PERSONALITI

LYANA – “Saya Wakil Generasi Ini”

Kelibatnya kala Majlis Pelancaran Liga Wanita Negara 2024 baru-baru ini memberi peluang kepada mereka yang tidak pernah melihatnya sebelum itu mengerlingnya dari dekat. Bagi mereka yang tidak tahu siapa dia, pasti terkejut mengetahui Lyana adalah salah seorang pemain bola sepak bagi Liga Wanita Negara.

Gaya dan perwatakannya sederhana dan sopan, namun bila beraksi di padang wataknya bertukar lincah dan agak ‘ganas’. Ini membuat ramai ingin tahu bagaimana dia mengimbangi watak lincahnya itu dengan penampilan sederhananya sebagai wanita muda Melayu yang dituntut dengan penuh kesopanan.

“Saya tidak hairan pun jika ramai berpendapat demikian. Bola sepak satu permainan yang lincah dan boleh juga bertukar ganas. Adakalanya nampak tidak sesuai dan tidak manis untuk anak gadis dan wanita menceburinya,” mula Nur Lyana Soberi, 25, menjelaskan statusnya dan persepsi masyarakat yang adakala boleh menjejas perasaan sesetengah pemain sepertinya.

Malah dia sering juga mendapat teguran dan pandangan sinis kerana sukan yang diminatinya itu. Hanya satu soalannya, sampai bila? Sebagai wanita yang mewakili generasinya, Lyana tegas dan begitu yakin yang suatu hari nanti, mungkin tidak lama pun sukan paling popular dunia ini akan mendapat perhatian oleh masyarakat negara ini.

Lyana yang kini sibuk menjalani latihan serta menyahut cabaran Liga Wanita Negara musim ini dan tidak mahu memikirkan hal-hal negatif seperti itu kerana ia tidak bagus dan boleh mengganggu prestasinya untuk beraksi dan menyiapkan diri dengan perlawanan yang lebih besar di peringkat dunia.

“Sebenarnya kami sebagai pemain tidak ambil kisah sangat pun hal-hal seperti itu,” pintas Lyana, “Buat masa ini saya dan team mahu tumpukan kepada masa depan pasukan negara dan ingin menjadi sebahagian daripada kejayaan dan sejarah sukan hebat ini.”

Mula Berminat

Dilabel pemain bervisi tinggi, sebenarnya Lyana mula bergiat aktif dalam arena bola sepak Malaysia sejak 2017 lagi ketika dia menyertai Piala Tun Sharifah Rodziah dan telah menjulang trofi kejuaraan pada 2018 dan 2022 serta menduduki tempat kedua pada tahun 2017.

“Saya mula berminat ketika kali pertama saya pergi untuk saringan bagi pasukan Kedah yang diadakan untuk memilih pemain bagi tournament Piala Tun Sharifah Rodziah,” mula Lyana teruja. “Tak sangka, saya terpilih mewakili Kedah.”

Tidak lama kemudian dia turut terpilih untuk mewakili Malaysia ketika berusia 19 tahun. Selain itu, dia juga berjaya menjuarai kejohanan Selangor Women’s League pada 2024 dan telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai.

Di situlah bermulanya kerjaya Lyana sebagai seorang pemain bolasepak wanita profesional. Tidak berapa lama selepas itu, Lyana bertukar angin dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan memperjuangkan bakatnya di Lembah Klang.

“Pada ketika itu saya turut mula menyertai kelab seperti MBSJ FC di liga FASWSL. Untuk Liga Wanita National yang saya pernah mewakili Melaka dan sekarang saya mewakili Selangor FC.”

Dalam masa yang singkat dia telah mewakili Malaysia dalam beberapa perlawanan seperti Kejohanan AFF Wanita pada 2019 di Thailand dan 2022 di Filipina. Lyana juga turut melebarkan sayapnya dalam sukan bolasepak di peringkat dunia dengan menyertai Pusingan Kelayakan Piala Asia 2021 di Palestin dan Sukan SEA 2023 di Kemboja sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.

Sebelum menerima tawaran ke Kosovo, Lyana bermain sebanyak 270 minit iaitu tiga perlawanan untuk Skuad Wanita Selangor FC yang mana dia telah berjaya menjulang nama skuad tersebut dengan kemenangan tempat kedua dengan lima mata terkumpul pada 2023 dalam Liga Wanita Nasional setakat ini.

Bertukar Minat & Pendorong

Tentu ramai tertanya-tanya bagaiman Lyana mula mengenali sukan ini dan apakah yang membuatnya tertarik untuk mendekati sukan yang mencabar dan paling popular ini?

Sebelumnya Lyana terbabit dengan sukan hoki dan juga adalah pemain yang bagus. Mengapa Lyana lebih tertarik dengan bolasepak sedangkan boleh saja teruskan aksinya dan berjaya dalam sukan tersebut?

“Sebenarnya saya berminat dengan sukan ini sejak saya di sekolah rendah lagi tetapi disebabkan sukan bola sepak ini tidak berkembang di tempat saya pada waktu itu, saya tidak dapat meneruskan minat saya pada usia yang seawal itu. Ketika itu pula hoki menjadi sukan popular di kalangan pelajar sekolah dan sebab minat untuk bersukan memang sentiasa ada dalam diri saya, jadi saya bertaruh dalam sukan itu.”

Sering ibu bapa menjadi penghalang kepada minat bersukan ganas dan di monopoli oleh kaum lelaki, namun lain pengalamannya pula buat Lyana. Ibu bapa adalah pendorong utama.

“Emak dan ayah, seluruh ahli keluarga juga rakan-rakan adalah peminat setia saya yang sentiasa menyokong hasrat saya untuk menjadi seorang pemain bola sepak secara profesional. Selain mereka, saya tidak lupa juga kepada barisan jurulatih pasukan Kedah FA, pasukan pertama saya dalam sukan bola sepak ini.”

Menurut Lyana mereka banyak memberikan tunjuk ajar termasuk juga kesemua jurulatih pasukan yang pernah melatihnya, hingga meletakkan dia sampai ke tahap ini. “Saya bertuah dan akan sentiasa berusaha menjadi lebih baik.”

Cabaran dan tanggungjawab digalas sebaiknya

“Mewakili negara, bukanlah satu tugas atau tanggungjawab yang mudah. Tidak kiralah dalam apa jua bidang yang kita ceburi, kepercayaan yang kita galas begitu tinggi. Saya gembira dan bangga kerana berjaya mewakili negara dan dengan sokongan mereka yang saya sayang, dan juga secara profesional memudahkan lagi laluan dan perjalanan kerjaya saya.”

Lyana kini bekerja keras memenuhi tuntutan kejohanan Liga Bola sepak Negara, kini sedang berlangsung, mengakui bahawa bahang saingan dan tekanan semakin terasa dan pastinya membuat mereka semua pemain tertekan.

Dianggap antara tonggak utama Pasukan Kebangsaan Wanita Malaysia, dan pada usianya, penyertaan Lyana boleh dianggap singkat, namun kejayaannya begitu terserlah. Lyana mempunyai barisan kejayaan yang membanggakan setakat ini serta punya masa depan cerah dalam kerjaya bola sepak.

Ketika berada di bawah Wanita Selangor FC, dia telah beraksi dengan baik sekali pada musim liga 2023. Namun begitu, Lyana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan kerana mendapat tawaran menyertai KFF Presingu di Kosovo sebagai pemain import kelab tersebut selama lapan bulan.

Tekanan Kala Beraksi

“Early goal adalah suatu situasi yang mengejutkan dan pasti timbulkan tekanan yang tinggi buat pemain,” akuinya. “Bila terjerumus dengan keadaan cemas seperti ini, kita akan rasa tercabar bukan sahaja untuk mempamerkan satu permainan yang baik tetapi bagaimana harus ditingkatkan atau setidak-tidak pun terus mengekalkan momentum permainan. Kita dapat rasakan yang semangat juang kita mula menurun.”

Apabila diterjah dengan situasi tersebut, menurut Lyana, taktik, teknik dan kaedah memotivasikan diri sendiri yang dipelajari segera diaplikasikan demi menaikkan semangat juga untuk mendorong kawan-kawan pasukan agar terus keep the fighting spirit.

“Pada tahap itu, tekanan berada di puncak,” akuinya, “Seperkara lagi, apabila berlakunya silly mistakes, Itupun paling mencabarlah bagi saya. Bukan mudah untuk mengumpul semula segala semangat juang yang kita persiapkan, bila berlaku hal-hal sebegini.

“It spoils everything… tapi dalam latihan fizikal dan rohani yang kami jalani semua itu ada cara dan kaedahnya untuk diatasi. Pada ketika itu fokus mestilah lebih tertumpu kepada whats next? Kita kena cepat menyedarinya, dan segera accept and recover. Ia nampak mudah tetapi amat sukar dilakukan. Semangat juang menjadi fokus kita pada ketika itu.”

Di bawah jurulatih Soleen Al-Zou’bi , menurutnya, pasukan kebangsaan banyak peningkatan baru dari segi taktikal mahupun corak latihan. Teknik jurulatih tersebut agak berlainan dan diperkenalkannya pada pemain supaya mereka dapat meluaskan pengetahuan. Ia merupakan satu pengalaman baru dan baik untuk menimba ilmu tentang bola sepak yang tidak diketahui sebelumnya.

Kehadiran Soleen sebagai jurulatih baru skuad bola sepak wanita negara bakal melahirkan pemain berkualiti dan kompetitif bagi memberi saingan di pentas antarabangsa kerana beliau memang berpengalaman. Pengalaman dan ilmu Soleen yang berasal dari Jordan sebagai Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA), dijangka berupaya memberi nafas baharu kepada bola sepak wanita negara.

“Memastikan kemahiran permainan meningkat dari masa ke semasa untuk setiap perlawanan adalah keutamaan saya dan setiap ahli pasukan. Ini memang hal yang sentiasa melekat di kepala kami sebagai pemain,” kongsi Lyana apabila ditanya tentang prestasi dan tekanan dalam kerjayanya.

Selain latihan empat kali seminggu di padang, dia dan ahli pasukannya melalui rutin stamina dan tubuh badan di gymnasium sekali seminggu. Biasanya, jika semasa liga tengah berjalan kebanyakan latihan diadakan di padang dan fokus ditumpukan kepada ciri taktikal dan teknikal.

“Satu lagi cara kami melihat sejauh mana kedudukan dan prestasi kami dalam permainan ialah dengan sentiasa menonton semula perlawanan yang telah lalu. Baik menang atau atau kalah, saya teliti setiap langkah dan aksi saya, cari di mana silap, di mana bagusnya?

Jika terdapat banyak kesilapan, saya kaji dan cari puncanya dan cuba perbaiki ketika latihan. Yang penting kena fokus ketika latihan, berbincang dengan jurulatih dan dapatkan pandangan daripada semua barisan jurulatih yang ada.”

Pada pendapat Lyana, perlawanan terakhirnya selepas perlawanan yang berlangsung pada pertengahan Julai lalu lebih baik daripada perlawanan pertamanya sebab lebih teratur dan lebih tenang juga momentum permainan semakin meningkat.

Ketika berakhir perlawanan tersebut Lyana berharap dapat mengutip tiga mata dan sentiasa bersedia dan mengharapkan corak permainan yang lebih baik. Bagi Lyana tiga mata tersebut sangat penting kerana pasukannya hilang tiga mata dalam perlawanan pertamanya.

Siapakah pemain idola peringkat dunia yang dikagumi? Pantas dia menjawab, Qendresa Krasniqi, pemain negara Albania Eropah dan kelab FC Basel Switzerland. Ini kerana pernah melihat corak permainan Qendresa di depan mata sendiri sewaktu dia bermain di kelab Kosovo Eropah. Lagi membuatnya tertarik, kebetulan Krasniqi juga bermain di posisi defender yang mana sama dengannya.

Apakah harapan dan pandangan Lyana untuk sukan bola sepak di Malaysia dan masa depannya? Lyana yakin dengan sokongan pihak kerajaan, usahasama swasta serta kempen yang bagus, sudah tentu sukan ini akan maju dan boleh menjadi satu sukan penting bagi wanita. Juga dapat mengharumkan nama negara serta boleh dijadikan punca pendapatan bukan sahaja lumayan bagi pemain malah boleh diusahakan sebagai satu sukan yang menguntungkan untuk semua yang terbabit dan juga negara.

Related posts

Saidina Umur al-Khattab Gagah lagi Perkasa

admin

Habsah Saufi “The Accidental Artist”

admin

Saifuddin Ahmad

admin

Leave a Comment