Di tengah-tengah kepesatan pembangunan kota Kuala Lumpur, berdiri megah sebuah bangunan yang bukan sekadar menjadi mercu tanda seni bina, malah berdiri sebagai saksi perjalanan sejarah negara selama lebih lima dekad.
World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bukan hanya dikenali sebagai destinasi konvensyen dan pameran bertaraf antarabangsa, tetapi turut memainkan peranan penting sebagai ekosistem yang menyokong pemerkasaan warisan, kebudayaan dan identiti Malaysia.
Di sinilah sejarah bertemu masa depan, dii sini juga tradisi diraikan bersama kemajuan dan di sini kisah Malaysia terus dinukil melalui pelbagai acara yang menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Sepatah kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab saat ditanya apa yang dibayangkan apabila menyebut WTCKL, jawabnya; “ikonik!”.
Bangunan Yang Menyimpan Seribu Kisah Negara
Setiap bangunan ikonik mempunyai kisahnya yang tersendiri. WTCKL pula memiliki cerita yang jauh lebih besar daripada fungsi fizikalnya sebagai pusat acara. Dengan seni bina yang mengekalkan sentuhan identiti tempatan serta kedudukannya yang strategik di ibu negara, bangunan ini berkembang menjadi sebuah ruang yang mempertemukan dunia perdagangan, pendidikan, seni, budaya, sastera, keusahawanan dan masyarakat dalam satu hubungan yang saling melengkapi.

Selama puluhan tahun, jutaan pengunjung dari dalam dan luar negara telah melangkah masuk ke ruang legar WTCKL. Ada yang hadir sebagai usahawan, ada yang datang sebagai pengunjung pameran, ada juga yang membawa pulang pengalaman menikmati seni budaya tempatan. Kepelbagaian inilah yang menjadikan WTCKL bukan sekadar lokasi acara, tetapi sebuah institusi yang menghubungkan manusia dengan nilai dan identiti negara.
Warisan bukan sekadar tinggalan sejarah yang dipamerkan di muzium. Warisan perlu terus dihidupkan, diraikan dan diwariskan kepada generasi baharu. Menyedari hakikat itu, WTCKL menjadi antara lokasi utama pelbagai program berskala nasional yang mengangkat bahasa, sastera, seni visual, kraftangan, makanan tradisional, busana, muzik serta pelbagai ekspresi budaya Malaysia.
Antara acara paling sinonim dengan WTCKL ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, sebuah acara yang menghimpunkan penulis, penerbit, ilmuwan dan pencinta ilmu dari seluruh negara. Program seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan budaya membaca, malah menjadi platform penting untuk memelihara khazanah ilmu dan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada warisan negara.
Selain itu, WTCKL turut menjadi lokasi kepada pelbagai festival kebudayaan, pameran seni, acara komuniti dan program yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia sepanjang tahun. Setiap acara yang berlangsung di sini membawa satu mesej yang sama bahawa warisan tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan.
Menyatukan Warisan, Tradisi dan Kemodenan
Keunikan WTCKL terletak pada kemampuannya menggabungkan elemen tradisional dengan keperluan dunia moden. Di dalam dewan yang sama, boleh berlangsung persidangan teknologi bertaraf antarabangsa pada sebelah pagi, diikuti persembahan kebudayaan atau festival warisan pada sebelah petang.

Perpaduan inilah yang mencerminkan wajah sebenar Malaysia sebagai sebuah negara yang bergerak ke hadapan tanpa meninggalkan akar budayanya.
Sebagai pusat konvensyen bertaraf dunia, WTCKL membuka ruang kepada pengunjung antarabangsa untuk mengenali Malaysia bukan hanya melalui urusan perdagangan dan pelaburan, tetapi juga melalui kekayaan seni, budaya dan nilai masyarakat yang dipersembahkan dalam pelbagai acara. Peranan ini menjadikan WTCKL sebagai jambatan yang menghubungkan diplomasi budaya dengan pembangunan ekonomi negara.
Sesebuah warisan tidak akan kekal hidup tanpa sistem sokongan yang kukuh. WTCKL membuktikan bahawa sebuah bangunan boleh menjadi pemangkin kepada pembinaan identiti nasional apabila menyediakan ruang untuk pelbagai pihak berkumpul daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan, penggiat seni, penerbit, usahawan, pengusaha industri kreatif hinggalah masyarakat umum.
Setiap program yang berlangsung bukan sekadar mengisi kalendar acara, tetapi menyumbang kepada usaha memperkukuh jati diri bangsa, memperkenalkan budaya tempatan kepada dunia serta memastikan nilai warisan terus relevan dalam kehidupan moden.
Dalam era globalisasi yang semakin mencabar identiti budaya sesebuah negara, kewujudan ruang seperti WTCKL menjadi semakin penting. Ia membuktikan bahawa pembangunan fizikal dan pemeliharaan warisan bukanlah dua perkara yang bertentangan, sebaliknya boleh berkembang seiring apabila dirancang dengan visi yang jelas.
Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ WTCKL Dijunjung
Bangunan mungkin dibina daripada konkrit dan keluli, tetapi maknanya terbentuk melalui kenangan yang tercipta di dalamnya. Bangunan gah mungkin silih berganti mengambil alih rekod pencapaian merentas zaman, namun jasa dan sejarah lalu tidak mungkin dapat dipadam.
Selama lebih 50 tahun, WTCKL telah menjadi pentas kepada ribuan kisah daripada pelancaran buku, festival budaya, pameran seni, konvokesyen, persidangan antarabangsa hinggalah acara yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai kaum dan generasi. Kesemuanya menyumbang kepada pembentukan memori kolektif negara.
Akhirnya, WTCKL bukan sekadar sebuah bangunan ikonik di tengah ibu kota. Ia ialah ruang yang menghidupkan warisan, menghubungkan budaya dan mengukuhkan identiti Malaysia. Selagi ada masyarakat yang terus berkumpul untuk meraikan ilmu, seni, tradisi dan perpaduan di bawah bumbungnya, selagi itulah WTCKL akan terus menjadi sebahagian daripada denyut nadi warisan negara.
