PERSONALITI

Apabila kehidupan mencabar anda – katakan, ya

Beliau menjalani kehidupan yang sempurna dan penuh cabaran. Apabila takdir melemparkan ujian terbesar kepadanya, beliau menyambut dan membawanya berlari bersamanya. Bersempena Hari Wanita Antarabangsa, kami meraikan Dekan Pusat Pengajian Perubatan IMU, Profesor Dr Sharifah Sulaiha Binti Syed Aznal sambil berbicara tentang cabaran, kebangkitan dan harapan beliau untuk menyumbang kepada masa hadapan penjagaan kesihatan.

Sudah setahun beliau didiagnos dan ia satu kejutan kepadanya. Berita itu diterimanya pada Februari 2023 yang mengesahkan beliau menghidap kanser kolon. Hidupnya berubah sekelip mata dan segala perancangan hidup berantakan, tetapi menjelang Julai tahun yang sama, beliau kembali bertugas selepas menjalani sebahagian daripada  rawatan kemoterapi.

Apa yang mendorongnya? Jelas beliau: “Anak-anak saya. Sebagai salah seorang teladan hidup terdekat mereka, saya mahu mereka tahu walau apa pun rintangan dalam hidup, kehidupan kita masih belum berakhir.” Keputusan imbasan yang diambil baru-baru ini jelas dan apabila beliau merenung kembali setahun yang lalu, satu perkataan muncul dalam fikirannya: Gila! Beliau begitu berhati-hati dalam perkongsiannya kerana beliau tidak mahu orang lain menyangkakan yang mereka perlu mengikuti laluannya atau sengaja mahu meraih simpati. Sebaliknya, mesej beliau jelas dan mudah. Ada cahaya di hujung terowong dan jangan pernah berputus asa.

Itulah pengajaran yang beliau sendiri pelajari sewaktu remaja dengan memerhati ibu bapanya, terutamanya bapanya.

Bapa seorang pemimpin

Anak ketiga daripada lima beradik, Prof Sulaiha dibesarkan oleh ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan aktiviti mereka. “Ayah saya orangnya tidak pernah berkata tidak,” ujarnya sambil menjelaskan yang bapa beliau memegang banyak peranan dalam kerjayanya. Ayah beliau bukan sahaja seorang guru di sekolah, beliau juga penolong guru besar dan guru disiplin dan kemudiannya memegang jawatan pegawai perhubungan untuk Kementerian Pelajaran. Di dalam komuniti pula, bapanya seorang pemimpin serta melatih kanak-kanak kejiranan untuk pelbagai kejohanan sukan. “Beliau tidak pernah duduk diam,” katanya.

Prof Suhaila memerhatikan bapanya yang memberikan tumpuan sepenuhnya dalam kehidupan dan daripada bapanyalah beliau mempelajari banyak kemahiran hidup. “Saya “Saya nampak bagaimana beliau ketika berada di atas pentas, bagaimana beliau mendekati orang ramai, bagaimana beliau membuat keputusan pantas dan bagaimana beliau memimpin projek dan kumpulan pekerja. Semua itu menjadi sifat saya yang kedua,” katanya menjelaskan kesanggupannya untuk sentiasa menyahut cabaran.

Bidang yang dipilih

Tidak pernah beliau membayangkan yang beliau akan mempunyai kerjaya dalam bidang perubatan. Prof Suhaila berkata, ketika muda pengalamannya dalam penjagaan kesihatan melibatkan hospital yang penuh sesak dan dipenuhi jeritan. “Anda tidak akan mahu berada di hospital.” Sebaliknya, beliau menumpukan perhatiannya pada laluan yang kurang huru-hara seperti menjadi seorang jurutera, peguam atau akauntan.

Kata-kata ayahnya yang membuatkan beliau berfikir semula. Ayah beliau berkata jika beliau mahu membuat perubahan – untuk membantu negara dan orang ramai – maka beliau hendaklah melakukan sesuatu untuk mengubah perkara yang perlu diubah. Ayah beliau merasakan anaknya itu sesuai dengan peranan seorang doktor. Akhirnya, beliau menerima nasihat ayahnya dan menceburi bidang perubatan.

Mengenang kembali, Prof Suhaila mengakui yang pengajian agak sukar pada mulanya. Tetapi apabila beliau memasuki tahun klinikalnya, beliau faham mengapa bapanya mahu beliau belajar menjadi doktor perubatan. “Saya menyukainya!” kata beliau.

Kenangan yang tidak dapat dilupakan

Selepas belajar perubatan dan bekerja di Scotland pada tahun-tahun awalnya, beliau kembali ke Malaysia pada pertengahan 1990-an membawa banyak cabaran dan pandangan baru.

Tugasan pertamanya adalah di hospital besar di Kuala Terengganu dan beliau masih ingat kes kecemasan seorang ibu yang baru melahirkan anak dan mengalami pendarahan selepas bersalin. Pesakit berkenaan berada di Kemaman iaitu tiga jam perjalanan dari hospital. Sebagai seorang pegawai perubatan yang bertugas pada hari itu, beliau ditugaskan bersama skuad penerbangan untuk pergi menilai dan membawa pesakit ke hospital. Beliau segera mendapatkan peralatan dan menunggu helikopter.  Helikopter yang ditunggu-tunggu tidak sampai pun. Baharulah dia faham yang skuad penerbangan yang dimaksudkan adalah ambulans ‘terbang’ – melakukan pemanduan tiga jam dalam tempoh satu jam sahaja! Setibanya di lokasi, ambulan berhenti agak jauh dari rumah pesakit. Walaupun agak mencabar untuk membawa pesakit ke ambulan, tetapi ia dapat diatasi dengan cepat kerana satu kampung datang membantu membawa pesakit di atas pengusung.

Ia satu peristiwa yang menyentuh hati, dan bagi Prof Sulaiha, ia mencetuskan semangatnya untuk mengubah keadaan. “Itulah adalah titik perubahan,” katanya sambil menjelaskan bagaimana peristiwa itu menyedarkannya akan pelbagai halangan yang terpaksa dihadapi orang ramai hanya untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang sepatutnya.

Perubahan boleh dilakukan

Sewaktu berkhidmat di Terengganu, beliau berusaha melakukan apa yang termampu sebagai doktor muda. Beliau merupakan sebahagian daripada komuniti amalan yang menyelia jaminan kualiti di hospital. Beliau masih ingat membuat penyelidikan mengenai amalan terbaik dan mencari cara inovatif untuk menambah baik proses-proses seperti kemasukan ke hospital. Ia adalah sesuatu yang beliau boleh lakukan untuk menyumbang ke arah perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit. Hospital itu menjadi terkenal pada masa itu sebagai hospital terbaik dari segi jaminan kualiti malah menerima anugerah kerananya. Mereka juga dijemput ke Konvensyen Kebangsaan Pertama mengenai Jaminan Kualiti di negara ini. 

Beliau turut memperjuangkan hak doktor. Sebagai contoh, sebagai setiausaha SCHOMOS (Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan) di bawah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Terengganu, beliau menyertai kumpulan memperjuangkan isu elaun tugas atas panggilan untuk doktor muda – satu amalan yang diterima di banyak negara. Usaha beliau membuahkan hasil apabila cadangan itu diluluskan dan akhirnya dilaksanakan di peringkat nasional.

“Setiap seorang daripada kita boleh melakukan sesuatu,” kata Prof Sulaiha, “walaupun kecil.”

Mempengaruhi masa depan

Wawasan beliau kemudiannya ditumpukan pada perubahan yang lebih besar. Beliau memutuskan untuk bekerja keras membina kerjaya supaya boleh berada dalam kedudukan untuk mempengaruhi sesuatu dalam skala yang lebih besar. Beliau mengingati sambil bergurau memberitahu seorang rakan: “Apabila saya berumur 40 tahun, saya mahu menjadi ketua perkhidmatan (kerajaan) atau profesor di sebuah institusi.”

Seperti yang ditakdirkan, Prof Sulaiha menyertai IMU sebagai pensyarah pada 2004. Sebagai seorang ahli akademik, beliau berharap dapat memberikan pengaruh kepada generasi muda dan melengkapkan mereka dengan apa yang diperlukan untuk melakukan perubahan pada masa hadapan. Ketika itu beliau berusia 33 tahun. Pada usia 40 tahun, dia menerima jawatan profesor bersekutu dan pada Januari 2023, beliau menjadi dekan Fakulti Perubatan.

Beliau bekerja keras selama bertahun-tahun di IMU untuk memacu inisiatif bagi membantu pelajar memenuhi potensi mereka. Kira-kira lapan tahun lalu, beliau mengetuai pasukan untuk mendesak penempatan kerja menjadi sebahagian daripada dasar universiti yang merentasi semua program. Ini bagi memastikan kesediaan bekerja graduan dan meningkatkan kebolehan pasaran mereka. Beliau juga mengetuai pasukan petugas untuk mengubah Pusat Kemahiran Simulasi Klinikal IMU menjadi sebuah jabatan bebas dengan kapasiti untuk berkhidmat kepada seluruh universiti, sekaligus memberi manfaat kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.

Terbaharu, di Fakulti Perubatan, beliau adalah pemangkin kepada perkembangan kurikulum. Kurikulum baharu yang dilancarkan pada 2021 memastikan pelajar mendapat pendedahan dan hasil pembelajaran terbaik, sambil mewujudkan platform pembelajaran dengan lebih banyak interaksi antara pelajar dan pensyarah.

Beliau tidak jemu-jemu bekerja walaupun berhadapan dengan cabaran peribadi. Bagaimanakah beliau mengimbangkan kerjaya dan kehidupan? Salah satu perkara paling penting yang beliau katakan ialah perlunya untuk tahu yang kita tidak mampu melakukannya bersendirian. “Ia adalah mengenai kerjasama.” Beliau menjelaskan yang beliau tidak melihatnya sebagai sokongan daripada orang di sekelilingnya, tetapi melihatnya sebagai satu hubungan kerjasama – dengan suami, ibu bapa dan juga rakan sekerjanya. “Saya ada apabila mereka memerlukan saya, dan mereka ada ketika saya memerlukan mereka. Tanpa persekitaran usahasama, anda akan berdepan kesukaran,” katanya.

Penglibatan wanita dalam kesihatan

Prof Sulaiha adalah pakar obstetrik dan ginekologi. Tugasnya sentiasa menjadikan dia dekat dengan cabaran penjagaan kesihatan wanita. Salah satu isu yang mendesak, menurutnya, adalah pengambilan ujian pap smear untuk mengesan kanser serviks. “Kita masih bergelut untuk meyakinkan wanita untuk melakukannya,” katanya sambil menjelaskan bahawa walaupun pihak swasta dan kerajaan mengambil inisiatif menawarkan ujian, namun kadar pengambilan ujian tetap rendah.

Salah satu sebab wanita tidak tampil ke hadapan untuk melakukan ujian tetap adalah kerana malu. “Kita perlu memahamkan mereka bahawa ada ahli profesional kesihatan wanita – kedua-dua doktor dan jururawat – yang boleh melakukan ujian itu untuk mereka,” jelasnya. Sebab lain ialah hakikat bahawa wanita tidak melihatnya sebagai sesuatu yang penting.

Sebagai langkah ke hadapan, kata Prof Sulaiha, satu pendidikan awam yang lebih tersasar perlu diadakan. Beliau memahami walaupun sebenarnya sukar untuk mendekati wanita yang benar-benar memerlukannya. Berdasarkan pengalaman berceramah di lapangan semasa masih di dalam perkhidmatan kerajaan, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendekati komuniti tertentu dan menarik perhatian mereka. Namun beliau merasakan kita semua boleh melakukan peranan kita dalam kapasiti yang berbeza-beza.

Katakan ya kepada cabaran hidup

Hari ini, Prof Sulaiha terus melakukan apa yang terbaik – mengubah perkara menjadi lebih baik sedikit demi sedikit. Beliau mahu mengingatkan wanita di Malaysia bahawa mereka berkebolehan sama seperti orang lain, walaupun dari negara maju. “Dalam kepala kita, kita mungkin masih mempunyai naratif bahawa wanita Asia adalah lemah. Tetapi itu tidak benar sama sekali. Kita pun mampu mendapatkan pengiktirafan dunia!” dia berkata.

Dikukuhkan dengan kepercayaan yang kuat kepada Allah,Prof Sulaiha belajar untuk menghadapi setiap hari yang mendatang selagi mana beliau memberikan yang terbaik. Beliau mewakili sikap boleh-buat bapa beliau dan itulah mantera yang tidak pernah berubah walaupun selepas beliau didiagnosis menghidap kanser. “Saya tidak tahu takdir apa yang menanti saya. Tetapi saya mahu mengambil masa ini untuk memastikan orang lain mendapat manfaat daripada apa yang saya lakukan.”

Mengatakan ya kepada cabaran hidup – itulah semangat berkobar-kobar Prof Sulaiha.

Related posts

Aida Khalida Cantik Di Usia 65, Tanpa Botox dan Filler

admin

Kisah Cinta Melissa Sargeant & John Perter Artley

admin

FATIMAH AZ-ZAHRA 

adminwm

Leave a Comment