DESPERADO

Fake Chanel – Hadiah Daripada Kekasih Orang Kayangan

Si adik ipar dengan bangga menunjukkan kotak hadiah daripada kekasihnya. “Akak, pemberian KuMan (bukan nama sebenar) untuk birthday,” katanya tersenyum lebar. “Bukalah kotak, tengok apa yang di dalamnya.”

Daripada bag kertas sudah dapat dirasakan sesuatu yang tidak kena. Kemudian kotaknya, kemudian dustbagnya dan ‘terhidang’ sebuah tas tangan. Mata Juwita terbeliak. Bukan kagum, bukan dengki, bukan apa, sekali pandang dia sudah tahu tas Chanel hadiah sang kekasih yang dibanggakan adalah beg tiruan. 

“Sampai hati kamu KuMan,” katanya dalam hati. Tapi kalau dia memberitahu adik iparnya, sudah pasti si Sue tidak mempercayai. Dia mati hidup nanti akan menafikan, dia akan tempelak kakak iparnya dan mengatakan kak ipar cemburu dengan dia. Tidak mungkin KuMan yang berstatus yang punya duit berjuta-juta sanggup berbuat begitu dengan sang kekasih.

“Cantik tak kak?” terusan dia bertanya mahu kak iparnya memuji tetapi si kakak ipar tidak boleh berbohong pada dirinya. Dia tidak  boleh mengatakan cantik, kalau tas itu sah tiruan. Dia juga kaki beg satu ketika dulu, kala dia berkahwin dengan orang kayangan. Usahkan Chanel, Birkin dan Kelly pun ada dalam almari, cuma dia tidak suka menunjuk-nunjuk, tak pernah pun dia memberitahu dan mencanang akan keberadaan bag harga puluhan ribu itu di almarinya. Mereka pun tidak tahu dia punya sealmari bag berjenama. Helo, beli di Paris, di London dan di New York, sesetengahnya limited edition lagi. Kalau mereka tahu, mungkin kot mengendeng nak pinjam, nak tayang dan nak tunjuk kepada dunia barangkali.Ya, kerana jarang sangat dia bersama-sama mereka di majlis-majlis, dia tidak pun berpeluang hendak menayang, ha ha. 

“Kak Jue ni, orang tanya cantik tak, tak jawab pun. Kak tahu harganya ribu-ribu… yalah kak tak ada kan, kak tak mampu kan, kak cemburu Sue dapat Chanel daripada dia kan? Well… suruhlah abang beli satu, tapi sayang dapat abang bankrupt,” perli Sue.

Juwita hanya membisu, menukar tajuk perbualan kerana dia tidak sampai hati untuk bercakap benar.

Sebenarnya Juwita hairan, adik iparnya bukanlah perempuan tidak tinggi pelajaran, mustahil dia tidak kenal mana satu original dan mana satu tiruan. Namun kerana taksub sangat dapat ‘bercinta’ dengan sang gentleman alias sang suami orang ini, mata hatinya tertutup untuk memikirkan sebaliknya. Mana mungkin gentleman seperti kekasihnya menipunya. Dan sang suami orang ini pula punya segalanya, wang, pangkat, kuasa aduh, dia terkesima dengan lelaki ini. Dia berangan akan satu hari dia dijadikan ‘permaisuri’ manalah tahu, kalau sang ‘permaisuri siapa tahu dijangkiti covid positif dan ditidurkan terus, maka dialah yang akan diangkat ke ‘takhtanya’. 

Juwita juga hairan dengan sikap ipar-iparnya yang seolah menyokong perhubungan sumbang adiknya itu malah suaminya sendiri, bangga bercerita mengenai hubungan adiknya dengan sang gentleman itu. “She ada kelas sejak dulu lagi, first husband dia pun bukan sembarangan, bekas husband kedua pun besar pangkat dan golongan tinggal di kawasan mewah dan anak orang besar, dan terkini selepas dua perceraian, kekasihnya lagi hebat.” begitu antara cerita sang suami, membuat Juwita letih mendengarnya. 

“Cukup-cukup berangan, yang ni aku tahu tak kannya menikah dengan adik kamu,” katanya dalam hati. Kerana dia sebenarnya kenal sangat siapa KuMan itu. Kau orang tu ‘pendatang’, baru 10 tahun tinggal di ibu kota, aku ini sebenarnya tolong sepakkan bola KuMan yang masuk ke pekarangan rumah aku dulu. We are neighbours, we are childhood friends, aku kenal sangat dia, kedekut nauzubillah. Yalah dia ada duit banyak, tetapi kamu ingat dia hendak berhabis ke pada wanita yang dia tahu dia tidak akan mengahwininya. Mana mungkin, kerana ‘sang kasih’ sudah dua kali menjanda, mana kelasnya beristeri muda yang hampir sebaya dengannya. Tetapi dasar orang jantan, walau semua yang di depan mata, lagi pun Sue cantik, Sue berpelajaran tinggi dan Sue juga daripada keluarga kayangan. Dan Sue available setelah bercerai, Sue pula menyerahkan diri, jadi mengapa tidak?” Sesekali dia berkias-kias juga dengan suaminya, mengenai apa yang di dalam fikirannya, tetapi sang suami juga agaknya taksub dengan si gentleman, jadi kiasannya tidak diambil peduli.

Juwita kesian dengan keluarga suaminya, yang jahil, yang tidak tahu akan dosa pahala, membenarnya ‘puteri’ kesayangan ayah mereka ini dibuai mimpi. Oh ya, cerita Jue, si ayah pun tahu, sang gentleman sering juga bermalam di kondo anaknya, belum sekali dia menegur akan perbuatan sumbang mereka, kerana barangkali si ayah juga taksub dengan pangkat dan kuasa yang dipegang oleh sang ‘kekasih’ anaknya. 

Dan Juwita hanya mampu berbicara di dalam hatinya. “Lantaklah kau orang, beranganlah terus dan doalah manalah tahu KuMan tukar fikiran dan ambil kamu sebagai isteri ketiga.”

Petang itu Sue pulang dengan muka masam tapi sempat melepaskan geram, “Okay, kak Sue, I kesian dengan you, masa kahwin dengan laki darah biru dulu, akak tak bijak, sepatutnya dia  mewahkan akak tapi tidak, abang kata dia mewahkan girl-girl friendnya. See what you have, I saw you dengan bag LV buruk tulah bertahun-tahun. Dan sudah hitam kulitnya, yalah kot itu sahaja bag berjenama yang akak ada. So sad.

Juwita memandang dia meninggalkan butiknya dengan membimbing bag kertas berisi fake Chanel. Dia sedih tetapi mulutnya tertutup rapat, dia tidak mahu menjatuhkan air muka adik iparnya ini, bukan kerana adik iparnya baik sangat dengan dia, tidak. Adik iparnya perempuan yang hidung tinggi, yang rasa dia cantik dan semua orang suka. Sekali, dan kali kedua dia sendiri yang mohon diputuskan ikatan perkahwinan mereka untuk memberi peluang sang gentleman mengambilnya sebagai isteri. Malah, sedang dia dilamun cinta dan berangan bakal menjadi isteri, sang gentleman mengumumkan perkahwinannya dengan wanita yang hampir separuh usianya. Dia terpengsan mendapat berita yang menyedihkan itu, tapi dia amat faham situasi sang kekasih, kahwin kerana dipaksa,” katanya menyejukkan hatinya. Kerana itu yang diberitahu oleh sang kekasih, tetapi sekadar alasan sahaja untuk dia tidak dimaki hamun. Lalu hubungan diteruskan dan walaupun sang kekasih sudah punya dua anak di sana, si adik ipar sedia menunggu. Sedihnya, tidak siapa berani menasihati untuk melupakan kekasihnya itu, kerana sekeluarga cukup taksub dan percaya si puteri bongsu kesayangan keluarga ini satu hari akan dijadikan ‘permaisuri’ insan yang bernama bukan KuMan, itu hanya nama samarannya, kerana nama KuMan tidak boleh dihebahkan di sini, nanti Juwita masuk penjara kerana menyebarkan fitnah. Sekian terima kasih.

Related posts

Aku Dikahwini Kemudian Dizalimi

adminwm

Sahabat Ajaklah Aku Ke Jannah

admin

Gaji Dua Ribu Belanja Lima Ribu

adminwm

Leave a Comment