COVER STORY

PEMENANG WANITA IKON MUDA 24/25 BELLA MUSTARI “USIA MUDA BUKAN ALASAN UNTUK MENUNGGU”

“Apakah anda puas dengan gelaran Wanita Muda Ikon 24/25?” Terpacul soalan itu. Dia merenung tepat ke muka dan menjawab, “Sejujurnya tidak!” jawapan ringkasnya itu membuat hati terus bertanya-tanya untuk beberapa ketika. Mengapa pula tidak? Sehinggalah dia menyambung. “Ini adalah permulaan akan kepuasan yang sebenar. Saya amat beryukur dan berbesar hati menerima anugerah ini kerana ia merupakan pengiktirafan yang begitu tinggi,” demikian ulas Norsidayati Mustari dan melenyapkan persepsi yang tadi bermain di kepala terus lenyap.

Lebih mesra dengan panggilan Sis Bell juga Bella, juara Anugerah Wanita Ikon Muda Malaysia 2024/25 ini tegas mahu tanggungjawab dan amanah tersebut dilaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan dedikasi. Bella bertanggapan apalah ada pada gelaran atau sesuatu anugerah jika diri tidak mampu memenuhi aspirasi
penganugerahan itu sendiri.

Bella terus berkongsi kisah silamnya. Sejak kecil dia terbiasa untuk tidak pernah mengharap pujian atau penghargaan daripada sesiapa. Kala mendapat nombor tiga atau dua dan satu sekali pun, dia tidak berharap pada sesiapa bagi meraikan kejayaannya itu.

“Ketika kanak-kanak lain bangga kerana ibu dan ayah menonton di bawah pentas bertepuk dan bersorak… saya tak perlu tercari-cari di mana mereka,” katanya dengan mata yang bergenang, “Mereka memang tidak akan ada di situ untuk berkongsi saat-saat yang penting buat saya,” jelas Bella yang kehilangan ibu ketika berusia lima tahun. Dan ayah pula katanya sejak ibu meninggal dan sehingga dia berusia 19 tahun, seingatnya mereka pernah bertemu hanya tiga kali.

Namun tidak seperti selalu, kata Bella kali ini, dia meraikan kejayaan dengan beribu orang kerana dia membawa bersamanya harapan menggunung dan kegembiran ratusan agen produknya serta impian wanita seluruh Sabah.

Berterima kasih dinobatkan Anugerah Wanita Ikon Muda Malaysia 2024/25, namun tambahnya, ia bererti dia bakal menggalas tanggungjawab yang lebih berat untuk memacu wanita muda dan menjadi contoh kepada belia di luar sana. Apa yang dia tahu dan faham, kejayaan hanya datang dengan kerja keras, dedikasi yang tinggi serta amanah.

Perbualan dengan wanita comel dan bijak yang kini mencecah usia 35 ini, cukup menyeronokkan. Sekiranya tidak menyentuh persoalan yang mengusik hatinya itu tadi, tiada siapa akan tahu apa yang tersirat di sebalik wajah comel dan cerianya itu.

Selain memiliki wajah yang cantik Bella turut dikurniakan perwatakan dan suara yang menawan. Intonasi, mimik muka dan gayanya kala bertutur pasti saja mengundang keasyikan yang memandang dan mendengarnya.

Untuk merangkumkan semua itu, dan secara profesionalnya Bella mempamerkan satu visual hebat yang memberi konotasi; inilah Wanita Ikon Muda yang dicari-cari selama ini untuk menjadi perangsang dan contoh kepada belia dan generasi muda di luar sana. Namun pengalaman perit kala membesar di zaman kanak-kanak dan seterusnya ketika remaja, menjadikan Bella sentiasa berpijak di bumi nyata. Salah satu impian yang dulu hanya angan-angan kini menjadi kenyataan yang amat bermakna baginya.

“Anugerah ini adalah lambang kepercayaan dan sokongan ramai yang meyakini apa yang saya buat selama ini. Apa pun saya hanya wanita biasa, banyak yang perlu saya pelajari tetapi kepercayaan luar biasa yang semua berikan ini tentu saja menambah kekuatan diri dan menjadi teman semangat untuk terus berusaha lebih baik,” kata Bella.

Jika dikisahkan semula perjalanan hidupnya sejak lahir hingga sekarang, Bella sesungguhnya adalah contoh sempurna kronologi kehidupan insan daripada zero to hero yang hebat. Sebagai anak tunggal yang membesar tanpa ibu dan bapa sejak kanak-kanak, Bella yang dibela oleh ibu saudara dan neneknya di sebuah pekan kecil, amat memahami apa erti kemiskinan, kehidupan yang penuh kekecewaan dan keperitan.

“Bayangkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun membesar tanpa kehadiran ibu juga bapa…” tambahnya merenung jauh. Di wajahnya terpancar seribu persoalan dan sejuta makna, “Mungkin ini menjadikan saya seorang kanak-kanak dan remaja yang kuat, berdikari serta tidak pernah menyerah kepada cabaran.

“Namun, ada juga buruknya, “akui Bella, “Saya menjadi seorang yang tiada keyakinan diri. Dalam pada saya kuat dan amat berdikari namun jauh dilubuk hati saya tersemat perasaan kurang yakin pada diri. Saya sentiasa merasakan diri ini tidak bagus… cuma yang saya tahu, saya mesti kerja keras dan terus membina Impian.”

Dalam pada itu juga pintas Bella, sejak dia kecil, dia tidak merungut dan merentan seperti kanak-kanak lain jika kemahuannya ditolak atau tidak kesampaian. Bila ditanya mengapa dia begitu penyabar, mudah dan matang pada usia sebegitu muda, dia hanya tersenyum.

“Mungkin kerana terlalu sibuk membantu nenek dan ibu saudara dengan kerja-kerja harian, saya tidak punya masa langsung untuk memikirkan hal-hal remeh seperti itu, apa lagi untuk bermanja dan merengek walaupun tahu nenek dan ibu saudara menyayangi saya.

Berbanding calon finalis Wanita Ikon lain yang mana masing-masing memiliki latar belakang hebat dengan pencapaian akademik tinggi hingga memiliki double degree, master dan Phd, Bella hanya bersandarkan sehelai sijil SPM. Sejujurnya akui Bella, dia tidak pernah berasa kerdil kala dipertandingkan sebaris jaguh-jaguh tersebut.

Meskipun sentiasa ada perasaan tidak yakin pada diri yang menghantuinya, pada malam itu dia cuba meyakini kemampuan sendiri dan ketepikan perasaan takut. Malam itu Bella tidak banyak memikirkan faktor menang. Kerana dia tahu, siapa mereka yang dipertandingkan dengannya bukan calang-calang dan Bella amat menghormati serta kagum dengan kejayaan mereka. Namun jauh di lubuk hati dia tahu, adakala keajaiban boleh berlaku dan kalah menang itu satu ketentuanNya, dan tiada siapa boleh menyangkalnya. Dan kejayaannya membuktikan bahawa asal-usul dan kekurangan bukanlah penghalang untuk maju.

Ikuti perbualan seterusnya dengan wanita hebat ini mengenai kehidupan, kerjaya, perniagaan dan masa depannya. Bak cili padi, kecil tapi pedasnya menyengat. Tentu ramai ingin tahu ke mana Bell ingin bawa wanita yang mahu mencuba nasib dan berani membuat pembaharuan dalam diri serta keluarga dan masyarakat mereka.

Mengapa Bella pilih produk kecantikan sebagai asas perniagaan?

Saya seorang yang obses dengan kecantikan (ketawa malu) terutama yang berkaitan kesejahteraan kulit. Sejak awal remaja saya dah menggunakan produk kecantikan dan kerana kesempitan hidup saya akan kumpul duit belanja berdikit-dikit hanya untuk membeli sebotol losyen badan dan bahan penjagaan kulit wajah.

Daripada pengalaman yang saya lalui dan setelah membuat sedikit kajian produk-produk yang ada di pasaran, saya berazam untuk menghasilkan produk pencerah kulit yang selamat, berkesan, berkualiti pada harga yang sesuai. Produk yang saya hasilkan adalah daripada bahan-bahan lembut pada kulit serta mesra alam.

Dari situ Bella mula mendekati diri dengan produk kecantikan hinggalah terbit minat untuk menjual. Mula-mula secara kecil-kecilan dan makin lama semakin laris dan membuat Bella terfikir mengapa tidak membuat produk sendiri dan buka perniagaan.

Bella menganggap perjalanan hidup sebagai revolusi seorang wanita yang berani bangkit, memperkasa diri dan merangsang nilai murni sejak di usia kecil. Cerita sedikit kisah silam Bella?

Dibesarkan di Tawau sejak kecil, tanpa kehadiran ibu bapa tentulah satu pengalaman pedih dan semakin mencabar bila mencecah remaja. Pengalaman ini membentuk saya menjadi seorang yang berdikari dan kuat. Walaupun kehilangan mereka, saya bertekad untuk membina masa depan saya sendiri.

Seingat saya ibu seorang penjual sayur dan ayah pula buruh kasar yang bekerja menghantar barang dagangan dan berulang-alik dengan perahunya dari pekan

Tawau ke Seberang. Saya juga masih ingat, ibu sempat menghantar saya ke tadika beberapa hari. Seminggu selepas itu dia pergi meninggalkkan saya buat selama-lamanya kerana diserang lelah.

Tentulah kehidupan harian saya penuh dengan rasa kecewa kerana ditinggalkan ibu dan ayah pula entah ke mana. Saya pula anak tunggal, untung saya ada nenek dan ibu saudara yang sudi membesarkan dan menjaga saya seperti anaknya sendiri. Walaupun ada sepupu yang ramai tapi jauh di lubuk hati saya sentiasa ada bayangan diri ini keseorangan.

Ia memang membina jati diri dan membuat saya kuat, namun ada yang tidak eloknya, ketika itu saya sering menyalahkan keadaan dan nasib. Saya persoalkan mengapa saya ditinggalkan sendirian di dunia sebegitu? Perasaan itu selalu saja datang dan membuat saya kurang keyakinan diri.

Ketika bersekolah saya tidak langsung menyertai apa-apa ko-kurikulum. Baik aktiviti persatuan atau pun bersukan. Habis sekolah saya balik dan sibuk dengan kerja-kerja di rumah dan membantu ibu saudara dan nenek.

Saya bermula dari bawah, hanya dengan pendidikan SPM, tetapi saya percaya bahawa ilmu tidak hanya datang dari sekolah saja, ia juga muncul daripada pengalaman hidup. Dari situ, saya membina perniagaan saya, Beautyspells. Tapi anehnya, sejak mula, jujur saya katakan, ia terdorong daripada hasrat dan tujuan untuk memperkasakan wanita lain melalui produk yang berkualiti dan peluang keusahawanan.

Tawau, Sabah, adalah sebuah tempat yang kecil, namun Bella beraspirasi membawa jenama Borneo ke hadapan dan merevolusikan industri kecantikan di seluruh tanah air juga ke serata Asia. Bagaimana Bella harus lakukan semua itu?

Saya seorang yang punya semangat tinggi, berdedikasi, dan komited. Sesuatu yang saya lakukan perlu berteras kepada itu dan apabila inspirasi merevolusikan industri kecantikan itu datang, saya tahu saya tidak boleh lakukan sendirian. Saya perlukan tenaga kerja dan pembantu yang boleh menyokong Impian itu.

Saya percaya bahawa setiap wanita layak untuk merasakan transformasi yang mampu membangkitkan keyakinan diri dan menyerlahkan kewibawaan masing-masing. Cuma mungkin mereka tidak tahu caranya, tidak berani dan kurang keyakinan diri, saya faham sangat semua kekangan ini dan sebab itulah saya berazam untuk membantu dan membimbing sesiapa saja.

Memang impian itu besar dan orang mungkin anggap ia satu angan-angan, namun saya yakin. Malah sekarang pun saya tegar membuka peluang pekerjaan dan membantu perkembangan diri kepada generasi muda dan wanita.

Ini saya lakukan dengan memberikan mereka bimbingan melalui bengkel pembangunan diri perniagaan dan sokongan kepada usahawan wanita. Saya menyediakan teknologi terkini, latihan komprehensif, serta bimbingan dan sokongan berterusan untuk membantu wanita mencapai potensi penuh.

Beautyspells yang saya asaskan, berpegang kepada nilai ”berkongsi” dan dengan prinsip tersendiri iaitu membangunkan perniagaan demi berkongsi manfaat serta rezeki.

Saya yakin bahawa pendekatan ini akan membawa Beautyspells menembusi pasaran Asia, sebagai pengedar dan pengeluar di setiap negara seperti Indonesia, Filipina, Brunei, Bangkok, Vietnam, dan Singapura. Sekarang pun Beautyspells sudah membuat persiapan itu dan sudah pun bertapak di dua buah negara jiran.

Bella amat terikat kepada konsep perniagaan yang berteraskan perkongsian. Boleh Bella ceritakan sikit?

From nothing to something, from nobody to somebody, maybe not today, but definitely someday”. Berpegang kepada kata-kata ini sepanjang perjalanan daripada zero to hero, saya bukan sahaja bangkit dan membangunkan perniagaan demi mengubah masa depan diri dan keluarganya tetapi juga membina harapan dan kehidupan baru untuk belia dan wanita-wanita punya aspirasi untuk berjaya, jika tidak sekarang, pasti suatu hari nanti.

Saya suka jadikan tempat kerja sebagai rumah keluarga. Di situlah kami berusaha, berbincang dan bekerja untuk merealisasikan impan masing-masing. Kita manusia punya kekurangan dan dalam pada itu setiap kita ada kelebihan. Itulah yang saling melengkapi saya dan para petugas untuk terus mengejar Impian.

Bella banyak buat kerja amal. Sejauh mana usaha Bella dalam membantu masyarakat setakat ini?

Oh! Datang daripada kepompong kemiskinan, saya amat memahami erti keperitan hidup sebab itulah saya sentiasa punya hasrat untuk membantu orang. Saya memang teruja kalau bercakap hal ini… macam ada satu kepuasan yang tiada tandingan bila kita dapat membantu orang.

Bagi merealisasikan impian itu saya menubuhkan program CSR, Beautyspells Bersamamu, yang mana berkhidmat menyumbang kepada komuniti. Sejak 2020, purata 3-4 kali program ini dianjurkan setiap tahun.

Antara programnya ialah, menyalurkan bantuan keperluan asas kepada 100 keluarga semasa pandemik, bantuan kepada 200 keluarga mangsa kebakaran, serta bantuan alat tulis kepada 100 kanak-kanak. Selain itu, majlis berbuka puasa dan sumbangan duit raya bersama tahfiz dan anak yatim, sambutan ulang tahun bersama 100 anak yatim piatu, lawatan ke rumah orang tua dan bantuan Ramadan kepada 150 keluarga pernah kami anjurkan.

Program ini bertujuan menginspirasi wanita untuk mencipta kejayaan untuk tetap berkongsi rezeki serta memupuk nilai dalam diri agar tidak melupakan niat asal kejayaan, iaitu berkongsi manfaat dan rezeki, terutama sesama wanita. Setakat ini pun, Ikhlas saya katakan, sudah ada ajen Beautyspell yang meraih keuntungan sejuta ringgit setahun. Bukankah itu satu kejayaan besar?

Dalam kedudukan Bella sekarang, apa yang Bella rasa boleh membantu masyarakat khususnya belia dan wanita?

Dalam kedudukan saya sekarang sebagai Founder Beautyspells, saya merasakan saya mampu membantu wanita bukan sahaja melalui produk kecantikan yang meningkatkan keyakinan diri, tetapi juga melalui program keusahawanan. Saya komited untuk membimbing wanita-wanita muda supaya mereka dapat berdikari dan
membina masa depan mereka sendiri. Saya juga menekankan nilai keberanian untuk mencipta peluang dan membina legasi.

Apa perancangan perniagaan Bella?

Perancangan perniagaan saya adalah untuk membawa jenama Beautyspells ke seluruh Asia, bermula dengan mengembangkan pasaran di negara-negara seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand. Saya juga bercadang untuk melancarkan lebih banyak produk yang mesra alam dan berkesan, serta membuka peluang pekerjaan kepada wanita-wanita muda yang ingin mencuba bidang keusahawanan.

Begitupun untuk setakat ini biarlah saya tumpukan fokus kepada perniagaan produk kencantikan kerana itu minat dan mungkin kepakaran saya. Bidang perniagaan lain belum lagi terfikir, namun siapa tahu jika rezeki dan peluang itu datang, saya mungkin menyahutnya.

Di mana Bella lihat diri Bella dalam lima dan 10 tahun dari sekarang?

Dalam waktu itu, saya melihat diri saya memimpin Beautyspells ke peringkat antarabangsa. Saya juga berharap dapat terus memperkasakan lebih ramai wanita di Asia melalui peluang keusahawanan, di samping memberi kembali kepada masyarakat melalui program CSR yang lebih besar dan meluas. Tentulah saya membayangkan waktu itu saya sudah punya mungkin puluhan cawangan.

Apa yang syarikat Bella perlu lakukan untuk lebih berjaya?

Untuk lebih berjaya, syarikat saya perlu terus berinovasi, tidak hanya dalam produk tetapi juga dalam cara kami berinteraksi dengan pelanggan dan komuniti. Selain itu, menambah baik latihan kepada para wakil dan agen serta memberi mereka lebih banyak insentif dan sokongan dari segi ilmu pemasaran berteknologi yang banyak
bergantung kepada penggunaan kaedah teknologi baru.

Dunia sentiasa dicabar oleh teknologi. Dalam perniagaan kemahiran dan ilmu mengenainya memainkan peranan besar dalam mempromosi dan memasarkan produk. Seperti sekarang misalnya, Masyarakat sudah terbiasa dan mulai menggunakan teknologi internet. Jika kita masih mahu membuang masa dan wang berniaga cara lama, sudah tentulah kita akan rugi dan tenggelam di pasaran. Saya yakin ilmu dalam teknologi akan membantu meningkatkan kejayaan syarikat.

Adakah Bella rasa Bella mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi usahawan yang berjaya? Kenapa?

Ya, saya percaya saya mempunyai apa yang diperlukan. Saya mempunyai visi yang jelas, keberanian untuk mengambil risiko, dan keazaman yang tinggi. Selain itu, saya sentiasa belajar dan menambah baik diri saya, serta saya mempunyai sokongan daripada pasukan yang kuat dan dedikasi untuk membawa perubahan kepada kehidupan orang lain.

Siapa hero Bella?

Hero saya adalah nenek dan makcik saya yang membesarkan saya dengan penuh kasih sayang dan penuh ketabahan walaupun dalam keadaan mereka sendiri yang dalam kesempitan dan amat miskin. Mereka mengajar saya nilai kekuatan, ketekunan, dan untuk tidak pernah menyerah walau apa pun cabaran yang datang.

Walaupun mereka tidak berpelajaran tinggi, namun semangat mereka jauh tinggi melangit. Mereka juga kerja keras untuk memastikan hidup mereka berubah ke arah yang lebih baik. Apa sahaja situasi tidak pernah saya dengar keluhan penat dan menyerah kalah.

Apa ketakutan terbesar Bella?

Ketakutan terbesar saya adalah tidak mampu memberi impak positif kepada orang lain. Saya ingin memastikan setiap langkah yang saya ambil bukan sahaja untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk membantu orang lain mencapai impian mereka. Saya takut sekiranya kehidupan yang Allah SWT kurniakan kepada saya, saya sia-siakan dan tinggalkan dunia tanpa meninggalkan impak positif kepada orang lain.

Jika diambil kira dari sudut akademik Bella tidak sebegitu gah berbanding finalis yang lain. Apa pandangan Bella tentang penguasaan akademik dari Menara gading dan dunia nyata?

Kejayaan seseorang datang daripada pelbagai sumber dan ilmu. Berpelajaran tinggi menggunung tidak berarti seseorang itu akan berjaya dalam kehidupannya. Jika tidak ada latar belakang akademik yang tinggi juga bukan penentu seseorang itu akan gagal meneroka rahsia kehidupan. Yang penting mesti ada kemahuan, yakin
dan berani untuk mencuba.

Walaupun saya tidak pernah menjejaki menara gading, saya tidak pernah berhenti daripada menuntut ilmu dan sentiasa memilih untuk meningkatkan nilai diri melalui pembelajaran berterusan, baik secara formal atau sebaliknya. Sebenarnya kekurangan itulah yang membuat saya dahaga dan tegar mencari ilmu di luar sana.

Pengajaran dan ilmu yang saya timba di dunia nyata adalah ijazah yang tidak boleh ditimba di menara gading. Namun saya kagum dengan mereka yang punya peluang menimba ilmu secara teori di peringkat tinggi dan berpeluang mengaplikasikan ilmu itu ke dalam kerjaya mereka.

Yang penting dan saya yakin bahawa ilmu adalah kunci kepada kejayaan yang telah mendorong saya untuk terus belajar dan mengembangkan diri dalam perniagaan sambil membantu dan memfokus kepada pembangunan usahawan wanita di bawah bimbingan Sis Bell.

Apa aktiviti keluarga kegemaran Bella?

Aktiviti kegemaran saya bersama keluarga adalah menghabiskan masa berkualiti dengan berkongsi cerita perkembangan aktiviti kehidupan harian. Kami banyak menghabis masa bersama menikmati apa yang dulu kami tidak dapat rasakan. Mungkin inilah masa saya memberi balik apa yang mereka telah korbankan untuk saya selama ini.

Jika diberi peluang, apa yang Bella ingin ubah tentang diri Bella?

Jika boleh, saya ingin belajar untuk lebih santai dan tidak terlalu tegas dengan diri sendiri. Saya selalu menolak diri saya ke hadapan dengan keras, dan kadang-kadang saya perlu ingat untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat dan sentiasa meletakkan keyakinan dalam diri bahawa saya berhak untuk berjaya dan bahagia kerana kelemahan terbesar dalam diri saya sentiasa rasa saya tidak layak.

Prinsip Bella dalam hidup dan kerja?

Prinsip saya dalam hidup adalah “tiada yang mustahil jika kita berusaha”. Dalam kerja pula, saya percaya kepada integriti, komitmen, dan memberi manfaat kepada orang lain. Saya selalu pegang kepada nilai ‘berkongsi rezeki’ dalam setiap perniagaan yang saya jalankan.

Buktinya hari ini, saya punya ratusan agen dan atau wakil jualan yang membawa produk saya ke serata pelosok. Lebih membanggakan dan membuat saya selalu berasa seronok bila saya berupaya membantu mereka melalui fasa kehidupan yang lebih mewah dan bahagia. Kebahagiaan mereka adalah kebahagian saya.

Apa yang betul-betul membuat Bella marah?

Saya sangat marah apabila melihat ketidakadilan, terutama apabila wanita tidak diberi peluang yang sama untuk maju hanya kerana perkara yang boleh diselesaikan. Saya percaya semua orang berhak untuk berjaya jika mereka
berusaha dan diberi peluang untuk mencuba.

Selain perniagaan dan agen-agen yang sentiasa berada di belakang Bella, apa yang memotivasikan Bella untuk bekerja dan mencapai matlamat?

Apa yang memotivasikan saya adalah keinginan untuk membuktikan bahawa wanita daripada latar belakang sederhana boleh mencapai kejayaan besar. Saya ingin menjadi contoh bahawa dengan keberanian dan keazaman, apa saja boleh dicapai.

Selain daripada itu, yang memotivasikan saya juga adalah apa sahaja perjuangan saya hari ini adalah untuk memastikan generasi saya akan datang serta wanita yang bersama saya mendapat masa depan yang cerah seiring dengan tema saya ‘for better and brighter future with Beautyspells’

Apa pandangan Bella dengan gelaran janda pada usia muda?

Itu takdir yang tiada siapa boleh sangkal dan halang. Siapa mahu jadi janda? Sebolehnya kita mahukan perkahwinan kita kekal ke syurga kan? Apapun muda atau tua gelaran itu membawa pelbagai cabaran dan tanggapan masyarakat.

Saya selalu pujuk diri dan ingin berpesan juga kepada wanita di luar sana, tidak perlu kesal dengan perkara yang lalu, dan berilah fokus kepada melakukan dan merancang masa depan yang membina seperti cabar diri dengan sesuatu yang baru dan bermanfaat untuk diri sendiri juga keluarga dan masyarakat. Itu lebih baik daripada merintih setiap hari.

Adakah Bella pernah menyesal dengan apa yang berlaku pada masa lalu? Bagaimana Bella mengumpul kekuatan dan motivasi untuk bangkit?

Saya percaya setiap kesilapan dan kegagalan adalah pelajaran. Saya tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku, kerana semua itu membentuk siapa saya hari ini. Saya sentiasa bangkit dengan mengingatkan diri sendiri mengapa dan bagaimana saya bermula, dan bahawa saya bertanggungjawab bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain yang bergantung pada saya.

Apa yang Bella tahu tentang misi kerajaan untuk memajukan wanita muda dan mempromosikan kemahiran? Bagaimana ia membantu perniagaan Bella?

Saya sangat menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan wanita muda melalui program latihan kemahiran dan keusahawanan. Inisiatif ini memberi peluang kepada wanita untuk mengembangkan sayap dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Sokongan ini sangat membantu perniagaan saya kerana ia membuka jalan kepada lebih ramai wanita untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dan memperluaskan rangkaian wakil jual dan agen saya. Peluang dah terbentang di depan mata, terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk bertindak dan merebut peluang yang diberikan.

Sebelum ‘Anugerah Wanita Ikon Muda’ Bella juga telah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan lain, boleh sentuh sedikit mengenai harapan masa depan untuk diri Bella sendiri dan belia juga wanita di luar sana dengan
gelaran-gelaran tersebut?

Harapan saya semoga setiap pencapaian yang akan saya raih akan menjadi inspirasi buat wanita lain di luar sana khususnya Kumpulan belia. Saya ingin terapkan keyakinan diri dan mewujudkan impian tanpa batas.

Perjalanan dan cabaran kejayaan setiap orang berbeza-beza. Mungkin cabaran saya begini dan cabaran orang lain bukan seperti yang saya lalui namun kita perlu menerima, atasi dan jadikan ia sesuatu yang pada suatu ketika nanti dapat dikongsikan kisah itu sebagai ‘perencah’ serta ‘perangsang’ kepada orang lain khususnya untuk generasi akan datang.

Saya berharap gelaran ini akan membawa kepada lebih banyak lagi pengiktirafan dan di peringkat yang lebih tinggi. Saya akan cuba sedayanya menggalas dengan penuh amanah, tanggungjawab dan bermaruah untuk menghidupkan perjuangan revolusi kebangkitan wanita demi merealisasikan kejayaan.

Facebook : NM Bell Mustari
Instagram : bell_mustari
Tiktok : bell_mustari
Website : www.beautyspells.com

Related posts

PUTERI SARAH TIADA DENDAM. KEMBALI KEPADA SYAMSUL?

Mahani Awang

Jilliyana & Emmilyana “The World Needs Strong Women…”

admin

Che’ Puan Datin Mimi Wahedah Bercakap Tentang Modelling, MW dan Masa Depannya

admin

Leave a Comment