DESPERADOGAYA HIDUP

Suami Ditinggalkan Kerana Kanser, Menyusahkan Hidup

[vc_row][vc_column][vc_column_text]Selagi boleh sabar, sabarlah

Selagi boleh diam, diamlah 

Selagi boleh tahan, tahanlah

Semua dugaan daripada Allah

Allah tahu apa yang kita rasa – Ustazah Nur Bahyah

Teringat kata-kata di atas yang diungkapkan oleh teman yang menghubungi saya lebih setahun yang lalu. Katanya dia sekarang tidaklah boleh kerap keluar dan susah hendak ikuti kelas agama seperti sebelum ini. Saya tanya, “Kenapa?” “Jaga suami?” Jawabnya. “Suami kanser Limfoma (kanser yang menyerang sistem imun) yang sudah masuk tahap empat, dan sejak sakit dia tinggal di rumah ini sebab isteri tuanya kata, “Hah kamu jagalah dia, hendak sangat dia, now rasakan menjaga orang sakit.” Saya tidak kisah, semua terpulang pada suami. Masa dia sihat dulu pun saya tidak demand apa-apa.”

Ceritanya sang suami memang tidak pernah adil pun, katanya. Dua hari di rumahnya dan lima hari di sana, itu pun sang isteri asyik telefon dengan seribu alasan supaya suami pulang ke rumahnya. “Saya tidak kisah, nama pun saya ini isteri kedua, dan mengambil haknya, jadi saya tidak kisah sangat. Tetapi saya minta kebenaran suami. Sementelah abang di sana lebih kerap, benarkan saya keluar ke kelas ilmu dan sebagainya. Dia tanya ‘sebagainya’ itu apa, saya jawab kalau teringin nak lepak-lepak dengan kawan, kalau teringin hendak balik kampung jenguk mak dan ayah, sedangkan abang tidak boleh ikut serta, dan kalau teringin hendak pergi dengan kawan-kawan sekali sekala travel melihat negara orang. Ya, atas tiket kebenaran itu syukur saya dapat menenangkan hati dan kadang-kadang sehingga sebulan dia tidak menjenguk, tapi saya diam saja. Saya diam dan tahan selagi mampu.”

“Sejak sakit dia banyak meragam. Dalam pada tak sihat itu… panas baran pula. Perangai lembutnya sudah hilang sama sekali dan jenis suka baling barang jika tidak dapat apa yang dia mahu. Saya tahu dia sakit jadi tahan aje. Kini sudah tiga bulan dengan saya semenjak dia didiagnosa dengan kanser tahap empat.”

Ceritanya satu hari, tiba-tiba si madu yang tidak pernah menghubungi dia, berteriak di ganggang telefon. Katanya, “Oh suami sakit suruh tinggal dengan aku, baik punya orang.” “Abang  sakit?” saya tersentak. “Tidak pernah pula dia beritahu saya yang dia sakit sehingga seteruk itu.” “Ya lah dengan kamu dia cerita yang baik-baik sahaja, dengan aku, dia sakit lah, ini lah, itu lah?” “Tetapi abang sudah sebulan tidak pulang ke sini? Dan bila saya hubungi dia tidak jawab.” “Kamu jangan cakap banyak, petang ini aku hantar dia ke rumah kamu.”

Dan sejak itu abang tidak lagi ke sana dan orang di sana pun tidak menghubungi. Orang di sana pun dikatakan jarang ada di rumahnya kerana melawat cucunya di Australia dan tidak balik balik. 

“Tak apalah saya akan jaga sehingga bila-bila kerana menjadi tanggungjawab saya. Pahalanya lebih besar daripada mengikuti kelas ilmu,” jawabnya. “Ya itu sebaiknya, saya mengiakan katanya. Dan dia jawab, “Lebih baik daripada saya tidak dibenarkan langsung melawatnya.” Cerita teman, dia langsung ditegah untuk berjumpa, kasihan anak-anak yang rindu bapa mereka, kerana orang di sana ‘mengharamkan’ mereka menjenguk. Dan ini lebih menyedihkan. 

Dalam hati saya menyebut memang kasihan akan nasib madu-madu yang tidak berbaik dan sesetengah yang dengar nama pun melenting. Kata Suraya dia rasa beruntung kerana madunya ‘mencampakkan’ suaminya kepadanya, “Tak kisahlah saya penat melayan, tidak tidur ke, tidak dapat melancong lagi ke asal suami bersama. Saya pun tidak mahu tahu hal orang di sana, dan kalau dia hendak datang melawat, silakan… ini rumah suaminya juga dan dia boleh datang bila-bila masa tetapi jangan pula dia nak ajar ini itu. Kalau sekadar hendak ziarah orang sakit dan hendak tolong sikit-sikit silakan tetapi kalau hendak buat rumah ini macam rumahnya, so sorry, i tak benarkan.”

Ini cerita Suraya mengenai madunya yang tidak mahu bersusah-susah menjaga suami. Kata si madu kepada kawan-kawannya, padan muka si Suraya menjaga orang sakit. Nanti biar dia rasa sakitnya hati aku bila dia rampas suami aku. Sebagai seorang isteri, sampai bila pun aku tidak rela dia kahwin lain dan kini suami aku sakit, itu kerana balasan Allah kepadanya. 

Sebelum dia meletakkan ganggang telefon, saya tanya dia, apa kata suami akan isteri tuanya. Dia jawab, “Abang tidak akan maafkan dia.” Saya pula jawab abang jangan cakap begitu, nanti dia tidak cium syurga. “Biarkan,” jawabnya dengan marah. “Begini bang, kalau dia yang jaga, saya tidak dapat tengok abang pun. Maafkan dia sebab abang pun banyak salah dengan dia. Isteri mana yang boleh menerima keadaan dimadukan, tetapi sudah begitu nasib saya bermadu, dan orangnya abang, saya redha. Ikutkan hati saya pun tidak mahu bermadu tetapi sudah tertulis begitu, jadi maafkan dia dan anak-anak. Bila I  sebut anak-anak, air matanya mengalir laju. “Sampai hati mereka tidak pun menghubungi,” katanya. “Mungkin entah apa cerita  kak Som sampai anak-anak pun menjauhkan diri. “Abang cubalah hubungi mereka,” kata saya tetapi katanya dia hendak lihat sejauh mana kasih sayang anak-anaknya kepada dia… tengok sampai bila mereka baru hendak hubungi, kalau sampai mati tidak datang, jangan beritahu mereka,” katanya.

Isteri minta cerai kerana tak mahu menyusahkan diri melayan suami

Kisah kedua juga mengenai suami ditinggalkan kerana sakit. Cerita Anna, abang aku sakit, tinggal sendiri di kondonya. Dua anaknya tinggal di luar negara dan kalau keadaan terdesak Anna lah yang terpaksa menjaga abangnya sedangkan Anna pun punya tanggungjawab yang besar membesarkan empat anak sendirian. Anna ibu tunggal. Kata Anna bekas kakak iparnya meninggalkan abangnya setelah beberapa bulan sahaja sang suami sakit. Dia kata dia penat. Dia kata dia tidak mahu tanggung dosa lama-lama. “Abang panas baran dan semua tidak kena, jadi akak tidak mahu bergaduh. Seeloknya minta dilepaskan.”

Teman aku bercerita apa yang dia dengar daripada kawan-kawannya mengenai bekas kakak iparnya. Ceritanya pada seorang teman. “Aku pun ada kerjaya, mana mungkin melayan dia. Orang gaji tidak boleh diharap, lagipun mana manisnya maid basuh berak dan kencingnya dan memandikan dia. Lagipun aku muda lagi, kalau aku buat hal di luar bukan saja aku yang tanggung dosa tetapi suami juga. Ada baiknya aku minta cerai supaya sama sama tidak berdosa. Dia pun tidak sihat sedangkan aku masih bernafsu, jadi apakah yang terbaik untuk aku lakukan daripada membebaskan diri daripadanya?”

Cinta di masa senang? Kata Anna masa dia nakkan abangnya, aduh semuanya okay. “Abang pernah jatuh sakit (masa itu belum pun bertunang. Asyik datang ke rumah sehingga kami pun lemas. Kerana macam tidak mahu berenggang, mak aku pun cepat-cepat mengahwinkan mereka.” 

“Abang aku punya syarikat yang besar dan bekas isterinya duduk sebagai ahli lembaga pengarah. Dia bijak dan akhirnya dia berjaya menyingkir abang aku dan dia menjadi pengarah tunggal. Tak apalah aku tak mahu cerita panjang, kita tengoklah pengakhir ceritanya nanti. Mengenai abang aku, kata Anna dia amat bersimpati dengan nasib dirinya, tapi apakan daya untuk membantunya lebih daripada apa yang dia lakukan hari ini, dia tidak sanggup. Sudah lima tahun abang aku menjalani kehidupannya sendirian. Begitu suratan takdir, masa senang orang sayang, masa susah berapa orang yang bersimpati?”

Aku minta dia tinggalkan kami… 

Mengenal pasangan ini tidak siapa menyangka satu hari mereka akan berpisah. Dan bila kelihatan Linda sendirian dan tidak ditemani suami di majlis-majlis tertentu, ramai juga bertanya mana sang suami (bukan warga Malaysia). Mereka hairan dulu kalau jemputan untuk seorang pun dia mahu membawa suami. Suami yang kacak dicemburi kawan-kawan, apa tah lagi dengan kulit sang suami yang putih dan dia gelap dan tidak cantik (pada pandangan sesetengah kawan) mereka merasakan tuah Linda mendapat pasangan yang kacak dan berada. 

Kacak dan berwang bukan pasport bahagia. Rupa kacak akan lusuh bila sakit, ditambah pula dengan sikap malas untuk mendapatkan perubatan. Setengah orang akan pergi mencari perawatan sebanyak yang mampu menghalang penyakit itu merebak sebalik si Dan (suami Linda) membiarkan saja penyakitnya dengan tidak berubat sangat. Sejak diketahui dia menghidap kanser darah… sang suami tidak berusaha sangat untuk mencari penawarnya, malah kata Linda dia cepat menyerah kalah. Selalu sangat temu janji dengan doktor tidak dipenuhi dan dia malas makan ubat. “Aku tidak sempatlah nak menyuapkan ubat ke mulutnya, pandai-pandailah dia kalau mahu sihat. Kalau sakit siapa yang susah, dia dan aku juga. Lagipun aku kena run the business, kalau dua-dua tak bekerja satu masalah pula. Siapa nak menanggung, siapa nak bayar bil api dan kereta? Daripada tiga kereta, Linda terpaksa menjualnya menjadi satu. I am a practical person, do i need a Mercedes to run around? Dengan minyak dan maintenance yang tinggi? Mengapa perlu satu lagi kereta mewah sedangkan dia juga asyik memerap di rumah sebab nak keluar badan pun tidak sihat. Aku hanya perlu sebuah kereta aje, dan tinggallah Honda Civic untuk aku gunakan.” 

Linda juga mengambil keputusan untuk menjual banglo mereka dan membeli sebuah kondominum tiga bilik yang sederhana. Katanya, wang lebihan disimpan untuk waktu yang susah sedang anak-anak kian membesar dan seterusnya langkah yang tidak seorang pun daripada ahli keluarganya percaya apa yang dilakukan oleh Linda. Dia memohon untuk bercerai dan minta suaminya pulang ke negara asal. 

“Aku rasa inilah keputusan yang terbaik,” dia memberitahu kawan rapatnya. “Sebab aku tidak mahu menyusahkan diri. Aku hendak membesarkan tiga anak ini dalam suasana yang tenang, dan tidak mahu menyesakkan otak memikirkan dia yang terlantar di rumah atau di rumah sakit. Bayangkan kalau dia kena duduk di kerusi roda dan perlu seorang untuk menguruskan dirinya ke bilik air dan makan minumnya. Siapa yang hendak masak dan menghidangkan makanannya? Siapa yang hendak mencuci najis dan sebagainya? Kamu mungkin kata aku kejam,” katanya tetapi kalau dia tidak mahu membantu dirinya, dan hanya berserah kepada Allah, aku give up,” cerita Linda.

“Kau tak rasa bersalah mengabaikan tanggungjawab seorang isteri kepada suami malah minta diceraikan. Kau tak rasa bersalah menyuruh dia pulang ke kampung halamannya, kepada ibunya yang bukan Islam? Kau rasa apakah dia tidak mungkin pulang ke agama asalnya? Bukankah kau yang sepatutnya menjaga dan kemudian menyerahkan kepada Allah?” Si teman menyoal. Linda diam seketika kemudian menjawab, “Aku sudah fikir masak-masak… aku berhak menentukan masa depan aku dan anak-anak. Kami tidak ada kewangan yang besar untuk mengaji jururawat atau pembantu sedangkan dia terlantar di situ memerlukan rawatan. Kamu rasa aku kejam bukan, tetapi maniskah suami isteri bertengkar setiap hari di depan anak-anak, tengkar fasal duit, fasal sakitnya yang tidak mahu berubat, tengkar tentang dia yang selamanya tidak mahu mendekatkan diri dengan Allah?”

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, keputusan aku bertamat, biarlah dia balik ke negaranya dan belajar berdikari. Tentang agama antara dia dengan Allah yang memberi hidayah kepada seluruh umatnya. Aku percaya dia akan terus memegang Islam sebagai agamanya tetapi untuk beribadat terpulang juga, kalau dia hendak belajar sudah tentu masa aku dan anak-anak belajar agama dia ikut serta Puas aku memujuk tapi dia kata nanti, dan bila sakit nak ajak ustaz ke rumah pun sudah terlewat… aku rasa keputusan aku yang terbaik.”

Apa komen anda? Hantar komen anda ke MajalahWM.com [/vc_column_text][/vc_column][/vc_row][vc_row][vc_column][thb_gap height=”40″][/vc_column][/vc_row]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button