Masa berlalu, kini sudah hampir 20 tahun Suhaimi keluar rumah keluarganya. Dua puluh tahun jangka masa yang terlalu lama bagi seorang anak untuk melupakan ibu dan ayah kandungnya sendiri. Mungkin Suhaimi sudah lupa siapa ibu dan siapa ayahnya, lupa siapa ibu dan bapa saudaranya yang masa kecilnya dia sendiri dijaga oleh mereka bila mana ibu dan ayahnya sibuk bekerja. Dia juga lupa siapa dan siapa sepupunya yang sewaktu kecil mereka bermain bersama, malah tidur sekatil kerana mereka tinggal di rumah sama kepunyaan neneknya. Kerana Suhaimi anak tunggal, dan cucu pertama dia disayangi semua, terutama datuk dan nenek, serta ibu-ibu saudara dan bapa-bapa saudaranya.
Suhaimi anak yang pandai. Di sekolah rendah mahupun menengah sentiasa mendapat keputusan cemerlang, dan tamat tingkatan tiga dipilih belajar di asrama penuh. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga terbaik membolehkan dia dipilih ke menara gading, mendapat ijazah ekonomi kelas pertama dari universiti terkenal. Dia juga waktu di tingkatan empat dan lima mengambil beberapa pengajian agama. Pendek cerita ilmu kedua-duanya tinggi dan menjadi kebanggaan keluarganya juga kerana Suhaimi rajin ke surau yang tidak jauh dari rumah bila mana dia pulang bercuti. Kalau dia ada, kadang-kadang diminta menjadi imam. Di rumahnya memang dia lah yang diangkat sebagai imam walaupun ayahnya sendiri ada bersama, sebab suara Suhaimi memang lantang dan merdu. Suhaimi pada usia 1O tahun sudah tamat Quran dan boleh menghafal banyak ayat-ayat suci.
Setelah bekerja Suhaimi mengenali seorang wanita di tempat kerjanya. Wanita itu seorang janda dan tiga tahun lebih tua daripadanya. Biasa lah sebagai orang tua, dan dia satu-satunya anak, bila mana Suhaimi memberitahu akan niatnya untuk mengahwini wanita pilihan hatinya, kedua orang tuanya, terutama si ibu, menghalangnya. Mereka kalau boleh mahu perempuan yang belum pernah berkahwin, apa lagi usia pula lebih tua. Kalau boleh hendaklah yang sepadan. Lagipun wanita itu dari segi jawatan pun biasa sahaja, kalau boleh mereka hendaklah melihat anak mereka berkahwin dengan yang setaraf.
Suhaimi berkeras juga dan mahu tidak mahu ibu bapanya terpaksa menerima pilihan si anak. Bukan kah itu sudah cukup baik? Walaupun si ibu kecewa sangat namun kerana sayangkan anak, mereka masih mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana. Mungkin juga kalau Suhaimi berkahwin dengan wanita yang mereka lebih berkenan, Suhaimi percaya majlis perkahwinan pasti secara besar-besaran lagipun dia anak tunggal. Memang diakui oleh ayah Suhaimi yang andainya mereka senang dengan pilihan si anak, mungkin sekampung dijemput tetapi kerana bukan menantu pilihan, sekadar saudara mara terdekat sahaja yang dijemput.
Tinggal sebumbung, tidaklah si ayah dan ibu peduli sangat tentang menantunya, dan hendak dikatakan benci tidak juga. Hubungan mereka biasa sahaja, lagipun si menantu lebih senang memerap di bilik bila bercuti atau pulang ke rumah orang tuanya. Mengapa tidak menyewa sahaja, kata Suhaimi sebaik kahwin mereka sudah membuat tempahan rumah dan akan masuk ke rumah baru bila siap, jadi katanya dia malas berpindah randah, rumah siap mereka pun terus pindah. Ibu dan bapa Suhaimi pun suka anak mereka tinggal bersama, lagipun hanya dia seorang sahaja, untuk apa pun mencari rumah lain.
Suhaimi sering mengingat kan ibunya supaya berbaik-baik dengan isterinya, pelik juga sang ibu mengapa dia selalu diingatkan begitu sedangkan mereka tidak pun ada masalah. Dia tidak pun komplain, bila dia yang memasak, dia yang menghidang dan dia yang mengemas. Si ibu tidak pernah sekalipun menaikkan suara mahupun memerli sang menantu bila mereka hanya duduk makan tanpa memasak mahupun membeli makanan. Mungkin kerana Suhaimi sendiri tidak pernah pun disuruh ke pasar membeli belah, sehingga sesudah berkahwin pun tidak pernah sekali membeli barangan dapur. Dia tahu segalanya siap terhidang. Apatah lagi dia duduk di asrama, bila pulang si ibu melambak kan makanan kegemaran anak, dan Suhaimi terbiasa dengan hidup begini, dan terbawa setelah berkahwin. Namun ibunya tidak berapa kisah, yang penting hari-hari anaknya makan sedap. Dia memasak mengikut selera Suhaimi bukan selera dia mahupun suaminya. Anaknya nombor satu, dan sedikit pun dia tidak berkisah bila menantunya tidak masak, kerana padanya makanan yang dimasaknya adalah makanan kegemaran anak jantannya.
Di mana silapnya, si ibu tidak tahu, tetapi Suhaimi sering bermasam muka dengan si ibu. Pulang kerja terus ke bilik, menegur si ibu pun tidak, dan kadang-kadang tidak mahu makan, anak menantu keluar makan sedangkan orang tua itu sudah memasak. Kecil hati si ibu namun tidaklah juga dia memaki hamun anak menantu, sebolehnya dia tidak mahu mengecil hati anak dan paling dia tidak mahu Suhaimi keluar rumah. Lagipun banglo itu adalah nanti menjadi milik Suhaimi bila mereka sudah tiada.
Enam bulan selepas berkahwin si menantu jatuh sakit. Sakit apa pun si ibu dan ayah mertua tidak berapa pasti tetapi mereka tahu menantu mereka sakit, dan selalu cuti. Masa cuti selalu sangat lah Suhaimi juga mengambil cuti untuk menjaga isterinya. Pernah sekali dua si ibu bertanya akan kesihatan menantu, tetapi dijawab keras oleh Suhaimi, “Tak apa, saya uruskan sendiri bini saya, mama tidak perlu ambil tahu.” Pelik juga si ibu bila dia bertanya dengan nada lembut dijawab kasar oleh Suhaimi. Mengapa pula Suhaimi jawab meninggikan suara sedangkan dia hanya hendak tahu keadaan menantu, dan kalau perlu dibantu mengapa tidak, kalau pun dia yang terpaksa menjaga bila mana Suhaimi bekerja, dia tidak kisah pun. Lagipun dia tidak buat apa, apa salah dia menjaga sehari dua kalau menantunya sakit.
Si ibu juga ingat, menantunya sakit kerana mengandung, ini di dalam fikirannya, lagipun dia ternampak menantu muntah-muntah, dan baginya itu satu petanda yang paling menyeronokkan. Dia dan suami bakal menjadi Atuk dan Tuk Mak, atau apa sahaja panggilannya nanti. Ikut kan hati dia hendak dirinya dipanggil opah, tetapi dia rasalah sang suami macam tidak beberapa gemar dengan gelaran opah itu. Tak kisah lah apa pun gelaran yang penting baginya dia bakal menjadi nenek dan menimang cucu.
Begitu pun semuanya adalah mimpi buruk buat si ibu. Satu hari dia ditempelak oleh Suhaimi sendiri, “kalau ya pun mama tidak suka isteri saya, tak kan mama nak bunuh dia?” Terkejut sang ibu, bunuh? Siapa pula yang hendak membunuh?” Apa kamu cakap ni?” “Saya tahu, mama memang hendak lihat dia mati sahaja, senang hidup mama dan ayah kan?”
“Hah… apa semua ni. Kamu menuduh mak kamu hendak membunuh bini kamu. Eeh mama kamu ni tak gila lah.”
Suhaimi sudah mula menunjukkan sifat kurang ajarnya. Dengan mak bercakap kasar, dan tidak lagi mahu makan apa juga makanan yang dihidangkan di meja. Katanya dia pula tidak mahu mati kerana dia percaya sang ibu dalam masa hendak meracun isteri, dia mungkin juga akan terkena.
Kerana sering sangat dia berkasar dengan si ibu, si ayah tidak boleh bersabar lagi, dan satu hari minggu dia tersendiri mendengar bagaimana Suhaimi memarahi ibunya. Lalu dia tanpa banyak cakap menempeleng anaknya. Dan minta Suhaimi keluar dari rumah. “Kamu jangan hendak kurang ajar dengan ibu kamu dan ayah kamu ini. Apa masalah kamu?”
“Mama perangai macam babi, penat sembahyang tonggang tongit, tapi hati busuk. Maka sanggup hendak bunuh Milah. Milah sakit bukan sebab apa, sebab mama yang bomohkan dia, minta dia mati.”
“Astaga, kamu Suhaimi keluar dari rumah ini, kalau itu yang kamu fikirkan. Sampai kamu sanggup membabikan mama kamu sendiri? Apa sudah jadi dengan kamu ini, anak derhaka?
“Ya, memang pun saya tidak hendak lagi tinggi di sini, dan tidak akan menjejak kaki di sini lagi dan dengan perangai mama dan ayah, lebih baik tidak ada mak ayah.”
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan. (al-Ahqâf:15).”
Ayat di atas menegaskan bahawa islam mengajarkan seorang anak untuk berbuat baik kepada ibu dan bapanya. Namun sayang, dewasa kini perlakuan anak kepada orang tua bisa dikatakan jauh daripada kata sopan.
Derhaka (al-‘uquuq) berasal dari al-‘aqqu yang bererti al-qath’u yaitu memutus, membelah, merobek, atau memotong. Dalam islam, anak dikatakan derhaka pada orang tua (uquuqul walidain) apabila melakukan perbuatan atau mengucapkan sesuatu yang menyakiti hati orang tuanya.
Perbuatan derhaka kepada orang tua jelas dilarang oleh agama. Bahkan termasuk dalam dosa besar yang setara dengan mempersekutukan Allah SWT. Banyak sekali ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menjelaskan dosa berbuat derhaka, salah satunya disebutkan pada Hadis Riwayat Bukhari dibawah ini:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْكَبَائِرُ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ عُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ الْيَمِينُ الْغَمُوسُ قُلْتُ وَمَا الْيَمِينُ الْغَمُوسُ قَالَ الَّذِي يَقْتَطِعُ مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ هُوَ فِيهَا كَاذِبٌ
Daripada Abdullâh bin ‘Amr, ia berkata: Seorang Arab Badui datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam lalu berkata, “Wahai Rasûlullâh, apakah dosa-dosa besar itu ?” Beliau menjawab, “Isyrak (menyekutukan sesuatu) dengan Allâh”, ia bertanya lagi, “Kemudian apa?” Beliau menjawab, “Kemudian derhaka kepada dua orang tua,” ia bertanya lagi, “Kemudian apa ?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa salam menjawab, “Sumpah yang menjerumuskan”. Aku bertanya, “Apa sumpah yang menjerumuskan itu?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa salam menjawab, “Sumpah dusta yang menjadikan dia mengambil harta seorang muslim”. (HR al-Bukhâri, no. 6255)
Ciri-ciri Anak Derhaka menurut Islam
Islam mengajarkan seorang anak untuk berlaku sopan dan bertutur kata yang lembut kepada orang tuanya. Ada pun mereka yang berkata kasar, membantah, memukul, memasang muka masam di depan orang tua, maka perlakuan-perlakuan tersebut dikategorikan dalam perbuatan derhaka.
Menangis lah si ibu siang dan malam, dan disedarkan oleh sang suami. “Awak ni sehingga anak menggelar awak macam babi, dan awak masih sayangkan dia lagi? Pergi mampus dia. Eloklah dia berambus dari sini, aku tidak anak lagi,” jawab si apa. “Kurang ajar dia, sampai bila pun aku tidak akan memaafkan dia.”
Hati seorang ibu sentiasa merindui sang anak. Air matanya sudah kering menangis. Sesungguhnya dia amat hairan mengapa Suhaimi berkelakuan begitu sejak beristeri. Apa yang telah dia lakukan terhadap menantunya? Seingatnya, dia tidak pernah pun memerli jauh sekali meninggikan suara. Betul dia tidak mesra dengan menantunya, tetapi dia tidak pula membenci, malah kalau betul lah si menantu mengandung, dialah insan paling bergembira. Pelbagai mahu dibuatnya, dalam otaknya berfikir macam-macam hendak beli ini dan itu untuk menyambut cucu, hendak buat kenduri aqiqah besar besaran dan sebagainya. Malah sehingga mereka meninggal rumahnya ini, dia tidak tahu pun kedudukan sama ada mengandung atau tidak. Dia sendiri seperti merasakan seperti bermimpi, anaknya sanggup derhaka? Menyatakan dia seperti babi, itu anak yang dikandung sembilan bulan 10 hari. Tetapi dalam waktu yang sama, dia memohon kepada Allah supaya diampun akan dosa anak dan menantunya. Dia memohon kepadaNya memberikan yang terbaik untuk mereka dan memohon disatukan semula. Dan doanya setiap masa terutama selepas solat agar dilindungi anaknya, agar Allah mengampunkan semua dosa anaknya itu, agar dia diterima untuk masuk ke surgaNya nanti.
Dua puluh tahun berlalu, tidak sekali si anak menghubungi orang tuanya. Dia sendiri tidak lagi mendengar khabar berita, malah daripada anak-anak saudaranya, mereka pun mengatakan mereka tidak mendengar khabar berita. Mereka tidak tahu dia ada berapa cucu. Teringin sekali dia melihat wajah-wajah comel si cucu, tetapi dia tahu dia tak kan merasa memeluk cucu-cucunya.
Tinggi pangkat, mungkin kalau disebut nama kalau pun satu Malaysia tahu siapa gerangan anaknya ini, tetapi dia tahu ramai mengenali. Dia tahu anaknya pasti memegang pangkat besar dan mungkin dianugerah kan title Datuk barangkali tetapi ya lah… si anak sendiri tidak sudi bertanya khabar orang tuanya. Dia terkenang mengajar anaknya hal agama, dia sendiri yang mengajar anaknya mengaji Quran sehingga tamat. Mengajar bersolat dan mengajar hal-hal akhirat. Bila anaknya pulang dari asrama, dia tidak pernah lupa mengingatkan anaknya untuk tidak meninggal kan solat dan membuat kerja-kerja kebajikan. Dia sendiri begitu gembira bila mana Suhaimi dinobatkan sebagai satu-satunya penerima anugerah tertinggi daripada dekan kerana banyak membuat kerja-kerja amal di samping keputusan peperiksaan yang cemerlang. Dan dia berasa amat bangga duduk di barisan yang paling hadapan sewaktu anaknya menerima ijazah. Semua itu hanya tinggal kenangan, anak yang ditatang bagai minyak yang penuh bila dewasa menjadi derhaka. Ya dia tidak tahu di mana silap didikannya itu. Hanya Allah sahaja yang tahu dan kepada Allah dia memohon petunjuk.
Dua puluh tahun masa yang amat lama, tidakkah anaknya masih belum sedar? Tidakkah Suhaimi merinduinya atau masih menuduh sang ibu hendak membunuh isterinya? Dia tahu dia dan suami akan pergi bila-bila masa, terutama suaminya yang punya pelbagai penyakit. Tidakkah Suhaimi mahu memohon maaf kepada ayahnya, yang sudah uzur. Dan dia yang juga yang entah esok, entah lusa juga akan pergi buat selama-lamanya.
Dia juga kesal bila mana diceritakan kepadanya yang anak saudaranya pernah terserempak dengan Suhaimi, dan menegur, tetapi Suhaimi mengatakan dia tidak kenal siapa dia. Ya Allah dengan sepupunya sendiri pun Suhaimi tidak mengaku mengenali. Bila diingatkan siapa dia, cerita si anak saudara, abang Mi kata, dia tidak kenal, dan mohon maaf.
Hairan si ibu sudah tinggi jawatan dan menjadi orang besar tetapi hati keras seperti batu. Betul si ayah yang menghalau anaknya keluar dari rumah kerana biadab, tetapi setelah bertahun-tahun datanglah memohon maaf.
Dalam wasiat si ayah dan juga si ibu, ya lah darah daging sendiri, masih diserahkan harta benda yang ada yang bernilai jutaan ringgit kepada yang berhak yakni anak kandungnya sendiri. Kata si ayah yang membuat sang isterinya mengalirkan air mata, “Apa pun dia darah daging kita. Mungkin kita ada kesilapan dan ini balasan yang Allah berikan. Kita maafkan dia dan kita halalkan makan minum, dan awak halalkan air susu yang diminum. Kalau saya pergi dulu, dan awak sempat berjumpa dengannya, katakan kepadanya saya sudah lama memaafkannya.”
Sehingga saat saya menulis rencana ini, Suhaimi (bukan nama sebenar) masih belum menemui ibu dan ayahnya. Mereka sesangat merinduinya namun apakah daya dan upaya, bila anak sendiri membuang ibu dan ayahnya.