DESPERADOGAYA HIDUP

Biar Tak Kaya Asal Suami Orang Beragama

(seperti yang diceritakan kepada Pengarang Majalahwm)

Saya salahkan diri saya sendiri kerana terleka dengan duniawi. Apa yang tidak saya lakukan untuk merebut dunia, pada saya yang penting hidup mesti senang. Kalau kita kaya, kita dihormati, kalau miskin orang tidak pandang sebelah mata pun.

Allah beri saya kepandaian, berderet A dalam ujian SPM, dan mendapat tawaran belajar di luar negara. Ini pun yang saya mahu kerana dunia Barat adalah yang terbaik bagi saya. Ia tidak menyekat apa juga kehidupan kita, boleh hidup bebas. Ada wang pasti bahagia. Tapi nanti dulu, saya kan seorang pelajar. Saya mesti dapatkan ijazah untuk melayakkan saya nanti memegang jawatan penting. 

Saya pastinya tidak akan hidup susah, mana cukup wang biasiswa yang diberikan oleh penaja sebuah syarikat di Malaysia. Memang berbanding dengan mereka yang lain betul apa yang diperolehi jauh lebih baik tetapi saya tidak puas. Kalau sebelum ini saya tidak kisah tentang diri saya sangat, pakai apa yang ada, makan pun kena jimat cermat, dan jangan kan ke teater, nak tengok wayang pun amat tidak mampu. Nak potong rambut pun memang tidak mampu jadi suruh lah kawan-kawan yang tiada kepakaran memotong, atau saya buat sendiri, dan saya beli krim yang paling murah di farmasi untuk penjagaan kulit. 

Setahun dua mampu lah hidup susah berkongsi tempat tinggal dengan beberapa orang kawan, dan dengan perangai masing-masing alangkah tidak selesanya. Pulak itu tinggal dengan housemate yang alim, ini tidak boleh itu tidak boleh. Saya asyik diberikan lecture, ni haram, itu haram dan rasa saya hendak tampar sahaja dia bila kami sedang rehat-rehat setelah sehari suntuk berkuliah, dia pula nak ingatkan tentang solat, aurat, dan pandai pula menegur bila saya bawa balik boyfriend. Eh aku juga bayar sewa, suka hati akulah siapa yang aku nak jemput ke rumah aku. Tapi sebab dia rasanya lebih nak menjadi ustazah daripada nak jadi akauntan, dan tak mahu bergaduh, saya pun pindah. Dan kebetulan boyfriend pun nak cari housemate, kan bagus tinggal serumah. Senang, boleh masak dan makan bersama, jimat.

Asalnya saya menyewa bilik di kondonya, ada tiga bilik; dia, aku dan seorang lagi penyewa kawan sekolejnya, lelaki. (Oh ya, kekasih juga pelajar, bangsa Cindian (India, Cina) tetapi bagi yang Melayu mesti ingat dia Melayu sebab kulitnya tidak putih tidak hitam, macam saya juga, dan matanya tidak sepet, kira-kira dalam katogari handsome. Ya, asalnya punya bilik sendiri, kemudian pindah ke biliknya sahaja, lebih jimat dan wang itu boleh guna untuk keperluan lain. Kami jadi ‘suami isteri’ tetapi kami pastikan no babies, kami ada tanggung jawab besar yakni untuk menggenggam segulung ijazah.

Saya happy dengan kehidupan yang begini, lagi pun saya mencintainya dan dia juga cinta. Apa masalahnya kami tinggal bersama? Tunggu dulu lah, cerita kahwin bukan dalam kamus kami. Lagipun tidak mudah, sebab dia bukan Islam. Kami pun tidak pernah berbincang untuk dia tukar agama, dan tidak berbincang pun untuk kahwin sebabnya, masa student buat apa hendak menyusahkan diri berkahwin. Nanti sudah beranak pinak bagaimana dengan pelajaran? Saya  tidaklah mampu belajar sambil kendong anak, no not me and him either. 

Tamat pengajian, saya terpaksa pulang sebab terikat dengan kontrak. Frust betul, dan saya buat banyak helah untuk tidak cepat pulang dan bekerja, sebab boyfriend pun belum habis belajar. Dia tersangkut dua semesta, tetapi dia tidak susah hati sebab emak ayahnya yang tanggung. Saya pula sampai waktu sudah tidak boleh mengelak, terpaksa pulang ke tanah air. Katanya pulang dulu dan kemudian, dia menyusur. Sebelum pulang barulah saya menyebut tentang kahwin sebab bila balik ke Malaysia, takut juga kalau emak ayah tahu, mampus!. Dia kata, “I think about it,” “Meaning,” aku bertanyanya. “We never discuss before?” “Ya, but we have been together for years and i want you to be my husband.” “Okay, will see, let me settle my college first.” Okay aku pun faham, dia perlu belajar, dan katanya pula dia tidak berapa excited hendak balik Malaysia sebab kat Malaysia, gaji rendah dan banyak kekangan. Dan dia pun tidak berapa setuju dengan kerajaan Malaysia yang penuh rasuah dan ekonomi yang tidak stabil, susah cari makan. So dia cadangkan saya mencari kerja sama ada di UK atau Australia atau ke Amerika dan dia ikut serta. Dan dia mencadangkan juga, aku membayar balik scholarship dan tinggal dengannya.  Excited, memikirkan what a life without him?”

Ringkas cerita saya dengan sang kekasih. Setelah setahun lebih bercinta jarak jauh, (rupanya saya sahaja yang bercinta, dia tidak). Satu hari setelah semuanya okay,  saya pun pegang jawatan akauntan di Malaysia, dengan gaji yang kira-kira okay, saya pun mengambil cuti panjang, planning untuk cuti dua bulan, atau kalau terpaksa melanjutkan unpaid leave. Memberitahu kekasih yang saya akan ke sana lagipun saya diberitahu dia sudah pun bekerja dan tidak berkongsi dengan kawan-kawan, lebih selesa. Dan lagi menarik kerana kondonya hanya berdekatan pejabat di tengah-tengah kota London. 

Hancur hati, konon nak surprise dia tapi saya yang terkejut, kerana pendekkan cerita dia sudah punya kekasih baru dan berterus terang memberitahu kedudukannya tapi katanya hubungannya dengan saya tetap sama, cuma tidak mungkin boleh bersama sebagai suami dan isteri. Sekadar dia menemani saya dinner atau untuk bersama bila-bila dia senang dalam tempuh saya di London, should be no problem for him. Cukup untuk saya ceritakan kekecewaan saya dan I cut short my holiday. Balik bekerja.

Orang kecewa buat apa pun sudah tidak kisah. Tak lama saya menjalin hubungan dengan salah seorang klien… dia bukan my type of man, tetapi dia kelakar orangnya, dan buat saya lupa akan hati yang sakit dan hancur. Dia suami orang, ini bukan pilihan saya, untuk berkongsi kasih. Syarat dia kalau hendak kahwin boleh tetapi dia tidak akan menceraikan isterinya. Mana bisa saya seorang yang punya kedudukan dan boleh tahan rupa paras menjadi isteri kedua. Begitu pun sedar tidak sedar kami sering menjalin hubungan untuk memuaskan nafsu sarakah dan bila sudah tidak boleh ditolak lagi, kami akhirnya berkahwin. Perkahwinan kami tidak pun lama, anak yang lahir sebelum kami bernikah, sekadar untuk menyedapkan rasa hati. Saya tidak mahu asyik diganggu oleh isterinya dan akhirnya saya membuat keputusan untuk berpisah.

Fasa Seterus, Perkahwinan Kali Kedua

Kerana adanya anak, saya terpaksa memikirkan masa depan saya. Anak ini perlukan seorang yang father figure, dan nasib saya baik berjumpa dengan seorang lelaki yang punya segalanya, keluarganya orang berada, dan dia duda. Maka nya tiada masalah, keluarga menerima sebaiknya. Akhirnya saya berjumpa juga dengan insan yang saya anggap sempurna. Hidup mewah.

Untuk beberapa tahun, saya anggap inilah yang saya mahu dalam hidup. Seorang suami yang penyayang, dan waktu itu kami juga punya dua anak, bersama dua anaknya dan anak saya, lima kesemuanya, cukup memberikan kebahagiaan kepada kehidupan.

Saya pun sudah tamat kontak dan membuka perniagaan sendiri. Tiada yang lebih menyeronokan punya rumahtangga yang saya ingatkan bahagia sebenar.

Tapi saya terlupa sesuatu, gaya hidup kami terlebih mat saleh daripada mat saleh sendiri. Ayah sudah tiada dan mak tidak pernah gembira dengan gaya hidup saya. Dengan adik beradik, hubungan saya amat renggang, jauh sekali dengan saudara mara dan sepupu, pendek cerita, kesenangan hidup saya pun tidak pernah berkongsi dengan mereka. Sekadar memasukkan jumlah wang setiap bulan dalam akaun mak, mak tidak minta dan saya tidak bertanya, tapi itulah seolah bayaran saya kepada orang tua. Selain itu, kami tiada kemesraan, menziarahi mak setahun sekali pun tiada.  Raya lain cerita. Kami selalu akan berada di luar negara biasanya kami habiskan Ramadan dan Syawal di negara Barat, kata suami, leceh duduk di KL banyak kekangan. Masa travel, anak-anak home school, kecuali yang sulung kerana dia duduk di asrama, dan dia pun jarang mahu ikut, kalau pun join kami, tidak lama, dia lebih tinggal di Malaysia.

Jangan kan berpuasa, Raya pun tidak membawa banyak makna bagi kami sekeluarga. Di luar negara orang menyambut sangat, lagipun kami tidak join kumpulan-kumpulan Melayu atau warga Islam di sana. Tetapi ya, bila tiba hari Natal, rumah kami dengan pokok Krismas yang tinggi, siap dihias cantik. Mana lah adik beradik hendak datang, ada lah menegur tetapi tidak diendah. Kalau kahwin dengan Mat Saleh adalah juga alasan hendak sambut Krismas bagai nak rak tetapi dua dua Melayu, dua dua dalam kad pengenalan ditulis beragama Islam, tetapi Islam terlalu jauh dari kamus hidup kami, begitu pun tidaklah kami mengada-gada nak tukar agama. Hidup moden gila dengan wine celler di dalam rumah, dan tiada langsung dihidupkan keagamaan dalam rumah tangga seolah kami pun sudah lama kafir.

Allah menguji, anak sulung saya mengidap kanser. Saya tersedar daripada lamunan. Saya rasa inilah balasan kepada dosa-dosa saya selama ini, dan barulah saya tahu hidup ini adalah sementara, bila mati saya dan keluarga hendak dibawa ke mana?  Syurga atau neraka? 

Saya mula belajar mengenal Allah, setelah anak saya pergi buat lama-lamanya. Saya mohon Allah diberikan tempat yang indah di syurga tetapi saya sedar selama hidupnya 27 tahun saya tidak pernah mengajarnya agama. Dan yang paling terkesan pada saya, saya terjumpa sebuah diari. Diarinya bercerita mengenai kehidupannya. Diarinya menyebut kekecewaannya dengan kehidupannya. “How can I tell my mom and daddy to wake up.” Hidup penuh dengan dosa. Mama dan daddy bangga sangat dengan kehidupan mereka, arak yang mengalir di tubuh, agama Islam yang diketepikan, Krismas yang dibanggakan…”  begitulah antara coretan. “Puasa tidak, sembahyang langsung tidak pernah. Duit dicampak di tempat haram….”

Saya tergamam. Dan memberitahu suami tetapi dia tidak melihatnya penting. Saya dapat rasakan pun dia tidak beberapa sedih atas pemergian Malique, sebab bukan pun darah dagingnya. “You want to be a good muslim, I tak larang. Itu your life tetapi jangan pula sekarang nak lecture lecture suami you. Kubur masing-masing. Ini kehidupan I selama ini dan I happy dengan cara hidup begini. Family I tetap senang lenang dan kami pun tiada masalah. We are one happy family. I tak kata I tak Islam, tetapi ini life I selama ini. Dan awak pun bukannya baik sangat, just because Malique mati, dan tiba-tiba you hendak change our way of life. Jangan juga paksa anak-anak I tunggang tunggik sembahyang, it is not in our family tradition.”

Hari demi hari saya rasa macam terseksa. Di rumah melayan tetamu dengan arak dan saya yang terpaksa pula bersekongkol. Saya juga teringin nak pakai tudung tetapi siang-siang suami pesan, “I tak mahu you bertudung-tudung macam rupa orang kampung. Go and colour your hair kalau sudah beruban. Please I tak mahu bini ustazah, and forget about having group-group kawan-kawan you adakan kelas-kelas agama di rumah ini.”

Umurnya sudah 60 tetapi masih tidak sedar diri. Begitu juga mak ayahnya yang masih hidup yang tidak pun mengenal tikar sembahyang. Sedih, memang sedih. Alasan mak ayah pun mereka kena makan ubat sebab itu tidak boleh puasa. Alasan suami dia gastrik, kalau ada bertanya, tapi sebenarnya memang dia tidak pernah berpuasa selamanya. For charity dia berikan sikit pada pertubuhan tetapi seperti kawan-kawannya yang lain, dia beri untuk kebajikan masyarakat itu saya setuju, tapi tentang zakat walaupun duit banyak, langsung dia tidak hiraukan.

Saya dapat rasakan dia akan menjadi seperti ibu ayahnya. Harta mengabuli hati dan mata mereka, dan syaitan sudah meresap dalam tubuh suami dan ibu ayahnya.  Namun saya bersyukur, Allah menyedarkan saya sebelum mata ditutup buat selama-lamanya. Saya berasa rasa amat bersalah kepada anak-anak kerana gagal membesarkan mereka dengan didikan agama malah bangga menayang kemungkaranNya di depan mereka. Saya yang berubah menitik beratkan agama bukan sahaja dibenci oleh sang suami tetapi anak-anak. Kata anak-anak, mummy just be yourself,  tahu tak, mummy you’re not yourself, kami nak mummy yang dulu, yang sporting, yang tiada restrictionwake up mummy, your life is so boring. Daddy kata mummy crazy woman.”

Sejak mengenal agama, saya rasa terlalu malu pada diri sendiri, malu kepada mak dan adik beradik. Saya bukan  tidak tahu nak bersembahyang dan berpuasa. Mak ayah saya dulu ajar tetapi saya yang hanyut digoda syaitan. Sekarang saya sudah sedar. Saya berdoa Allah menerima taubat saya. 

Saya mengaku menghayutkan anak-anak saya, sehingga anak saya sendiri pergi menemui Tuhannya tanpa saya asuh dia dengan agama, malah rosakkan kehidupan semua anak-anak. Dulu memang ada seorang lelaki yang berhajat untuk mengambil saya sebagai isteri, katanya dia mahu bimbing saya, tetapi apa kelasnya saya hendak berkahwin dengan dia yang jawatan pun rendah berbanding saya. Malah saya ejek dan tuduh dia nak menumpang kesenangan saya. Kemudian saya berjumpa suami yang bawa saya pergi kelab, yang ajar saya minum dan sebagainya. Yang tidak menyusahkan hidup untuk bersolat berpuasa. Jari saya setiap waktu berwarna, rambut saya bertukar warna sentiasa, dan pakaian saya, terpulang, bila ke parti ikut mood, terdedah sana sini. Musim krismas, seminggu kami leka dengan arak. Suami melayan kawan-kawanya lupa kami yang kami ini agama Islam. Pernah juga teman-teman bertanya, Hari Raya so quiet?” Kata suami dia selalu di luar negara, dan tidak sempat sambut. Tapi kalau di luar negara musim Krismas, kami pula yang sibuk. Begitulah hidup kami yang jauh terpesong.

Saya sedih bila suami kini tidak lagi menunjukkan kasih dan kemesraannya. Dia tidak senang dengan perubahan malah minta saya memberikan keizinan untuk berkahwin satu lagi. Dia rasa hidupnya sudah disesakkan dengan saya yang selalu minta izin untuk ke kuliah agama dan bilik tidur penuh dengan buku agama. Dia marah bila saya menurunkan gambar-gambar yang tidak tidak senonoh kami di bilik dan ditukar dengan ayat-ayat suci. Dia marah ruang tamu sudah ada hiasan khat ayat Kursi dan Tiga Kul. “Excuse me, siapa yang beri awak kebenaran menukar lukisan ini dengan ayat-ayat ini.” Dia marah bila saya minta dibuang arak-arak dalam wine celler. Saat begini saya mohon, saya tidak mahu lagi kesenangan, saya mahu suami yang beragama dan rumah ini dimasuki Malaikat. Biar tidak kaya asal suami orang beragama.

Satu hari, tiba-tiba loceng di rumah berbunyi. Saya sambut seorang anak muda yang memberitahu dia adalah kawan baik Malique sewaktu di kolej. “Aunty saya hanya hendak memberikan bungkusan ini pada aunty.  Ini daripada Malique dan minta saya simpan sehingga dia pergi buat selamanya. Malique tahu dia tidak lama hidup, Malique tahu dia kanser tetapi dia tidak mahu memberitahu pada aunty dan familynya. Dia banyak bercerita kepada keluarga saya tentang keluarganya. Keluarga saya mengambil dia sebagai anak angkat. Jangan susah hati sebab Malique orang yang alim dan tidak tinggal solat dan puasa dan banyak masa cutinya dihabiskan beribadat di masjid.” Itu antara ceritanya yang buat baju saya basah dek air mata mendengar penjelasan teman baiknya.

Sebaik dia pergi, saya membuat kotak hadiah daripada anak saya yang sudah tiada. Di dalam sepasang telekung, juga tudung yang cantik, stokin dan sarung tangan. Dan tiga kajang warkah ditulis untuk saya membuat saya pitam seketika. Dia memohon untuk menghalalkan makan minumnya. Dia berterima kasih kerana selama dia hidup dicurahkan dengan penuh kasih dan sayang. Namun dia hampa dengan kehidupan keluarganya dan mahu saya berubah dan mengajar adik beradik. Minta saya tinggalkan kehidupan yang terkutuk dan bertaubat nasuha. 

“Mama, saya tahu saya juga bukan anak mama yang sah. Dan saya sedar mama dan daddy hanyut kerana itu saya pilih jalan saya sendiri. Saya selalu tidak ikut serta bila bercuti kerana saya senang menghabiskan masa dengan keluarga angkat. Mereka mendidik saya menjadi seorang Islam. Hidup mereka terlalu sederhana tetapi mereka amat bahagia. Mak dan ayah begitu mengambil berat tentang saya, mengingatkan saya tentang kewajipan sebagai Islam. Bila saya ada duit lebih, saya berikan kepada mereka, tetapi setiap kali duit itu sampai ke mereka, mereka sendiri tidak gunakan rupanya (diberitahu oleh anaknya kemudian) yang mereka buat sedekah untuk masjid berdekatan, mohon supaya hidup kita berubah). Ingat tak mama beri saya hadiah 50 k masa saya lulusan dengan cemerlang ijazah pertama dari Sunway College. Saya berikan kepada mereka untuk memperbaiki rumah yang bocor dan semen yang berlubang. Mereka ambil sedikit sahaja, yang lain disedekahkan. Mulia sungguh hati mereka.”

Sebaik warkah ini mama terima, saya sudah tiada dan cuba lah ya mama, jadilah seorang muslim yang baik dan bawa adik-adik mengenal Allah. 

Halalkan makan minum saya selama ini. Sampaikan salam saya pada daddy, Mama kena berubah dahulu, dan jangan give up kerana lambat laut kalau mama terus berdoa Allah akan kabulkan. Jangan doa minta kaya di dunia tetapi kaya di akhirat. Kerana di sanalah kehidupan yang abadi.”

Salam sayang, anakandamu

Malique.

Related posts

Pembukaan Butik Kate Spade New York di KLCC

admin

Peranan Warna Dalam Kehidupan Kanak-Kanak

admin

BMW Malaysia Merungkai Dimensi Ketangkasan Baharu Menerusi BMW X3 sDrive20i.

admin

Leave a Comment