Uncategorized

Seorang Mak Boleh Jaga 10 Anak, Tapi Anak?

Assalamualaikum mak. Diharap kehadiran surat ini menggembirakan mak. Saya tahu mak suka membaca kerana itu saya tidak jemu-jemu menghantar surat kepada mak, sekalipun baru sangat berjumpa dengan mak. Melihat mak membaca saya gembira sangat, tujuannya mengalihkan perhatian mak kepada kesihatan mak kerana kalau duduk sahaja, mulalah mak mengadu sakit malah mengerang sakit. Jadi berikan mak sesuatu. Rutin mak selepas sarapan pagi membaca Al Quran, biasanya empat atau lima muka dan kemudian mak tidur.

Duduk di sebelah mak pagi minggu itu, saya unjukkan buku Khas Hantaran. Sambil menyelak saya bertanya, “Mak yang mana satu mak berkenan?” sambil bersama-sama mak membelek satu persatu gambar-gambar hiasan untuk hantaran kahwin. Mak senyum, tanda berminat untuk mengetahui perkembangan cucu-cucunya yang bakal menjadi Raja Sehari hujung tahun ini.

“Bagaimana dengan persiapan Ihtisham dan Harris?” tanya Mak. “Sudah dibeli langsir, cadar dan kelambu?’ tanyanya lagi. “Kelambu… saya membeliakkan mata. “Mana ada orang pakai kelambu lagi mak?” saya menjawab. “Buatlah, kan hendak kahwin?” jawabnya. Saya ketawa sampai terbatuk-batuk. Dan teringat zaman kami adik beradik kahwin, memang pun ada dibuat kelambu dan pelbagai hiasan di atas katil. Saya teringat mak memang pandai menjahit, maklah yang membuat sendiri cadar dan bantal siap dengan hiasan, maklah juga yang menjahit kelambu.

“Bekas telur sudah beli?” tanya mak lagi. “Apa yang hendak diberi? Telur ke coklat ke atau biskut?” terus mak bertanya.  “Berapa ribu hantaran, dan berapa orang hendak dijemput? Soalan demi soalan yang membuat saya tersentap, very frankly dalam hati berkata, apa pun belum. Betullah, tidak lama lagi, kurang dua bulan, tiba-tiba saya pula panik. Betul kata mak, mengapa tidak difikirkan sekarang? Nanti terburu-buru.”

Mak memang minat hal kenduri kendara ini tetapi keadaan tidak membenarkan lagi mak membantu. “Tak susah mak, sekarang bunga telur yang sudah siap banyak… tidak perlu dibuat sendiri. Mak mesti datang. Kalau mak macam ni bagaimana hendak ke majlis?” “Kuatkan semangat, dan kami boleh bawa mak ke Kuala Lumpur.” “Mana aku larat,” katanya dan airmata meleleh. “Itulah malas nak cakap dengan mak, mengapa menangis?” “Sakit,” jawabnya.

Teringat, tiga minggu berturut-turut saya pulang ke kampong, dan kini sekali lagi di sini. Tidak selalu saya dapat meluangkan masa begini. Ya saya ketepikan kerja yang bertimbun, lupakan seketika deadline kerana perlu berada di samping mak.

Hujung minggu sebulan lalu, kami balik seperti biasa, menjengok mak dan membeli barang-barang keperluan. Dan pada minggu seterusnya saya menemani kakak yang mahu balik kerana dia baru balik dari luar negara dan belum sempat menjengok mak.

Bila berkumpul adik beradik seronok juga dan sedang kami rancak berbual, jam masa itu menunjuk 12 tengah malam. Terdengar pintu bahagian dapur dibuka, dan nampak pembantu mak mundar mandir. “Ada apa, tengah malam ke luar,” tanya kak Nah pada Waty, si pembantu. “Nilah, mak minta bakul sampahnya di tengah-tengah malam,” jawabnya. “Waty lupa bawa masuk ke dalam tadi.” “Lama sangat kat luar?” kakak terus menegur. “Ada darah kucing meleleh-leleh, saya nak basuh.” “Dah malam, esok pagilah cuci kat luar tu, takkan jam 12 malam hendak menggosok lantai kot,” kakak memberitahu. “Yalah…” jawabnya.

Sambil itu kak Nah menyatakan, “Macam tidak kena aje ni. Apa agendanya malam-malam begini?” Saya dan kak Yah terus menjawab, “Kita berbaik sangka ajelah…” “Yalah bukan senang hendak melayan mak, jam 12 malam pun dia masih tidak tidur dan hendakkan bakul sampahnya.”

Mata belum mengantuk. Saya ingat saya ke bilik air jam satu, nampak lampu bilik mak terang tetapi saya malas menjengok kerana kalau dijengok mak yang tidur boleh terjaga tetapi rasa pelik juga sebab mak suka tidur dalam gelap. Barangkali pembantu tidak boleh tidur kerana dikejutkan oleh mak tadi. Begitulah saya mahu terus bersangka baik.

Jam 3.30 pagi, kak Yah mengejutkan saya. “Wir,” kak Yah berbisik di telinga. “Sekejab ni ke bilik air dan nampak macam pintu dapur itu renggang, ngapa si Waty tidak tutup betul-betul? Bilik mak pun terang. Saya terus bangun dan ke pintu, sah grill terlapang. Saya menolak pula pintu bilik mak, mencari si Waty. Saya kembali ke tempat kami tidur, Waty gone!

Begitulah ceritanya, Waty lari tengah malam. Tiga bulan sahaja dia bekerja, dan tempuh untuk mendapat pengganti pembantu baru (sekiranya adalah masalah) sudah tamat. Inilah tektik kebanyakan agen-agen pembantu rumah sekarang, menyusun strategi dengan bijaknya, setelah tamat tiga bulan dipastikan pembantu itu tidak lagi bekerja di tempat sama mungkin untuk dihantar ke tuan yang baru.

Si Waty, kerjanya bagus, pembersih dan manis mulutnya. Dan Tipah tertipu lagi, sebelum itu membuat cerita kasihan untuk meminjam duit. Kerana tidak sampai hati dan mahu menjaga hatinya, wang diberikan. Dan kali ini bukan sahaja dia mendapat gaji yang tidak sepatutnya dia dapat kerana tiga bulan pertama sebenarnya tidak perlu dibayar apa-apa tetapi atas dasar kasihan dipinjamkan.

Selepas subuh, dan diberitahu mak si Waty sudah lari, kami bertanya mak, “Mana mak letak duit mak?” Sampul surat pertama dibuka, ada RM100 (lega), sampul surat kedua ada RM150 (bertambah lega), ketiga dan keempat kosong. Tengok di situ, mak minta saya menarik kerusi tempat dia duduk bersolat, ada satu lagi sampul surat. Saya mengambil sampul suratnya, membuka dan kosong. Berapa ada di dalam sampul ini? Lama mak diam tidak mahu memberitahu. “Nanti kita kena report polis.” Mendengar polis, mak berbisik, “RM5000.” “MasyaAllah banyak sangat mak simpan duit di bawah kerusi tu?” Tidak menjawab. “Ada lagi di tempat lain?” kak Nah bertanya. “Mak diam, dia pun tidak ingat di mana disimpannya duit. “Mengapa tidak beri kepada kita untuk disimpan?” Mak hanya diam tidak mampu berkata apa-apa. Tidak lama kemudian adik saya sampai, “All her money gone?” Saadah terdiam, minggu lalu mak ada minta duit, I beri RM3000, mak kata dia hendak bersedekah. Kami mengira ya Rabbi maknanya hampir RM10,000. Ya Allah… banyaknya.

Itulah cerita mak, maid lari, dan lari membawa beribu-ribu duitnya. Dan cerita seterusnya, siapa yang boleh diharapkan menjaga mak? Sekali lagi tugas kami menghubungi agen dan menunggu orang baru datang menjaga mak, sementara itu terpaksalah adik saya mengangkat dan mengelolakannya kerana dia sahaja yang tahu dan mampu. Saya kalau setakat menyediakan makan minum boleh sahaja tetapi untuk mengangkat dan menyurung kerusi roda itu saya terpaksa siang-siang memohon maaf. Masa tangan kiri saya tidak sakit pun saya tidak terdaya, inilah sebelah tangan sudah sedikit lemah. Hampir setahun sudah tangan kiri saya ini sakit, hendak pakai bajupun susah. Kesian Saadah dan kesian juga mak sebab mak tidak mahu tinggal lama-lama di rumah anak-anaknya, dan kepingin sekali balik ke rumahnya.

Kisah kedua – kiriman Azman A.
Surat ini sebagai luahan hati saya semata-mata, tiada kena mengena dengan sesiapa pun, sekadar mahu melepaskannya. Disimpan lama sangat dan sebelum ia terburai elok saya luahkan.

Saya selalu mendengar ungkapan seorang ibu boleh menjaga 10 anak sedangkan 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Bunyinya memanglah buruk sangat perangai si anak tetapi fikirkan sejenak. Sewaktu ibu menjaga anak yang baru lahir, bayi itu terlalu kecil, mudah diangkat, dibaringkan dan disusukan, dan sudah bila dia memanjat usia dia boleh berjalan sendiri dan makan sendiri dan seterusnya menjalani penghidupannya sendiri.

Kami empat beradik sahaja, seorang kakak di luar negara, dua lagi tinggal di kota dan saya yang bongsu tinggal 10 batu dari rumah mak. Saya dijodohkan juga dengan orang senegeri, wajarlah kami membeli rumah di negeri tempat tumpah darah, lagipun saya tidak mahu tinggal jauh sangat daripada mak supaya mudah  menjengok dan menjaganya.

Sebagai seorang pekerja biasa dengan pendapatan cukup makan, saya tidak mahu komplain sangat tentang pendapatan yang pada saya mampulah saya membeli sebuah rumah teres dua tingkat dan menyekolahkan empat anak. Ada yang di sekolah menengah dan ada masih di sekolah rendah. Isteri tidak bekerja. Dia yang memilih tidak bekerja kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

Ayah meninggal tiga tahun lalu. Teringatkan ayah memang airmata saya ini senang mengalir.
walaupun lelaki saya tidak malu menangis mengenangkan arwah ayah. Saya tabik ayah kerana sehingga dia meninggal, ayah masih bersama emak. Mengapa saya kata begitu kerana mak bukan wanita yang biasa-biasa. Mak garang, mak fussy, mak mementingkan diri sendiri dan mak… dia tidak peduli sesiapa pun, kalau hendak marah dia marah sekalipun di hadapan tetamu dan kalau mak melenting, kucing pun takut.

Saya ingat arwah ayah sahaja yang mengalah. Cakap ayah mak bantah, dia tahu dialah sahaja yang betul dan jangan memandai hendak menegurnya, mak naik angin dan pinggan mangkuk pun boleh melayang.

Sewaktu ayah sakit, saya yang menjaga ayah. Pulang kerja berkejar ke hospital, menemani ayah. Tiga bulan ayah di hospital, entahlah sama ada tidak simpati atau apa, mak sesekali sahaja melawat ayah. Ayah selalu tanya mak tapi apakan daya, mak malas ke hospital. Katanya lututnya sakit dan tidak larat berjalan jauh dan tidak sanggup berdiri lama. Tetapi mak kerjanya membersihkan rumah, mengemas dan mengemas sehingga saya pun naik lemas. Apa yang dikemas, siapa yang memunggah dan mengotorkannya? Bilik airnya berkilat, sedikit debu pun tidak sempat singgah di mana-mana kerana kerja mak mencuci dan mencuci. Jadi katanya dia penat dan tidak larat lagi menjengok ayah. Ayah pun faham, dan kadang-kadang tidak ditanyanya hal mak. Cuma dia minta saya dan kakak-kakak menjaga mak apabila dia tiada lagi. “Jengok-jengok mak masa ayah tiada. Atau sesiapa yang sanggup bawalah mak ke rumah kau orang.”

Ayah menghembuskan nafas terakhirnya pun mak tiada di sisinya. Mak menunggu di rumah dan lama juga jenazah tidak dikebumikan kerana mak berkeras minta menunggu kakak yang tinggal di Florida. Mahu tidak mahu kenalah menunggu kerana tidak siapa sanggup menasihatinya waima orang masjid sekalipun. Saya teringat memberitahu mak masa itu, “Mak, kak Long ada pesan, apa apa terjadi tidak perlu tunggu dia.”  Dua minggu sebelum itu kak Long pulang. Kak Long tinggal lebih tiga minggu dan begitu juga kak Ngah (yang tinggal di Johor) mengambil cuti panjang dan meninggalkan keluarganya hanya untuk bersama ayah. Malah mak yang suruh mereka balik, “tak usah risaulah Long, Ngah, ayah kamu tu tak mati lagi. Baliklah apa dibuat lama-lama di sini, tinggal suami dan anak-anak?”

Mak sayang Long kerana Long banyak duit.  Long kahwin dengan Mat Saleh kaya, dan tiada anak.  Long juga tidak kedekut, sekali beri mak, dia bagi beribu-ribu. Sementara Ngah pula tidak bekerja, suami pula tengah membuat PhD adalah memberi seratus dua setiap bulan, tetapi tetap dan tidak pernah terlepas memberi.

Kak Tam, mak tidak pernah suka. Sejak daripada kecil Tam disisihnya. Ada berkata sebab Tam hitam jadi mak tidak suka. Ada kata mak kata Tam anak sial. Dan menjadi mak langsung tidak suka kak Tam malah dihalau dari rumah kerana Tam kahwin dengan lelaki yang bukan pilihan hati mak. Suami kak Tam bukan graduate kerana itu mak tidak suka. Tetapi Tam anak kesayangan ayah kerana itu jugalah lagi Tam dibenci mak. Mak kata Tam dimanjakan sangat sebab itu tidak pernah hendak mendengar kata.

Hari ini mak tinggal sendirian walaupun keadaannya uzur. Saya memang selang sehari akan jengok mak tetapi mak oh mak, kalau cara mak yang begini siapa sanggup melayan mak. Dalam sakit mak memerintah. Isteri saya itu dibuatnya macam bibik. Baru kami sampai, belum sempat bersalam dengannya, mak sudah suruh menantunya membuat dia kopi. Dan kadang suruh buat kuih. Tetapi kalau setakat buat kuih atau memasak apa sahaja Ida memang tidak kisah membuatnya, tetapi komplainnya banyak sangat. Tidak pernah yang betul; kuih tak sedap, kuih itu ini dan kalau lah ada setitik tepung melekat di stove, mak mengomel tidak henti. Tiada apa yang dibuat Ida menyenangkan hatinya.

Saya tidak pernah cuba membela Ida, kerana tidak mahu mak kecil hati. Baiknya Ida dia tidak pernah komplain. Sejak kahwin dia melayan kerenah mak dan saya membiarkan.

Memang serba salah dengan mak yang begini… tambah bila dia tidak sihat, lebih banyak komplainnya. Letih melayan mak. Mak minta ini dan tu daripada saya. Saya tidak boleh kata saya tiada duit, mak akan melenting. Dia kata saya bertanggungjawab menanggungnya. “Mak hendak buat dengan duit mak yang banyak?” Pernah saya bertanya, “Mak belilah apa mak suka, buat apa disimpan. Pencen ayah mak dapat, pencen mak lagi dan kak Long pun beri duit banyak…” Oh marah sangat mak bila disoal hal duitnya. “Itu duit aku kamu tiada hak.”

Bukan sahaja anak-anak saya, anak-anak kakak-kakak yang lain pun tidak suka datang ke rumah itu sebab mak selalu tidak senang dengan budak-budak kalau mereka tidak meletakkan tempat yang betul. Setiap kali budak-budak itu ke bilik air, lepas itu mak akan check dan mulakan dia membebel yang mereka buang air tidak betul, bilik air busuk dan sebagainya. Aduh letih melayan kerenah mak. Susah hendak cerita tetapi keadaannya, kami serba salah.

Sejak sakit kami menyediakan pembantu tetapi pembantu datang dan pergi… mana ada yang tahan dengan mak kerana asyik kena marah. Kini pembantu sudah lari dan mak keseorangan. Dia tidak mahu lagi tinggal di rumah yang ada sekarang, katanya rumah itu panas dan dia tidak suka sebab katanya dia selalu mimpi ayah. Sebab itu dia sakit.

Rumah yang mak tinggal sekarang rumah ayah.  Pernah mak menyuruh ayah jual rumah itu tetapi ayah enggan. Malah ayah buat renovation supaya lagi selesa tetapi mak tidak pernah suka.

Mak minta kak Long belikan dia sebuah kondo. Oh sudah pun dibayar duit muka, menunggu kak Long pulang untuk penyerahan unit. Mak pula minta saya beli satu unit. “Mak mana saya mampu, lagi pun lemas tinggal di kondo, anak saya bukan seorang tetapi empat, dan perlu unit besar… mana mampu?” Itu yang membuat mak benggang. “Mari tinggal dengan Mak?” “Aduh mak tidak boleh, sekolah terlalu jauh dari rumah.”

Kondominium yang dibeli mak jauh dari rumah saya. Ini yang membuat saya pening untuk memikirkan sama ada kami mampu tidak melawat mak selalu, dan kalau sakit, bolehkah berulang setiap hari? Mak suruh saya jual rumah saya dan beli unit kondo berdekatan… sudah tentu bukan sahaja saya tidak mahu tetapi tidak mampu.

Kalau anda semua jadi saya,  saya percaya anda pun tidak termampu melayan mak.  Dan sekarang mak perlukan seseorang untuk melayannya 24/7 sementara itu pembantu pun susah hendak dapat. Mak minta Ida yang jaga dia tetapi anak-anak masih kecil dan perlukan ibu mereka. “Mak duduklah dengan saya.” Inilah yang membuat mak melenting. “Mak kena faham, siapa yang nak uruskan anak-anak kalau Ida tinggal dengan mak?”

Jadi kau orang janganlah senang-senang menyebut, mak seorang pun tidak mampu hendak jaga? Sebab kalau kau orang dalam keadaan saya kini, baru faham apa yang saya rasa kini…

Ampun maaf, saya tidak berhajat untuk melukakan hati mak. Saya tidak bermaksud mengaibkan mak tetapi tolonglah mak, tolong faham situasi saya. Tolong kurangkan ragam itu, dan tolong jangan fussy sangat. Kita buat apa yang termampu sahaja… rumah tidak perlu dimop hari hari, tiada orang yang mampu buat? Saya bekerja dan gaji pun cukup-cukup makan. Kalau tidak bekerja siapa pula yang hendak bayar hutang rumah dan kereta? Kalau mak boleh faham, senang hidup.

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Beza Susu Sejat, Susu Penuh Krim dan Lain-lain

admin

Gosip Selebriti Sana-Sini

admin

Nak Sihat dan Fit Macam Kevin Zahri? Amalkan Tip Berbuka Puasa Ini

admin

Leave a Comment