Mengaku Bujang dan Graduan Universiti, Rupanya Penganggur

“Mujur aku tidak bodoh dan tidak ikut hati, kalau tidak aku kahwin dengan penipu dan penganggur,” akui Rita. “Aku buat siasatan, aku ekor dia dari belakang, sehingga aku dapat tahu di mana dia tinggal. Setelah aku pasti tempat tinggalnya, aku pulang. Buat lagi siasatan, siapa menghuni di rumah itu. Setelah semua maklumat diperolehi aku tunggu masa yang baik untuk bertandang ke rumahnya.” 

Rita teringat peristiwa bagaimana dia mengenali Mansor. Setiap pagi dia akan menunggu teksi atau bas di perhentian seberang rumahnya. Hari itu hujan renyai-renyai. Satu persatu teksi melepasinya kerana sudah ada penumpang. Aduh, sudah lebih 40 minit, dan ada mesyuarat penting. Gelisah. “Patutkah aku naik aje bas, walaupun penuh masih mengambil penumpang, dan sampai ke tangga boleh diisi, akhirnya sampai juga ke destinasi,” katanya. Ini tunggu teksi asyik-asyik penuh. Tapi kalau naik naik bas, sejam pun tidak tentu sampai, dan perlu berjalan 10 minit ke pejabat.” Dan tiba-tiba sebuah kereta berhenti di depannya, “Saudari, hendak ke mana?” Dia terkejut, yang berhenti bukan teksi. ”Ke pejabat di Jalan Duta.” “Ya ke, kebetulan saya nak ke sana juga, ada hal sikit di pejabat kerajaan.” “Naiklah jangan risau, saya nampak tadi saudari tahan teksi, kesian pula.”

Melihat lelakinya macam boleh dipercayai, Rita memberanikan diri. Dalam perjalanan banyak disembangkan. “Sebenarnya saya memang menggunakan jalan ini setiap pagi, selalu terperasan akan saudari. “Saya bekerja di Universiti Malaya, pensyarah,” jawabnya kepada satu soalan Rita. 

Berpakaian kemas di belakang kereta tersangkut beberapa tali leher, dan di tempat duduk ada beberapa fail. Berkata di hati Rita, aku ni berani sangat tumpang stranger, tapi syukur orangnya baik, rezeki aku kot dapat mengenali lelaki yang mengenalkan dirinya Mansor. “Terima kasih, encik Mansor kerana sudi menumpangkan saya, kalau tidak memang saya akan lewat, hari ini pula ada mesyuarat penting.”
“Rezeki saya kot dapat kenal saudari, bukan selalu pun saya ke sana, kalau ada hal sahaja.”

Rita dan Mansor Menjalin Hubungan

Setahun sudah Rita dan Mansor menjalin hubungan dengan pelbagai ceritanya, yang kadang-kadang pada Rita, banyak tanda tanya. Ada kala dia terfikir, betul ke Mansor ini pensyarah, macam tidak bijak sangat. Dan ada kala dihubungi sehingga berhari-hari tidak berjawab dan telefon dimatikan. Ada kala di dalam kereta dia terperasan ada mainan kanak-kanak, ada diapers anak. Entah dia keliru, apakah Mansor ini sudah berkahwin atau apa. “Saya ni besar tanggungjawab, sampai dah 35 tahun belum berkahwin. Dulu saya mengajar, kemudian menyambung pelajaran, sampai bila nak mengajar di sekolah rendah. Saya sambung buat master di UM. Tahulah sebagai anak sulung kita pula jaga mak ayah dan ambil alih jadi ketua keluarga bila ayah meninggal dunia. Adik-adik nak juga saya hantar ke universiti, sehingga abangnya sendiri beginilah tak sempat hendak cari pasangan hidup.”

Sering juga si Mansor  membuat cerita-cerita yang dia punya masalah kewangan, minta simpati daripada Rita dan berjanji membayar balik, ada masa dibayar, ada masa hanya tunjuk wang itu pada masa sama minta tangguh untuk pelbagai alasannya.

Biasalah bila sudah lama berkawan, cerita kahwin akan muncul. Rita menunggu juga Mansor mengajak dia berkahwin tetapi bila bercerita hal itu, pandai Mansor mengelak untuk terus bercerita hal itu, atau kekadang menolak dengan lembut. “Siapa lah yang hendak macam abang ni, asyik tidak berduit, banyak sangat hutang yang perlu dijelaskan, hutang masa student pun belum habis. Emak ayah di kampung masih menjadi tanggungan dan adik-adik pun yalah kita ni ketua keluarga, kalau mereka susah, pada kitalah mereka mengadu. Ada yang bekerja tetapi tidak pernah cukup duit, bukan untuk tolong bantu keluarga di kampung, diri sendiri pun tidak lepas. Kita pakailah kereta Honda buruk ini dah bertahun-tahun, mereka tu, ada tukar ganti kereta tetapi bila minta tolong sikit tak berduit. 

Begitu lah Mansor dengan cerita simpatinya membuat Rita pun turut bersimpati. “Tapi abang mesti tegas, selama mana abang kena menanggung mereka? Abang pun sudah sekian lama berbakti, mereka mesti faham abang pun kena fikir masa depan. Usia meningkat setiap tahun tak kan membujang sampai ke tua.” 

“Betul kata Rita, takkan nak membujang sampai ke tua, kan. Tapi abang malulah kepada keluarga Rita, tak mampu hendak bawa hantaran besar-besar. Belum cukup simpanan untuk meminang anak orang.”

Satu yang Rita perasan setiap kali diajak singgah ke rumah atau kalau ada majlis keluarga dan sebagainya, Mansor akan menolak. “Nanti ya, abang belum ready untuk berkenalan dengan family Rita. Abang ini pemalu, bila kita sudah bertunang, barulah abang berkenalan. Lagipun tidak baik, kita belum muhrim dan kalau boleh tidak payahlah beritahu sangat tentang diri abang kepada mereka. Nanti kita surprisekan mereka. Rita jangan risau lah abang janji mesti ambil Rita sebagai isteri, cuma beri sedikit lagi masa. Abang tak cerita ke, abang pun baru bekerja di UM ni, besar sangat tanggungjawab dan nak apply buat Ph.D barulah cita-cita abang tercapai. Kalau Rita sayangkan abang, pasti Rita mampu tunggu setahun lagi. Let me settle my little problem here and there, lepas tu baru boleh concentrate on our relationship. Abang ni jenis buat satu persatu, abang nak jadi suami yang bertanggung jawab, yang merancang masa depan dengan baik, sudah tentu kita hendak tinggal di rumah yang cantik kan?”

Dua tahun sudah berlalu dan sebenarnya Rita sudah letih dengan leteran ibunya. “Kamu hendak tunggu apa, kata ada seseorang tapi muka hidung pun tidak pernah mak kamu ni nampak. Kalau dia tidak mahu kahwin, kamu tinggalkan sahaja dia, kot dia sengaja nak mainkan hati kamu, atau dia sudah berkeluarga? Hati-hati jantan sekarang pandai tipu helah. Kamu Rita, jangan beri dia gunakan kamu, aku tahu kamu ini lembut hati, entah berapa lah duit kamu yang dia sudah diambilnya?

“Mak, Mansor tidak macam tu, dia orang bertanggungjawab. Hujung tahun ni dia akan masuk meminang, kami tidak mahu bertunang, terus nikah. Dan buat majlis pun sederhana sahaja, dia kata pada belanja besar kenduri kahwin, baik duit itu dibelanja untuk buat umrah. Kalau lebih rezeki dia nak bawa emak ayahnya sekali dan Rita juga nak bawa mak dan abah.”

“Dulu kata hujung tahun, sudah nak ke hujung tahun ketiga, Ita, kamu hendak tunggu apa lagi? Kamu sedar tak umur kamu sudah 31 tahun, bukan muda lagi. Tengok kawan baik kamu si Maria, sudah beranak tiga, kamu hendak jadi anak dara tua ke?”

Rita Sudah Buat Keputusan

Hari minggu dia tahu, Mansor tidak pernah menjawab telefon. Kalau pun berjanji jarang ditepati, kalau pun mereka dapat keluar, cuma seketika, kerana Mansor penuh dengan alasan. Teringin sekali Rita mengajak kekasihnya shopping bersama atau menonton wayang tetapi ada sahaja alasan yang tidak membolehkan mereka keluar. Membuatkan dia bertanda tanya. Dia teringat, berdesing telinganya bila mak dia kata, entah-entah sudah berkahwin dan beranak pinak. “Entah-entah kamu ni dah berabis dengan dia. Dia ada pinjam duit kamu tak?” Tanya mak dia hari itu. “Rita, mak nak pesan, jantan tidak semua boleh dipercayai. Kamu hati-hati. Jangan sesekali beri dia duit, apa pun alasannya pekakkan telinga. Jangan biarkan dia mengikis duit kamu. Mak tak mahu menuduh apa apa dan mak tak pun kenal dia, cuma mak takut kamu ini kena tipu.” 

Cakap maknya melekat sampai ke jantung hati. Dan dia mesti membuat satu keputusan mencari kebenaran.

Satu pagi, Rita sudah ada perkara penting untuk diberitahu pada Mansor. Dia mahu sekali lagi membuka topik kahwin dengan Mansor. “Abang, saya hendak cakap sikit, mak bising, kata mak, kalau abang tak masuk meminang, dia nak Rita, stop berkawan dengan abang. Mereka pun ada calon menantu, anak angkat pada bapa saudara. Rita pun kenal, dia kerja sederhana tapi orangnya baik sangat hanya setahun muda daripada Rita, orangnya handsome.”

Mansor sudah tidak bijak lagi mencari alasan, akhirnya bersetuju dengan permintaan Rita untuk berkahwin. Dia takut juga terlepas peluang, sedangkan Rita sudah buat keputusan dan memberi kata dua. Dia sedar siapa dia, dan selama ini asyik menipu si Rita. 

Dalam hatinya dia berkata. Baik aku kahwin, bila dah kahwin pandai-pandailah beralasan,  apa dia hendak buat, kalau dia tahu aku ni penganggur dan hidup atas duit bini? Baik aku kahwin, dia pun ada kerja, hendak sangat kahwin, nanti dia tanggung lah aku. Mansor memikirkan macam mana dengan duit hantaran dan belanja majlis. “Ah.. tak apa, aku boleh cari, hutang lagi,” katanya di dalam hati.

“Rita sayang, nanti janganlah letak gila-gila duit hantaran, abang kan dah kata abang belum cukup simpanan, tapi sebab Rita nak cepatkan, abang setuju tapi bersyarat ya, abang tak mampu buat majlis besar besaran dan mampu bawa sikit aje wang hantaran.”

Mereka menentukan tarikh dan dalam masa empat bulan Rita akan menjadi isteri kepada Mansor. Begitu pun makin hatinya bertanya pelbagai soalan. Dia telah menghubungi jabatan yang dikatakan Mansor tetapi jawapan daripada orang di situ agak kabur. “Cik hendak bercakap dengan Mr. Manyoor?” “Mansor.” jawab Rita. Sekarang semester break, Mr. Manyoor, katanya dia balik Pakistan.” “Pakistan, tapi dia Melayu puan, bukan Paki?” “Maaf, saya rasa cik salah department kot.”

Banyak yang tak betul, kata-kata maknya seolah memanggil dia untuk membuat siasatan. Dan sudah dua pagi dia ternampak kereta Honda Mansor dipandu oleh wanita. Dan bila dia menghubungi sang kekasih, Mansor mengatakan dia di rumah kerana tidak sihat. “Tapi siapa yang pandu kereta abang, jelas Ita nampak kereta tu, pagi ni dan semalam juga.” “Tolong lah Ita, jangan hendak buat kecuh, sayang ni buat abang limaslah, asyik nak menjawab, kalau dah tidak percayakan abang, abang tak kisah.” Lalu Mansor meletakkan gagang telefon. Seminggu dia tidak menghubungi dan bila akhirnya dia menjawab panggilan, dia terus memujuk. “Bukan abang sengaja tutup telefon, dah habis bateri kemudian terjatuh dan rosak. Sorry sayang, abang tak sihat dan Rita terus merunsingkan fikiran. Kita nak kahwin, dan abang banyak sangat paper yang hendak disiapkan. Kalau boleh janganlah ganggu fikiran abang, abang nak tumpukan perhatian kat job, kemudian baru senang hati hendak kahwin.” 

Rita sudah tidak mahu percaya sepenuhnya kata-kata Mansor, dan tarikh pun asyik bertukar. Maknya pening. Bapanya sudah macam tidak berminat, “Ita kamu hendak kahwin atau main-main?” Sepatutnya waktu ini keluarganya datanglah hantar cincin. Kalau tidak mahu bertunang sekali pun mesti ada satu perjanjian. Ini macam tak jadi aje. Aku tidak mahu dari mulut kamu aje tentukan tarikhnya, mana keluarganya?

Mereka dijadualkan bernikah pada minggu kedua Raya. Itu perancangan awalnya tetapi Mansor sekali lagi minta ditangguhkan. “Dia tidak dapat mencari duit RM5000 yang dijanjikan kepada keluarga Ita. Mansor ada menghantar akan keluarga rakannya pergi ke rumah Rita seperti yang dijanjikan untuk menetapkan tarikh dan memohon maaf kerana ibu bapanya tidak sihat dan kakaknya pula perlu menjaga mereka. Cerita-cerita yang dibawanya pada keluarga Rita banyak yang tidak kena. Konon ramai sangat adik beradik tetapi cerita-ceritanya menjadi tanda soal. Apa un hari yang ditetap untuk bernikah pun telah ditunda pada satu tarikh lain yang bakal ditentukan. Sungguh Rita rasa tidak senang hati dan percaya ada udang sebalik batu. “Abang mesti cakap benar, abang ni sudah berbini ke?” Mansor dengan tegas menjawab, “Habis Rita ingat abang bohong?”

Bagaimana pun Rita mendapat satu akal. Bersama anak angkat bapa saudaranya, Ishak (lelaki yang dikatakan mahu dikahwinkan dengan Rita, itu semua rekaan Rita sendiri sebenar kerana mereka adalah childhood friend), dia mengajak Ishak menemani ke rumah seseorang. “Rumah siapa Ita?” tanya Ishak. You temankan I okay, penting sangat, I tak ada orang lain yang boleh diajak, please help me this time. You ikut aje, dan sebuah hamper Raya yang besar sudah disediakan. Kita pergi Raya, kena lah bawa buah tangan.”

You pakai cantik ya, dan mengaku sahaja apa yang bakal I cakapkan nanti. You ada tak baju Melayu warna biru?” “Ada?””Okay tolong pakai baju Melayu biru dan jangan lupa bersampin dan bersongkok ya, kita hendak hadir majlis penting, dan ambil I tepat jam 10, kira-kira 40 minit akan sampai destinasi.”

Hari yang dijanjikan tiba. Ishak terkejut juga melihat sepupunya juga sedondong dengannya, “Aduh you pun pakai biru, macam suami isteri pula kita,” kata Ishak ketawa. Ita buat-buat ketawa, I aje nak tengok you bergaya dan I pun last minute terfikir nak kenakan biru sebab ini sahaja yang cantik. I ingat you tak kan nak ikut idea I kenakan biru juga,” Ita konon-konon buat tergelak, tetapi dalam hati bersyukur sangat sepupunya mengikut arahannya.

Kita hendak pergi rumah Encik Mansor bekas ‘bos’ I?” Mansor sound familiar to me, bukanke you sepatutnya berkahwin dengan orang bernama Mansor tetapi papa kata majlis ditunda.” “Sahak… relaks lah dan jangan tanya banyak-banyak. Tak kisahlah tapi janji apa yang I cakap nanti you okaykan aje.”

Mereka sampai ke destinasi. Hanya ada kereta Honda di halaman rumah teres setingkat. Nanti you beri salam dan bila mereka dah ajak untuk masuk, you terus masuk, lima minit baru I masuk okay. Tetapi I tak kenal mereka, katalah you jiran setaman. Ini Raya mesti orang akan jemput, lagi you bawa hamper, mesti tuan rumah faham orang nak beraya.”

Salam diberi dan Mansor seperti keliru tidak pernah mengenali Ishak, tapi dinyatakan oleh Ishak yang dia jiran setaman. “Bila lagi kita hendak berkenalan kalau bukan Hari Raya kan?” “Betul, masuklah ke dalam, seorang sahaja kah?” Oh wife I dalam kereta, dia tengah betulkan tudungnya, tertumpah air, kena tukar tudung pulak.” Pandai pula Ishak berlakon. Maaf rumah semak budak-budak sinilah juga hendak bermain, sambil menjemput isterinya menyambut tetamu, “Sayang jiran setaman, nanti wife dia join, tengah betulkan tudung di dalam kereta”

Assalamualaikum, Rita memberi salam dan isteri Mansor menyambut tetamu yang tidak pernah dikenalnya itu. “My husband tak menunggu terus masuk,” beritahunya kepada isteri Mansor.

Melihat yang masuk adalah Rita pucat lesi wajah Mansor. Suaranya terketar-ketar dan entah-entah terkencing di dalam seluar. “Oh… inilah orang yang menipu bujang dan konon pensyarah?” kata Rita apabila isterinya minta diri untuk menyediakan makanan. “Tengok muka si jantan ni, mujur aku tidak bodoh.” Jantan penipu. Dengar sini Mansor, aku sudah tahu kamu sebenarnya. Konon kamu pensyarah UM, rupanya bini yang kerja kerani di UM.”

Isteri datang membawa kuih-muih, “Minum lah, kalau beritahu hendak datang boleh saya goreng mihon,” katanya sambil duduk di sebelah suami. Sang suami hanya membisu, dengan kejutan Rita.

“Puan kerja di mana?” “Jalan Duta,” jawab Rita. “Dan puan, oh saya kerja di Universiti Malaya. Kerja pejabat, jaga hal ehwal student. “Suami?” Mansor diam dan isterinya pun diam. “Kerja sendiri… bisnes kecilan aje,” balas sang isteri kemudian.

Nampak macam ada inai di jari. Maaf tanya, baru berkahwin ke? “Ya,” segera dijawab oleh Rita. 

Kami nak minta diri, hendak ke majlis perkahwinan,” kata Rita. “Sayang jom nanti kita lewat pula.” 

Mansor yang di kerusi tak berkata apa, dia yang banyak cakap tadi, mulutnya sudah terkunci. Mujurlah Rita tidak menyerangnya di depan bininya. Dan dia juga terkejut bila pula si Rita kahwin.

Di dalam kereta, “Pandai abang sepupu saya berlakon,” kata Rita tergelak. Tetapi kemudiannya dia teresak-esak menangis. Tuhan sayang I, tiga tahun dia menipu Ita,” tahu tak. Rupanya dah berbini, bukan seorang tapi dua, kalau Ita kahwin, jadi bini ketiga, tadi bini kedua. Dua-dua bekerja dan dia duduk makan hasil usaha bini.” cerita Rita kepada Ishak. “You tolong jangan pecahkan rahsia ini pada mak dan abah dan kalau boleh usah cerita pada siapa-siapa, Ita malu.”

“Cukup jangan menangis, Allah sayangkan Ita, sebab itu didorong Ita selidik latar belakangnya.” “Terima kasih kerana menjadi ‘hubby’ Ita sekejap,” katanya. Nanti bawa lah Pak Ngah dan Mak Ngah datang rumah. Soalan, Ishak you bila nak kahwin? Girlfriend yang dulu tu, are you still with her?” “Nope, dia pun dah kahwin,  tak ada jodoh dengan dia. Dia tu pun entahlah tak macam Ita, buat homework, kahwin dengan laki orang. Sebab saya ini siapa lah,  tidak layak dengan dia.”

Sejak peristiwa itu, hubungan Ishak dan Rita semakin erat. “I tak boleh panggil you abang, sebab I tua daripada you?” kata Rita berlawak. “Ita kita kahwin?” Dan itu pun yang ditunggu oleh Rita, tetapi untuk dia yang mencadang, rasa malu pulak. 

“Rita bila si Mansor hendak tentukan tarikh. Abah kamu bising,” ibunya bersuara semula. Ingat ibunya dah tidak mahu lagi membuka cerita lama bila Ita memberitahunya, Mansor minta menangguhkan majlis. (sebenarnya dia yang rancang, dan memberitahu Mansor, pihak dia yang mahu menangguhkan.)

“Ma minggu depan mereka datang untuk tentukan tarikh.”  (Rita dan Ishak sudah merancang membuat kejutan kepada kedua orang tua mereka). Pagi lagi Rita sudah ke dapur menyediakan makan tengahari, istimewa untuk ‘rombongan’ . Dia melihat maknya macam tak kuasa aje. “Mak tak mahu kamu ditipu, untuk apa pun datang lagi, cakap aje dekat telefon, bila nak kenduri?” “Nanti mak yang tak puas hati?” balas Rita. “Mak ni rasa tak sedap hati, kamu fikir masak-masak, tengok muka Mansor tu memang mak tak berkenan, tipulah kalau dia bujang? Kalau dia sudah berbini, mak haramkan dia jejak rumah ini, ingat Ita. Mak tak mahu kamu jadi perampas suami orang, ingat?”

Hidangan cantik berhias di meja, pelbagai dimasak Rita. Tiba-tiba, yang sampai adiknya. “Ya Allah Rita cukup ke makanan, nanti kalau rombongan mereka sampai macam mana?”

“Ada pula teruna ni,” seronok sangat mak Rita bila ternampak wajah Ishak. “Cuti ke?” “Saya sudah bekerja di Kuala Lumpur,” jawabnya. “Kami ni menunggu kedatangan keluarga Mansor hendak menentukan semula tarikh perkahwinan. Bagus juga, join sekali,” kata Mak Jah.

Sebenarnya pun Mak Ngah dan Pak Ngah pun tiada diberitahu apa-apa oleh anak angkat, hanya hendak menziarah saja,” katanya.

Jemput makan? Kata Rita. “Eh tetamu tak sampai lagi. “Mak tetamu tak jadi datang, kita aje.” Muka si ibu berubah, sekali dia dia rasa teramat malu, dulu kena beritahu ditunda dan sekali lagi ditunda.  “Ita, maknya memanggil minta Ita ke dapur. “Si Mansor ni betul kurang ajar.”

Siap kamu Ita, tak tahulah nanti abah kamu nak kata apa. Doa ajelah?”

“Pandai Ita masak,” mak Ngah memuji. Yalah orang nak kahwin kena pandai memasak. Selesai makan, sambil menghadap dessert, Ishak bersuara, “Mak Jah, pak cik, mak ayah, saya berhajat hendak jadikan Rita isteri saya. Saya dan Rita pun sudah berbincang.” 

Ruang tamu sepi. Seorang pun tidak berkata apa. Masing-masing terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Ishak. Kemudian dua beradik berpelukan, kerana memang selama ini itulah yang diinginkan oleh mak Jah, bermenantu anak angkat adiknya. Begitu juga Mak Ngah dan Pak Ngah amat berharap Sahak, anak angkat mereka memilih Rita. Sahak dibela ketika usianya tujuh tahun bila kedua orang tuanya mati kemalangan.