GAYA HIDUPkesihatan

POKOK AJAIB MORINGA PENYELAMAT ORANG MISKIN

Kelebihan Khasiat Moringa

Moringa juga dikenali dengan nama lain seperti kelor, merunggai dan rambunggai. Pokok yang dikatakan mempunyai 1001 khasiat. Berasal dari India dan ia tumbuh sihat di kawasan tropika dan subtropika. Malah, ladang tanaman pokok kelor ini ada diusahakan secara meluas di Johor. Masakan India banyak menggunakan bahan daripada pokok ini seperti daun dan buahnya yang berbentuk seperti kacang atau seakan bendi dalam masakan harian mereka, contohnya kari dan dalca.

Dari segi botani, Moringa dikenali sebagai Moringa oleifera dengan pertumbuhan boleh mencapai tinggi sehingga 10 -12 meter. Kulit batangnya seakan kabus yang boleh diumpil atau dikopek dengan diameter pemeluk sebesar 45 cm.

Pokok Moringa memiliki daun yang lebat bersaiz kecil dan mudah luruh serta dahan yang rapuh. Buahnya akan muncul dalam bentuk seperti kantung bendi tetapi bersaiz lebih besar antara 10-25 cm. Benih daripada buahnya boleh dijadikan semaian untuk menanam anak pokok dan pokok ini sangat tahan dengan keadaan cuaca kering atau   kemarau.

Khasiat Daun Moringa

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Hospital Ottawa, Kanada pada 2012 melaporkan bahawa analisis daun Moringa mengandungi nutrien yang kaya seperti garam mineral (kalium, kalsium, fosforus, zat besi), vitamin A dan D, asid amino perlu dan antioksidan seperti beta karotena dan flavonoid. Penggunaan pokok Moringa yang merangkumi pelbagai bahagian tumbuhan seperti daun, buah, akar dan batangnya diamalkan sejak dahulu lagi untuk aspek perubatan. Malah, masyarakat seluruh dunia memberi gelaran pokok ini sebagai ‘Pokok Ajaib’, ‘Hadiah Tuhan kepada Manusia’, ‘Penyelamat Orang Miskin’ dan sebagainya.

Ciri Antihiperglikemik Menurunkan Gula dalam Darah

Komponen daun pokok moringa telah dikaji secara meluas untuk melihat kesannya dalam menurunkan kadar gula dalam darah terutamanya bagi pesakit kencing manis atau diabetes. Kajian klinikal dilakukan ke atas model tikus dan juga manusia yang kedua-duanya menunjukkan perubahan yang memberangsangkan. Ekstrak daun Moringa sebanyak 300 mg/kg-bw diberi kepada tikus selama 21 hari menunjukkan penurunan kandungan gula sebanyak 69%. Hal ini dilaporkan setanding dengan penggunaan ubatan moden anti diabetes Glipizide yang biasa diambil sebanyak 2.5 mg/kg-bw.

Dalam sampel manusia, terdapat pengurangan kandungan gula dalam darah sebanyak 29% oleh pesakit kencing manis Jenis-2 yang mengamalkan tablet daun Moringa pada kepekatan 98% selama 90 hari. Sebatian aktif yang diberi nama Moringine dalam daun Moringa iaitu sejenis kelas kimia alkaloid dilaporkan berperanan dalam memberikan kesan hipoglisemik atau menurunkan kadar gula dalam darah.

Nama Saintifik Merunggai 

Moringa dengan nama saintifiknya Moringa oleifera mengandungi pelbagai khasiat pada daun, buah, akar serta bijinya. Moringa juga digunakan secara tradisional untuk merawat masalah kesihatan seperti :

  • Diabetes
  • Keradangan
  • Jangkitan bakteria dan kulat
  • Sakit sendi
  •  Sakit jantung
khasiat moringa

Kredit Foto : time.com

KHASIAT MORINGA YANG MENAKJUBKAN

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya Moringa mampu menawarkan khasiat daripada pelbagai vitamin dan mineral. Daunnya mempunyai vitamin C 7 kali lebih tinggi daripada buah oren serta kandungan potassium 15 kali lebih banyak daripada pisang. Ia juga mengandungi kalsium, protein, zat besi dan amino asid yang penting bagi perkembangan fizikal dan pertumbuhan otot.

Khasiatnya yang menyeluruh dan lengkap turut menarik perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjadikan tumbuhan ini sebagai alternatif kepada bekalan makanan yang diimport bagi merawat malnutrisi di serata dunia.

khasiat moringa

Kredit Foto : medicalnewstoday.com

KAYA DENGAN ANTIOKSIDAN

Moringa diperkaya dengan kebaikan antioksida yang dapat melindungi sel daripada kerosakan di samping menguatkan sistem imun badan.

Sebatian antioksida juga berperanan dalam melawan aktiviti radikal bebas yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif yang sering dikaitkan dengan penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kencing manis.

Selain vitamin C dan beta carotene, daun moringa juga didapati mengandungi kebaikan antioksida lain seperti quercetin yang berfungsi dalam menstabilkan tekanan darah.

MENSTABILKAN PARAS GULA DALAM DARAH

Moringa juga mengandungi sebatian yang dinamakan chlorogenic acid yang dikatakan dapat mengurangkan paras gula dalam darah. Sebuah kajian mendapati pengambilan serbuk daun moringa pada setiap hari dapat mengurangkan paras gula dalam darah sehingga 13.5%.

Para saintis juga mencadangkan kesan antidiabetik ini berpunca daripada komponen yang terkandung di dalam Moringa seperti isothiocyanate. 

khasiat moringa

Kredit Foto : medicalnewstoday.c

Sumber Diet Seimbang

Di negara-negara mundur, pokok Moringa dijadikan sumber makanan bagi mengatasi masalah kebuluran dan kekurangan khasiat makanan dalam tubuh. Hal ini telah diulas oleh penyelidik dari Pusat Perubatan John Hopkins, Maryland, Amerika Syarikat pada 2005.

Kajian tersebut menyatakan bahawa daun Moringa boleh dimakan mentah, dimasak atau disimpan dalam bentuk kering untuk berbulan lamanya tanpa kehilangan kandungan nutrien di dalamnya. Malah, daun Moringa dilaporkan mengandungi lebih kandungan vitamin A berbanding lobak merah, lebih kalsium berbanding susu, lebih zat besi daripada bayam, lebih vitamin C daripada oren dan lebih kalium daripada pisang. Kandungan protein dalam daun Moringa juga menyamai pengambilan telur dan susu!

Pencegahan Kanser

Pokok Moringa telah digunakan sebagai ramuan ubatan sejak turun-temurun walaupun kajian saintifik yang menyokong dakwaan tertentu masih belum diluaskan. Namun, kajian awal menunjukkan penemuan yang meyakinkan mengenai kesan positif kandungan dalam pokok Moringa yang boleh merencat pertumbuhan kanser limfoma dan kanser kulit.

Kajian lepas juga menunjukkan bahawa sebatian dalam daun moringa boleh menghentikan pembentukan sel kanser baharu supaya kanser tidak terus merebak.

Meningkatkan Sistem Imun Pesakit HIV

Walaupun penyakit AIDS yang disebabkan oleh virus HIV masih belum mempunyai penawar, amalan diet mengandungi pokok Moringa disarankan oleh pengamal perubatan herba bagi membantu meningkatkan sistem imun pesakit ini.

Kandungan antioksidan dalam daun Moringa contohnya boleh membantu melawan radikal atau penyakit yang cuba menyerang sistem imun pesakit yang sedia lemah ini. Malah, ekstrak daun Moringa juga dilaporkan mempunyai kesan antimikroba yang sangat baik.

Manfaat Kesihatan Setiap Bahagian Pokok Moringa

Berdasarkan kajian yang diterbitkan di Food Science and Human Wellness oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Bangalore, India pada 2016, berikut ialah manfaat kesihatan setiap bahagian pokok Moringa. Ulasan ini mengambil kira amalan petua yang diamalkan oleh masyarakat di India, jadi, dakwaan ini tidak boleh dianggap saintifik sepenuhnya.

Daun – merawat asma atau lelah, sakit ulu hati, kencing manis, cirit-birit, demam malaria, sifilis, sakit kepala, jangkita mata dan telinga, antioksidan, antimikrob, mengurangkan tekanan darah dan kolesterol.

Biji benih – merawat hipertiroidism, antiherpes, masalah gout, sawan, antimikrob dan anti keradangan.

Kulit akar – anti ulser, anti keradangan, perangsang kardiak.

Bunga – mengurangkan kolesterol, agen anti keradangan sendi, demam sejuk dan masalah sukar membuang air kecil.

Pod atau kantung buah – merawat cirit-birit, masalah hati dan limpa dan sakit sendi.

Kesimpulan

Antara khasiat kesihatan pokok Moringa ialah dapat menurunkan kadar gula dalam darah, sumber nutrien yang mencukupi kepada tubuh, berpotensi mencegah kanser dan pelbagai lagi manfaat daripada setiap komponen pokok tersebut. Namun, harus diingat bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung dengan rawatan alternatif petua sebegini kerana pelbagai faktor sebenarnya boleh mempengaruhi kesembuhan kita. Dos atau amaun yang diambil juga boleh menyebabkan kesan sampingan tertentu jika kita tidak mengamalkan konsep bersederhana.

Sumber Wikipedia

Related posts

OGAWA Master Drive AI 2.0

admin

Famous 2 Famous Musim 4 Jemput Tetamu Ahli Politik juga Artis Yang Daring

admin

Stay Home We Are Happy

admin

Leave a Comment