GAYA HIDUP

Nur Taj Spa & Beauty Putrajaya Diangkat Sebagai Produk Pelancongan Kesejahteraan Berteraskan Warisan Malaysia

PUTRAJAYA, 24 Ogos 2026 – Nur Taj Spa & Beauty Putrajaya rasmi beroperasi sebagai pusat kesejahteraan yang mengangkat warisan Melayu dan identiti Malaysia menerusi pengalaman spa yang autentik, berkualiti serta mesra Muslim. Pembukaan cawangan baharu di Mercure Living Putrajaya turut menyaksikan kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia sebagai Rakan Strategik sempena kempen Visit Malaysia 2026/2027, selain penyerahan pengiktirafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, berkata industri kesejahteraan kini berkembang sebagai segmen pelancongan bernilai tinggi yang mampu menjana manfaat ekonomi, membuka peluang pekerjaan serta memperkasa usahawan tempatan. Menurut beliau, pelancong masa kini semakin mencari pengalaman yang menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan emosi.

Beliau turut menekankan potensi ‘Urutan Malaysia’ untuk diketengahkan sebagai produk kesejahteraan beridentitikan nasional. Menggabungkan teknik dan warisan masyarakat Melayu, Cina, India serta etnik Sabah dan Sarawak, Urutan Malaysia mempunyai keunikan tersendiri yang mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa dengan sokongan latihan profesional, standard kualiti dan penjenamaan yang kukuh.

Selari dengan aspirasi tersebut, Nur Taj Spa & Beauty Putrajaya sendiri menggunapakai rawatan berteraskan warisan Melayu, termasuk penggunaan herba dan ramuan tradisional serta sokongan terhadap modul Urutan Malaysia. Spa ini turut menerima pengiktirafan Bintang daripada MOTAC dan pengiktirafan Mesra Muslim menerusi Islamic Tourism Centre (ITC).

Pengasas dan Pengarah Urusan Nur Taj Spa & Beauty, Puan Hajjah Selinastein Mohd Rashid, berkata pembukaan cawangan Putrajaya merupakan langkah penting dalam usaha membawa warisan tradisi Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Majlis hari ini bukan sekadar perasmian sebuah spa. Ia merupakan satu langkah ke hadapan dalam aspirasi kami untuk menyumbang kepada pembangunan pelancongan kesejahteraan Malaysia.”

Menurut beliau, Nur Taj Spa & Beauty yang bermula di Busana Menara MARA, Kuala Lumpur, kini berhasrat memperluaskan jenama ke lokasi strategik, melahirkan lebih ramai terapis tempatan berkemahiran serta memperkenalkan pengalaman kesejahteraan berteraskan warisan Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Kerjasama bersama Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre dan rakan strategik dilihat mampu memperkukuh penawaran produk pelancongan kesejahteraan negara, sekali gus menjadikan warisan tempatan sebagai pengalaman pelancongan yang bernilai, berdaya saing dan relevan dengan kehendak pelancong masa kini.

Dengan tema ‘Harmoni Warisan, Kesejahteraan Sejagat’, Nur Taj Spa & Beauty Putrajaya membawa aspirasi untuk menjadikan kesejahteraan sebagai sebahagian daripada identiti pelancongan Malaysia serta memperkenalkan khazanah terapi tradisional tempatan ke persada dunia.

Mengenai Nur Taj Spa & Beauty

Diasaskan pada 2015 oleh Puan Selinastein Mohd Rashid, Nur Taj Spa & Beauty bermula di Busana@Menara MARA, Kuala Lumpur dengan visi menyediakan pengalaman kesejahteraan yang autentik, berkualiti dan mesra Muslim. Pada peringkat awal, Nur Taj memberi tumpuan kepada keluarga serta ibu bapa yang sibuk, di samping menawarkan perkhidmatan untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak. Berteraskan konsep warisan Malaysia, antara tarikan utamanya ialah Urutan Malaysia, selain rawatan seperti Terlena Massage, rawatan badan, facial, terapi herba dan pakej pengantin. Nur Taj pernah menerima pengiktirafan sebagai The Best Muslim-Friendly Spa di World Islamic Tourism Award 2023. Kini, dengan pembukaan cawangan baharunya di Mercure Living Putrajaya, Nur Taj Spa & Beauty terus memperkukuh aspirasi untuk memartabatkan terapi tradisional kepelbagaian budaya Malaysia dan menjadikan pengalaman kesejahteraan tempatan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan negara.

*Untuk keterangan lanjut mengenai media, sila hubungi Pn Neda di 011-27022702.

Related posts

LUMICKO MEMPERKASA PENDIDIKAN KANDUNGAN DIGITAL DAN MEDIA

adminwm

Hukum Ibu Sengaja Tidak Menyusukan Anaknya Tanpa Sebab Munasabah

adminwm

HABBATUSSAUDA MERAWAT PELBAGAI PENYAKIT

admin

Leave a Comment