AGAMA

MENGAPA RASULULLAH SAW MENGGALAKKAN ZIARAH KUBUR

Manfaat menziarahi kubur

Terdapat banyak sebab mengapa Rasulullah SAW menggalakkan ziarah kubur. Begini cara amalan itu memberi manfaat kepada orang ramai, baik yang hidup mahupun yang sudah mati:

Ia mendorong seseorang untuk berfikir tentang kematian dan akhirat. Melalui amalan itu, umat Islam akan mudah mempelajari pelajaran hidup yang penting.

Pelawat mencapai kesedaran kepada Allah atau ketakwaan. Ia memastikan bahawa orang yang beriman tidak menumpukan semua perhatian mereka kepada perkara duniawi yang sekejap. Orang itu belajar kepentingan hidup berlandaskan Islam dan menjauhi amalan yang haram.

Menziarahi kubur, terutama bagi Rasulullah (SAW) dan hamba-hambanya yang suci, menyegarkan jiwa. Pelawat merasakan hubungan positif yang kuat dengan orang yang disayangi yang mati. Nabi SAW percaya bahawa menziarahi orang mati tidak berbeza dengan menziarahi orang hidup. Menurut satu hadis, Nabi (SAW) bersabda, “….seolah-olah dia melawat saya ketika saya masih hidup.”

Menziarahi kubur memperdalam kesedaran pelawat tentang masa lalu, sejarah agama, dan budaya mereka.

Amalan itu memastikan keselamatan jiwa orang mati. Ulama Islam dan beberapa hadis bersetuju bahawa kebaikan pengunjung boleh dipindahkan kepada orang tersayang yang telah meninggal dunia. Adalah dipercayai bahawa doa pelawat memberikan ketenangan dan pengampunan kepada orang yang tersayang.

Soal lazim berkenaan adab menziarahi kubur

Di bawah ini adalah beberapa persoalan yang ada kaitannya dengan amalan menziarahi kubur yang diamalkan oleh umat Islam.

1. Apakah hukum ziarah kubur pada Hari Raya?

Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.

Adapun jika kita ziarah pada Hari Raya, bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa, ia tidak mengapa.

Namun jika kita ziarah dengan tujuan untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah.

2. Adakah terdapat hari-hari terbaik untuk ziarah kubur?

Tidak terdapat dalil yang kuat mengatakan waktu atau hari-hari tertentu untuk kita menziarahi kubur.

Adapun terdapat saranan ulama sahaja kerana berdasarkan dalil yang tidak kuat.

Kata Imam al-Qurtubi dalam at-Tazkirah: “Dikatakan, roh akan menziarahi kuburnya pada setiap hari Jumaat secara berterusan. Kerana itu, digalakkan menziarahi kubur pada malam Jumaat, hari Jumaat dan pagi Sabtu sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama.”

3. Adakah si mati tahu kita ziarah kubur?

Berkata Imam Ibnu Al-Qayyim:

Sungguhnya segala hadis dan perkataan sahabat menunjukkan atas bahawasanya orang yang ziarah apabila datang ke kubur nescaya sekelian penghuni kubur akan tahu dengan kedatangannya dan mendengar akan salamnya dan menjawab salamnya dan merasa terhibur dengan kedatangannya.”

Penghuni kubur tersebut tahu dan kenal siapa yang ziarahnya itu jika dia pernah kenalinya di dunia.

Dan apabila yang ziarah memberi salam nescaya penghuni kubur itu menjawab salamnya dan penghuni kubur merasa suka dengan kedatangan saudara mara yang menziarahinya.

4. Bagaimana dikatakan ziarah kubur itu mengingatkan tentang akhirat

Alam barzakh ialah tempat seterusnya selepas menjalani kehidupan di dunia ini. Suka atau tidak seorang yang hidup pasti akan menuju ke alam barzakh. Hidup seseorang adalah selama mana yang ditetapkan olih Allah. Bila tiba masanya maka datanglah ajal menjemputnya. Hidup dan mati, dunia dan alam kubur semuanya adalah ujian Allah ke atas hambaNya.

Firman Allah:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً

Maksudnya: “Dialah Tuhan yang menjadikan kematian dan kehidupan supaya mengujia kamu semua siapakah yang paling baik amalnya.” – (Surah Al-Mulk, ayat 2)

Seseorang apabila melihat kuburan pasti akan sedar suatu hari dia juga akan mati dan dikuburkan. Ingat tentang berseorangannya dalam kubur tanpa teman melainkan jika ada amal yang solih. Kubur adalah permulaan hidup akhirat yang tidak ada seorang pun bolih kembali ke alam dunia.

Jika baik keadaannya di dalam kubur maka baiklah keadaannya dipadang mahsyar nanti. Sudah tentu orang yang cerdik akan merasa insaf dan akan menggandakan amal solih sementara belum menjadi penghuni kubur.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

ﺯُﻭْﺭُﻭﺍ ﺍﻟْﻘُﺒُﻮْﺭَ . ﻓَﺈِﻧَّﻬَﺎ ﺗُﺬَﻛِّﺮُﻛُﻢُ ﺍْﻵَﺧِﺮَﺓَ

Maksudnya: “Ziarahlah kamu semua akan kubur. Maka sungguhnya ziarah kubur itu mengingatkan kamu semua akan akhirat.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ingat mati itu adalah disuruh olih syarak dan terhitung dalam sifat yang dipuji. Diantara cara untuk mengingati mati ialah dengan menziarahi kubur kerana kubur itu tempat diletakkan orang yang sudah mati.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda :

أكثروا ذكر هادم اللذات : الموت

Maksudnya: “Perbanyakkanlah kamu semua mengingati akan perkara yang memutuskan kesedapan yaitulah mati.” – (Hadis Riwayat Tirmizi & Nasaie)

5. Apakah tujuan ziarah kubur?

Berkata oleh Al-Hafiz Taqiyudin Subki tujuan ziarah kubur itu ada empat yaitu mengambil peringatan tentang kematian dan hari akhirat dan mendoakan ahli kubur dan mengambil keberkatan dan menunaikan hak ahli kubur. (Kitab Syifa’ al-Siqam)

6. Apakah hukum membaca yasin di kubur?

Sebenarnya tiada dalil yang jelas menyatakan untuk membaca Yasin kepada orang mati di tanah perkuburan namun begitu tiada juga larangan untuk membacanya. 

Daripada Safwan RA:

Maksudnya: “Menceritakan kepadaku para syeikh (guru) bahawa mereka menghadiri Ghudhaif bin Harith ats-Thumali ketika beliau sedang menghadapi sakitnya maut, maka dia berkata :

“Apakah ada di antara kalian yang mahu membacakan Yasin?”. Dia (Safwan) berkata, maka Salih bin Syuraih al-Sakuniy membacanya (Yasin), tatkala sampai pada ayat ke 40 lalu Ghudhaif wafat. Dia (Safwan) juga berkata : “Para syeikh (guru) mereka berkata :“Apabila dibacakan samping orang yang hendak meninggal nescaya Allah akan meringankan baginya disebabkan dengan bacaan tersebut”.  – (Hadis Riwayat Ahmad)

Diharapkan semoga pekongsian kami ini berkenaan dengan adab menziarahi kubur dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:
Irsyad Al-Fatwa Ke-42: Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya. Mufti Wilayah Persekutuan
Adab Menziarahi Kubur. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Related posts

KHATAMKAN QURAN DI BULAN RAMADAN MESKIPUN SEKALI

adminwm

Tuntutan Menghubungkan Silaturrahim

admin

Bagaimana Mendapatkan Hidayah dari Allah?

admin

Leave a Comment