Kerana ia terlalu peribadi aku terpaksa mengrahsiakan siapa aku, siapa dia. Aku menulis ini pun kerana terpanggil untuk memberitahu kamu semua agar ia menjadi pengajaran kepada kamu sekalian.
Tulus aku katakan aku geli membaca cerita-cerita yang berkaitan dengan liwat, yang terpampang di akhbar dan pengakuan-pengakuan yang dibuat oleh orang ini, orang itu yang mereka diliwat dan sebagainya. Tidak malukah dia pada dunia memberitahu dia diliwat, atau dia meliwat dan sebagainya. Kemudian terpampang muka di akhbar, di fb, ig dan sebagainya. Ya Allah mengapa dia tidak menjaga maruahnya sebagai manusia. Lebih-lebih lagi kalau namanya ada di tengahnya bin. Hah boleh lagi senyum bila bergambar. Dan mengaku lagi, aduh muka-muka ini tiada malu langsung. Malulah pada anak bini, pada saudara mara dan kawan-kawan kalau terlupa malu kepada Tuhan.
Kemudian ada pula satu golongan yang siang-siang mengaku dirinya gay, lesbian. Tunjuk dalam Facebook gambar pasangan dan berbangga pulak tu dengan caption-caption yang konon pasangan dialah orang yang paling kacak, paling memahami, bertanggung jawab dan entah apa lagi bunyi caption, nak kahwinlah… yang aku rasa helo… kamu hendak buat apa pun buatlah sendiri sendiri, jangan tunjuk pada orang ramai. Oii orang tidak mahu dengarlah cerita-cerita cinta kamu dengan kaum sejenis. Kaum yang dilaknati. Yang Allah tidak mahu pandang muka kamu di akhirat nanti dan Allah akan campakkan kamu nun jauh ke dalam lubang api neraka jahanam dan langsung tidak mahu diangkatnya sekalipun kamu telah banyak membuat jasa-jasa lain, Wallahu A’lam.
Sedih. Dulu Melayu dikatakan bangsa yang pemalu, bangsa yang tinggi maruahnya, bangsa yang mendukungi agamanya, tetapi di akhir zaman ini, inilah antara bangsa yang senang menggadai maruah, yang tidak rasa apa-apa bercerita fasal keaiban diri. Bangga pula tu. Dan tidak kurang pula yang sudah tidak rasa apa-apa makan rasuah, merompak dan sebagainya. Ada yang konon tinggi ilmu agama tetapi sanggup berkata perbuatan rasuah, merompak jika belum ditangkap perbuatan itu tidak salah.
Aku target mereka…
Okay kembali kepada kisah aku ini. Aku lelaki normal dan pada usia aku yang lewat 30-an ini, aku masih belum berkahwin. Alasan aku tidak berkahwin kerana mungkin belum tiba jodoh dan aku pun tidak mampu. Aku takut kalau nanti tidak termampu menjaga anak bini. Adik-adik aku pun ramai, seorang demi seorang aku sekolahkan, aku biayai pembelajaran mereka di universiti dan berhenti menanggung sehingga dapat kerja. Kemudian tanggung yang lain pula, kadang-kadang sampai beranak pun aku terpaksa tolong tanggung mereka. Membuat aku lupa yang aku semakin tua, tidak ada simpanan cukup untuk hari tua dan tidak pun ada banyak harta untuk disimpan. Dalam pada itu, aku juga punya beberapa anak angkat. Sudah diserahkan anak mereka untuk aku jagai, masakan aku boleh menolak. Mereka datang bukanlah daripada bayi tetapi bila si bapa datang minta tolong jaga anak mereka, tolong bantu persekolahan dan sebagainya, apakah aku boleh menolaknya kerana mereka berbuat begitu sebab hidup susah.
Aku punya kawan A ini yang mengetahui kisah aku yang katanya aku ini terlalu baik orangnya. Katanya aku akan menjadi penghuni syurga kerana banyak membantu orang yang susah. Katanya orang macam aku dalam sejuta nak cari seorang pun susah. Ini cerita lama masa dia belum menjadi pengikut-pengikut orang politik. Sejak dia menjadi seperti mereka yang dalam politik, yang rakus, yang tidak takut perbuatan mereka itu dikutuk dan dilaknatiNya, dia yang dulu orangnya aku kata bolehlah dihormati, tetapi kini telah berubah 360 darjah.
Kawan aku ini memang bercita-cita besar. Padanya kalau tidak kaya orang tidak hormat. Tidak pandu kereta mewah, Mercedes, BMW hah orang tidak pandang sebelah mata. Tidak ada jawatan juga orang tidak hormat, dan cara tepat masuk politik. Pandai pula bercakap dan gesel bahu dengan orang politik. Maka dia jadi penyokong kuat orang tertentu.
Aku juga diheret ke alam politik sebab katanya kalau betul anak jantan kita bantu berjuang, lawan pembangkang sehabis-habisnya. Mulanya aku juga syok bila berada di arena ini, dapat berbaik dengan orang berpengaruh. Aku yang pada masa itu baru hendak berjinak dengan bisnes diberitahu akan berkembanglah bisnes aku kerana aku menyokong parti yang memerintah ketika itu. “Kalau kamu lawan mereka, kamu tak dapat apalah. Malah yang ada pun mereka akan tarik. Ingat yang ada itu pun sebab aku. Kalau tidak kerana aku dan mereka yang bantu kamu, kamu ingat senang-senang hendak dapatkan projek,” sering teman mengingatkan.
Aku tidak nafikan, yang dia banyak membantu dan aku teramat berterima kasih. Namun semakin hari semakin aku mendekati yang so called perjuangan itu tidak lain tidak bukan untuk meraih keuntungan dan menebalkan poket mereka. Juga untuk menyenangkan kaum kerabat mereka dan kuncu-kuncu mereka.
Demi wang gaya hidup mereka semakin kotor. Kawan aku ini antara kerjanya ialah melobi dan tukang mengumpul maklumat atau mereka cipta untuk fitnah-memfitnah buatnya sesiapa saja yang dianggap musuh. Dia dibayar ribu-ribu untuk kerja-kerja kotornya. Hari demi hari aku jadi jijik dengan sikap, perbuatan dan tindakannya itu.
Aku sering diheret ke kerja-kerja kotor. Kemudian aku tersedar, cukuplah aku tidak mahu menambah dosa yang ada. Dan kerana setiap rancangannya aku tolak, aku sudah dicop pengkhianat. Aku pula dijadikan target dia untuk menjatuhkan seseorang.
Pelbagai cara dilakukan menjatuhkan aku. Bisnes aku yang sedang maju dijahanamkan oleh orangnya sampai aku kehilangan ratusan ribu. Malah aku juga dilemparkan dengan segala macam fitnah. Orang yang percaya dengan aku mula menjauhkan diri, kawan-kawan aku sudah lama memandang serong. Akhirnya aku jatuh tersungkur.
Tidak cukup dengan itu, dia mahu terus memalukan aku, Mereka mengetahui aku tidak lagi menyokong perjuangan mereka, malah aku sudah terang-terang membidas mereka. Dalam pilihanraya baru-baru ini aku ikut parti lawan mereka berkempen yang akhirnya membawa kepada kemenangan. Sebab itu mereka terlalu marah dengan aku. Mengatakan aku pengkhianat dan menuduh aku yang menyalurkan maklumat. Kawan aku yang menjadi orang kuat kepada wakil yang bertanding dan kalah tidak berhenti di situ sahaja, dia mula menjadikan aku musuh ketatnya dan berjanji akan membuat apa saja untuk memalukan aku.
Aku masih bertahan walaupun bisnes terpaksa ditutup. Lagipun aku orangnya simple aje, tidak perlu kereta mewah untuk membuktikan apa-apa. Aku jual kereta-kereta aku sebab tidak mampu lagi, dan tiada gunanya aku menyimpan kerana roadtax dan insurans pun aku sudah tidak mampu membayarnya.
Mungkin kawan aku itu tengok aku masih survive, dan dia tidak mahu melihat aku senang. Menjadikan anak-anak angkat aku sebagai modal mereka untuk menjatuhkan aku, ya aku dituduh melakukan maksiat itu. Lagipun kan aku ini masih bujang, alasan bagi mereka menuduh aku buat kerja maksiat. Malah sudah dikhabarkan bekas pekerja aku mengaku yang dia dipaksa melakukannya kalau tidak dibuang kerja. Pekerja yang mengaku itu diberi banyak duit. Orang kalau sudah nampak duit, lupa Allah.
Anak-anak angkat aku juga dijadikan target mereka. Kata mereka, aku bela ramai anak-anak jantan untuk melepaskan hawa nafsu aku. Dua daripada ayah mereka tanpa bertanya dan tanpa periksa sudah membuat report di balas polis. Polis telah datang menyiasat dan kes selesai kerana tiada bukti tetapi yang penting mereka telah berjaya memalukan aku.
Kawan aku masih belum berpuas hati. Entah apalah dia mahu daripada aku kerana tidak habis-habis mencari cara menjatuhkan aku dan orang yang kami sokong. Mereka mahu menjatuh mereka semua itu melalui akulah. Sebab A merasakan sebab aku, semukim tergadai, kawasan aku yang kuat dengan parti dacing tersungkur. Mereka tidak mahu menerima yang ketua besar mereka itu punca kejatuhan parti itu. Mereka masih kuat menyokong dan bosku pada mereka insan bersih, tidak berdosa dan kerana difitnah dan dianiaya dia jatuh. Pelik aku rasa bila bosku terus menerus disokong dan diangkat sebagai hero.
Aku didatangi A satu hari di rumahku, konon hendak berbaik-baik semula dan konon hendak menolong aku melangsaikan hutang bank aku yang tertunggak. “Din, kamu baliklah kepada kami, kami rasa kamu tertipu dan tidak payahlah kau sokong mereka. Apa mereka beri kepada kamu? Kamu hidupnya semakin melarat. Dulu aku tengok ada Mercedes depan rumah, hari ini tinggal Honda saja, dan entah-entah esok Honda pun ditarik oleh bank. Berjuang apa namanya itu? Kau tengok ada orang di kawasan ini adakah naik taraf hidup mereka kini, macam itu aje aku rasa. Wakil rakyat kamu yang enjoy hidup.
Aku boleh beri duit juta-juta… sambil melekapkan mulutnya kepada aku. “Mengaku aje kamu memang menjadi mangsa liwatnya. Hah sekali aje masuk tv dan hidup kamu lebih senang.”
Aku menolak dan menerajang dia. “Kamu keluar dari rumah aku ini? Kamu keluar sekarang juga atau aku panggil polis.” “Kalau ini tujuan kamu datang, hendak aku mengaku aku buat kerja hina ini dengan orang tertentu, kau pergi mampus.”
Aku ke dapur mencari sebilah pisau…”Kamu pergi sekarang juga atau…”
Bila dia pergi badan aku yang menggigil. Ya Allah syukur aku kepadaMu kerana menahan syaitan merasuk aku tadi, kalau tidak tentu pisau yang tajam ini menikamnya. Aku letakkan benda yang tajam itu di tempatnya dan bersyukur tiada apa yang terjadi kepada aku dan juga dia.
Aku masuk ke bilik, mengambil wuduk dan solat syukur, kerana aku tidak berjaya dibeli. Sampai hati kamu A, sebelum ini kamu berdusta memberitahu orang kamu aku dinodai orang tertentu dan akhirnya kamu datang sendiri mohon aku untuk mengaku dinodai. Allahuakbar. Bila kamu hendak bertaubat?
Hari ini aku sudah pindah dari rumah aku itu, menyewakan rumah aku itu kepada sebuah keluarga dan aku menyewa di kawasan jauh dari situ. Aku tidak mahu terus diganggu dan dijadikan target mereka yang tidak tahu malu, dan dia yang pasti tidak akan berhenti di situ saja.