GAYA HIDUP

Koleksi ‘Tita’ Mengangkat Warisan Seni Perhiasan Diri

Siapa tidak mengenali Allahyarhamah Sharifah Azah binti Syed Mohammad Alsagoff @ Norazah Abdul Aziz atau Azah Aziz, namun wanita unggul dan lebih dikenali sebagai Mak Ungku ini menjadi kebanggan kerana beliau merupakan antara tokoh budayawan Melayu di Malaysia yang terawal.

Wanita gemilang yang lahir pada 21 Ogos 1928  dan telah meninggalkan kita pada 9 Julai 2012 ini juga adalah  isteri kepada Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz dan ibu kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Ungku Tan Sri Datin Paduka Dr. Zeti Akhtar Aziz ini sentiasa menjadi contoh dan ikon bagi Wanita dalam dunia keartawanan, pejuang budaya seni dan hak-hak kaum Wanita.  

Sebagai insan paling dekat dengannya dan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memelihara juga memperkenalkan legasi karya ibunya, Tan Sri Dr Zeti Aziz telah menyumbangkan koleksi Puan Azah Aziz kepada Muzium Tekstil Merdeka. Warisan inilah yang menjadi sumber inspirasi bagi Tita Collection by SUEN, yang menterjemahkan elemen daripada koleksi tersebut ke dalam karya barang kemas kontemporari.

Lee Tze Suen (ketiga dari kiri) dan Tan Sri Zeti ( ketiga dari kanan) pada majlis pelancaran
Ikon Wanita Kebanggaan Negara

Siapa Azah Aziz?  Dikenali dengan panggilan Tita dalam kalangan keluarga tersayang, beliau adalah seorang tokoh yang luar biasa. Beliau merupakan seorang wartawan, pejuang hak wanita, budayawan yang banyak mencurahkan tenaganya terhadap kerja-kerja pemeliharaan warisan dan juga adalah penulis buku kanak-kanak.

Azah membesar dalam dunia bangsawan yang serba berperadaban dan melalui bimbingan ibunya, mengajarnya erti kehidupan sebenar: kepentingan pendidikan, memanfaatkan kerja sosial, dan pemeliharaan warisan budaya demi bangsanya.

Cintanya terhadap warisan juga berakar dalam hubungan erat dengan suami beliau, yang menjadi sahabat setia sepanjang zaman. Mereka begitu akrab saling memahami dan sebagai pasangan dalam keidupan, mereka sering sependapat dalam banyak perkara dan khusunya citarasa dalam menghargai keindahan warisan budaya.

Ibunya, Azizah Jaafar, berasal dari Johor merupakan seorang tokoh pendidikan. Beliau percaya bahawa pendidikan adalah jalan bagi pemerkasaan. Hal ini terbukti melalui Sekolah Ilmu Sains Domestik (Domestic Science Studies) yang beliau tubuhkan khas untuk kaum wanita luar bandar.

Semangat dan segala kemahiran yang dimiliki ibunya seperti mengait dan menjahit, sedikit sebanyak diwarisinya. Sejak kecil, beliau perhatikan bahawa ibunya banyak menyimpan kain tradisi Melayu yang langka. Semua yang dilihatnya itu sering terbawa-bawa dalam dalam fikiran dan menjadi sebahagian penting dalam kehidupannya.

Faktor-faktor inilah yang banyak meresap ke dalam jiwanya sehingga menarik minatnya untuk meneroka alam tekstil dan busana tradisional serta mendorongnya untuk membina masa depannya sebagai seorang pejuang budaya.

Azah dikatakan seorang tokoh yang luar biasa dan cukup berbakat orangnya. Beliau merupakan seorang wartawan, penulis buku kanak-kanak, pejuang hak wanita, dan budayawan yang banyak mencurahkan tenaganya terhadap kerja-kerja pemeliharaan warisan dan sosial, khususnya memperjuangkan hak wanita.

“Melalui perbualan saya dengan Tan Sri Zeti, saya dapat memahami betapa besarnya usaha Puan Azah dalam memelihara ilmu dan seni pembuatan yang terkandung dalam tekstil serta busana tradisional Malaysia.

Menerusi Tita Collection by SUEN, kami menterjemahkan elemen daripada koleksi beliau menjadi barang kemas mewah yang boleh dipakai pada masa kini, sekali gus memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali warisan ini secara peribadi,” kata Lee Sze Suen, Pengasas SUEN Jewellers.

Legasi Barang Kemas SUEN

Daripada Tekstil kepada barang kemas himpunan mewah ini, SUEN menampilkan elemen warisan tekstil dan busana Malaysia menerusi hasil pertukangan emas 18 karat dan berlian, dengan mengolah motif, tekstur serta bentuk tradisional menjadi karya kontemporari yang sesuai dipakai setiap hari.

Aksesori mewah ini boleh digayakan pada tudung, selendang, kelepak serta kolar, menerapkan elemen warisan dengan gaya busana moden. Selain koleksi barang kemas mewah tersebut, SUEN turut menghasilkan enam kerongsang berinspirasikan unsur warisan untuk Muzium Tekstil Merdeka.

Dengan menonjolkan peranan kerongsang dalam busana dan perhiasan Melayu, rekaan ini menampilkan unsur batik, ukiran kayu tradisional dan songket, yang dihasilkan daripada perak sterling 925 bersadur emas.

Menariknya,10% daripada hasil jualan barang kemas mewah Tita Collection by SUEN ini akan disumbangkan kepada Viva Palestina. Mengenai SUEN Jewellers SUEN ialah butik barang kemas mewah pelbagai jenama dari Malaysia yang telah membina reputasi kukuh selama lebih 15 tahun dalam kalangan pelanggan yang mengutamakan kualiti dan cita rasa tinggi.

Terkenal kerana perkhidmatannya yang sangat diperibadikan dan tiada tolok bandingan, SUEN memenuhi keperluan pencinta gaya dengan koleksi berlian dan batu permata berkualiti tinggi, serta kerjasama eksklusif dengan jenama barang kemas mewah bertaraf antarabangsa.

Tampuk Pedada Daripada siri Songket

Motif Tampuk Pedada menjadi elemen utama pada loket yang serba indah ini. Menampilkan corak simetri tersendiri serta bentuk berlapis yang berkembang dari bahagian tengah, motif ini mencerminkan kehalusan geometri dalam tenunan songket tradisional.

Dihasilkan daripada emas kuning dan emas putih 18 karat serta diserikan dengan kilauan berlian, rekaan ini mengolah keindahan songket menjadi karya kontemporari yang berteraskan warisan Malaysia.

Kenanga & Sulur Bayung

Diilhamkan oleh bunga Kenanga atau Ylang-Ylang, siri ini mengetengahkan keindahan alam semula jadi serta warisan seni hiasan Malaysia.

Rekaan bunga yang dibingkai dengan motif Sulur Bayung ini, mengambil inspirasi daripada lengkungan sulur pucuk muda dalam seni ukiran hiasan Melayu. Gabungan kedua-dua unsur ini menyerlahkan alunan bentuk organik serta keindahan alam semula jadi.

Bunga Pecah Lapan

Motif Bunga Pecah Lapan yang terdapat pada tenunan songket tradisional diolah semula dalam bentuk geometri yang harmoni. Lapan elemen simetri tersusun menyerupai kuntuman bunga, mencerminkan ketelitian, keseimbangan dan nilai seni yang menjadi ciri hasil tenunan songket tradisional.

Bunga Cangkuk Kerongsang

Berinspirasikan Batik Berinspirasikan Bunga Cangkuk, iaitu motif tradisional pada kain tekat, seni sulaman benang emas Melayu yang halus, rekaan ini mencerminkan kelembutan bentuk serta ketelitian pertukangan yang menjadi ciri utama warisan tekstil Malaysia.

Diilhamkan oleh alunan visual batik, kerongsang ini mengolah kehalusan susunan corak berlapis dalam rekaan batik menjadi karya barang kemas yang indah. Garisan halus dan kemasan rapi mencerminkan ketelitian serta nilai seni yang terus diwarisi dalam tradisi tekstil Malaysia.

Kerongsang Tampuk Pedada

Motif Tampuk Pedada yang berasal daripada tenunan songket tradisional diolah menjadi kerongsang yang meraikan warisan alam semula jadi Malaysia serta kehalusan pertukangan tekstil yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Related posts

Tengku Permaisuri Selangor Lancar Tiga Buku Inspirasi Baharu KanWork

Afiza Kamarulzaman

Izmir dan Bodrum Tersenarai Dalam Panduan MICHELIN di Turki

adminwm

RAYA RAYA RAYA-Rumah Terbuka: Tradisi Silaturahim yang Menyatukan

Wirda Adnan

Leave a Comment