EYE ME

A to Z 2021

Catatan saya kali ini lain daripada yang lain. Agak panjang. Saya melayan diri lama menghadap laptop, asalnya lain yang dibayangkan tetapi berakhir dengan yang lain. Namun tiada yang menghairankan kerana kehidupan kita pun bergelut dengan segala macam kejadian, kelainan. Catatan saya daripada A hingga ke Z. Tidak larat habis, berhenti dan esok lusa sambung baca balik. Orang kata tulis di ‘online’ tidak boleh panjang-panjang tetapi sesekali lapangkan fikiran dengan membaca, lagi pun kita disuruh duduk di rumah. Hendak buat apa lagi jika tidak membaca!

A – Assalamualaikum
Al salamu ‘alaykum selamat sejahtera ke atas kamu semua. Ucapan ini adalah sunnah Nabi Muhammad SAW yang dapat mengeratkan ukhuwah Islamiiah umat islam di seluruh dunia. Memberi salam adalah sunat sedangkan menjawab salam adalah wajib. Allah berfirman dalam surat al-Hasyr ayat 23, “Dialah Allah, tidak ada ilaah (sembahan) yang layak kecuali Dia Allah yang Maha Suci, Maha Sejahtera Maha Mengurniakan rasa aman, Maha Memelihara. Maha Perkasa, Maha Memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah daripada segalanya. Salam bukan sekadar ucapan kasih sayang tetapi memberikan juga alasan dan logik yang diwujudkan dalam bentuk doa pengharapan agar anda selamat daripada segala macam duka derita.
Salam mengingatkan kita kepada Allah, kita bergantung kepadaNya dan tidak satu pun makhluk yang dapat menghalang atau memberi manfaat tanpa pekenan Allah SWT. Ibnu Al Arabi dalam Ahkamul Quran mengatakan, “Tahukah kamu erti Salam? Orang yang mengucapkan Salam itu memberikan pernyataan bahawa ‘kamu tidak terancam dan aman sepenuhnya dari diriku. Rasulullah bersabda, ‘salam adalah satu Asma Allah swt yang Allah turunkan ke bumi, maka tebarkan salam. Ketika seseorang memberi salam kepada yang lain, darjatnya ditinggikan di hadapan Allah. Semoga Allah SWT menganugerahi kita kesanggupan melaksanakan pengucapan salam dengan semangat islami yang luruh di dalam hidup kita sehari hari dengan kasih sayang di antara kita semua.

B – Berita. Bad news travels fast. Good news takes the scenic route.’ Doug Larson. “This world needs more than good works. It needs good news. Good works come out of the good news.” Mark Driscoll
Ya kita didedahkan dengan pelbagai berita setiap saat, setiap ketika. Petik jari dan segala berita terhidang di depan mata. Apakah anda pantas menyebarkan maklumat yang tidak diyakini kesahihannya? Adakah anda pantas menyambut sang penfitnah dengan huraiannya dan kemudian anda sebarkan maklumat itu untuk memuaskan nafsu serakah anda. Dan untuk memuaskan hati dan jiwa anda supaya mereka turut juga dirasuk dengan berita buruk merosakkan keamanan negara dan mengaibkan individu? Renungkan, jangan kita senang hati menerima dan kemudian memaklumkan kepada dunia sedangkan berita yang diterima tidak pasti kesahihannya dan lebih buruk lagi diketahui berunsur fitnah tetapi sengaja mahu disebarkan.
Allah memberi kita akal dan fikiran untuk menilai sesuatu berita itu sama ada ia baik untuk kehidupan insan atau mengundang mala petaka. Tiba masa kita menjadi insan mulia di sisi Allah. Berhenti menyebarkan maklumat palsu yang boleh merosakkan keamanan negara dan alam sejagat.

C – Covid19 – Wabak covid19 yang melanda dunia satu ujian besar bagi manusia sejagat. Pandemik ini amat menakutkan, ratusan ribu mati di seluruh dunia. Di Malaysia tidak kurang dahsyatnya wabak ini merebak lantas tidak membenarkan lagi kita bebas bergerak. Sistem kehidupan seharian kita berubah dalam pelbagai aspek termasuk sosial, ekonomi, keagamaan dan pelbagai lagi.
Apa yang berlaku, berada dalam ilmu Allah. Allah menguji kita dengan ujian kesukaran bagi menentu tahap keimanan sama ada bersyukur atau ingkar kepadaNya. Antara hikmah sesuatu ujian ke atasnya manusia ini ialah tapisan dari Allah bagi memperlihatkan kalangan orang beriman yang sebenar dalam kesabaran sesuatu yang dihadap dengan orang yang sebaliknya. Sabar itu sikap orang beriman yang sentiasa mencari hikmah di sebalik sesuatu ujian dan kejadian agar mereka kembali kepada Allah.

D – Doa/Darurat – “Ya Allah jauhilah kami daripada bala bencana, wabak penyakit, Covid-19, taun dan pelbagai perlakuan keji dan mungkar, segala kepayahan dan dugaan yang zahir dan yang tersembunyi. Ya Allah selamatkan negara kami ini khususnya dan dunia daripada segala bencana. Wahai Tuhan yang Maha Berlemah Lembut, wahai Tuhan yang Maha Halus PengetahuanNya ,engkau yang berkuasa ke atas segala sesuatu, selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammada SAW sekeluarga dan para sahabat. Segala puji bagi Allah tuhan pencipta alam semesta.
Doa adalah otaknya ibadah. Tidak ada yang lebih utama di sisi Allah daripada doa. Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama serta cahaya langit dan bumi. Doa adalah bukti dan sekaligus pengakuan akan kelemahan diri kita kepada Allah ar yang maha segalanya. ‘The best gift you could give and receive is doa’. Dan satu-satu hal yang boleh mengubah takdirmu adalah doa. Apa pun yang kamu anggap itu sulit, Allah mampu membuat itu mudah untukmu, Maka itu berdoalah.

Darurat – Satu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. Yang di Pertuan Agong baru sahaja mengisytiharkan darurat bermula hingga bulan Ogos 2021. Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di Pertuan Agong. (Baca – Apa itu Darurat? Ini 15 perkara anda perlu tahu – Pro Dr Shamrahayu A Aziz)

E – Emel – Emel adalah kependekan daripada elektronik mel atau surat elektronik yang menghantar maklumat dan fail melalui komputer. Ia kaedah mengarang, menghantar, menyimpan dan menerima message melalui sistem komunikasi elektronik dan kaedah eksekutif sangat berkesan dalam era globalisasi.
Emel sudah menjadi satu bentuk komunikasi penting dan diterima untuk urusan rasmi, walaupun masih memerlukan surat menyurat. Terlalu banyak kelebihan emel yang boleh di manfaatkan dan kelebihannya tidak boleh disangkalkan lagi. Namun begitu pastikan anda menjaga keselamatannya; gunakan kata laluan yang tersendiri, dan kata laluan sah untuk mengelakkan emel anda diceroboh oleh golongan yang tidak bertanggung jawab.

F Frontliner/ Barisan Hadapan – Tabik hormat sewajarnya diberikan kepada pasukan barisan hadapan yang bertungkus lumus sehingga ke hari ini untuk menyelamatkan individu dan negara.
“Sapu lah air mata,” ungkapan penuh bermakna dititipkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada para petugas hadapan terkala kes Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan. “Kita sedang berhadapan dengan perang yang besar di hadapan, negara sedang bergantung kepada kita. Walaupun sering tidak cukup tidur dan keletihannya, sapu lah air matamu, bangkit dan terus berjuang dan (ayuh) sekali lagi meratakan lengkung jangakitan Covid-19,” katanya.
“All of these faces you don’t see on tv are here to serve you and the country.”
“It’s a spirit of caring. We have to survive this. We have to be together. Everybody’s life is important.”
“We do not wish to be glorified by this job, we only wish to do it well.”
“Let us do this because deep in our hearts – devoid of fear and anger – it is the right thing to do.”
Ini adalah antara kata-kata semangat dari barisan hadapan yang menghadapi tugas yang penuh bahaya namun tetap disempurnakan dengan tabah dan berani. Stay safe all the frontliners. Appreciate much for all your contributions and sacrifices. Pray hard that this battle gonna come to and end soon!

G- Gaya Hidup – Gaya hidup didefinasikan sebagai cara tertentu seseorang invididu atau sesuatu kumpulan menjalani kehidupan (dengan agak sederhana, mewah dsb). Dan dengan norma baru kini, yang membawa maksud peraturan baharu yang diterima atau digunakan pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit yang berjangkit, maka gaya hidup kena diadaptasi mengikut keadaan.
Kepada yang di luar sana, kalau selamanya anda hidup mewah, apa kata senangkan juga orang di sekelilingmu; mereka yang tidak bernasib baik seperti anda berikan mereka harapan dan kemuliaan. Kalau anda yang satu ketika dulu hidup tanpa pedoman, ambillah Iktibar daripada pandemik ini. Baikilah hidup menjadi lebih baik dan dekat denganNya, kurangkan keduniaan terutama yang melekakan dan jadikan manusia yang mampu membuat orang lain ketawa dan jangan jadikan derita mereka sebagai bahan tawamu.
“It is during our darkest moments that we must focus to see the light.” Aristotle.

H- Hero WM pada bulan…. telah mengangkat dua insan di Malaysia ini sebagai Hero kami. Hero kami ini juga adalah Hero Malaysia. Kedua-dua yang saya maksudkan ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Hisham Abdullah dan Ustaz Ebit Liew. Tidak perlu diceritakan panjang akan jasa kedua mereka ini kerana sudah terbukti akan sumbangan mereka kepada negara. Tan Sri Dr. Nor Hisham dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya terus memimpin pasukan frontlinernya bagi melaksanakan tugas mereka waktu sama bergelut dengan nyawa mereka sendiri. Sementara Ustaz Ebit tidak menunggu orang datang meminta sedekah dan bantuan, tidak menunggu surat rasmi dengan bukti butki sekajang bagi melayakkan individu sebagai penerima bantuan, sebaliknya mencari si fakir miskin, para asnaf, ya, mereka yang hidup dalam mendaifkan, mereka yang tinggal di pondok usang dan tidak mengira bangsa serta agama, warna kulit dan apa jua latar belakang sekiranya dirasa layak terus membantu. Tidak menunggu orang datang meminta-minta kepadanya akan tetapi dia dan team nya menjelajah dari Utara ke Selatan, ya pusing satu semenanjung untuk memberikan bantuan. Tidak cukup membantu membayar sewa atau membaiki mahupun membinakan rumah rumah untuk kelangsungah hidup mereka, Ustaz Ebit terusan membantu sehingga ke Zoo Negara supaya bintang-bintang pun tidak mati kelaparan. Banjir di Pahang, Ebit Liew mengharungi air yang dalam untuk terus berbakti. Kami juga terkesan bila mana beliau berusaha menghantar air kepada rakyat yang putus saluran air disebabkan pemasalahan air, Ebit terus membantu walaupun usahanya banyak mendapat kecaman. Dia contoh tauladan yang baik, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima, “No one as ever become poor by giving. Always give without remembering and receive without forgetting.” Brian TAracy

Jalan-Jalan – “Semua perjalanan mempunyai destinasi rahsia di mana pengembara tidak menyedarinya.” Martin Buber. Pergi, terbang, berkeliaran, travel, berlayar, meneroka, berjalan, menemui, cabaran. Ya, jauh berjalan luas pengalaman. Ada masa, ada kemampuan, ada kesihatan pergilLah meneroka sebanyaknya dunia ini kerana pengalaman itu terlalu berharga.
Cuma di saat ini, di kala keadaan tidak mengizinkan dengan penularan Covid-19, kita diminta untuk tidak berjalan-jalan sebaiknya duduk di rumah. Begitu pun kembangkan ilmu destinasimu itu dengan mengenali adat dan budaya, tentang kehidupan dan sejarah negara itu sendiri. Tolong jangan gunakan masa pkp ini untuk bersesak-seksa ke satu destinasi cuma kerana ada tawaran tambang murah yang tidak munasabah, maka anda rasa rugi kalau tidak grab. Dan bersesak-sesak, dan mengabaikan SOP, dan lupa bahawa virus ini tidak mengenal siapa dan di mana. Jadi untuk sementara lupakan untuk jalan-jalan kerana hadiah terbaik untuk dirimu dan keluarga adalah duduk di rumah.

Kesihatan/Kanser – Jaga kesihatanmu. ‘The greatest wealth is health.’ kerana kamu yang sihat, adalah kamu yang ada harapan dan ada impian, dan kerana itu kamu akan ada segalanya. Ramai yang mengabaikan kesihatan, dan akan hanya menghargainya sesudah sakit dan menghadapi maut. Wang berjuta pun tiada gunanya lagi kalau sudah menderita sakit, oleh yang demikian amalkan hidup sihat. Dan kanser, penyakit yang paling ditakuti, penyakit yang membunuh maka itu amalkan hidup sihat. Tetapi jika kamu mempunyai anggota keluarga atau teman yang menderita kanser apa pun jenis kansernya, cubalah untuk tidak melihatnya dengan tatapan sedih. Perlakukan dia seperti biasa yang kamu lakukan, hanya tunjukkan sedikit lebih cinta.

L love – Cinta. “We are most alive when we’re in love.” – John Updike.
Cinta dalam Islam bukan mengajar kita lemah atau sesat tetapi membangkitkan kekuatan terutamanya dalam beribadah. Sesungguhnya jika engkau mencintai seseorang, berdoa lah untuk mereka. Berdoalah untuk kedamaian mereka. Berdoa lah untuk kemajuan mereka. Berdoa lah untuk kejayaan mereka. Berdoa lah untuk kebahagiaan mereka. Saidina Ali bin Abu Talib menyebut, “Jangan membenci sesiapa pun, tidak peduli berapa banyak mereka bersalah kepadamu. Hiduplah dengan rendah hati, tidak peduli berapa besar kekayaan kamu berfikirlah positif, tidak peduli berapa keras kehidupanmu, berikan banyak, meskipun menerima sedikit. Tetap lah berhubungan dengan orang yang telah melupakanmu dan ampuni yang bersalah kepadamu, Jangan berhenti berdoa untuk yang terbaik bagi orang yang kau cintai.”

M – Makan/Masakan – Tiada apa yang lebih baik pulang ke rumah menemui keluarga dan makan makanan yang enak dan rileks. Ya, nak dikatakan lucu tidak juga, tetapi rata-rata malah saya juga kerana pkp berat badan semakin bertambah. Mana tidaknya, makan, makan, makan, tidak lagi tidak skip breakfast, lunch, tea, dinner. Masak dan masak, aduh, tengok pula Youtube aneka masakan oleh bukan sekadar chef-chef bertauliah tetapi sesiapa saja, yang mengajar, memberi resipi dan sebagainya. Okay kita pun jadi pandai, jadi rajin, dan boleh jadi bussiness woman bila kita tambahkan usaha untuk menjana pendapatan. Kita masak, dan jemput orang membeli, orang belajar masak dan sebagainya. Malah tidak payah belajar masak atau pandai masak untuk menyediakan hidangan mewah yang pelbagai. Kerana ada peralatan untuk menyediakan hidangan dengan cuma ikut sukatan, masukkan dan tekan, dan hidangkan sedia dimakan. Oh terlalu senang, itulah penyebab bertambah berat badan. Jawapannya, kalau bosan jangan fikir makan, kalau rajin umpan kawan hantar FoodPanda untuk deliver food kat dia, dia happy kita pun happy.

N – Norma Baru – Fenomena baru yang belum pernah dialami di dunia dengan kemunculannya virus Covid-19. Kerananya manusia menjadi panik, takut dan kelab kabut, dan sepatutnya pun, sebab virus ini tidak mengenal siapa dan di mana, waktu dan ketika, dan tidak mengira sama ada kamu kaya atau pun miskin. Mula dikatakan bila sudah ada vaksin, semuanya akan kembali seperti normal tetapi ramai tidak yakin kerana ia rupanya mendatangkan kemudaratan sehingga mengambil nyawa (sama ada berita itu benar atau tidak), akan tetapi dunia masih ragu-ragu untuk mewajibkan setiap orang mendapatkan vaksin tersebut.
Kerana hidup bukan seperti biasa, ada PKP, ada sop, banyak yang tidak boleh dibuat daripada yang boleh dibuat, lalu kehidupan masa lalu yang sudah lama sebati tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan. Dan setelah hampir setahun, dan kini masih dengan kawalan yang bertambah ketat untuk bersosial khasnya, kita wajib menjalani cara hidup baru seperti bekerja tidak berjumpa manusia, hanya bercakap dalam talian, tidak digalakkan bersalaman, bersentuhan, memakai topeng muka, tidak lagi boleh bersesak-sesak kita tempat makan, ke tempat hiburan, ke ibadat (ini yang paling menyedihkan) maka amalan ini akan menjadi norma baru dalam kehidupan masyarakat kita. “I know this transformation is painful but you’re not falling apart; you’re just into something different, with a new capacity to be beautiful.” – William C Hannan

O – Ole-Ole maksud ole-oleh ialah cenderamata, souvenir. buah tangan. Kini kita hidup berjauh-jauhan. Tidak lagi selalu dapat duduk makan bersama, membeli belah, bercuti dan sebagainya bersama-sama. Hidup kita telah di ‘restrict’, jadi adakah kita akan menjadi orang yang hanya mementingkan diri sendiri, menjadi manusia yang terpencil dan sombong? Memang boleh jadi begitu, kalau kita terperuk di rumah dan hanya bersama keluarga kita sahaja, itu pun yang memang tinggal bersama kita. Tetapi, jangan kita terus tidak mengingati nasib orang sekeliling. Mungkinkah jiran kita tidak makan kepada keputusan wang? Barangkali mak ayah dan saudara mara di kejauhan hidupnya malang kerana tidak berwang. Siasat, dengar dan calling-calling them. Atau kalau pun semuanya okay, tiada salahnya kita terus menyambung kemesraan. Pos Laju, Grab, Ninjavan, oh ya segala macam nama yang diberikan dan disediakan untuk kamu terus menjalin perhubungan. Hari jadinya, ulang tahun perkahwinannya, hidangan kegemarannya, hadiah kecemerlangannya, semua itu bisa diaturkan dan disampaikan supaya orang di sana akan bahagia. Saya sendiri, tidak kurang mendapat pelbagai ole-ole dari yang jauh dan dekat, dan membalasnya juga supaya silatulrahim berpanjangan, aamiin.

P – Politik/PKPK – Politik/PKPK inilah dua subjek yang paling panas dan hebat diperkatakan sepanjang 2020. Politik semasa yang cukup bermasalah, politik negara yang tidak stabil, yang tidak diterima sebahagian besar rakyat. Politik kerajaan tebuk atap, politik penuh rasuah, politik fitnah, politik Malaysia yang meletakkan nama negara ‘menyerlah-nyerlah’ di mata dunia tetapi dengan cerita-cerita yang memalukan. Yang tidak menggalakkan ekonomi berkembang, tidak mengajak pelabur datang dan lagi malang, bila negara kita sekarang tengah berkembangnya wabak corona yang tidak boleh dicengkam. Dan kemudian malang datang menyerang lagi, banjir besar menimpa negeri yang selalu menghantar bantuan ke negeri jiran, ya Allah apakah lagi yang mahu Kau perlihatkan kepada kami semua? Ya Allah hantarkan kami insan yang bijaksana untuk memerintah, untuk membela nasib rakyat yang malang, untuk menstabilkan ekonomi negara supaya kami semua dapat pulang berkerja atau diberi kerja.
Apa pun nasihat saya, jangan bosan mengetahui perkembangan politik kerana ia membabitkan hari depan kita. Kalau semua orang diam sahaja dan membenarkan manusia-manusia rakus memerintah negara, mati kita. Kita mesti bersuara demi kemakmuran negara. Kita wajib menentang bila keadaan menyimpang yang tidak berpihak kepada kepentingan rakyat.

PKPB membawa maksud Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Mengapa PKPB mesti dilaksanakan? Jawapannya mungkin semua sudah tahu kerana ia bagi membendung penularan virus Covid-19 daripada terus merebak. Dan PKPB adalah pendekatan terbaik bagi memutuskan rantaian penularan pandemik ini. Ya duduk di rumah sebaik cara, dibenar keluar untuk membeli keperluan isi rumah sahaja, tidak boleh rentas daerah, tidak boleh makan di restoran, tidak boleh beriadah di taman, tidak boleh ke masjid dan sebagainya, ya banyak yang tidak boleh ketika ia diketatkan kawalannya. “Kita tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon kuning menjadi merah,” kata Dr Noor Hisham ketika menjelaskan pelaksanaan di seluruh Lembah Klang adalah kerana kawasan itu merekodkan kes baharu secara berselerak.
Namun di sebalik kegusaran setengah pihak yang merasakan kebebasan tersekat, PKP ada hikmahnya. Ia sedikit sebanyak mengubah cara kehidupan kebanyakan kita.
Hanya kepada Allah kita mohon dipermudahkan segalanya. “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari besarnya malapetaka, terjerumus dalam kebinasaan, buruknya takdir dan gembiranya musuh di atas musibahku.”

Q Quran – Sahabat, kena kena usaha @ paksa diri kita untuk disiplinkan diri supaya kita baca Quran setiap hari. Luangkan masa sekurang-kurangnya satu atau setengah jam pun cukup untuk membacanya selepas subuh, margrib atau isyak. Kenapa? Sahabat yang dirahmati, kata Nabi SAW, “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat memberikan syafaat kepada pembacanya,” HR Muslim). Saat kita bertemu Allah di hari pembicaraan yang dahsyat, Quran yang kita baca setiap hari itu yang akan membela kesalahan kita dan kita terselamat dari azab api neraka. Syukur sangat, kerana pada bermulanya PKP awal 2020, keluarga Adnan diketuai oleh abang saya sendiri, Abdul Rahman Adnan mengajak dan mengajar kami, melalui alam maya, setiap petang lima kali seminggu untuk membetulkan tajwid dan makhraj huruf. “Bacalah al-Quran dengan Tartil” – surah Al Muzammil (4), dan “Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” Riwayat Bukhari (7527).
Rasulullah bersabda, “Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak tidak memperindahkan bacaan al-Quran.” Sebahagian yang lain menyebut ‘menyaringkannya’. Terima kasih Elin kerana menghantar keratan ini. Selain menambah ilmu, secara tidak langsung kami adik beradik, mak, pak, anak -anak saudara, ipar duai, semuanya ‘berjumpa’ setiap hari’ dan kelas berakhir dengan bertanya khabar masing-masing. Dan bila nampak wajah seorang-seorang rasa seronok sangat, hilang rindu.
Sahabat, pada yang belum berbuat demikian, mungkin ini waktu sebaiknya, dan tiada alasan sebab kita sudah disuruh duduk di rumah. Kalau dulu memang agak susah kerana seorang mungkin di Barat, di Timur, di Selatan, di Utara, di London, di Amerika, dan sudah berjalan-jalan nak satu semua satu masa terlalu sukar. Kini kita ‘kuarantin’ diri demi al-Quran Nur Karim.

RumahHome sweet home, rumah adalah di mana hatimu berada. “Tak ada tempat seperti di rumah, dan tidak ada yang lebih baik daripada pulang ke keluarga dan makan makanan enak dan bersantai” – Irana Shayk. “Rumah adalah tempat kita harus berasa aman dan nyaman.” – Catherine Pulsifer. “Rumah tempat anda merasa dicintai, dihargai dan aman.”- Tracey Taylor. “
“Saya percaya jika kita ingin mencipta perdamaian di dunia, pertama-tama kita harus mencipta perdamaian di rumah.” Richard OKeef.
Di rumah lah tempat segalanya bermula maka itu mesti ikut house rules dan mentaatinya.

Sanak Saudara/Sahabat handai – Mereka adalah orang terpenting dalam hidup anda selain ibu bapa, anak cucu cicit kita dan adik beradik. Jagalah silaturahim dengan mereka, dalam susah dan senang merekalah yang akan bersama kita. “Live your live with love as your guiding principle.” “Keep your family and close friends close.” Barbara Bush. “Family and friends are hidden treasures, seek them and enjoy their riches.” – Wanda Hope Carter
Tahukah anda jalan terpendek untuk membaiki rezeki adalah meningkat kasih sayang di dalam keluarga. “Keceriaan keluarga mengundang rezeki, seperti pertengkaran membatalkan datangnya rezeki.” Maria Teguh. “Manakala sahabat yang baik akan membantumu menemukan hal-hal yang kamu hilangkan, senyummu, harapanmu dan keberanianmu.” Doe Zantamata.

T – Tanggungjawab – Saat kita mengenal dunia maka bermula satu tanggungjawab pada diri sendiri. Tanggungjawab yang bagaimana? Yang paling utama tanggung jawab manusia itu sendiri terhadap Allah. Sabda Rasulullah, “Hak Allah ke atas hambaNya ialah mereka wajib mengabdikan diri kepadaNya.” Wajib juga melaksanakan tanggungjawab kepada ahli keluarga seperti tanggungjawab suami kepada isteri/suami/ahli keluarga dan yang lain seperti tanggungjawab kepada negara dan ahli masyarakat. Maka kalau kita menjadi pemimpin, kita wajib melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan, bukan mengaut keuntungan kerana diberikan kuasa. Bukan menyeksa rakyat dengan pentadbiran yang lembab, seyugia, ekonomi terancam, merudum dan menghalang lagi usaha untuk membaik pulih kerana tumpuan adalah untuk terus berkuasa. Sebagai pemimpin-pemimpin, wajib anda semua memastikan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat. “If men be good, government cannot be bad.” William Penn.

U – Ustaz/Ustazah – Hai ustaz-ustaz, kamu bukan artis, kamu bukan doktor, bukan arkitek, bukan jurutera, bukan juga juruterbang, bukan juru wang, dan bukan orang politik. Siapa ustaz? Ia diambil daripada bahasa Arab yakni guru yang mengajar agama. Kebelakangan ini muncul insan-insan mengaku ustaz tetapi menunggang agama untuk kepentingan diri sendiri. Menggunakan agama demi untuk dipandang mulia dan berilmu tinggi terutama dalam hal-hal akhirat. Wahai ustaz, ada antara kamu yang hodoh perangai dan buruk tingkah laku, tak malukah kalau disebabkan kamu, semua ustaz-ustaz yang tulus mengajar dan memimpin manusia ke syurga nanti, juga diketegorikan sama seperti kamu? Kalau kamu ustaz tetapi sampai kepada tahap merogol, berzina, meliwat, memporak perandakan masyarakat, tidak bertanggungjawab kepada keluarga sendiri, cukup untuk kamu dihumban ke neraka jahanam. Wahai ustaz, ustazah, kalau kamu bukan ahlinya jangan campur urusan pentadbiran negara, jangan berdusta dengan hadis-hadis ciptaan sendiri untuk menegakkan kebenaran. Songkok di kepala tidak sepatutnya diletakkan di kepala kamu kalau sikap kamu tidak menggambarkan kecerdikan dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar, dalam memimpin cara yang Allah redhai. Wahai ustaz, shame on you bila mana kamu hanya dikatakan makan gaji buta tetapi tidak bekerja.

V – Vegan/Vegetarian – Apa itu vegan? Apa itu vegetarian?
Vegan atau Vee-gun adalah vegeterian seratus peratus yakni tidak boleh makan daging, telur, produk susu atau makanan yang mengandungi lemak haiwan seperti gelatin. Mereka hanya makan makanan berasal daripada tanaman seperti bijirin, buah-buahan, sayuran dan kekacang. Malah orang vegan memilih untuk tidak memakai pakaian yang ada bulu atau produk kecantikan yang diuji ke atas haiwan. Diet vegan mentah terdiri daripada makanan vegan diproses yang belum dipanaskan di atas suhu 46 darjah celsius.
Vegeterian pula merujuk kepada mereka yang tidak makan daging haiwan seperti lembu, kambing, ayam itik, makanan laut atau apa juga bintang yang pernah hidup, memang tidak boleh dimakan. Produk tenusu juga tidak boleh dimakan. Namun ada pula dalam golongan vegeterian seperti Lacto vegeterian yang makan produk tenusu tetapi tidak makan telur. Ovo Vegeterian memakan telur tetapi tidak makan produk tenusu dan Lacto-Ova Vegeterian makan kedua-dua produk tenusu dan telur. (Lacto bahasa Latin untuk susu dan Ovo untuk telur)
Secara ringkasnya jika ia membabitkan haiwan hidup atau makan, maka ia tidak sesuai untuk vegan dan jika sesuatu makan itu pernah bernyawa ia tidak sesuai untuk vegeterian.
Apakah dengan kekecohan daging beku import dari negara luar dicop halal tetapi disahkan tidak halal, dan rata-rata umat Islam sudah tertipu termakan bangkai selama 40 tahun katanya, memaksa kita menukar diet kita kepada vegan atau vegetarian. Terpulang kepada kita namun di dalam Islam ia bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan kesimbangan gizi. (Apa pun kerana ruang terhadap, MajalahWM.com akan menyambung cerita dalam Pandangan Islam terhadap Vegetarian dan Vegan.

W – Wang – Kita semua perlukan wang, buka mata wang, tutup mata wang. Pada yang punya wang berjuta, helo aku kaya aku beli apa saja, so kalau PKP dan darurat selamanya pun bisa sahaja. Pada yang beringat menyimpan pun tiada masalah kerana tujuan menyimpan untuk senang di hari kemudian. Yang punya KWSP boleh juga ambil dan guna sebagai pelaburan, tetapi bukan semua orang ada wang di KWSP, jadi mana datangnya wang bila tidak menyimpan di situ? ‘A penny save is a penny earned.’ Bukan semua orang memasak untuk menjana pendapatan, dan kalau pun semua orang hendak memasak, siapa pula yang tinggal untuk membeli? Tiada wang abang melayang, tidak wang siapa hendak sayang?
Cerita wang, ulama pun boleh lupa akan dosa pahala. Sedih, tetapi itulah hakikatnya, money is King. Nasihat saya, ‘no matter how big your house is, how recent your car is, or how big your bank account is, our graves will always be the same, (enam kaki 1 inci) so stay humble.’

X Xoxo – Ramai bertanya apa maksud xoxo. Xoxo bukan sebuah perkataan tetapi simbol. Maksud simbol ini ialah ‘cium peluk’. Dan ia biasa digunakan ketika bersms, emel mahupun apabila menulis surat yang menunjukkan perasaan gembira ataupun mengekspreasikan persabahatan kepada penerima. Sejarah awal penggunakannya berlaku sekitar 1902 (diakui oleh English Oxford Dictionary) di mana pada tahun tersebut bermulanya penggunaan xxx di bawah surat sebagai tanda ciuman yang menggantikan tanda tangan. Pendek kata xoxo maksudnya hugs and kisses. Ada juga beberapa teori mengenai xoxo, akan tetapi lupakan hal itu kerana kita semua digalakkan saling sayang menyayangi sesama insan.

Z – Zakat – Sudahkah anda mengeluarkan zakat? Kalau belum tetapi anda di dalam kategori yang layak dan wajib mengeluarkan, maka janganlah berlengah melakukannya. Zakat membawa maksud suci, rahmat, berkat, berkembang, subur, bertambah dan sedekah. Dari segi istilah zakat bermaksud penyerahan yang wajib dilakukan ke atas sebahagian harta kekayaan daripada sumber yang baik untuk dimiliki seorang muslim kepada golongan yang berhak menerimanya. Sedangkan maksud zakat itu antaranya rahmat berkat lalu akan bertambah lah rezeki kita bila kita menunaikan kewajipan ini, aamiin.[/vc_column_text][thb_gap height=”40″][/vc_column][/vc_row]

Related posts

Fesyen Ia Tiada Kaitan Dengan Jenama

Wirda Adnan

Takut Tua? Takut Tak Cantik?

Wirda Adnan

Cinta ‘Khas Untuk Anak Menantu’

Wirda Adnan

Leave a Comment