Menjelang Syawal, begitu ramai yang akan berkunjung ke pusara insan-insan yang disayangi yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Ini juga amalan yang digalakkan namun begitu sebelum itu, sebaiknya anda ketahui dulu adab supaya kunjungan kita diredhaiNya, dan bukan mengundang dosa. Kehadiran ke situ selain menghilangkan rindu sudah tentu untuk mendapat pahala, juga dengan sedekah ayat-ayat suci memberikan ketenangan kepada rohnya.
Adab menziarahi kubur adalah serangkaian tata cara dan sikap yang dianjurkan dalam Islam ketika mengunjungi kuburan.
Tujuan utama dari menziarahi kubur adalah untuk menghormati dan mengenang orang yang telah meninggal dunia, serta untuk merenungkan kehidupan dan akhirat.
1. Niat yang ikhlas
Sebelum mengunjungi kuburan, penting untuk memiliki niat yang ikhlas untuk mengenang dan mendoakan orang yang telah meninggal. Niat ini haruslah murni kerana Allah SWT.
2. Berpakaian sopan
Adab menziarahi kubur yang seterusnya adalah berpakaian sopan dan bersih dan wajib menutup aurat. Ya, hindari memakai pakaian yang terlalu mencolok atau berlebihan. Ini adalah bentuk penghormatan kepada orang yang telah meninggal.
3. Membersihkan diri
Sebelum mengunjungi kuburan, disarankan untuk membersihkan diri dengan mandi atau wudhu.
Hal ini melambangkan kesucian dan kesiapan batin ketika bertemu dengan orang yang telah meninggal.
4. Mengucapkan salam
Ketika tiba di kuburan, sebaiknya mengucapkan salam kepada orang yang telah meninggal dengan mengucapkan:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ, يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ, أَنْتُمْ سَلَفُنَا وَنَحْنُ بِالْأَثَرِ
‘Assalamualaikum ya ahlal qubur, yaghfirullahu lana walakum, an’tum salafuna wanahnu bil athsar’
Maksudnya: “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur. Semoga Allah mengampunkan kami dan kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikuti kamu.” – (Hadis riwayat At-Tirmizi)
ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺩَﺍﺭَ ﻗَﻮْﻡٍ ﻣُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ، ﻭَﺃَﺗَﺎﻛُﻢْ ﻣَﺎ ﺗُﻮْﻋَﺪُﻭْﻥَ ، ﻏَﺪًﺍ ﻣُﺆَﺟَّﻠُﻮْﻥَ ، ﻭَﺇِﻧَّﺎ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ
‘Assalamu’alaìkum dara qaumìn mu’mìnîn wa atakum ma tu’adun ghadan mu’ajjalun, wa ìnna ìnsya-Allahu bìkum lahìqun’
Maksudnya: “Selamat sejahtera ke atas kamu semua penduduk negeri orang beriman. Dan telah datang akan kamu apa yang telah dijanjikan akan kamu. Dan hari esok akan tertunai. Dan kami semua insyaAllah akan bertemu dengan kamu sekalian.” – (Hadis riwayat Imam Muslim)
ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠﻰَ ﺃَﻫْﻞِ ﺍﻟﺪِّﻳَﺎﺭِ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﻤُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﻠِﻤِﻴْﻦَ، ﻭَﻳَﺮْﺣَﻢُ ﺍﻟﻠﻪُ ﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﻘْﺪِﻣِﻴْﻦَ ﻣِﻨْﻜُﻢْ ﻭَﻣِﻨَّﺎ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﺄْﺧِﺮِﻳْﻦَ، ﻭَﺇِﻧﺎَّ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ
‘Assalamualaikum a’la ahliddiyaari, minal mukminin wal muslimiin, wayarhamullahul mustaqdimiina minkum wa minnaa wal mutaakhirin, wa innaa insha allahu bikum laahiquun’
Maksudnya: “Selamat sejahtera atas penghuni kubur dari mukminin dan muslimin. Semoga Allah merahmati yang terdahulu dari kamu semua dan dari kami yang terkemudian. Dan kami insyaAllah akan bersama kamu.” – (Hadis riwayat Imam Muslim)
Atau lafaz ringkasnya seperti:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ
‘Assalamu’alaikum ya ahlal qubur’
Maksudnya: “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur”
5. Menghormati kuburan
Di samping, adab menziarahi kubur yang lain adalah dengan menjaga sikap agar sopan dan menghormati orang lain.
Hindari perbualan yang kuat dan bisinh atau melakukan hal-hal yang tidak baik di sekitar kuburan. Dalam masa yang sama, jangan duduk atau berjalan di atas kuburan juga.
6. Membaca doa dan Al-Quran
adab menziarahi kubur
Disarankan membaca doa-doa untuk orang yang telah meninggal seperti doa keselamatan, doa pengampunan, dan sebagainya.
Antara doa yang boleh dibaca adalah seperti yang berikut:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الذُّنُوبِ والْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ
الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّار, وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ، ونَوِّرْ لَهُ فِيهِ
Allahummaghfìrlahu war hamhu wa ‘aafìhìì wa’fu anhu, wa akrìm nuzuulahu wawassì’ madholahu, waghsìlhu bìl maa’ì watssaljì walbaradì, wa naqqìhì, mìnaddzzunubì wal khathaya kamaa yunaqqatssaubul abyadhu mìnad danasì.”
“Wabdìlhu daaran khaìran mìn daarìhì wa zaujan khaìran mìn zaujìhì. Wa adkhìlhul jannata wa aìdzhu mìn adzabìl qabrì wa mìn adzabìnnaarì wafsah lahu fì qabrìhì wa nawwìr lahu fìhì.”
Maksudnya: “Ya Allah, berilah ampunan dan rahmat kepadanya. Berikanlah keselamatan dan berikanlah maaf kepadanya. Berikanlah kehormatan untuknya, luaskanlah tempat masuknya. Mandikanlah dia dengan air, ais dan embun. Bersihkanlah dia dari kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan baju yang putih dari kotoran.”
“Gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik dari rumahnya, isteri yang lebih baik dari isterinya. Masukkanlah dia ke dalam surga, berikanlah perlindungan kepadanya dari azab kubur dan azab neraka. Lapangkanlah baginya dalam kuburnya dan terangilah dia di dalamnya.” – (Hadis Riwayat Muslim).
Sunat untuk menghadap kiblat dan berdoa. Doa apa saja seikhlas hati boleh dan terpuji
Anda juga boleh membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala kepada arwah dengan niat yang ikhlas.
Menurut Almarhum Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, seorang profesor perundangan Islam di Syria;
Beliau menggalakkan penziarah kubur untuk membaca surah Yasin, Al-Ikhlas dan ayat-ayat seperti awal dan akhir Al-Baqarah serta ayat Kursi.
7. Tidak berlebihan dalam berkabung
Meskipun berkunjung ke kuburan adalah saat untuk mengenang orang yang telah meninggal, penting untuk menghindari berlebihan dalam ekspresi kesedihan atau berkabung yang dapat mengganggu ketenangan.
8. Menghormati pengunjung lainnya
Jika ada pengunjung lain di sekitar kuburan, hindari mengganggu mereka. Berikan privasi kepada mereka yang sedang berkunjung atau berdoa.
9. Menghindari perbuatan kurafat
Walaupun tidak semua, tetapi segelintir masyarakat masih mengamalkan upacara pemujaan, ritual, atau perbuatan kurafat di tanah kubur.
Tujuan pemujaan tertentu ini adalah kononnya untuk mengubati penyakit, menolak sial, memohon sesuatu hajat, amalan tarik duit, memohon mencari harta karun dan sebagainya.
Sesungguhnya kepercayaan yang membawa kepada khurafat adalah haram dan boleh menyebabkan syirik. Sesungguhnya perbuatan sedemikian adalah antara dosa besar serta dijanjikan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat jika tidak bertaubat.
Sabda Nabi SAW: “Jauhilah kamu dari tujuh dosa besar. Berkata sahabat: Apakah ianya Rasulullah SAW? Jawab Baginda Nabi SAW: Syirikkan Allah dan sihir.” – (Hadis Riwayat Muslim)
10. Tidak meratapi dan meraung
Perbuatan meratapi dan meraung di tanah perkuburan secara keterlaluan seolah-olah tidak meredai takdir Allah adalah dilarang.
Hal ini kerana bersikap berlebih-lebihan dalam urusan agama adalah hal yang terlarang.
Rasulullah bersabda: “Waspadalah kalian pada sikap berlebihan. Sesungguhnya binasanya orang-orang sebelum kalian disebabkan berlebihan dalam urusan agama.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sumber:
Irsyad Al-Fatwa Ke-42: Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya. Mufti Wilayah Persekutuan
Adab Menziarahi Kubur. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan