EYE ME

Cinta Mummy

Cinta seorang ibu adalah segalanya. Itulah yang membawa seorang anak ke dunia ini. Itulah yang membentuk seluruh keberadaan mereka. “A son is the love of a mother’s life, and the light of her heart. A son is a mother’s treasure, and a mother is a son’s greatest supporter.”

Setahun hampir, pagi, tengahari, petang, malam, si ibu tidak lepas daripada berzikir. Makannya tidak  tidak berasa lagi, jiwa seperti sudah hancur. Mengenang anak kesayangan yang terbaring di katil hospital, mengenang prosedur-prosedur yang dilalui dan dia si ibu, tidak mampu untuk berada di sisi anak. Biar anak sudah pun dianggap tua, tetapi derita ibu dahsyat sekali bila anak itu sakit. Doanya untuk kesembuhan si anak. Katanya biar dia dahulu yang pergi, bukan anak. Dia mahu anaknya yang menyolat dan masuk ke liang lahat untuk mengebuminya. 

Namun sudah tertulis di Lauh Mahfuzh anak yang terdahulu dipanggilNya. Saat jenazah dibawa pulang ke rumahnya senja itu, semalaman si ibu menatap dan terus menatap, sesekali terlihat air mata yang berlinangan, dan hingga ke hari ini dia masih tidak mampu menziarahi pusara anak, alasan tidak mampu berjalan, berdiri pun tidak boleh. Hakikatnya dia memang tidak sanggup melihat pusara tu yang membawa seribu satu kenangan kepada ibu. 

Melahirkan, “Memang teramat sakit,” dia bercerita mengenangkan kisah lama. Anak lahir songsang, dan ketika itu tiada peralatan seperti buis lalu menahan sakit yang teramat, berpanjangan hampir setahun namun demi anak dia bangun menyusukan, demi anak berjaga malam terutama ketika sakit. Suaminya di hutan belantara mempertahan keselamatan negara. Akibat daripada itu dia serek, kalau yang kedua juga ditakdirkan begitu, sungguh dia tak sanggup, lalu bertekad, cukuplah satu untuk menyempurna dan melengkapkan dirinya sebagai ibu.   

Sebagai ibu, kasihnya tidak berbelah bagi namun tegas ketika melayani. Dan kerana si ayahanda tidak sentiasa bersama barangkali dia merasakan perlu baginya menjadi ibu, waktu sama menjadi ayah. Lembut bersulam tegas, ada peraturan tertentu yang perlu diikuti, atau kamu didenda. Betul kalau ibu kasihkan anaknya, dia tidak membiarkan anak melakukan apa juga yang dia suka, jauh sekali menabur wang supaya supaya anak boleh membeli apa saja. Sayang seorang ibu mendidik anak-anaknya menjadi manusia berguna, anak yang hormat orang tua, anak yang dididik ilmu dunia juga akhirat.

Siapakah dia ini? Dia adalah ibu kepada arwah suami saya,  ibu mertuaku, dan saya satu-satunya menantunya yang saya panggil mummy.

Cerita saya dengan mummy bermula tidak seindah mana. Sebagai ibu, saya faham mengapa awalnya dia tidak menerima saya sebagai menantu, (nanti saya sambung ceritanya sebelum kata noktah). Mengenali mummy kali pertama setelah kelahiran dua cucunya. Untuk beberapa waktu sebelumnya, hanya tiada berhubungan sesama kami, tetapi Allah maha mengetahui; sang ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan anak, dan sang anak menantu juga tidak kering bibir berharap akan suatu hari dipertemukan dalam keadaan yang amat tenang dan penuh dengan kecintaan. Dan Allah makbulkan kedua-dua permintaan ibu ayah dan anak menantu. 

Saat yang paling dirindui oleh sebuah keluarga bilamana seisi keluarga makan semeja. Saya teringat hidangan mummy; nasi minyak, kari daging, ayam goreng berempah dengan acar timun. Juga capati, hidangan yang selalu di atas meja makan, yang semua dimasak sendiri. Sebagai suri rumah tiada alasan untuk tidak masak sendiri kerana air tangan ibu adalah yang terbaik, dan barangkali kerana terbiasa segalanya masak sendiri demi memastikan kelazatan yang tinggi zatnya, suami dan anak jarang makan di luar. 

Mummy cantik, ketinggian lima kaki 9 inci,  lampai bisa jadi model jikalau itu pilihannya. Gambar-gambarnya sewaktu muda persis seniwati-seniwati jelita zaman 50-an. Seorang yang walaupun tidak berkelulusan dari menara gading, bukan kerana keputusan peperiksaan nya tidak elok tetapi pilihan ibu ayahnya supaya anak perempuan lebih baik menjadi suri rumah dan menjaga kebajikan ahli keluarga. Di  usia muda sudah berkahwin dan mentadbirkan rumah tangga juga bukan kerjaya senang, sementelah suami jauh, tiga empat bulan baru mendapat cuti, terbaik menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. , 

Setelah menerima saya sebagai menantu, saya senangi insan yang kami panggil mummy. Melayan saya bagai anak sendiri, waktu sama sebagai tetamu, itu yang saya dan anak rasakan. Ya setiap tamu yang datang dilayan baik, mesti dijamu dengan apa yang ada, malah untuk mencuci pinggan makan sendiri pun tidak dibenarkan.Saya tidak ingat pun bila saya pernah memegang penyapu untuk membersihkan rumahnya kerana rumah itu sentiasa bersih kemas dan teratur. Buka lah almari tempat pinggan mangkuk , tempat barang dapur dilabel semuanya teratur cantik. Hem bukalah almari bajunya, tersusun bagai kedai dobi.

Mummy suka memasak, dan sedap sangat setiap yang dimasaknya. Kerana masak dengan penuh kasih sayang, dan masak sentiasa berlebih untuk dihantar kepada kami. “Hisham,Tisham, Imtiaz dan Wirda pun suka, sebab itu mummy masak lebih.” 

Mummy rajin bercerita tentang kesihatan dan memberikan doa-doa yang dirasakan bagus untuk amalan dan ubatan yang baik untuk diamalkan. Selalu saya kata pada mummy kalau mummy belajar sehingga ke peringkat tinggi, mummy boleh jadi doktor sebab pengetahuan perubatannya boleh tahan. Sering bila menemaninya ke hospital, mummy memahami setiap yang diberitahu pakar akan keadaannya. Mummy juga fasih berbahasa Inggeris maka mudah lagi mendapat informasi dan soalan yang dikemukakan kepada doktor pun amat bertepatan dengan keadaan kesihatannya. Pernah seorang pakar yang merawatnya bertanya, “Mak Cik dulu pakar perubatan ke?” Tergelak dia, dan saya jawab, “Doktor mummy banyak membaca.”

Benar, the more you read the more you acquire knowledge. Dan walaupun kini tidak lagi membaca buku dan akhbar tetapi mengikut peredaran waktu, mummy akan memilih saluran daripada tik tok dan informasi yang bermanfaat. Minatnya lebih kepada nutrisi, kesihatan juga amalan-amalan sesuai untuk hari akhirat.  

Mummy tidak suka bercakap mengenai orang, tidak pernah mendengar dia mengata sesiapa pun. Kadang ada juga cerita-cerita dari luar yang didengari daripada orang yang menghubunginya, saudara maranya tetapi yang tidak baik akan disembunyikan. Hanya yang perlu dimaklumkan kepada anak cucu itu sahaja yang dikhabarkan kepada kami. Dan kini di saat dia tidak berapa sihat, kalau boleh dia sama sekali tidak mahu menyusahkan kami anak beranak. Dia sendiri mahu bangun untuk memasak ‘simple dishes’, kerana baginya ia lebih sedap atau daddy akan beli di tempat kebiasaannya membeli. “Jangan makan sembarangan pada usia yang hampir pergi ini. Keep to your usual diet.”   

Satu yang saya cukup kagum dengannya ialah semangatnya amat kuat, semangat untuk berdikari, kerana katanya dia tidak ada siapa untuk diharapkan. Kini anaknya pun sudah tiada, cucu-cucu bekerja, dan Wirda pun ada rumah untuk dijaga dan masih bekerja. Jadi semangatnya untuk melakukan sendiri itu membuatnya bangun bertenaga setiap hari. Dia tidak menghabiskan masanya untuk tidur, tidur hanya pada waktu malam dan beberapa minit sebelum zohor seperti yang digalakkan oleh agama.

Oh ya apa yang saya janjikan tadi? “Mengapa mummy awalnya tidak menerima saya menjadi menantunya? Maka pada satu ketika dia dihubungi oleh seorang insan ini beberapa kali, dan insan ini menabur fitnah terhadap saya; saya minum arak, merokok, kuat berparti, hah serbaneka yang tidak baiklah. Perempuan ini memusuhi saya kerana cemburu. Lelaki yang mahu dikahwininya amat meminati saya. Ya mungkin dia senang dengan tulisan-tulisan saya di majalah. Betul lelaki itu pernah mendekati saya tetapi saya menolak, langsung tidak berminat dengannya. Dan apabila perempuan ini mengetahui bakal suaminya berminat sangat saya, dia datang menyerang. Saya sejukkan keadaan menyuruh dia pulang dan maklumkan jangan susah hati kerana saya langsung tiada hati dengan bakal suaminya. “Kahwinlah dengan dia.”

Kerana barangkali malu dan mati akal, dia berusaha mencari mummy, kebetulan dia kenal mereka. Itu pun disebut secara tidak sengaja kerana mummy terlepas cakap. Sedih, tetapi saya faham mengapa mummy tidak mahu pernikahan ini terjadi, kerana al maklum anaknya anak tunggal dan dia mahu yang terbaik pastinya,

Begitu pun apabila kita sabar menerima ketentuan Allah, kebenaran akan hadir juga. Patience is bitter, but its fruit is sweet. Patience is a virtue. But it’s true. Patience can help us achieve our goals, maintain a more positive outlook on life. Dan berdoalah. Allah mendengarmu. Bersabarlah, kerana Allah akan menjawab doamu pada waktu yang tepat. Allah tidak pernah mengatakan bahawa jalan hidup akan mudah, tapi DIA mengatakan, “AKU akan bersama dengan mereka yang mahu bersabar.” 

Selamat Hari Ibu untuk mummy yang luar biasa sekali insannya. Terima kasih atas semua cinta dan nasihat yang selalu mummy berikan. Mummy, dadi (nenek) yang menyenangkan, menyayangi kedua cucu, mestilah sayangnya kepada Tisham dan Imtiaz pasti melebihi kepada menantu ‘hantu’ ini hah, tak jealous pun.

Love you mummy, you are beautiful, generous, and strong. I feel lucky to call you mummy, Thank you for being you. You are not just my mother- in-law, you’re like a best friend.

Related posts

Semoga Pulangku Sebersih Bayi Yang Baru Lahir

Wirda Adnan

Peringatan bulan September

Wirda Adnan

Wahai Anak

Wirda Adnan

Leave a Comment