EYE ME

Sayang, Sendu Yang Belum Hilang 

Luka ini dalam

Sendu yang belum hilang

Menusuk jantung, hati, ginjal, tulang 

Entah, aku bagai tidak mahu melepaskannya

sekalipun aku tahu, hayatnya tidak lama, menunggu masa pergi selamanya

Sayang, sesekali aku rasa amat berdosa

Saat kau masih boleh berkata, tidak jemu bercerita fasal kereta

Saat kau masih mampu mendengar Lokman Adam live 

Melayan pandangan politik terkini Iswardy Morni

Memecah sepi malam di Heart Center Serdang 

Sambil leka mendengar lantang Menteri bersidang

Doktor minta bicara dengan kami bertiga

Toksik yang melarat seluruh anggota hingga ke otak

Dan buah pinggang gagal

Pendarahan di mulut ketara

Di ruang perut juga

“No, doctor, I insist, no dialysis,” tegas dia bersuara 

Daddy please, please, otherwise…”

“I say, no dialysis.”

Borang ditandatangani sendiri, 

Keputusan sebaliknya daripada waris

Berakhir dia diintubasi

“InshaAllah daddy kamu bangun selepas ini,” sambil memujuk Tisham dan Imtiaz.

Sheraaz, Esra rindu menanti.

I love Dada, daddy, why can’t I visit  Dada?

Sheraaz mirip perangainya, rambutnya, matanya, senyumnya… 

Esra, dia hanya sempat bermain dengannya seketika.

Kerana keduanya, semangat itu kuat untuk dia terus hidup.

“Nanti dada bawa Sheraaz jalan jauh-jauh naik kereta, kita holiday sama.”

Tanggal Rabu, 22.11.23, 7.33 malam, disaksikan sendiri ayahandanya, kami tiga beranak, dan beberapa ahli keluarga, 20 hari selepas merayakan hari jadi ke 58, dia dipanggilnya menemui Yang Esa. KepadaNya dia dikembalikan kerana Allah lebih menyayanginya. 

Saat menatap wajah ibu mertua, jantung saya seolah terhenti seketika, tidak sanggup melihat wajahnya terlalu sayu, satu-satunya anak pergi meninggalkan mereka terlebih dahulu. Mana ibu dan ayah yang sanggup menatap tubuh anak yang kaku?

Dia disemadikan di perkuburan Islam, Bukit Kiara. Saya menyertai solat jenazahnya, kemudian pulang ke rumah. Eddah empat bulan 10 hari sudah bermula.

Jejari ini belum laju menulis cerita, otak ini seolah kaku melahirkan kata-kata.

Yang tahu, tahulah dia sudah di alam sana.

Dua ribu dua puluh, aku ingat sangat tarikhnya, hari dikuatkuasakan PKP seluruh negara, itulah harinya dia menjalani pembedahan pertama akibat kanser kolon (colorectal cancer). Dan selepas itu, aktivitinya tidak langsung berkurang, walaupun dalam tempuh kemoterapi selama 12 kali. Kegiatan hariannya berjalan seperti biasa, sungguh aktif. Penat, dia tidur, kemudian menyambung tugasan dalam dunia keretanya. Minatnya pada kereta juga membawa jauh ke hingga ke negara jiran, sebagai pengasas Kelab BMW Society membawa dia dan pencinta kereta BMW nun sehingga ke Bangkok juga ke marata di sekitarnya. Atau laju menerima undangan kawan-kawan di Utara,Timur, Selatan sehingga ke Singapura. Dalam rancangannya mahu menakluki Asia Barat berkomboi seiringan minat sama.

Saat dinantikannya. Dia disahkan bebas kanser dan boleh membuat pilihan untuk tidak lagi menggunakan bag stoma. Sudah tentu dengan aktiviti yang tidak mengenal waktu, ia berita gembira buatnya. 

Tanggal 23 Mac 2023, hari pertama menyambut Ramadan dia kembali ke wad, dua hari kemudian pembedahan (stoma reversal major surgery, juga dipanggil ostomies) dijalankan. Sepuluh hari di wad, dibenarkan pulang tetapi dua minggu kemudian ambulan terpaksa dipanggil. Keadaannya amat membimbangkan. Doktor mengesahkan ada kebocoran berlaku tetapi tidak mahu segera dibedah kerana tempat pembedahan masih merah. Enam minggu didos antibiotik, akhirnya kembali juga ke bilik pembedahan. Saya teringat bertanya ketua pakar, akan berapa lama masa diambil untuk pembedahan kali ini, jawabnya, “Between four to five hours the most.” 

Allahu Akbar, seluruh ahli keluarga, berdoa dan terus berdoa kerana dari jam 12.30 tengah hari dan sehingga angka waktu menunjukkan jam 12 malam, pembedahan masih dijalankan; seram sejuk, debar, cemas, Allah sahaja yang tahu hati isteri, anak, ibu ayah, ibu saudara, ayah saudara, anak saudara, ipar duai, sepupu sepapat yang sedetik pun tidak dapat melelapkan mata, dan akhirnya tepat 12.45 malam barulah pembedahan tamat. Alhamdulillah.

Sedih, kerana episod seterusnya tukar wad, HDU, wad biasa, ICU, HDU semula, discharge, kemudian dimasukkan semula; jangkitan kuman, dehydration, tinggi potasium, jantung, buah pinggang…ya Ramadan, Aidilfitri, Aidiladha, hari jadi anak, cucu, menantu semua disambut di hospital tetapi dia tidak pernah mengadu sakit, mahupun mengeluh, malah tidak pernah sekalipun minta untuk pulang ke rumah. Rumahnya berbulan-bulan di hospital dan kawan-kawan barunya doktor, jururawat, pesakit sebelah menyebelah yang bertukar ganti. Akhirnya pulang ke rumah. 

Keadaannya tidak sesihat mana. Berjalan tak lalu, duduk lama pun tidak boleh. Berbaring sahaja di katil dan makan pun tidak lalu sekalipun dimasak oleh sang ibu yang sebut apa sahaja nak makan. Dan ayah yang menghantar serbaneka makanan tapi untuk masuk sesudu dua ke perut pun payah. Selalu disebut kepada kawan-kawan yang melawatnya di hospital, “Yang paling aku menyesal buat stoma reverse operation, kalaulah aku tahu… tak payah, tell your family and friends, cuba elakkan.”

Tanggal 12.10.23 usahanya untuk mendapatkan rawatan segera jantung berjaya, dia dibawa ke Hospital Jantung, Serdang dan terus ditahan. Agak menyedihkan dia tidak berapa gembira di situ, membandingkan treatment yang diterima di HKL. Akuinya jauh sangat kecekapan dan layanan petugas di HKL berbanding di Serdang.Temannya kini hanya telefon bimbit, ya paling disenangi ialah tentang isu politik semasa dan mendengar ulasan-ulasan agama daripada ustaz Azhar Idrus. Begitu pun dia masih menguruskan kerja-kerjanya melalui whatsapp. ”Sayang, tunggu ada Lalamove datang menghantar sparepart, ada kereta di depan rumah sedia diambil oleh mekanik untuk dibaiki dan sebagainya. Ada kawan I hendak datang mengambil bahagian-bahagian kereta…” ( Geram juga porch menjadi tempat spare part aneka kereta, ikutkan hati mahu dicampak sahaja).

Rabu 15 Nov 23, keadaannya semakin tidak stabil tetapi dia sendiri tidak mahu mengakui…berkali-kali katanya, dia okay.  “Balik, tidak payah tunggu lama-lama. I am okay, nothing to be worried about.” Namun komplain daripada petugas dia kurang memberikan bekerjasama dan kami anak beranak terpaksa masuk campur untuk menasihatinya. Mungkin dia sudah tahu masanya perginya hampir tiba. Dalam seminggu sebelum itu memohon makanan yang jarang sekali diminta, mahukan rojak buah sedangkan rojak mamak hampir setiap hari sewaktu di rumah yang dimahukan. Pelik rojak pun dari satu tempat sahaja. Saya teringat ketika hujan teramat lebat pergi ke lokasi, sedih kedai ada tetapi penjual rojak buah sudah lama tidak beroperasi.Sempat menguruskan untuk mencari di tempat lain. “Tak sedap..” sekadar melihat dan langsung tidak disentuh. Namun tiga hari kemudian minta semula, begitulah makanan lain cuma sesudu yang masuk.

Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, afiatkanlah dia, maafkan dia, muliakanlah persinggahannya, luaskan tempat masuknya, bersihkan dia dengan air, salji dan air dingin, dan sucikanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana Engkau membersihkan kain putih daripada kotoran, dan gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), keluarga yang lebih baik dari keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Dan masukkanlah dia ke syurga dan jauhkan dia dari seksa kubur atau seksa negara (sahih Muslim no, 963). 

Dikesempatan ini kami sekeluarga mohon dimaafkan apa juga kesilapan yang pernah dilakukan. Mohon dihalalkan makan minumnya, juga mohon bertemu kami sekiranya ada hutang puitang yang masih belum dijelaskan sewaktu hayatnya. Terima kasih semua kerana memudahkan dan mencepatkan segala urusan; para petugas hospital, adik beradik dan saudara mara, kawan-kawan yang turut mendoakan, menyolatkan dan menyertainya sehingga ke kubur.

We pray ALLAH SWT forgive the sins of arwah Mohamed Hisham bin Idris and place him amongst the righteous in Jannatul Firdaus. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Aalamin.

Related posts

CINTA DADDY

Wirda Adnan

Cinta Mummy

Wirda Adnan

KISAH DAN TAULADAN

Wirda Adnan

Leave a Comment