DESPERADO

Bomoh Cinta Mama

Ada kawan-kawan yang support dan ada menuduh aku derhaka, tidak mengenang jasa dan kata mereka aku tidak akan cium bau syurga. Tidak apalah kerana aku telah kotakan janji aku pada diri, tiba waktu aku mahu bongkar kisah hidup aku. Ya betul aku bukan anak yang baik tetapi aku jadi begini pun kerana mama. Mama didik aku bukan dengan tunjuk ajar menjadi wanita Islam yang baik tetapi mengajar aku untuk menjadi sombong dan angkuh, dan materialistik. Memang itulah sifat aku masa aku kecil hingga remaja dan dewasa, menyombong diri dan demand sehinggalah aku berjumpa dengan suamiku hari ini.

Macam mana aku boleh berkahwin dengan dia pun aku tidak tahu, sebab perkahwinan inipun tidak pernah direstu oleh mama. Mama buat apa sahaja untuk menghalang aku mengahwini Hadi.

Siapa Hadi? Latar belakang  biasa-biasa sahaja, bukan anak Raja, atau Menteri,Tan Sri atau Datuk-Datuk. Mak bapak tidak ada title yang boleh dibanggakan, duduk rumah teres biasa bukan di banglo atau mahligai 10 bilik. Jadi kononnya masakan cocok aku mendampingi Hadi. Sebagai seorang jurutera dia hanya memadu Vios tidak ada apa yang boleh dibanggakan tentang Hadi. Mulanya aku yang glamor melihat Hadi, tidak pandang sebelah mata. Masakan tidak, lagipun ditanam dalam fikiran yang aku kaya, dan jangan dekati orang miskin.

Tinggalkan sekejab kisah Hadi, untuk aku bercerita siapa pula mama aku. Mama dikatakan berkahwin sewaktu sedang belajar lagi. Orang yang dikahwini (papa aku) itu dikatakan yang paling kacak dan anak orang berada masa itu, dan juga terkenal kerana sering dapat Deen’s List. Dikatakan sebelum itu ramai juga gadis-gadis meminati papa tetapi bila mama berbaik sahaja dengan papa, dia warning semua perempuan-perempuan di kolej itu jangan berani dekat dengan papa. Belum tamat pengajian mereka berkahwin.

Senang mama memerangkap papa walaupun mama tidak cantik mana. Kerana nenek pandai berbomoh. Dikatakan arwah nenek yang mengajar ini itu untuk memikat papa, dan sering nenek bekalkan mama makanan untuk diberi kepada papa, dan akhirnya papa dan mama berkahwin.

Sejak kecil lagi aku sudah terbiasa dengan bau kemeyan, mangkuk-mangkuk ubat, ada telur, ada limau purut dan macam-macam. Pelik aku kalau nenek sahaja yang berbomoh tidak apalah sebab ilmu dunianya kurang tetapi mama sampai ke peringkat universiti belajar tinggi-tinggi pun percaya bomoh dan jampi serapah. Sampai mama mengikuti papa menyambung master di negara mat salih pun mama masih terikat dengan bomoh. Malah sewaktu di sanalah mama dikatakan menjalin hubungan dengan sami-sami dan ‘witch doctor’ atau ada sebut ‘shaman’. Papa balik bawa ijazah dan mama balik (kata mak saudara) bawa ‘bomoh-bomohnya’ untuk menjaga diri.

Mama kembali bekerja setelah hampir dua tahun di luar negara menjadi peneman papa yang belajar. Masa itu aku dan adik terlalu kecil untuk mengingat banyak perkara tetapi mama selalu bawa kami tepi-tepi pasar bertemu dengan entah siapa… to me they are weird people, dan aku ingat mama selalu hulurkan wang kepada mereka yang ditemui. Ada sahaja orang yang ditemuinya. Awal-awal dulu selalu bergaduh dengan papa sebab duit. Papa tanya duit yang diberi dibeli apa… makan tidak mewah dan pakai pun jauh sekali kerana duit belanja yang papa beri dihabiskan untuk orang yang mama kenal entah dari ceruk mana. Sehingga akhirnya papa pun tidak banyak berbicara tetapi mengikut kehendak mama kerana sudah dibomoh.

Pulang ke Malaysia mama kembali ke tempat kerja. Hidup pun sudah lebih senang sebab mama tiba-tiba jadi kaya dan buka bisnes. Papa dengan tugasannya sebagai pensyarah di Universiti. Tidak lama kemudian mama dan papa bercerai. Kami diberitahu mama tidak senang dengan papa yang tidak pandai mencari duit kecuali gajinya yang tidak seberapa sedangkan mama mahu hidup senang dan mewah. Mama mahu tinggal di Kenny Hill atau Country Height sedangkan papa hanya mampu beli rumah teres dua tingkat di Petaling Jaya. Masakan mama senang ke tempat kerja naik Proton sahaja, tetapi itulah sahaja yang termampu oleh papa.

Pelik bila bercerai mama halau papa dari rumah sebab rumah teres itu atas nama mama tetapi papa yang bayar setiap bulan. Waktu sama mama juga tidak mahu tinggal di rumah itu.. Katanya rumah itu sial dan tak bawa tuah.

Yang lebih menyedihkan mama tidak kasi papa melawat kami, sebulan sekalipun tidak boleh kerana kata mama, papa bawa bad luck dan tidak mahu sial itu melekat pada anak-anak.

Betul kami tinggal dengan mama tetapi muka mama pun jarang kami tengok. Mama keluar pagi balik malam dan keluar dengan ramai lelaki dan akhirnya bertemu dengan lelaki yang berjawatan besar, ada kuasa dan kaya. Seperti impian mama termakbul,dengan lelaki itu membawa mama tinggal di kawasan elit dan mahligai yang indah. Bomoh mama berjaya menunduk dan mencintai mama.

Lelaki yang menjadi suami mama sudah beristeri dan beranak pinak. Mama rampas daripada wanita itu dan berlaku kejam terhadap mereka. Mereka pun tidak sempat bermadu kerana mama tidak akan mahu menjadi isteri kedua. Dalam diari mama dialah isteri pertama Datuk itu walaupun sah-sah sang suami punya tiga anak lagi tetapi tiga anak itu tidak penting bagi mama. Mama tidak mahu tahu bagaimana mereka hidup, dan sebagainya. Bagi mama siapa bekas isteri dan anak-anak suami tiada kaitan dengan dirinya. Suami dia hak dia seorang, dan kemudian mama punya tiga anak daripada perkahwinannya dengan kedua.

Tamat tingkatan lima aku dihantar ke luar negara menyambung pengajian di sana. Bukan pilihan aku tetapi kehendak mama kerana dia mahu kawan-kawannya tahu anak dia belajar di luar negara, maknanya dia mampu. Memang pun mama mampu. Sebenarnya aku sendiri tidak tahu apa bisnes mama tapi hidup mama mewah. Yalah masakan tidak, kerana mama mampu simpan dua tiga bomoh menjaganya. Takkah itu namanya mewah?

Aktiviti mama di Malaysia aku pun tidak tahu sangat tetapi setiap kali bila mama melawat kami di London (oh ya, kami tinggal di apartment mewah) mama dengan aktivitinya berjumpa dengan witch doctor-nya, dan suaminya yang disuruh panggil daddy akan mendengar sahaja perintah mama. Kadang-kadang aku sendiri kasihan dengan daddy, dimaki hamunnya daddy tidak kira di depan siapa. Daddy macam lembu ditarik hidungnya mendengar apa juga arahan mama.  Oh ya lepas mama kahwin dengan daddy mama pun berhenti kerja namun duit mama memang banyak. Hobinya membeli belah. Sekali beli handbag dan kasut bukan dua atau tiga. Pernah mama ke Harrods, dan separuh kedai yang berjenama itu dibariskan kasut-kasut yang mahu dicuba, Akhirnya mama beli rasanya lebih 20 pasang. Dont you think she is out of her mind?

Aku sendiri tidak tahu apa perniagaan yang dilakukan oleh mama tetapi aku sesekali terdengar juga mama memberi arahan itu ini. Projek yang mama dan papa kendalikan mestilah besar.

Lima tahun tinggal di London, balik cuti semester ada sahaja bekalan-bekalan yang dibawa pulang untuk mama… dibungkus rapi yang aku langsung pun tidak berminat mengetahui isi di dalam. Uncle Jerry akan masukkan dalam kotak, seal dan terus masuk dalam bagasi. Aku tidak pernah tanya uncle Jerry dan tidak juga tanya mama isinya. Di rumah ada sebuah bilik besar yang aku seram untuk masuk… nothing much inside it, tetapi ada satu perasaan bila berada di dalamnya, hanya mama yang tahu benda-benda di dalamnya dan tidak boleh diusik. Dan bila pulang masih ada bekalan-bekalan yang mesti disampaikan kepada uncle Jerry. Lama-kelamaan aku syak bungkusan itu adalah alat pemujaan untuk digunakan.

Oh ya, sering juga mama suruh aku masukkan wang-wang yang sejumlah agak besar pada akaun  orang yang namanya pun pelik. Aku percaya mereka itu semua witch doktor yang dihire oleh mama untuk tugasan-tugasan tertentu.

Kembali kepada cerita Hadi. Tamat pengajian aku ditempat bekerja di syarikat di mana Hadi bekerja. Ah aku tidak pandang dialah, walaupun pangkat jurutera tetapi no way aku hendak melayan dia. Tegurnya pun tidak aku balas, dan jika di dalam mesyuarat pun (kalau kebetulan duduk di dalam mesyuarat sama, aku sama sekali tidak ambil peduli kehadirannya. Namun begitu sesekali aku selalu rasa dia merenung aku atas bawah, tetapi bukan dengan pandangan yang menghina. Selalu juga aku tersedar, jika lama sangat mesyuarat dan waktu solat hampir habis, biasanya asar, dia akan mengingatkan. Malah pernah sekali aku bersuara, “Helo tuan engineer, kalau tuan hendak solat, you can excuse yourself tetapi kami di sini banyak lagi hal-hal yang belum selesai.” Bos aku sendiri pun terkejut dengan respond aku. Hadi tidak kata apa, and excuse himself dan tidak lama kemudian dia masuk menyambung mesyuarat.

Kami mula mengenali satu sama lain bila syarikat menghantar aku berkursus enam bulan ke London. Beberapa kali juga Hadi ke sana menghadiri seminar dan mahu tidak mahu kerana di bawah satu tempat kerja, kami terpaksa bertemu. Daripada situlah kami berbaik. Lagipun bila aku ingatkan kursus aku itu bidangnya lari sikit tetapi mengapa aku yang dipilih, (kemudian barulah aku tahu kerana mama sudah masuk campur dalam syarikat ini. Patutlah aku yang dipilih).

Mama tahu aku keluar dengan Hadi. Membuat dia bukan kecewa tetapi mengamuk dan kami berperang. Pernah mama memanggil Hadi dan ‘menemuramah’nya, dan sebaik Hadi pulang dari rumah kami, mama beritahu aku untuk tidak lagi berkawan dengannya. Sebulan kemudian Hadi ditukarkan jauh di Selatan. Begitu kuasa mama sehingga di syarikat aku bekerja pun dia boleh mengarah itu ini.

Panjang ceritanya kalau aku hendak cerita bagaimana mama membuat pelbagai cara untuk menghalang aku berkawan dengan Hadi. Pernah diberitahu oleh rakan serumahnya yang Hadi hampir menemui ajal kerana sakit tetapi doktor mengesahkan mereka tidak menemui apa-apa. Begitulah akhirnya Hadi terpaksa berhenti dari syarikat itu, dan quietly balik ke ibu kota secara senyap dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Keadaan itulah yang membuat aku bertegas dengan keputusan aku untuk berkahwin dengannya. Hadi mengajar aku erti kesabaran, kesusahan, malah mendekatkan aku dengan  Allah. Aku rasa hubungan aku dengan Allah yang menyedarkan aku akan banyaknya kepalsuan hidup yang aku lalui.

Mama sudah tentu membantah. Percubaannya untuk merosakkan kehidupan Hadi gagal, malah cubaan ‘membunuh’ dengan aneka cara bomohnya juga tidak menjadi. Kerana kuasa Allah tidak bisa dikalah dengan jampi serapah bomoh. Hantarlah bomoh Siam, sami Hindu, black magic atau Bomoh Cinta, Allah melindungi Hadi. Tidak dapat Hadi, keluarga Hadi juga menjadi sasaran si bomoh.

Kami berkahwin juga akhirnya, dan berakhirlah juga ikatan ibu anak. Aku dihalau keluar sehelai sepinggang. Aku dibusukkan dengan pelbagai kata keji dan sumpahan-sumpahan.

Aku ingat apabila aku sudah memilih jalan hidupku, hidup aku dengan Hadi dan anak-anak akan aman. Tetapi tidak, ‘bomoh mama mengikut setiap pergerakan kami. Hidup kami tidak aman, memang mama hendak memusnahkan kami. Dia membuat pelbagai cara… hendak aku ceritakan pun tidak baik, tetapi kalau apa yang anda fikir yang orang boleh buat kepada musuh atau seterunya, itulah yang mama aku buat untuk kami sekeluarga. Bukan kami anak beranak tetapi keluarga Hadi, adik beradik Hadi dan sebagainya. Mak dan ayah Hadi orang yang selalu menjadi sasarannya.

Eh mana aku tahu, mama menghantar bomoh untuk memusnah hidup kami semua? Bagi yang merasai deritanya, azabnya kami tahu apa yang berlaku. Ya daripada segala segi, sehingga anak-anak kami juga terpalit dalam kedahsyatan sikap mama itu.

“Tolonglah mama, kalau mama benci saya dan Hadi, dan ayah serta maknya, takkan cucu-cucu mama, mama hendak bunuh.” Pernah aku menghantar teks pesanan ini kepadanya. Angkuh jawabnya, “Siapa mama kamu? Jangan sesekali panggil aku mama, aku sudah lama mengharam air susu aku dan setiap yang aku beri pada kamu tidak aku halalkan. Cakaplah apa sahaja, ya aku tidak mahu tengok kamu senang waima anak-anak kamu juga. Mereka bukan zuriat aku, faham.”

Banyak sangat cerita yang menyayat hati yang sebenarnya kalau aku hendak buku, boleh menjadi sebuah novel best seller. Sungguh mama langsung tidak ada belas kasihannya. Mama buat papa hidup menderita, mama buat kami tersiksa, dan papa… ya mama buat apa sahaja yang boleh membuat kami tersungkur. Memang kami tersungkur malah rebah berpuluh kali tetapi kami bangun, dan bila bangun, mama dan bomoh-bomohnya buat lagi. Dikatakan aku pembawa sial, oleh yang demikian, aku mesti dimusnah dengan apa cara sekalipun.

Kalau dulu aku ‘bersembunyi’ tidak mahu membuka cerita mama dan  kehidupan mama tetapi hari ini aku mahu mama insaf. Cukupah penderitaan kami selama ini, kami sudah tiada lagi air mata untuk menangis, terlalu terseksa atas perbuatan mama. Apa salah kami sehingga mama sanggup ‘membunuh’ Hanya mama tidak menghulurkan pistol atau pisau tajam kepada kami tetapi yang lain semua kami rasai. Apa kamu mama telah buat kepada ayah Hadi sehingga dia dia meninggal? Mengapa kamu mama kejam sangat?

Ya aku masih memanggil mama sebab aku keluar dari perutmu itu. Dan aku memaafkan segala apa yang telah mama lakukan terhadap kami sekeluarga. Tetapi orang lain betul tentu akan memaafkan kamu. Mama kalau ya pun suka bomoh carilah Bomoh Cinta bukan bomoh yang memusnahkan orang. Bila mama hendak minta ampun kepada semua yang mama musnahkan. Mama tidak takut mati ke?

 

-Asmah-

Related posts

Isteri Dipaksa Bertudung Kemudian Cari Bini Lain Yang Seksi

admin

“Abang Kesal, Betapa Seksa Hidup Tanpamu”

admin

Ipar Duai Terkejut, Mereka Ingat Aku Janda Merempat

admin

Leave a Comment