Hari Raya Aidilfitri menjadi tanda kemenangan setelah berjaya mengharungi sebulan berpuasa. Dan apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda S.A.W ialah puasa enam hari. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim: 1164]
Kefahaman daripada hadis ini adalah, Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.
Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjar dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Sesungguhnya Allah S.W.T maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya. Oleh sebab itulah Allah telah menyediakan satu syurga yang dikhususkan untuk orang yang berpuasa sahaja.
Apakah hukum puasa enam hari di bulan Syawal?
Puasa enam adalah amalan sunat. Imam An-Nawawi menyebut: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Bilakah puasa enam hari di bulan syawal perlu dilakukan?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [HR Bukhari 1991]
Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?
Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.
Sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT akan memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat). Sudah tentu ia lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.