Terdapat pelbagai kelebihan bulan Dzulhijjah kepada umat Islam, terutamanya pada 10 hari terawal bulan ini.
Bagi mereka yang melakukan ibadah korban pula, disunatkan TIDAK memotong kuku dan rambut apabila terlihatnya anak bulan Dzulhijjah.
Tahukah anda apakah keistimewaan 10 hari pertama bulan Dzulhijjah?
Berikut dikongsikan beberapa kelebihannya berdasarkan hadis Nabi SAW:
Keistimewaan & Kelebihan 10 Hari Pertama Zulhijjah
1. Pahala Yang Lebih Besar Daripada Jihad
Tahukah anda bahawa 10 hari pertama dari bulan Dzulhijjah ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad?
Sabda Rasulullah:
مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ أَفْضَلَ مِنَ الْعَمَلِ فِي هَذِهِ ”. قَالُوا وَلاَ الْجِهَادُ قَالَ ” وَلاَ الْجِهَادُ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَىْءٍ ”.
“Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga Jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi.
(HR al-Bukhari)
Mengapa 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih baik dari Jihad?
Menurut al-Imam Ibn Hajar:
والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره
“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Dzulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain. (Fath al-Bari)
2. Hari Yang Paling Baik Dalam Setahun
10 hari pertama Dzulhijjah dianggap sebagai hari yang paling baik dalam setahun.
Sabda Rasulullah:
أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ
“Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.”
Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan.
Kata beliau:
أيام عشر ذي الحجة أفضل من أيام العشر من رمضان والليالي العشر الأواخر من رمضان أفضل من ليالي عشر ذي الحجة
Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah. [Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287]
3. Hari Yang Dicintai Allah
Sabda Rasulullah:
ما من أيام أعظم عند الله سبحانه ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر. فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyaklah bertahlil, bertakbir dan bertahmid” (HR al-Tabrani)
Amalan Sunnah Yang Dianjurkan
Ternyata terdapat banyak kelebihan sehingga Rasulullah meletakkan 10 hari terawal Dzulhijjah hari ini sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian kita.
Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh Allah.
Antara amalan bulan Dzulhijjah yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti:
1. ANJURAN UNTUK TIDAK MEMOTONG, MENCABUT DAN MENCUKUR RAMBUT, BULU MAHUPUN KUKU KE ATAS ORANG YANG MELAKUKAN IBADAH KORBAN
Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Dzulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Dzulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh (hari Dzulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini sepertimana pendapat al-Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e.
2. BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Hari Arafah iaitu pada 9 Dzulhijjah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, dianjurkan untuk berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah agar adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
[HR Muslim, hadis sahih]
3. MEMPERBANYAKKAN BERDOA
Kelebihan bulan Dzulhijjah juga terletak pada doa yang diucapkan, terutamanya pada Hari Arafah (9 Zulhijjah).
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
[HR al-Tirmizi, hadis hasan]
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”
[HR Muslim, hadis sahih]
4. MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA DENGAN TAKBIR
Sabda Nabi Muhammad SAW:
زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير
Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”
[HR al-Thabarani]
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.
‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata:
“Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Dzulhijjah, kemudian mereka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”
Terdapat dua jenis takbir pada Hari Raya:
i. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق)
• Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
ii. Takbir Muqayyad (المقيد)
• Bermula bermula dari solat Subuh Hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).
5. MEMPERBANYAKKAN BERZIKIR
Antara cara merebut kelebihan bulan Dzulhijjah juga adalah dengan memperbanyak zikir.
Hadis Nabi Muhammad SAW:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
[HR Ahmad]
6. MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ, وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ, وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر
Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka daripada nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
[HR al-Thabarani]
7. MENTADABBURI AYAT AL-QURAN
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
[Surah al-Nisa’: 82]
8. MELAKUKAN IBADAH KORBAN BAGI YANG MAMPU
Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban).
Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
[HR al-Tirmizi, hadis hasan]
9. MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN SEDEKAH KEPADA ASNAF DAN FAKIR MISKIN
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.
[Surah al-Hajj: 28]
10. LARANGAN BERPUASA PADA HARI-HARI TASYRIK
Hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Dzulhijjah merupakan amalan melontar jamrah di Mina bagi yang mengerjakan ibadah haji. Selain itu, umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, digalakkan untuk melakukan ibadah korban pada tarikh tersebut.
Kita juga dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT. Rasulullah SAW menyebutkan Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
[HR Muslim, hadis sahih]
SUMBER JAIS