COVER STORY

AKHIRNYA SEMUA BUKA PEKUNG

Membuka pekung di dada bukanlah satu peribahasa yang membawa maksud indah. Pekung itu sendiri sudah cukup memberi gambaran atau makna yang menjijikan kerana ia merupakan sejenis penyakit kulit yang teruk dan berbau busuk.

Begitupun, tiada orang boleh tahu sekira anda sendiri tidak pukul canang dan sembunyikan dengan berbaju cantik dan ditutup sempurna. Semburlah sikit haruman Dior atau Chanel ke… siapa pula akan tahu?

Sebaliknya jika anda sengaja membuka dan biarkan orang lain untuk melihat, maka tentulah anda telah mendedahkan keburukan diri, atau sengaja mencari aib yang boleh mengundang pelbagai masalah lain juga.

Berkongsi maksud tersebut membuat kita tertarik dengan kisah yang kini viral iaitu kes pasangan suami isteri, pelakon dan penyanyi Alif serta isterinya Dayang Ara Nabella Awang Astillah atau popular dikenali sebagai Bella.

Ramai sudah tahu tentang kisah suami beliau ditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu dan menjadi viral sejak beberapa minggu kebelakangan.!!!

Sementelah satu Malaya sudahpun tahu betapa curangnya pelakon dan penyanyi Alif Aziz terhadap isterinya pelakon dan penyanyi Bella dan rasanya tidak perlu juga disebut satu persatu kronologi atau rentetan keretakan rumah tangga mereka hingga akhirnya menjemput mereka berdua ke mahkamah bagi menyelesaikannya.

Berikut sekadar rentetan peristiwa ringkas yang bukan sahaja telah mengejutkan ramai malah secara tidak langsung telah mendedahkan aib masing-masing dari mula hinggalah saat ini:

Bab Curang

Biasa benar kita dengar pasangan suami isteri atau kekasih curang tetapi sekali dua sajalah. Namun jika melebihi hingga lima kali seperti yang diakui Bella kala membuat kenyataan awal bersama wartawan tempuh hari, bagaimana?

Bagi Aliff mungkin kecurangan itu sesuatu yang biasa-biasa dan bukanlah isu besar atau boleh menjadi masalah berat agaknya. Mungkin sikap Bella yang sentiasa berada di belakang Aliff pada setiap kesilapan curangnya membuat dia ambil lewa akan perasaannya dan yakin Bella akan sentiasa memihak kepadanya walau apa sekalipun.

Setiap kali jugalah Bella akan membuat kenyataan mengatakan dia telah memaafkan suaminya itu and move on!

Namun tidak pada kali ini. Kerana terlalu marah, kecewa dan merasakan dirinya tidak dihargai langsung, akhirnya Bella yang banyak menyimpan dan memendam rasa, membuka rahsia sebenar bahawa Aliff telah curang kepadanya sebanyak 11 kali, bukan lima kali seperti yang diakuinya sebelum itu. Itupun mengikut seingatnya dan yang dia tahu, katanya.

Rasa macam tidak boleh masuk di akal? Memanglah pelik, malah mencurah komen negatif yang mengutuk perbuatan Aliff itu. Namun lebih menghairankan, bagaimana seorang wanita boleh bertahan sehingga diperlakukan dan dipermainkan sebegitu? Bila ditanya, Bella menjawab, cintanya tiada berbelah bagi hanya satu… untuk Aliff.

Aliff pula, walaupun pada mulanya cuba menafikan tuduhan khalwatnya dengan pelbagai alasan, akhirnya terpaksa mengalah dan Bella berjaya meyakinkan ramai akan hal yang sebenarnya berlaku di pangsapuri Ruhainies.

Cerita curang Aliff itu tidak terhenti di situ. Bagi menyelamat dan melindungi diri daripada kecaman dan tohmahan netizen, Aliff dengan satu kenyataan yang amat menggemparkan. Bella katanya pernah curang terhadapnya juga dengan lelaki lain.

Ini tentunya satu kejutandan menggemparkan dunia hiburan, khususnya peminat tegar Bella yang telah mengecam Aliff dan meluahkan simpati kepada Bella yang menjadi victim selama ini.

Terbukalah satu lagi pekung yang tersimpan rapi selama ini. Allahu Akbar! Peminat mereka dan masyarakat mula tertanya-tanya, apakah kenyataan Aliff tentang Bella dan Muaz Zabir itu benar? Dan apa pula lagi kejutan selepas ini?

Membela diri, Bella punya alasan tersendiri, dan alasan tersebut telah membuat ramai berasa amat simpati dengannya. Dek menagihkan cinta Aliff yang sekian lama tidak berbalas, hingga Bella kononnya terpaksa dan sengaja ‘menjalin’ hubungan rapat dengan Muaz semata-mata untuk membuat Aliff cemburu.

Sedihnya percaturannya itu memakan diri sendiri dan telah memberi ruang kepada Aliff untuk menggunakan isu tersebut untuk menempelak Bella.

Dalam kekalutan itu timbul pula pelbagai komen daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak dengan pelbagai versi cerita masing-masing yang juga tidak kurang kejutannya dan turut menokok tambah aib pada diri dan ahli keluarga mereka sendiri.

Namun begitu menurut Bella hubungan mereka kembali sediakala dan mereka telahpun saling memaafkan and have moved on happily.

Beberapa hari saja dan belum pun reda kisah ‘kecurangan’ Bella itu, satu lagi kejutan yang amat besar buat peminat dan warganet apabila dia membuat kenyataan, Aliff pernah curang dan membuat hubungan intim dengan Eriqa, adik kandung Bella..

Setakat ini, ibu Bella masih nampak redha dan tenang dalam mengharungi musibah yang melanda anak dan keluarga mereka walaupun banyak yang ditanggungnya dan terpaksa melalui saat pilu kala Bella menyisih Eriqa daripada keluarga mereka. Begitulah sepatutnya sikap seorang ibu, tidak cepat melatah dan sabar.

Sementara itu, ibu kepada Aliff, Fiza Aziz pula telah membuat kenyataan- kenyataan kurang manis dan menimbulkan kemarahan yang membuat peminat-peminat Bella serta netizen pula jadi berang hingga membalas kenyataan tersebut dengan kata-kata kesat yang memalukan keluarga Aliff sebagai tindak balas.

Bella dan Ruhainies amat rapat. Macam adik-beradik, makan sepinggan tidur sebantal… tergamakkah mengkhianat kawan yang sebegini rapat?

 Bagi Ruhainies selaku orang ketiga  yang sekaligus mendapat gelaran ‘penyondol’ juga secara tidak langsung menjadi punca dari awal lagi membuka aib apabila dia mengkhianati teman baiknya sendiri.

Dalam beberapa kenyataan dan penceritaan Bella, nyata telah ada putik-putik kemesraan yang hadir dilubuk Ruhainies terhadap Aliff.

Walaupun disembunyikan namun dalam video-video yang telah dikirimkan di laman web ternyata kelihatan kemesraan yang agak luar biasa dan bukan sekadar kawan atau teman berlakon di set penggambaran.

Akhirnya semua membuka pekung di dada demi membersihkqn nama atau untuk menjelaskan keadaan sebenar atau bertindak balas atas kenyataan yang mereka telah buat walaupun ada yang sekadar menegakkan benang yang basah lencun.

Apapun paling simpati tentulah Bella yang setelah bertahun menyimpan baik segala keburukan dan aib walaupun keadaan hidupnya bagaikan lilin yang membakar diri demi kebaikan semua yang lain. Semua itu dilakukan dan ditanggungnya sendiri demi menjaga maruah dan aib keluarga.

Sebagai seorang ibu dan iateri serta anak yang bertanggungjawab, khusus demi kepentingan dan masa depan anak-anaknya dan yang lainnya, akhirnya mengambil keputusan berterus terang dengan peminat dan netizen.

Sebagai artis Bella sedar hal pribadinya juga menjadi milik masyarakat dan dia merasakan sudah tiba masa untuk meluahkan rasa hati dan apa yang terbuku demi melenyapkan spekulasi dan timbulnya syak wasangka masyarakat terhadapnya.

 “Kalau suami hilang,saya ada tips, kita cari di rumah kawan,” gurauan Bella itu kini menjadi popular. Meninjau ke ruangan komen pada beberapa hantaran video yang tular, rata-rata netizen berasa lucu dengan tips yang diberikan ibu kepada dua cahaya mata itu.

Jangan cepat melatah buat semua yang terbabit dan jangan cepat mengeluarkan kenyataan kerana bimbang ia dibuat atas dasar marah. 

“Tak sanggup lafaz, Aliff masih sayang Bella.” Akhirnya Aliff Aziz tidak melafazkan cerai dan perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Aliff sewaktu sebutan kedua cerai talak di hadapan hakim syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan beberapa hari kemudiannya.

IKHTIBAR

Bak kata  pepatah orang putih, ‘Don’t wash dirty linen in public  yang juga bermaksud, jangan sekali-kali kita membuka aib keluarga kita sendiri.

Walaupun dalam keadaan Bella yang sedang bersedih atas musibah yang menimpa dirinya, nukilan ini tidak sekali-kali bertujuan mengecam atau membuat penilaian, apa lagi untuk menghukum mana-mana pihak sebaliknya sekadar peringatan buat kita semua khusus golongan VIP dan artis supaya sentiasa beringat dan mengambil langkah bijak dan waras sebelum membuat kenyataan kepada khalayak.

Apapun dalam kes Bella ini, rasanya sudah cukuplah dia sendiri menderita kerana menyimpan dan menyembunyikan semampunya segala perbuatan buruk suaminya tetapi pada penilaian dan perkiraan yang pasti ramai bersetuju sudah tiba masanya untuk Bella bangkit dan membela dirinya daripada tohmahan dan tuduhan demi menjelaskan kedudukannya yang sebenar.

Moga Bella terus bangkit dan kuat untuk meneruskan kehidupannya serta mendidik dan membesarkan anak-anak dengan ikhlas dan sempurna.

Buat Aliff dan orang ketiga yang dikecam sebagai penyondol hingga menghancurkan sebuah mahligai yang dibina sekian lama, bermuhasabah hendaknya selepas kejadian ini.

Buat masyarakat dan netizen khususnya sudah tiba masa kita juga turut mengambil iktibar dan praktikkan sifat penyabar dan pemaaf yang dituntut ajaran Islam.

Kita hanya manusia yang tidak bebas daripada membuat kesilapan. Kita mampu merancang namun DIA yang menentukan.Buat Bella, Aliff dan Ruhainies khususnya, belajarlah daripada kesilapan dan peristiwa yang begitu bermakna dan berharga ini. Moga kalian semua ‘move on!’ With your life, be better and be responsible for your act.

Related posts

RATU CANTIK LINDSEY YAP

Wirda Adnan

Dorothy Ng – Beauty With Brain

admin

Nikella Niksen – Tentang Hari Raya dan Hidangan Untuk VVIP

admin

Leave a Comment