AGAMA

Puasa dan Fidyah Si Mati Yang Melangkah Tahun

Soalan :

SI mati mempunyai hutang puasa lapan hari bagi Ramadan 1439 H dan dua hari bagi Ramadan 1438 H. Sekiranya dibolehkan untuk waris untuk mengqadhakan puasa pada tahun 1439 H, apakah waris juga dibenarkan untuk mengqadha puasa pada tahun 1438 H? Bagaimana pula dengan fidyah akibat melangkah tahun itu?

Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dibenarkan ke atas waris si mati untuk mengqadhakan dua baki puasa pada tahun 1438 H berdasarkan keumuman keharusan tersebut. Namun, wajib dikenakan fidyah satu cupak bagi setiap puasa tersebut kerana lewat mengqadhakan puasa. Disebut dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/202) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Sekiranya seseorang itu wajib berpuasa, dan dia tidak berpuasa sehingga berlalunya Ramadan, kemudian dia tidak pula mengqadhanya sehingga datang Ramadan yang lain, kemudian dia mati, maka wajib ke atasnya dua cupak (makanan ruji) daripada harta pusakanya; satu cupak akibat tidak berpuasa dan satu cupak akibat melewatkan qadha’. Jika walinya berpuasa bagi pihaknya, maka terhasillah kesempatan bagi asal puasa itu (yakni memadailah puasa itu) dan hanya wajib fidyah kerana kelewatan, sama seperti jika dia masih hidup; wajib qadha’ dan fidyah.”

Kesimpulannya, harus bagi si waris untuk mengqadhakan puasa baki dua hari pada tahun 1438 H dan membayar dua cupak fidyah yang diambil daripada harta pusaka si mati. Jika tiada berbaki harta pusaka, diharuskan wali berkenaan mengeluarkan hartanya sendiri untuk melepaskan si mati daripada tanggungan tersebut. Wallahua’lam.

Sumber asal : https://muftiwp.gov.my/index.php 

Solat Sunat Hari Raya Boleh Diganti Atau Tidak?

Soalan : 

Assalamualaikum, mohon pandangan sahibus samahah Datuk Mufti berkenaan solat sunat hari raya aidilfitri. Adakah boleh diganti atau diqada’kan bagi solat sunat hari Raya Aidilfitri ataupun Aidiladha jika tertinggal sebab terbangun lambat di pagi Raya sebab baru-baru ni kan semua sibuk Raya tiba-tiba?

Jawapan :

Hukum qada bagi solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat dua hari Raya, solat sunat rawatib dan solat sunat witir adalah sunat dan boleh untuk digantikan jika tertinggal. Manakala solat sunat yang dilakukan kerana sesuatu peristiwa atau keadaan tertentu seperti solat sunat gerhana dan solat tahiyatul masjid maka ia tidak boleh digantikan.

Huraian jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Menurut Ibn Hajar al-Haitami, disunatkan qada solat sunat hari raya Aidilfitri dan Aidiladha jika telah tamat waktu pelaksanaannya. Hal ini juga termasuk semua solat sunat yang terikat dengan waktu pelaksanaan seperti solat sunat rawatib dan solat sunat dhuha. Manakala solat sunat yang disebabkan sesuatu peristiwa adalah tidak disunatkan qada seperti solat sunat gerhana, solat sunat tahiyatul masjid dan seumpamanya.[1]

Seterusnya disebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin bahawa:

يُنْدَبُ قَضَاءُ النَّفْلِ المًؤَقًّتِ كَالعَيْدِ وَالوِتْرِ وَالرَّوَاتِبِ مُطْلَقًا

Maksudnya: Disunatkan qada solat-solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat hari Raya, duha dan solat sunat rawatib secara mutlak.[2]

Hal ini disandarkan dengan perbuatan-perbuatan dan hadis Nabi SAW yang sunatkan qada solat sunat yang tertinggal. Antaranya ialah riwayat daripada Ummu Salamah R.’Anha:

شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: Nabi SAW disibukkan akan suatu urusan hingga tertinggal solat sunat dua rakaat sebelum Asar, maka Baginda SAW menggantikannya selepas Asar.

Sunan al- Nasa’ie

Begitu juga hadis riwayat Aisyah R.’Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW jika tidak sempat solat sunat empat rakaat sebelum zohor, maka Baginda SAW akan menggantikannya selepas solat Zohor.

Sunan al-Tirmizi

Kesimpulan :

Kesimpulannya, qada bagi solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat dua hari Raya, solat sunat rawatib dan solat sunat witir adalah sunat untuk digantikan jika tertinggal.

Sementara solat sunat kerana peristiwa atau keadaan tertentu seperti solat sunat gerhana dan solat tahiyatul masjid maka ia tidak boleh digantikan. Perkara ini kerana pandangan ini disokong oleh dalil daripada amalan Nabi SAW.

Wallahu a’lam.

[1] Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami, Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Jld.2, Hlm.237

(وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ) كَالْعِيدِ، وَالضُّحَى، وَالرَّوَاتِبِ (نُدِبَ قَضَاؤُهُ) أَبَدًا (فِي الْأَظْهَرِ).. وَخَرَجَ بِالْمُؤَقَّتِ ذُو السَّبَبِ كَالْكُسُوفِ، وَالِاسْتِسْقَاءِ، وَالتَّحِيَّةِ فَلَا مَدْخَلَ لِلْقَضَاءِ فِيهِ،

[2] Bughyah al-Mustarsyidin, Abd al-Rahman al-Ba’lawi al-Khadrami, Beirut: Dar al-Fikr, Hlm.102

Sumber asal : https://muftiwp.gov.my/index.php 

Adakah Tidak Memuliakan Tetamu Jika Tuan Rumah Mengehadkan Waktu Ziarah?

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ini seorang yang bekerja dan selalu balik malam. Dalam keadaan penat, selalu sahaja ada tetamu yang datang pada waktu malam sehingga mengganggu waktu rehat saya. Bukan sahaja pada hari bekerja bahkan hari Sabtu dan Ahad pun bukannya datang waktu siang, waktu malam orang nak rehat juga yang dipilihnya untuk datang bertandang. Adakah saya dikira tidak memuliakan tetamu jika saya mengehadkan waktu ziarah ke rumah saya? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Memuliakan tetamu adalah akhlak yang mulia. Di dalam al-Quran menceritakan bagaimana para nabi dengan kemuliaan hati mereka menerima, menyambut dan melayan tetamu. Di antaranya ialah Nabi Ibrahim ‘alahissalam. Allah merakamkan perkara ini dalam al-Quran. Firman Allah :

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ﴿٢٤﴾ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ﴿٢٦﴾ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya : “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab, “Salam sejahtera kepada kamu! (Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang yang tidak dikenal.” Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan.”

(Surah Al-Dzariyat : 24-27)

Ayat ini merakamkan perbuatan Nabi Ibrahim as menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu. Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat namun baginda tetap melayannya.

Kata Ibnu Katsir di dalam tafsirnya :

“Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah.”

Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim (4/300)

Kata Sheikh Amin Al-Syanqiti di dalam kisah Nabi Ibrahim ini ada beberapa pengajaran yang boleh diambil di antaranya :

  1. Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu
  2. Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah
  3. Mendekatkan makanan kepada tetamu
  4. Bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu

Rujuk Adhwa’ Al-Bayan Fi Idhoh Al-Quran Bi Al-Quran (2/297)

Bahkan memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya : “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”

Riwayat Al-Bukhari (6136)

Berdasarkan hadis ini, di antara kesempurnaan iman adalah mempunyai sifat suka memuliakan tetamu. Kata Al-Munawi :

“Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Sambut tetamu dengan wajah yang ceria, beri hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.”

Rujuk Faidh Al-Qadir (6/209)

Secara ringkasnya, menyambut dan melayan tetamu adalah sunnah Nabi SAW. Inilah pandangan jumhur para ulama. Imam Al-Nawawi berkata :

“Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.”

Rujuk Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab (9/57)

Juga di antara sunnah yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW adalah ziarah-menziarahi. Ini adalah bagi menyuburkan sifat kasih sayang, peduli satu sama lain dan mengeratkan ukhuwah. Nabi SAW pernah mengingatkan kita berkenaan perkara ini. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda :

مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللهِ نَادَاهُ مُنَادٍ أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الجَنَّةِ مَنْزِلاً

Maksudnya : “Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.”

Riwayat Al-Tirmizi (2008). Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang gharib.

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW menyebut :

أَنَّ رَجُلاً زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى ، فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ ، قَالَ : أَيْنَ تُرِيدُ ؟ قَالَ : أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ ، قَالَ : هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا ؟ قَالَ : لاَ ، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ ، بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Maksudnya : “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat malaikat itu bertanya, “Ke manakah engkau mahu pergi?” Jawab lelaki itu, “Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini.” Malaikat berkata, “Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya?” Lelaki itu berkata, “Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla.” Malaikat itu berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.”

Riwayat Muslim (6714)

Al-Munawi menyatakan bahawa hadis ini jika seseorang itu menziarahi dan mencintai saudaranya kerana Allah ini akan menjadi sebab mendapat cinta Allah SWT.

Rujuk Faidh Al-Qadir (4/61)

Namun ada beberapa adab yang perlu dipatuhi khususnya bagi mereka yang bertandang dan berziarah ke rumah orang lain. Antara adab tersebut ialah :

  1. Makan dengan segera jika dihidangkan makanan dan minuman kepadanya.
  2. Tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  3. Jika dijemput, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah berkaitan siapa yang akan datang dan berapa orang yang akan datang.
  4. Jauhi perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah.
  5. Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW ketika mana baginda bertandang rumah Ubadah Bin Somit. Lalu Ubadah membawakan Baginda sepotong roti dan minyak zaitun untuk menjamu baginda. Lantas Baginda SAW mendoakan :

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ

 Maksudnya : “Orang yang berpuasa berbuka puasa di tempat kalian, orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian.”

Riwayat Abu Daud (3854)

  1. Tidak duduk dan singgah terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk. Nabi SAW pernah memperingatkan kita tentang perkara ini. Sabda Nabi SAW :

منْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ جَائِزَتُهُ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ وَالضِّيَافَةُ ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ فَمَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ صَدَقَةٌ وَلَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَثْوِيَ عِنْدَهُ حَتَّى يُحْرِجَهُ

Maksudnya : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan adalah selama sehari dan semalam. Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih daripada itu ialah sedekah. Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah mengeluarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (6135)

  1. Memilih waktu yang sesuai untuk datang bertandang. Namun jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau ada kecemasan maka dibenarkan. Ini adalah berdasarkan hadis :

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya : “Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.”

Riwayat Muslim (4867) & Al-Tirmizi (1345)

Kesimpulannya, melayan dan menyambut tetamu yang datang ke rumah adalah merupakan akhlak yang mulia dan satu amalan yang sangat dianjurkan oleh Islam. Tuan rumah juga mempunyai hak untuk menghadkan waktu ziarah ke rumahnya. Ini adalah kerana tuan rumah mempunyai hak privasi dan juga hak untuk berehat bersama keluarga tanpa diganggu oleh sesiapa pun. Bagi yang datang bertandang, hormatilah hak tuan rumah dengan datang pada waktu yang sesuai melainkan jika ada kecemasan atau ingin meminta bantuan maka pada keadaan seperti itu dibenarkan dengan sekadarnya. Patuhilah adab-adab yang telah disebutkan.

Semoga ianya memberi pencerahan kepada persoalan yang dikemukakan. Wallahu’alam.

Sumber asal : https://muftiwp.gov.my/index.php 

Related posts

Ghazwah Badar al-Kubra

admin

Sombong Dalam Islam – Hukum dan Bahayanya

admin

Apa Kata al-Quran Tentang Usia?

admin

Leave a Comment