AGAMA

Peranan Ayah Dalam Quran

  1. Sempena Hari Bapa ini, marilah kita renungi bersama peranan seorang ayah seperti yang direkodkan dalam al-Quran. Dalam al-Quran, Allah banyak menampilkan contoh dialog di antara ayah dan anak. Ia menggambarkan tentang keutamaan peranan ayah dalam pembinaan sebuah institusi keluarga.
  2. Antara peranan dasar yang disebutkan adalah berhubungkait tentang pendidikan tauhid dalam rumah tangga. Ini dapat difahami melalui pesanan pertama yang disampaikan oleh Luqman kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Ini adalah saranan paling utama yang disebutkan oleh Allah melalui nasihat-nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya.

  1. Atas dasar itu al-Imam Ibn al-Qayyim turut pernah menjelaskan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan ditelinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos ke telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. (Ibn al-Qayyim, Tuhfah al-Maudud)
  2. Kedua, seorang ayah perlu memastikan agar anak kekal dalam kebenaran agama ini. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim menasihatkan anak-anaknya agar terus kukuh dalam agama Islam serta mati di dalam agama ini. Firman Allah:

وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (al-Baqarah: 132)

  1. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim berpesan kepada anaknya agar kekal dan terus utuh dalam agama ini. Seorang ayah seharusnya mendidik anak-anaknya mempertahankan Islam sepertimana yang dilakukan oleh para sahabat Nabi.
  2. Ketiga, Seorang ayah juga wajib memerintahkan anaknya agar mendirikan solat. Ini dapat dipelajari melalui firman Allah yang menyebutkan:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

“Dan perintahkanlah (wahai Muhammad) ahli keluargamu supaya menunaikan solat, dan hendaklah kamu bersabar atasnya (atas urusan ini). Surah Taha: 132.

6.1 Menurut al-Imam al-Qurtubi, setelah turunnya ayat ini, Rasulullah akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, menyeru mereka supaya menunaikan solat. Lihatlah bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullah masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat. (al-Qurtubi, al-Jami Li Ahkam al-Quran, al-Qahirah, 1964, 11/263).

  1. Keempat, seorang ayah juga dinasihatkan agar sentiasa berdoa supaya Allah menjadikan seluruh zuriatnya mendirikan solat. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim sendiri mendoakan agar dikurniakan anak yang sentiasa mendirikan solat. Firman Allah:

رَبِّ اجعَلْني مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِن ذُرِّيَّتي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“(Nabi Ibrahim berdoa): Wahai Tuhanku, jadikanlah aku sebagai orang yang mendirikan solat dan begitu juga dengan keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini.” (Surah Ibrahim: 40)

  1. Ingatlah pesan al-Imam Ibn al-Qayyim bahawa peranan seorang ayah sangat berat. Seorang ayah yang leka boleh memberikan kesan terhadap kerosakan anak-anaknya. Kata al-Imam:
    “Tidak ada yang lebih merosakkan anak-anak berbanding kelalaian para ayah terhadap anak mereka.” (Tuhfatul Maudud)

Nasihat ini adalah untuk diri saya sendiri. Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Related posts

5 Tempat Suci di Masjidil Haram

admin

Bersolek, Berhias Harus Jika Tidak Sampai Tabbaruj

admin

Kisah Nabi Mumammad S.A.W

admin

Leave a Comment