EYE ME

Sebuah Kisah Cinta

‘Tidurku tak nyenyak

Hati Merindu

Wajahmu membayang

‘Bunga-bunga cinta mulai bersemi

Menyanyi di dalam jiwaku…’ 

Kau dan aku pasti pernah merasai cinta. Itu sebenar bahagian yang paling indah (atau mungkin sebaliknya) di dalam kehidupan seseorang. ‘Tanpa cinta aku tidak dapat berbuat apa-apa, dengan cinta, tiada yang tidak dapat aku lakukan’. Diumpamakan beginilah saat dilamun cinta. 

Cinta, seketika aku teringat zaman remajaku, bertemu dia dan kami saling jatuh cinta. Kulitnya oh tidak seperti aku. Matanya biru, rambut perang, ketinggiannya sekalipun aku berdiri di atas sebatang kayu, masih belum sampai paras bahu. Rupa parasnya boleh aku bayangkan persis Robert Downey Jr.  Dia aku temui sedang keluarga bercuti di pantai Teluk Batik. Entah macam mana mata bertentang mata dan seperti ombak, hati dipukul laju. Aku sorok perasaan itu. Rupanya dia tahu lalu datang mengetuk pintu. Kami berjalan di persisiran pantai bercerita fasal lagu, ‘How Deep is Your Love nyanyian Bee Gees. yang ketika itu digilai bukan saja aku tetapi dunia seantero. 

Seyugia, apa terjadi kemudiannya? Cinta tidak direstui, “Kerana dia tidak elok dinikahi,” kata bapa saudaraku. Dia sedar akan perasaan yang meluap dan bergelora ini. Mengapa tidak? “Tidak digalakkan mengahwini seorang Yahudi.” Aku terkedu, bila agama dijadikan alasan, siapa aku untuk pertahankannya.

Dia pulang ke negara asalnya, memendekkan kontrak dengan syarikat tempatnya bekerja. Aku dan dia pasti kecewa, tidak kesampaian membina hidup bersama. Setahun dua, masuk tahun tiga aku tetap tidak ingin mencari pengganti, kerana air mata yang pernah gugur tidak aku biarkan lagi gugur ke dua kali. Biarlah aku bersendiri, begini, membawa hati yang lara sepi. 

Alhubbu kal harbi, minas sahli an tus’ilaha, walaakin minas sha’bi an tukhmidaha

Ertinya: Cinta itu laksana sebuah perang, amat mudah mengobarkannya, namun amat sulit untuk memadamkannya. “When you love someone, and you love them with your heart, it never disappears.” Ini yang lama aku rasakan sehingga tiba satu saat aku berasa bodoh. Teringat pesan teman, “Jangan terus tangisi dia yang telah pergi. Bangun, senyum, buka lembaran baru dan ingat, kerana dia telah memberi kesempatan untuk bertemu seseorang yang lebih baik. Merelakan seseorang pergi bukan bererti kita menyerah tetapi kita sudah mulai menyedari bahawa ada hal-hal yang tetap tidak boleh dipaksa. Kisah cintaku elok kuhentikan di sini.

Februari bulan cinta. Saya senang bercerita hal ini, kerana, “Cinta semua yang pahit akan manis. Kerana cinta tembaga akan menjadi emas. Kerana cinta sampah menjadi jernih, kerana cinta yang mati akan menjadi hidup dan kerana cinta yang Raja akan menjadi budak.” (tak tahu siapa penulis asal). Selalunya yang cerdik juga bisa menjadi bodoh… begitu kuatnya penangan cinta dalam hidup kita.

Tetapi apakah sebenarnya cinta? Cinta mengikut takrif Wikipedia, ialah perasaan kuat dan positif yang berdasarkan kasih sayang. Diluaskan maksudnya, sebagai satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan antaranya, perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara perseorangan, rela berkorban untuk orang lain, perasaan tertarik dan hubungan kepada alam, ia dapat ditunjukkan melalui perasan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap. Ia mempengaruhi, mendasari dan menentukan pola utama hubungan antara perseorangan dan empunya diri.

Rela berkorban? Apakah betul kamu sanggup berkorban untuknya? Sanggup berbuat apa saja demi membukti ketulusan hati? Sanggup meninggalkan ibu ayah demi orang yang dikasihi. Yakin bahawa perasaan itu tulus, tidak kerana termakan kata-kata menggoda mahupun terkesima kerana wajahnya yang tampan atau jelita? Atau kerana dia berharta dan kamu dilekakan, dibuai keseronokan hidup serba mewah yang dijanjikan? Atau kamu sanggup tanggung dia (lelaki) yang tidak bekerja malah pemalas, sudah tahu tapi masih sanggup menerimanya? Atau sanggup bermadu, walau kamu tahu seksanya hidup berkongsi kasih? Tanya diri dan jawapannya hanya kamu yang boleh menjawabnya sendiri.

Cinta itu, antara tawa dan air mata, ada kedua-dua di dalamnya. ‘I saw that you were perfect and I loved you. Then I saw that you were not perfect and I loved you even more. I want you. All of you. Your flaws. Your mistakes. Your imperfections. I want you, and only you. If you were a movie, I’d watch you over and over again. I could watch you every day of my life and never get bored.’

Seandainya sebegini perasaan, hidup akan aman, kerana menerima seadanya. Senang sama dirasai dan susah bersama menghadapi. Tetapi ramai tidak begini, teman setaman bercerita, “Apa yang aku tidak buat untuknya? Ketika sang ayahnya jatuh bankrap keluarga kami membantunya. Pendek kata seluruh keluarganya, keluarga aku yang tanggung, lantaran itu si anak gadisnya jatuh cinta dengan aku, aku pun suka dia, putih gebu orangnya walaupun sedikit tembam. Tetapi sebenarnya hidup kami sendiri pun sekadar selesa, tidak berlebihan pun, namun cukuplah untuk berbagi rezeki supaya keluarganya tidak menderita kemiskinan.” Apa terjadi 10 tahun kemudian? Ekonomi menguncup, perniagaan makanan kami tidak begitu menggalakkan. Lagipun ibu yang membantu, pergi buat selamanya. Air tangannya seperti dibawanya pergi. Hidup di bawah paras mewah, terpaksa menukar daripada kereta impot kepada kereta second hand buatan negara. Dan sang isteri terpaksa mengurangkan pembantu di restoran supaya pendapatan lebih stabil. Dan kemudian terpaksa menutupnya sahaja restoran, kerana tidak menguntungkan.

Tetapi, dan rupanya cinta dia hanya ketika senang. Cinta sang keluarga hanya ketika mereka memerlukan. Dan tiba masa Allah memberi rezeki di sana yang lebih, lalu sang isteri mahu kembali kepada keluarganya, dan dia disambut gembira oleh mereka. “Tak kan anak aku kena berniaga nasi lemak di tepi jalan? Tak mungkin anak pengarah urusan syarikat menjual wajahnya di tepi jalan  dan dipanggil Kak Mah penjual nasi lemak?” 

Begitulah nasib malang si abang yang kini kerjanya memandu Grab. “Aku doa dia bahagia bersama keluarganya,” abang malang menamatkan ceritanya.

Kepada orang muda belajar dulu mengenal hidup sebelum mengenal cinta. Cari dan gali ilmu yang membolehkan kamu nanti hidup berdikari dan tidak menunggu simpati ibu bapa, jauh sekali mengharap dengan mengahwini seseorang, kamu selamat tidak payah berusaha. Apa pun ceritanya, berdikari dulu sebelum bercinta. Persiapkan diri dengan pendapatan stabil dan bila ada duit sendiri, barulah fikir cinta sebagai persiapan berumah tangga. Jangan pula bercinta tetapi langsung tiada niat untuk kahwin. Itu bukan ajaran Islam. 

Kepada yang putus cinta, usah terus menangisi kepergiannya kerana ada sebab mengapa kamu berpisah dengannya, percayalah Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik daripada dia terutama diri di pihak yang benar. When Allah loves you, He places the love of you in the hearts of the people whose love is worth having. Percayalah saat kamu jatuh cinta kepada Allah, maka semua kesulitan hidup akan menjadi mudah. Imam Syafie ada menyebut, “Jangan mencintai orang yang tidak mencintai Allah. Jika mereka meninggalkan Allah, mereka akan meninggalkanmu.

Penghargaan
Jurugambar: Iqqivr.Photogministry
Pengarah Seni: Wirda Adnan

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Doaku…

Wirda Adnan

CINTA DADDY

Wirda Adnan

Cinta Mendengar Cinta, Berkata Cinta, Melihat Cinta

Wirda Adnan

Leave a Comment