Kenapa Suami Dibenarkan Kahwin Sampai Empat?

Hukum poligami adalah harus seperti mana firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’ Ayat 3 iaitu “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim ( apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan ( lain ): dua, tiga atau empat.”

“Kenapa lelaki boleh poligami, dan dibenarkan di Malaysia? Bukan kah ini tidak adil?” tanya seorang wanita dalam satu majlis ilmu. Dan dia menyambung, “Dah itu pulak ustaz, boleh kahwin sampai empat, adakah itu adil?”  

Poligami dalam Islam, dan kenapa ia dibenarkan?

Poligami ialah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Sebenarnya, tidak perlu dipertikaikan hukum isteri tidak redha suami poligami. Suami mahu kahwin lebih dari satu, silakan. Hak isteri pertama dalam poligami, jangan dilupakan.

Sebab kenapa suami dibenarkan berpoligami

Bila Sang Isteri Sah Mandul – Hampir semua pasangan yang berkahwin inginkan seorang cahaya mata. Namun, apabila seorang isteri tersebut mandul dan tidak dapat melahirkan anak, pada ketika inilah Islam mengharuskan kaum lelaki untuk berkahwin dengan isteri kedua.

Isteri pertama haruslah faham dan sebaiknya membenarkan suaminya untuk berkahwin lain bagi mendapatkan anak yang akan mendoakannya setelah mereka mati. Walaupun perceraian lah yang sering diminta oleh seorang isteri, ianya tidak dinafikan bahawa berpoligami sememangnya lebih mulia dan utama daripada bercerai. Allah S.W.T juga melarang kita daripada menghampiri zina seperti firman Allah S.W.T  dalam surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat ( yang membawa kerosakan ).” Namun, janganlah pula terus ingin berpoligami jika baru sahaja berkahwin. Berikan masa. Poligami dalam Islam itu indah. Janganlah hanya belum dikurniakan zuriat, terus mahu cari pengganti.

Isteri sakit yang berterusan – Sekiranya isteri mengalami sakit berpanjangan yang menjadikannya mustahil untuk menjalinkan hubungan intim maka atas sebab itu ianya diharuskan oleh suami tersebut untuk mengahwini isteri yang kedua. Perkara ini dapat mengelakkan si suami daripada terjebak dengan perkara maksiat dan zina yang dilaknat oleh Allah S.W.T.

Golongan wanita lebih ramai dari lelaki – Sama ada anda sedar ataupun tidak, golongan wanita pada zaman sekarang adalah semakin ramai berbanding dengan golongan lelaki. Itulah antara sebab ramai menggunakan hujah ini untuk tambah isteri kedua, selain isteri pertama yang sedia ada. Disebabkan oleh nisbah lelaki dan perempuan yang sangat ketara ini, ianya diharuskan oleh kaum lelaki untuk berkahwin sehingga empat orang isteri bagi mengelakkan berlakunya gejala maksiat dan zina sekiranya lebihan kaum wanita ini tidak berkahwin.

Isteri sukar dididik –  Terdapat isteri-isteri yang sukar dididik dan dibentuk sikapnya, maka adalah diharuskan untuk suaminya bagi mengahwini isteri yang kedua. Ketaatan seorang isteri diibaratkan sebagai satu permata yang sangat bernilai dalam membentuk rumah tangga yang harmoni dan romantik.

Ia seiring dengan firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka ( dengan menahan dan menyusahkan mereka ) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali ( apabila ) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu ( merasai ) benci kepada mereka ( disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya ), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak ( untuk kamu ).” Oleh itu, sebagai suami, didiklah isteri anda supaya mematuhi dan mentaati anda sebagai suami agar dapat mencapai kebahagiaan dan kedamaian yang penuh.

Lelaki yang mampu zahir dan batin – Mampu bukan sekadar daripada batin sahaja. Mestilah dia seorang lelaki yang mampu dari segi zahir dan batin. Suami mesti membuktikan kemampuannya terlebih dahulu, sebelum mengambil keputusan untuk berpoligami. Kalau tidak mampu dengan isteri pertama, buat apa ingin tambah lagi isteri kedua bukan? Yang menjadi persoalannya dalam banyak kes, suami sebenarnya tidak mampu untuk berpoligami tetapi masih mahu meneruskan niat untuk berpoligami. Ini sama sekali tidak digalakkan oleh Islam

Isu poligami ini sering dibahas terutamanya oleh kaum wanita yang mempersoalkan kenapa kaum lelaki diberikan kelebihan untuk mengahwini sehingga empat isteri. Sebagaimana yang kita tahu, Nabi junjungan kita juga mempunyai sehingga tujuh isteri dan tujuan Baginda berkahwin adalah untuk membantu mereka dan bukan suka kerana nafsu semata-mata.

Namun, kebanyakan lelaki sekarang memberikan justifikasi untuk berpoligami bukan hanya untuk membantu mereka, tetapi secara realitinya adalah kerana nafsu semata-mata. Ingin membantu itu jatuh nombor dua.

Keterangan Mengenai Poligami Dalam Islam 

Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Dalil Al quran 

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (Surah An-Nisaa’: Ayat 3)[1]

Syarat Berpoligami
  1. Berkemampuan untuk menanggung nafkah isteri-isteri dan anak-anak
  2. Berlaku adil kepada isteri-isteri
    1. Adil dalam menyediakan kediaman
    2. Adil dalam giliran bermalam
    3. Adil dalam musafir
Sumber: Jais
No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published.