AGAMA

BOLEHKAH BERKAHWIN TANPA RESTU IBU AYAH?

“Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” Riwayat at-Tirmizi

Abdullah bin Mas’ud pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling Allah SWT sukai?”. Baginda menjawab, “solat tepat pada waktunya”. Abdullah bin Mas’ud bertanya lagi, “Kemudian apa?”. Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?”. Rasulullah SAW menjawab, “Jihad kerana agama Allah SWT”. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Kembalilah kepada kedua ibu bapa kamu dan buatlah keduanya tertawa sebagaimana engkau telah membuat keduanya menangis.” (Hadis Riwayat Abu Daud & Baihaqi).

Jangan putuskan silaturahim dengan ibu bapa kerana hendak berkahwin dengan wanita pilihan hati.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra. dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: “Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk sehingga setelah selesai menciptakan mereka, bangkitlah rahim (hubungan kekeluargaan) berkata: Ini adalah tempat bagi orang berlindung (kepadaMu) dengan tidak memutuskan tali silaturahmi.

Allah menjawab: “Ya. Apakah kamu senang kalau Aku menyambung orang yang menyambungmu, dan memutuskan orang yang memutuskanmu?”

Ia berkata: “Tentu saja”.

Allah berfirman: “Itulah milikmu”.

Kemudian Rasulullah SAW. bersabda: Bacalah ayat berikut ini kalau kalian mahu: “Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinganya dan dibutakan matanya. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci. ” (Hadis Shahih Riwayat Muslim).

Hadis riwayat Aisyah r.a., ia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: “Barangsiapa yang menyambungKu (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan Aku, maka Allah pun akan memutuskannya.” (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Jubair bin Muth`im ra.: Daripada Nabi SAW. bahawa beliau bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadis Shahih Riwayat Muslim )

Hadis riwayat Anas bin Malik ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: “Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi).” (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Jika wanita pilihan hati tersebut terbukti baik akhlaknya, menutup aurat dan bersifat lemah lembut maka pujuklah ibu bapa dengan cara hikmah dan bijaksana. Ambil masa sedikit untuk solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya melembutkan hati mereka berdua. Ibu bapa yang bersifat penyayang tidak akan menolak bulat-bulat permintaan anak lelakinya. Cara mendapat restu adalah cara terbaik dan inilah yang dianjurkan oleh Islam. Jangan terburu-buru mengikut nafsu kerana sifat terburu-buru adalah sifat syaitan, sifat tenang dan bersabar adalah sifat orang mukmin.

Ibu ayah adalah insan yang paling penting dalam kehidupan anak-anak

Setiap tindakan yang anak ingin lakukan perlulah mendapat keizinan daripada ibu ayah sebagai menandakan kita adalah anak yang taat, pandai menghormati dan menghargai ibu ayah.

Apatah lagi dalam soal mencari dan memilih jodoh, restu ibu ayah itu sangat bermakna dan penting.  Tidak keterlaluan juga bila ada yang mengatakan, kunci kebahagiaan dan kehidupan yang berkat dalam rumah tangga adalah dengan adanya restu ibu ayah.

Benar, restu ibu bapa bukanlah syarat sah perkahwinan namun mengabaikan perasaan ibu ayah pasti akan melukakan hati mereka. Sedangkan, sebagai anak perlu mengutamakan ibu bapa kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas taat Allah SWT dan Rasul.

Ibu bapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang dipilih kecuali bagi wali mujbir, namun terbaik dengan tidak mengetepikan pandangan ibu ayah dalam bab memilih jodoh.

Pendahwah terkenal menerusi saluran YouTube rasmi, Ustaz Azhar Idrus Official menyebut, “Jika tiada restu ibu bapa itu berkaitan dengan agama, misalnya pasangan itu tidak baik perangainya maka kita perlu mematuhi nasihat ibu bapa.

“Jika pasangan pilihan kita baik agamanya, tetapi ibu bapa tidak menyukai seseorang yang baik pegangan agama maka kita boleh mendahulukan pilihan sendiri dan kemudian memujuk ibu bapa.

“Namun jika pilihan ibu bapa dan pilihan kita kedua-duanya baik dari segi agama, kita perlu berkahwin dengan pilihan ibu bapa kerana konsepnya tiada ibu bapa maka tiadalah kita. Namun katanya perkahwinan anak lelaki dengan pasangan tidak direstui ibu bapa tetap sah kerana lelaki tidak memerlukan wali. Jika kita meletakkan diri sebagai bapa, sukakah jika anak melawan cakap dan berkahwin dengan orang yang tidak kita sukai? Tentunya ramai tidak akan melakukannya. Justeru jika kita tidak mahu anak melakukan hal sebegitu maka elakkan berbuat sedemikian kepada ibu bapa pada hari ini. Jika tetap melakukannya ia dikatakan mementingkan diri sendiri,” katanya.

Related posts

Kurban Al Khairi Disempurnakan Empat Kumpulan & Pertubuhan Wanita

adminwm

Sakit Tidak Bererti Musibah

admin

Terlalu Ego Untuk Meminta Maaf? Ketahui Pandangannya Dalam Islam

admin

Leave a Comment