lagi adil. Dunia berubah tetapi dalam soal hormat menghormati, sayang menyayangi, berdisiplin dalam kehidupan hari-hari juga bertanggungjawab sebagai seorang manusia dan seorang muslim, ini semua adalah sama.

Wahai ibu dan ayah, tindak tanduk kita menjadi perhatian, pengamatan, pengalaman dan amalan anak dan cucu kita. Kita melihat sendiri bagaimana kurang ajarnya ibu dan ayah (yang juga mereka ini adalah pemimpin) kepada masyarakat, yang diberi kepercayaan oleh rakyat, yang dipilih rakyat menjadi wakil mereka untuk mengamankan negara, meninggikan ekonomi negara, membaik pulih taraf pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Tetapi tengok, betapa biadabnya sesetengah mereka, terpekik terlolong di Parlimen misalnya. Tidak beradab, tidak menghormati sidang Parlimen dan sebagainya. Sesungguhnya rakyat malu melihat tingkah laku dan ketidak sopanan mereka yang sepatutnya lebih berakal, berakhlak. Adakah ini contoh tauladan yang hendak ditunjukkan kepada anak cucu dan kepada generasi mendatang? 

Bila pemimpin sendiri bergaduh, mengamuk, memaki hamun tanpa tahu batas dan adab susila? Bila pemimpin sendiri menjadi perompak, pengkhianat dan perasuah. Perangai buruk sebegitu ditunjukkan kepada rakyat tanpa rasa malu. Lihat betapa kotornya mainan politik semasa. Lihat betapa jijiknya perangai sesetengah pemimpin yang memporak perandakan hidup rakyat dan mengekang masa depan anak anak. Hari depan pasti terancam dengan ketidak stabilan politik disebabkan ramainya pemimpin yang rakus dan tidak bermaruah mahu berebut kuasa untuk memimpin negara. Ini satu hal yang begitu penting yang wajib diberikan perhatian untuk masa depan negara untuk stabil dan aman.

Seyugia, ramai ibu bapa berkeluh resah dengan sikap anak-anak yang walau sudah besar panjang malah yang sudah berkahwin pun masih ‘demand’ itu ini daripada mereka. Ini terjadi kerana mengikut perangai buruk si ibu ayah (antara contoh seperti di atas). Juga tidak kurang  ibu bapa sejak kecil terlalu memenuhi kehendak anak dalam semua perkara. Ada ibu bapa takut menegur jauh sekali memarahi, takut anak merajuk dan keluar rumah. Takut anak yang sudah berkahwin itu tidak lagi datang menjenguk… dan tidak mahu menasihati kerana bimbang anak berkecil hati dan sebagainya. Jadi anak besar kepala, anak tidak menghiraukan kesusahan ibu ayah, asal kemahuan mereka dipenuhi.

“Saya tidak peduli. Anak menantu saya tegur bila mana mereka saya lihat asyik makan di luar. Yalah gaji yang tak seberapa tetapi kalau tidak ke restoran, ‘Grab Food’ akan datang. Kemudian mengeluh gaji tidak cukup,” cerita Sharifah. “Aku basuh mereka cukup-cukup. Okay merajuk tidak mahu datang lagi ke rumah, I dont care. Sekarang barulah sedar, betapa ruginya tidak memasak sendiri. Alasan tidak ada masa, penat, malas mengemas atau tidak pandai masak, itu semua tidak patut ada di dalam kamus pasangan muda hari ini. Aku juga dulu bekerja, lagi pula kerja yang tidak tentu masa, tapi apa yang aku buat? Aku bangun awal, aku masak sebelum ke tempat kerja, aku sediakan bahan-bahan sebelum tidur, aku prepare yang patut-patut yang boleh memudahkan kerja dan aku buat pada hari minggu atau waktu cuti. Aku kurangkan berbual di telefon dan berwhatsapp dan ber’FB’, ber’IG’. Semuanya adalah soal disiplin diri. Kalau hendak melihat kejayaan hari depan, bertindak sekarang. Kalau asyik menyewa, sampai ke tualah menyewa rumah, jadi usahakan untuk membeli. Dan pandai mengagihkan wang untuk keperluan tertentu. Kalau asyik order Grab Food, kalau lunch dan dinner di luar, mana duitnya untuk membeli rumah? Kalau malu drive MyVi tapi hendak juga Honda, sedang gaji tak seberapa, terimalah padahnya.” Nasihat Sharifah lagi.

Teringat pula teman yang bercerita kesusahannya bila mana dia dan suami berpisah. “Beli aje Viva,” nasihat saya bila kereta ‘mewah’nya asyik rosak dan mengeluarkan belanja yang banyak untuk dibaiki, dengan minyak, roadtax dan insurans serta bayaran bulanan yang tinggi. Tahu apa jawabnya, “Tak boleh, anak-anak I mesti marah.” ”Bila diajukan pula untuk dia mencari rumah sewa yang di kawasan perumahan sederhana, lagi katanya, “Mana anak-anak suka tinggal di kawasan begitu, jauh daripada kawan-kawan lagipun mereka membesar di Damansara Heights, tak kan hendak pindah ke Cheras pula?”  

Saya menelan air liur, “Okay, kalau begitu, jangan complaint,” kata di hati. “Kamu sendiri didik anak seolah malu memandu kereta tempatan. Atau kamu sendiri malu memandu kereta murah sebab kamu biasa bawa BMW? Dan kamu malu sewa rumah teres bila sudah biasa tinggal penthouse?” Lalu sanggup berhutang keliling pinggang memenuhi keperluan nafsu sedangkan banyak jalan bagi menggurangkan bebanan hidup?  

Bila kamu tidak mahu mengecilkan hati anak-anak. Bila kamu menurut kehendak mereka, bila anak tidak boleh membezakan past dan present, dan bila kamu sendiri pun mengikut kata hati serta tidak mahu berubah, maka hidup kamu pun akan terus susah, (kecuali miracles yang tetiba muncul) , malah kamu sendiri seolah sudah nampak akan hari depan yang gelap.

Sungguh anak-anak elok didedahkan dengan keadaan keperitan dan kesusahan hidup orang lain (andai datangnya daripada keluarga yang susah). Bawa mereka ke rumah-rumah anak yatim, rumah anak-anak asnaf, wad kanak-kanak oku dan kurang upaya, supaya mereka berasa insaf dan memahami ada orang yang lebih susah dan hidup merana berbanding mereka. Bagi mereka yang hidup susah, atau kurang berkemampuan, sesekali elok ditunjukkan akan kehidupan mereka yang senang/berada (sebagai pembakar semangat). 

Di bawah kata-kata mutiara (yang sesetengah tidak ditulis siapa pengarangnya), sebagai renungan dan amalan:

“Waktu terus berjalan, belajarlah dari masa lalu, bersiap untuk masa depan, berikan yang terbaik untuk hari ini.”

“Jangan selalu kata, ‘masih ada waktu atau nanti sahaja’. Lakukan segera, gunakan waktumu untuk kerja-kerja bijak.”

“Jangan fikirkan kegagalan kelmarin, hari ini sudah lain, sukses pasti diraih selama semangat masih menyengat.”

“Kamu perlu mimiliki harapan yang besar, jadikan sebagai lambang dalam kehidupan, memilik angan-angan yang tinggi, jadikan lah ia sebagai pakaian hari hari.”

“Things work out best for those who make the best of how things work out.” John Wooden.

The past is your lesson. The present is your gift. The future is your motivation. Let go of the past and go for the future.”

“Change your life today. Don’t gamble on the future, act now, without delay.” Simone de Beauvoir

“Happiness is not something you postpone for the future, it is something you design for the present.” Jim Rohn

The future belongs to those who believe in the beauty of their dreams.” Eleanor Roosevelt

“Waktu akan terasa jauh apabila kita tidak pandai untuk mengamanatkan dengan baik, waktu akan berjalan terus sesuai dengan perputaran dari detik ke minit, dari hari ke minggu dari minggu ke bulan, dari bulan ke tahun. Apabila sudah berlalu tidak akan mungkin kembali lagi seperti pepatah Arab mengatakan waktu bagai pedang.”

He who wants his future to be better than the present must work for it now to make it.

 Ya, the future is now, bukan esok atau dua mahupun lima ke 10 tahun mendatang. Kalau tidak bertindak hari ini, kemungkinan hari esok sudah tiada atau keadaannya bertambah malap. “Ubah hidupmu hari ini. Jangan bertaruh pada masa depan, bertindak sekarang tanpa menunda.” Seimone de Beauvior.

Nasihat Oprah Winfrey, “Penemuan terbesar sepanjang masa adalah bahawa seseorang bisa mengubah masa depannya hanya dengan mengubah sikapnya saat ini.”

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Rindu Serindunya ke Baitullah Al Haram

Wirda Adnan

A to Z 2021

Wirda Adnan

Dia Penyondol

Wirda Adnan

Leave a Comment