AGAMA

Hukum Menolak Kebenaran dan Mengikuti Hawa Nafsu Yang Jahat

Gambar hiasan sahaja

KETAHUILAH semoga kita semua dirahmati Allah bahawasanya diharamkan ke atas semua individu Muslim menolak kebenaran dan mengeksploitasi fatwa ulama yang lemah pendalilannya demi kepentingan diri. Sesetengah kita sengaja mencari pendapat ulama yang paling ringan dan paling secocok dengan hawa nafsu mereka. Perkara ini tentunya dibuat tidak berdasarkan dalil dan hujjah syarak yang muktabar.

Sikap suka mentarjih (memilih pendapat tertentu) dan menentukan sesuatu masalah berdasarkan hawa nafsu dengan berselindung di sebalik slogan: “Dalam masalah ini terdapat perselisihan pendapat ulama. Yakni terdapat dua ataupun lebih pendapat ulama yang berselisih faham tentangnya.”

Mereka yang mengikut cara sebegini zahirnya selalu berpindah daripada satu mazhab ke mazhab yang lain, berpindah daripada satu pendapat kepada pendapat yang lain demi mengikut dorongan hawa nafsu mereka. Di hadapan manusia mereka berselindung dengan dakwaan mereka mengikut hukum Allah SWT, mengikut sunnah Nabi SAW, mengikut pendapat ulama dengan pakaian berjubah dan berserban. Namun hakikatnya, di sisi Allah mereka hanya menunggang hawa nafsu semata-mata. 

Senario ini ditegur oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim bermaksud: “Terangkan kepada-Ku wahai Muhammad tentang orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara ke atasnya. Ataupun apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar ataupun memahami padahal mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya.” (Al-Furqan: 43-44)

Firman-Nya lagi: “Apakah setiap kali datang kepadamu seorang Rasul membawa sesuatu pelajaran yang tidak sesuai dengan keinginanmu lalu kamu menyombong? Maka beberapa orang Rasul di kalangan mereka kamu dustakan dan beberapa orang yang lain kamu bunuh.” (Al-Baqarah: 87)

Firman-Nya lagi: “…tetapi setiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa (perintah) yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka maka sebahagian daripada Rasul-Rasul itu mereka dustakan dan sebahagian lagi mereka bunuh.” (Al-Maidah: 70) 

Firman-Nya: “Maka jangan kamu mengikuti hawa nafsu untuk menyimpang daripada kebenaran. Dan apabila kamu memutar belitkan kata-kata ataupun enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah maha mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” (Al-Nisa’: 135) 

Firman-Nya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami jadikan kamu penguasa di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia menyesatkan kamu daripada jalan Allah.” (Shad: 26) 

Firman-Nya lagi: “…Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu dan mereka telah menyesatkan kebanyakan manusia dan mereka tersesat daripada jalan yang lurus.” (Al-Maidah: 77) 

Kesimpulannya, ayat-ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa sikap mendustakan kebenaran dan mengikuti hawa nafsu serakah adalah perbuatan yang dicela oleh Allah SWT. Ia bukan sahaja wujud dalam kalangan ahli kitab atau generasi musyrikin terdahulu, tetapi penyakit ini juga turut menghinggapi segelintir agamawan dan umat Islam pada hari ini. Iaitu penyakit cintakan dunia dan takutkan kematian.

Daripada Sayyidina Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Syurga itu dikelilingi oleh sesuatu yang tidak mengujakan nafsu (di dunia). Manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara yang menyeronokkan (di dunia).” (Riwayat Muslim di dalam Sahihnya m/s 2174 juz 4)

Sesungguhnya telah berlaku ijmak (kesepakatan) di kalangan ulama muktabar bahawa haram hukumnya bertindak sembrono dalam mengeluarkan fatwa dan menyimpang daripada pendapat yang sahih lagi rajih. Maka wajib ke atas setiap ulama mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Dan wajib pula atas setiap muqallid (pengikut) untuk mengikuti dalil yang sahih lagi rajih (paling kuat) dalam lingkungan mazhab Imam mereka. Marilah kita ikuti beberapa pandangan ulama mengenai hal ini:

Imam al-Hafiz Ibn Abd al-Barr di dalam kitabnya  Jami’ Bayan al-Ilmi wa Fadhluh m/s 112 juz 2 mengatakan: “Apabila anda mengambil setiap pendapat yang paling lemah daripada ulama maka terkumpullah segala kejahatan.” Katanya lagi: “Ini adalah ijmak ulama (kesepakatan semua ulama).”

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab m/s 55 juz 1 mengatakan: “Sekiranya seseorang itu dibolehkan mengikuti apa yang dikehendakinya, nescaya perbuatan ini akan membawa kepada keinginan bagi mencari keringanan di dalam mazhab. Perbuatan ini sebenarnya hanya menurut hawa nafsu. Seseorang itu akan mudah memilih antara yang halal, haram, wajib dan juga harus. Perbuatan ini boleh membawa kepada terungkainya tuntutan taklif syarak.” Kata-kata yang senada juga turut diluahkan oleh Imam al-Hafiz Ibn al-Solah di dalam kitabnya Adab al-Mufti wa al-Mustafti m/s 46 juz 1.

Imam al-Nawawi sekali lagi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab m/s 46 juz 1 menegaskan: “Haram hukumnya bertindak sembrono dalam memberikan fatwa. Dan haram pula bagi mereka yang meminta fatwa daripada orang yang bersikap sembrono itu.”

Allamah al-Syatibi di dalam al-Muafaqat m/s 134 juz 4 mengatakan: “Sesungguhnya mengikut pendapat yang paling mudah (paling lemah) di dalam mazhab itu akan membawa kepada pegangan yang tidak berdasarkan kepada dalil syarak. Sesungguhnya Ibn Hazm telah menyatakan telah berlaku kesepakatan secara ijmak bahawa perbuatan sedemikian adalah fasiq (kejahatan) dan tidak halal.” 

Imam al-Hafiz al-Zahabi di dalam kitabnya Siyar A’lam al-Nubala’ m/s 90 juz 8 mengatakan: “Barangsiapa yang mencari kemudahan (pendapat yang lemah) dalam mazhab dengan kekeliruan ulama mujtahid maka tipislah agamanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Auza’ie dan lain-lain yang berbunyi: “Sesiapa yang mengambil pendapat ulama Makkah tentang kebenaran nikah mut’ah (sinonim dengan amalan pengikut Syiah), pendapat ulama Kufah tentang halalnya arak dan pendapat ulama Madinah tentang keharusan nyanyian melalaikan serta pendapat ulama Syam (Jordan, Palestin dan Syria) tentang maksumnya khalifah yang empat, maka sesungguhnya dia telah mengumpul kejahatan. Dan demikian juga bagi mereka yang menghalalkan jual beli riba, nikah mut’ah, talak bid’ah dan sebagainya. Semua ini membawa kepada kehancuran agama. Marilah kita memohon taufiq dan hidayah daripada Allah SWT.”

Imam al-Hafiz Taqiyuddin al-Subki di dalam Fatwanya m/s 147 juz 1 mengatakan: “Bagi mereka yang mengambil pendapat yang mudah di dalam mazhab, mereka akan menikmatinya dengan sedap kerana sebenarnya mereka mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut agamanya.”

Berdasarkan kepada dalil dan keterangan di atas, kita dapati bahawa Islam melarang seseorang daripada menolak kebenaran dan mengikuti hawa nafsunya yang jahat. Manakala tindakan mencari pendapat ulama yang lemah dalilnya atau mencari hukum yang paling mudah dalam urusan agama pula salah satu daripada perbuatan mengikut hawa nafsu. Ia sesuatu yang terlarang lagi haram sebagaimana dijelaskan oleh ulama.  Justeru, saya menyeru individu Muslim supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan berpegang kepada nilai kebenaran, tidak menjual agama dengan keuntungan dunia dan beristiqomah dengan akhlak Islam. Semoga kita semua mampu mencapai keredaan-Nya. 

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Sumber Jakim

Related posts

Rasulullah SAW Menyayangi Negara Sendiri

admin

Adakah Free Thinker Dianggap Murtad?

adminwm

QAZAF

adminwm

Leave a Comment