Tiga tahun bercinta aku masih menunggu dia datang meminang. Dia beralasan sehingga aku malas lagi bertanya dan satu hari aku menghilangkan diri. Dua minggu aku ambil cuti dan terbang jauh. Puas dia mencari, menghantar seribu pesanan ringkas tetapi aku biarkan, hanya membaca setiap butir kata-katanya. Barulah aku tahu dia sudah berkahwin.
Hati mana yang tidak kecewa, seumur hidup aku dialah satu-satu lelaki yang aku cintai. Tetapi dia berdusta tidak memberitahu keadaan dia sebenarnya. Kalaulah aku tahu dia sudah menjadi milik orang, tiada ku mahu bercinta dengannya.
Aku mengenal dia, dalam satu mesyuarat syarikat. Dia orang besar di syarikatnya, boleh tahan mengkagumkan; perwatakannya menarik untuk aku mahu mengenalinya lebih dekat. Tidak kacak mana pun tetapi tutur katanya membuat aku mahu mengenalinya. Oh ya selepas mesyuarat itu, kami tidak pun berkesempatan bertegur sapa, kerana aku nampak dia ‘rushing’. Tetapi siapalah aku pun, aku hanya pelajar ‘intern’ yang pagi itu ditarik oleh bos untuk mengambil minit mesyuarat kerana setiausahanya cuti emergency.
Diselidik ada memberitahu aku, dia tergesa-gesa kerana hendak membawa ibunya makan sebab hari itu jatuh pada Hari Ibu. That was so sweet of him, membuat aku lagi hendak tahu siapa dia sebenarnya. Ada juga aku bertanya tetapi yang aku dapat tahu dia masih solo. Upp peluang aku cerah untuk mengenalinya, kata di hati.
Tiga tahun masa yang teramat panjang untuk seorang mengenali satu sama lain. Untuk setahun tahun sebelumnya kerana aku masih belajar aku kurang memberikan perhatian kepada hati ini, sesekali berjumpa dialah yang selalu memberikan kata perangsang dan pelbagai ‘sweet talk’ sehingga tanpa aku sedari aku sudah jatuh cinta kepadanya. Kami terus berkawan dan aku menyimpan perasaan hati. Tetapi bila dia muncul, Tuhan sahaja yang tahu akan perasaan ini. Sehingga satu hari aku memberitahunya yang aku amat mencintainya. Cinta aku rupanya dibalas. Dia memberitahu yang dia hendak mendengar kata-kata itu dari mulut aku, dan katanya dia tidak bertepuk tangan sebelah.
Aku bahagia kerana cinta berbalas. Setiap hari dia akan menghubungi dan begitu juga aku. Kerana bekerja di Selatan, masa rehat aku dan pulang kerja akan aku habiskan bersembang dengannya. Aku bangga sebab kekasih aku seorang yang bijak, dan sementelah kami juga menyokong politik sama, kami sentiasa sependapat.
Tidur aku pun selalu lena kerana jarang berbalah. Pendek cerita he is a perfect partner… katanya ibunya juga orang kuat politik, sementelah ibu sakit katanya biarlah dia sahaja yang meneruskan perjuangan ibunya. Katanya bapanya bercerai dengan ibunya di kala dia masih kecil, dan dia pun tidak kenal siapa ayahnya. Katanya juga dia akan terus menjaga ibunya, dan kerana itulah alasannya tidak mahu lagi memikirkan tentang berumah tangga dan sebagainya. Dan katanya lagi, aku perlu bersabar kerana masanya akan tiba untuk kami membina istana bahagia.
Di banglo menghadap tasik tempat aku berpergian sebaik mendapat tahu perkara sebenarnya siapa dia, air mata mengalir laju. Dia mengkhainati hubungan aku ini. Banyak ceritanya tidak betul, ya betullah dia ada ibu yang sedang sakit, tetapi bukan dia yang menjaganya. Dia juga sudah beristeri, tetapi belum dikurniakan zuriat. Apakah ini alasannya berbaik dengan aku, supaya nanti aku yang memberikan dia zuriat? Tetapi kalau betul isterinya tidak boleh mengandung, mengapa dia tidak menyegerakan perkahwinan dengan aku. Sebagai seorang wanita, aku tidak mahu menunggu lama, hey aku tidak mahu jadi anak dara tua dan diejek oleh kawan-kawan.
Walaupun aku sudah bertekad sekembalinya aku dari ‘percutian’ yang tidak dirancang ini aku tidak mahu ada apa-apa lagi dengannya. Aku mahu membina hidup baru dan mencari orang baru…ya aku bukan muda, sudah masuk 28 tahun dan mesti memikirkan untuk berkeluarga. Lagipun aku benci lelaki yang mulut bercabang, dan penipu. Kalau katanya awal-awal yang dia sudah berkahwin, sudah lama aku cari orang lain. Andai dia tidak menunjukkan keperihatinannya yang berlebihan terhadap aku, sudah lama pun aku nyah daripadanya. Tetapi itulah, dia sentiasa melayani aku sebaiknya, dan alasan menjaga ibulah membuat hati itu sejuk. Lelaki kalau dia sangat sayang ibunya dia juga akan menjadi suami yang baik. Itu yang aku pegang dan tidak secubit pun ada rasa curiga kepadanya.
Dan bila aku akhirnya dapat bertukar bekerja di kota, kami juga sering berjumpa. Aku membawanya balik kampong memperkenalkan dia kepada orang tua, dan dia seperti lagaknya orang bujang sungguh pandai berlakon di hadapan keluarga. Ada sekali masa dia berjumpa parents aku dan abah bertanya, akan hubungan kami, katanya dia menunggu masa terbaik untuk datang meminang. Dan katanya lagi dia tidak mahu bertunang tetapi terus nikah dan buat reception sekali.
Aku juga teringat abah bertanyakan kepadanya, mengapa dia lewat kahwin. Dengan manis dia menjawab selain menjaga ibunya yang sakit, dia tidak berjumpa dengan perempuan yang dapat mencuri hatinya. “Inilah baru saya berjumpa orangnya,” dan katanya jodohnya hampir tiba. Dia pun memberitahu abah yang dia akan menghantar wakil untuk masuk meminang.
Dalam pada itu, sebulan berlalu, dua bulan dan seterusnya, alasan demi alasan yang membuat keluarga aku tertunggu-tunggu. Mama menegur malah kata mama dia macam tidak rasa Raja Kamal (ya ini namanya) bercakap benar. Tetapi abah pula yang marah mama, mengatakan si Kamal orangnya jujur dan kita perlu bersabar. “Yalah anak kita bukannya muda, kalau dia tidak serius, cari orang lain sahaja.” kata mama. Dan abah diam sahaja, setelah banyak kali bertengkar dengan mama.
Dua minggu menghilang membuat Raja Kamal pincang. Mencari aku sana sini. Dia balik ke kampong, dan mendesak orang tua aku memberitahu di mana aku. Mereka juga panik, sebab tiada siapa yang tahu, waima kawan baik aku sendiri. Aku memang tidak memberitahu sesiapa pun. Lagipun keputusan aku pergi ke Bali pun adalah last minute plan, teringat ada kawan bekerja di sana. Setelah lama berbual dia mendesak aku ambil cuti dan ke sini. Kerana cuti aku banyak dicampur dengan cuti-cuti khas aku dapat sehingga dua minggu. Kalaulah jiwa aku tenteram pasti ini percutian yang terbaik. Oh ya, aku simpan cuti, setiap tahun, kot-kot last minute perancangan untuk kahwin, dan aku ada cuti yang panjang. Dan akhirnya aku kecewa kerana cuti tidak boleh dibawa ke hadapan. Kerana itulah setelah menimbang semuanya aku terus mohon cuti dan diluluskan dalam masa tiga hari. Hanya bos aku sahaja yang tahu sebenarnya aku bercuti.
Sepulangannya aku, dengan nekad, no more melayannya, no more makan hati, no more berbelah hati. Aku mahu memberitahu mama dan abah akan keputusan aku…tetapi aku tewas sekali lagi. Dengan kata-kata ‘keramatnya’ dan janji setia dan sayangnya, apa yang aku bawa balik dari Bali tidak dapat aku kotakan. Aku kembali kepadanya tetapi ceritanya tidak sama. Kerana dia bersetuju untuk mengahwini aku, Dia juga bersetuju untuk memberitahu abah akan cerita yang sebenarnya. Apa yang sebenarnya, yang dia sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Yang isterinya orang berada, dan ayahnya berkuasa dan tidak mudah ‘lari’ daripada perkahwinan ini. Katanya mereka memang lama tidak tinggal sebilik dan masing-masing dengan penghidupan sendiri, dan blah-blah-blah, ah aku pun lupa setengah daripada ceritanya. Sama ada ceritanya betul atau fake pun aku tidak tahu, tetapi entah apa yang diceritakan, abah bersetuju untuk membenarkan kami kahwin, malah abah banyak mengeluarkan wangnya untuk majlis perkahwinan kami.
Orang di sana sudah dapat mengesan. Kalau pun mereka seperti yang dikatakan hanya tinggal sebumbung demi menjaga nama dan kuasa, tetapi bila sang suami sudah berkahwin, keadaan tidak seperti selalu. Kalau dulu, seminggu pun suami menghilang, isteri tidak kuasa untuk bertanya khabar tetapi kini semalam pun tiada dia dicari. Sang isteri sudah tidak duduk diam. Kalau dulu dia pun menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti, sekarang aktivitinya adalah untuk mengekor pergerakan suami. Aktivitinya untuk menghubungi suami dan menghantar pelbagai pesanan ringkas dengan suami. Dulu dia tidak kisah kalau ada pun suami di rumah, dia tidak mahu melayan. Kini dia akan pastikan sebelum jam enam suami mesti berada di rumah, dan dia tidak benarkan suaminya keluar lagi. Mak ayah pun dengan kuasa mereka dalam syarikat tempat dia bekerja sudah pun masuk campur, dan kalau dulu mereka juga tidak kisah hal menantu, oh sejak berkahwin satu lagi si menantu bagai diikat kakinya. Ada sahaja aktiviti mereka yang tidak membenarkan suami ke mana-mana.
Masa bersama amat terhad. Aku selalu menangis ditinggalkan. Isteri pertama juga menghantar orang untuk warning dan sebagainya. Pelbagai fitnah dilemparkan sehingga aku mahu untuk diceraikan. Facebook saya digodam dan aneka kejian dilempar sehingga saya sendiri rasa tidak selamat. Barulah aku nampak suami seorang pengecut, dan tidak berani bertindak. Yang dia mampu memberitahu, “aku mesti sabar”. Kalau tiga tahun mampu sabar mengapa aku tidak terus bersabar. Abang akan cari jalan… bila bisnes yang abang usahakan ini menjadi, abang akan keluar dari rumah neraka itu.”
Itulah kata memujuknya setiap kali aku melepaskan kekecewaan. Kalau dulu kami berkasih sayang, kini tidak lagi. Keadaan selalu genting dan adalah kala sehingga seminggu dia tidak menjengok muka. Kalau menalipon pun mesti tergesa-gesa dan belum sempat apa sudah meletakkan telefon.
Aku dapati diri aku mengandung. Sudah tentu orang yang mahu aku beritahu segera ialah suami, tetapi di hari aku mahu memberitahunya, masa itu aku terdengar suara isterinya di talian. Upp dia pun terus menutup telefon, empat hari tidak menghubungi. Dan aku pun sudah malas memberitahu. Tiga bulan pertama itu… perut aku pun tidak nampak apa-apa dan aku terus merahsiakan kepadanya. Bila berjumpa aku malas bercerita apa-apa… dan kalau pun dia bertanya tentang diri aku, aku jawab, “Diaa okay aje…” Entah tiba-tiba aku rasa malas sangat hendak fikirkan lagi tentang dia dan orang di sana. Aku sudah bertekad tidak mahu lagi ‘complaint’ tentang perempuan itu yang masih belum puas hati mengganggu gugat hidup aku. Aku biarkan diri aku sahaja yang menangis. Malah aku boleh ketawa dan bercerita entah apa, biasanya tentang politik untuk aku melupakan keadaan aku.
Sehingga aku menghilangkan diri pada usia kandungan lima bulan, dia tidak tahu yang aku mengandung. Begitulah aku berjaya menyimpan rahsia diriku bulan ke bulan . Tetapi aku tidak banyak bercerita. Ah aku tidak kuasa untuk melayan nya, dan anak ini pun aku ada rancangan untuknya. Mama dan abah pun tidak aku beritahu akan aku berbadan dua… kerana aku rasa mereka pun tidak perlu tahu dan aku tidak mahu menyusahkan mereka.
Dua bulan terakhir, aku mengambil cuti tanpa gaji dan betul-betul aku menghilang diri. Kali ini aku pergi ke Sarawak dan tinggal dengan kawan dan bersalin di sana. Puas, suami pun tidak aku hubungi, entah mengapa, diri ini sudah tidak kuasa lagi untuk memikirkan apa pun.
Aku tahu, anak ini dengan aku hidupnya biasa-biasa sahaja tetapi dengan daddynya sudah tentu penghidupannya berbeza. Aku pun sudah tiada hati lagi dengan suami, dan rancangan aku untuk menyerah sahaja kepada daddynya dan biarlah dia yang menjaganya. Keinginannya untuk mempunyai anak daripada darah dagingnya aku penuhi, bukan aku tidak sayang dia tetapi demi masa depannya aku berkorban. Tetapi terfikir juga aku, kalau si ayah membawa balik bayi untuk dijaga oleh bininya, dan mengetahui anak itu anak aku barangkali dia tidak akan menyayangi bayi ini. Aku serba salah, kalau aku dengan jujur memberikan kepadanya, kalau dia mengambil dan kemudian menyeksa anak aku bagaimana. Aku berfikir seribu kali… waktu itu aku pun sudah lari dan suami pun tidak tahu di mana aku. Nombor telefon sudah aku tukar yang baru dan aku juga mengambil cuti tanpa gaji lima bulan… aku rasa duit simpanan aku cukup untuk membayai hidup aku, dan duit hospital.
Anak aku hanya sempat aku belai kurang dua minggu. Dengan hati yang penuh sayu, aku meminta kawan aku menguruskan bayi ini untuk dihantar ke muka pintu rumah suami aku. Aku katakan kepadanya buat apa sahaja yang kamu boleh, tetapi bayi ini mesti di’serah’kan kepada keluarga itu tanpa memberitahu siapa ibunya.
Tinggal di banglo dan kawasan yang besar tiada berpagar, sebenarnya tidak sukar untuk dia mengatur meletakkan bayi itu di hadapan muka pintu rumahnya. Waktu itu di bulan puasa dan bayi itu betul-betul di’jumpai’ mereka sedang bersahur. Terdengar tangisan, si isteri terus ternampak bayi yang berbedung di dalam bakul, di tepi beberapa keping diaper dan susu juga setin susu powder. Pendekkan cerita, dengan nota yang tertulis, ‘saya ibu tunggal yang tidak mampu menjaga dan membesarkan bayi ini. Saya juga cacat orangnya, dari itu aku menyerahkan bayi ini untuk anak berdua menjagainya. Berikan dia kasih sayang seperti anak sendiri.”
“Bayi ini pun belum berdaftar, tetapi kalaulah sudi namakan lah dia Daniel.” Dan saya akan terus mendoakan semoga keluarga barunya menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang.
“Ibu mana yang tidak sedih tetapi aku tidak mahu penderitaan aku berpanjangan. Aku tahu di sana dia dijaga dengan penuh kasih sayang.
Sebenarnya selepas pantang, aku ada pulang ke kampong dan memberitahu mama dan abah yang aku telah pun berpisah dengan suami dan akan bekerja di Sabah (aku juga berbohong kepada orang tua, kerana tidak mahu mereka memberitahu suami.) Aku percaya dia akan pulang ke kampong mencari aku tetapi persetankan tentang dia… dia pun sudah mendapat anak baru. Entah-entah dia pun lupa aku.
Aku biarkan diri aku masih gantung tidak bertali selama dua tahun, kerana aku tidak rush pun untuk berkahwin lagi. Memang aku akan memohon cerai. Sementara itu aku dapat juga melihat perkembangan Raja Daniel kerana selalu diupdatekan oleh ibu tirinya yang dipanggil mummy. Nama yang telah diberi mereka Raja Daniel, huh membesar begitu pantas… dan aku hanya dapat melihat dari jauh sahaja.
em
Bahagiakah aku dengan keputusan aku itu? Sentelah aku serahkan dia kepada daddynya sendiri, aku percaya hidup Danial akan lebih teratur. Dan lagi orang di sana tiada anak, bukankah ini hadiah tiada ternilai buat mereka.
Hari ini Raja Daniel sudah masuk ke darjah satu. Cepat masa berlalu dan aku teringat pada usianya lima tahun, aku memberitahu ayah kandung Daniel, bahawa anak angkatnya itu adalah anak kandungnya. Kalau dia tidak percaya dia boleh buat ujian DNA. Memang kelam kabut juga untuk satu ketika kerana wajah Daniel saling tidak tumpah seperti daddynya… tetapi ramai orang kata kalau kita ambil anak angkat, anak itu akan mengikut rupa si sibu atau ayah angkat. Dan mereka percaya betullah begitu.
Tetapi aku tidak mahu mereka keliru lama-lama dan pada usianya lima tahu aku sudah memecahkan rahsia itu. Lagipun untuk mereka mencari aku pun sukar sebab aku sudah pun lama di negara orang putih. Kerana selepas disahkan perceraian dan habis edah, aku mendapat jodoh dengan orang putih. Dia amat menyayangi aku. Tidak pun aku cerita kisah pahit aku kerana tidak mahu bersangka buruk. Biarlah ia menjadi rahsia aku.