COVER STORY

TANGIS DAN SENDU DI BUMI PALESTIN

Tangisan itu memanggilmu
Ratapan itu merayumu
Suara wanita yang tidak bermaya
Jeritan si kecil yang tidak berdosa
Ratapan si tua yang tidak berdaya
Darah pemuda yang ditumpah
Nyawa perwira yang dimamah
Kau biarkan mereka dilapah
Suara sayu memanggilmu
Bumi Gaza yang diserbu
Dek bangsat yang penuh muslihat
Tentera khianat yang dilaknat
Tergamak kau bersahaja
Cuma menjadi penonton setia
Sedangkan tanah Gaza dibunuh percuma
Tanpa kau rasa duka
Airmata dosa membiarkan mereka dihina derita
Manakah janji bahawa kita bersaudara?
Darah Gaza akan menuntutmu di hari muka
Kerna kau tinggalkannya dikorban tanpa bantuan
Bangkitlah dengan keinsafan, hulurkan tangan pertolongan
Demi Tuhan! buat Palestin yang ditawan
*oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Iampeter, Wales, UK

Bumi Palestin berdarah lagi.

Pada 7 Oktober 2023 dunia telah dikejutkan dengan kebangkitan Hamas yang telah melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas Israel. Serangan mengejut itu menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.

Brigade Al-Qassam Hamas dan pejuang pembebasan Al-Quds mengisytiharkan serangan balas terhadap pencerobohan rejim Israel di Palestin. Walau bagaimana Israel tidak berdiam diri sebaliknya membuat serangan balas yang lebih agresif tanpa menghiraukan kecaman dunia ke atas rejim itu. Meski sukar diterima dunia kekejaman rejim Israel, tetapi konflik berdarah tanpa henti yang telah berlangsung sekian lama seakan tiada berkesudahan.

Pertumpahan darah seakan tidak terhenti di bumi Gaza. Rejim Israel dikatakan sengaja menyasarkan infrastruktur di dalam Semenanjung Gaza. Mereka menyerang hospital, sekolah, masjid-masjid termasuk masjid Malaysia. Malah Universiti Islam Gaza kebanggaan Palestin yang dikatakan universiti tercantik dan terbaik di bumi Gaza itu juga telah musnah sama sekali. Konvoi bantuan kemanusiaan yang membawa bekalan ubat-ubatan juga turut diserang

Serangan yang berterusan tanpa ihsan bertali arus telah melumpuhkan Gaza sehinggakan internet dan komunikasi di sebahagian besar kawasan di Genting Gaza turut terputus dari dunia luar. Serangan Israel di Gaza selama sebulan pastinya menambah korban jiwa yang tidak berdosa.

Kementerian Kesihatan yang dikelolakan oleh Hamas memberi angka iaitu lebih 10, 000 orang telah maut dalam serangan bertubi-tubi Israel ke atas Palestin. Dan angka tersebut pastinya bertambah setiap hari.

Kita hanya mampu membaca kisah mereka. Kita juga hanya mampu melihat penderitaan mereka dari kaca TV dan media sosial. Tidak banyak yang boleh kita sumbangkan selain doa dan bantuan kewangan. Sekatan bantuan kemanusiaan juga menyukarkan bantuan disalurkan.

Solidariti

Namun di sana sini, solidariti untuk Palestin terus dilaungkan dengan cara tersendiri. Ada yang menyatakan solidariti dalam bentuk perhimpunan, perarakan, nyanyian termasuk teater dan puisi.

Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) turut menyatakan solidariti mereka melalui Malam Baca Puisi Keamanan Dunia Sejagat di Studio PEMUISI Ampang yang telah diadakan pada 28 November 2023.

Dato’ Dr Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar, Presiden PEMUISI Malaysia yang merupakan seorang peguam dan pemilik firma guaman melalui ucapan dan kenyataan media menyatakan sebagai suara kemanusiaan sejagat penganjuran itu sebagai bentuk sokongan ke atas Palestin dan mengecam sekeras-kerasnya serangan rejim Israel terhadap rakyat jelata yang tidak berdosa. Tindakan rejim secara terang-terangan telah melanggar hak asasi manusia kerana banyak melibatkan korban jiwa termasuk kanak-kanak. PEMUISI turut menyatakan pendirian berdiri bersama rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka untuk hidup dalam keamanan sejagat.

Program tersebut dirasmikan oleh Yang Berbahagia Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara merangkap Penasihat PEMUISI. Turut hadir ialah Yang Berbahagia Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Naib Canselor Universiti Malaya ke-8 dan Dato’ Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar, Kerabat Utama PEMUISI.

Meskipun melalui lontaran-lontaran suara melalui puisi dan lagu puisi yang didendangkan, namun kesakitan, kesedihan dan penderitaan rakyat Palestin dapat dirasai. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Baru- baru ini, seorang teman penulis menceritakan pertemuannya dengan seorang kenalan, seorang rakyat Palestin yang menuntut di salah sebuah universiti di sini. Apabila ditanya khabar keluarganya di Palestin, dengan senyuman dan wajah yang tenang dia menjawab ringkas, “Alhamdulillah, all die.”

Hebatnya lelaki dari bumi Gaza itu kerana meskipun kehilangan seluruh ahli keluarganya, dia masih boleh tersenyum. Dia sangat pasti dengan kematian ahli keluarganya hanya bersifat sementara. Dunia hanya persinggahan, akhirat itu yang kekal abadi.

Jauhnya dan terasa begitu kerdil diri ini dengan semangat juang rakyat Palestin. Kehilangan seorang anak atau menangani emosi kehilangan yang tersayang itu juga memerlukan kekuatan emosi yang bukan sedikit sehingga ada yang trauma mereka berbekas seumur hidup.

Kehilangan seluruh ahli keluarga, sehingga hilangnya sebuah generasi itu pastinya memerlukan kekuatan emosi yang cukup hebat. Lalu, bagaimanakah mereka boleh menjadi sehebat itu?

Wanita di bumi Palestin

Bagi penduduk Palestin, peperangan dan kemiskinan adalah nyanyian dan sajian mereka sejak mereka dilahirkan. Berlatarbelakangkan kemiskinan dan kekurangan, sukar bagi mereka terutamanya wanita di Palestin menikmati kehidupan yang normal seperti rakyat di negara lain. Statistik pengangguran di Gaza juga hampir 50 peratus. Segulung ijazah bukanlah jaminan untuk rakyat Palestin menikmati pekerjaan dan kehidupan yang selesa seperti orang lain.

Namun, disebalik penindasan yang dialami rakyat Palestin, perkara yang perlu diberi perhatian ialah keberanian luar biasa wanita Palestin dalam mendepani segala situasi kezaliman rejim Israel ke atas mereka.

Sebuah portal akhbar dalam talian, Middle East Eye, mengangkat wanita Palestin seperti Muna al-Kurd, Salwa Skafi dan Nuha Atieh sebagai lambang kecekalan wanita Sheikh Jarrah yang tidak akan berganjak demi mempertahankan tempat tinggal mereka. Terkemudian, aktivis Maryam al-Afifi yang mempertahankan Sheikh Jarrah turut diangkat.

Wanita rakyat Palestin telah didik dengan jalur kemiskinan dan penderitaan berpanjangan akibat peperangan. Sifat berani dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan telah diterapkan sejak mereka kecil lagi.  Meski ketika mereka beradu sekalipun mereka harus siap siaga. Mereka akan berpakaian lengkap kerana letupan bom akan berguguran pada bila-bila masa. Mereka hanya perlu mencapai anak dan sedikit keperluan penting. Nyawa menjadi keutamaan.

Wanita dan gadis rakyat Palestin kebanyakan dari mereka mempunyai semangat juang yang tinggi, daya intelektual dan berpendidikan tinggi. Wanita dan kanak-kanak di Palestin turut terlibat secara langsung dalam perjuangan melawan keganasan rejim zionis Israel. Wanita di Palestin juga bertanggung jawab menggerakkan ekonomi secara koperasi, menguruskan klinik-klinik kesihatan dan sekolah-sekolah beroperasi demi memastikan pendidikan berterusan.

Jelas di sini bahawa wanita di Palestin merupakan penyumbang jihad yang besar dan memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat juang tersebut kepada anak-anak yang lahir dari rahim mereka. Anak-anak ini lahir dan membesar sebagai pahlawan yang tidak gentar berjuang bahkan mereka bercita-cita untuk mati syahid.

Meskipun dalam keadaan serba kekurangan, namun anak-anak mereka diberikan pendidikan yang sempurna. Mereka ditanamkan sifat yang mulia serta menjadikan Al Quran dan hadis sebagai bekalan kehidupan mereka. Anak-anak mereka dilatih menghafal Al Quran sejak kecil, disemai semangat jihat dan erti perjuangan mempertahankan tanahair. Tiada istilah gentar dalam diri mereka. Kematian syahid itu suatu kemuliaan yang didambakan. Pastinya anak muda hebat serta luar biasa ini lahir dari rahim wanita yang luar biasa hebat juga.

Setiap para syuhada yang gugur di bumi Palestin itu akan silih berganti pejuang-pejuang hebat pengganti mereka. Kerana yang mengandungkan pejuang ini, yang melahirkan, membesarkan dan mendidik mereka adalah seorang wanita yang luar biasa hebat yang telah lama teruji dan diangkat keberanian mereka ke persada dunia.

‘Ya Allah, peliharalah saudara-saudara kami di Palestin daripada segala bentuk kezaliman. Kurniakanlah mereka kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Lindungilah mereka dengan rahmatMu yang melimpah-ruah.’

 ‘Ya Allah, muliakanlah Islam dan kaum muslimin. Ya Allah bantulah kaum muslimin dan mujahidin di Palestin, dan satukanlah saf-saf mereka.

Ya Allah, selamatkan saudara-saudara kami di Gaza. Ya Allah, selamatkanlah saudara kami di Palestin. Ya Allah, selamatkan orang yang lemah daripada kalangan orang yang beriman. Ya Allah, keraskan lah seksaanMu ke atas golongan Zionis yang melampaui batas dan timpakanlah kepada mereka musim kemarau sebagaimana terjadi di zaman Yusuf AS.

OLEH Nabila Shila AR

Related posts

SHILA RAHMAN A QUEEN OF MIND

adminwm

Ratu dan Cantik

admin

Dr. Noor Hisham & Ustaz Ebit Lew

admin

Leave a Comment