Uncategorized

Doakan Mak Sihat

[vc_row][vc_column][vc_column_text]

[vc_column][vc_column_text] Saat warkah ini ditulis, mak masih di katil hospital. Sudah masuk hari ke tujuh, ya seminggu sudah…

Ahad 18.2.2018, hidangan di meja makan pelbagai. Hidangan hari minggu sudah pastilah istimewa kerana hari minggu boleh dihabiskan lebih masa di dapur. Adik memasak ikan kukus, sayur campur, ada udang masak cili padi dan mak suka sangat laksam. Kalau boleh setiap pagi dia mahu makan laksam. Waktu sama pagi itu ada nasi lemak dan kuih muih.

Kerana sarapan mak tiada berselera jadi adik pun masuk ke dapur untuk menyiapkan pula hidangan tengahari. Dan baru dia hendak menyuapkan  ke mulutnya tiba-tiba tangannya tidak sampai ke mulut dan dadanya sesak. Keadaan semakin mencemaskan lantaran ambulan dipanggil. BP mak naik mendadak, mujurlah kerana kecekapan pihak petugas ambulan, keadaan mak sedikit stabil dan terus  dirawat di wad kecemasan.

Saat saya menulis rencana ini, saya duduk di sebelah mak. Adik beradik yang lain baru sahaja meninggalkan pekarangan hospital. Untuk menunggu hanya seorang sahaja dibolehkan. Kata jururawat kalau berdua mereka tidak akan bantu… hemmm macam tu pula rulesnya.

Mak tidur nampaknya, kerana seharian tidak tidur, siang tidak tidur dan malam juga. Katanya amat tidak selesa. Mak mahu ke bilik air, dia amat tidak selesa untuk membuang air besar di diaper pakai buang. Ditarik-tariknya tube saluran untuk kencing.  “Mak hendak ke bilik air… tolong bawa.” “Tidak boleh mak doktor tidak benarkan.” Penat memujuk, tetapi mak terus meragam dan minta dibawa balik ke rumah.

“Mak banyakkan Istighfar, banyakkan sabar mak… esok kalau sihat kita balik. Mak tidur ya,”  saya terus memujuk dan meniupkan ayat-ayat suci yang dibaca; al fatihah, ayat kursi, tiga Qul. Lupa bawa surah Yasin dan telefon juga bateri rendah… jadi bacalah apa yang boleh dibaca. Lama-lama dia tertidur.

Saya mengangkat laptop dan menyambung cerita.

Emak sudah lama terlantar sakit. Rasanya hampir 19 tahun. Kesian sangat, dia yang satu ketika bentuk badan cantik hari ini sudah berisi benar… kalau saya memang tidak terangkat.  Dan hidup di atas kerusi roda memang menyedihkan dan menyeksakan,

Mak seorang yang aktif zaman mudanya. Tetapi mak hilang semua minatnya, setelah apak meninggal dunia. Dunia mak menjadi kecil dan minatnya untuk berjalan-jalan menziarah anak-anak terus hilang. Begitu juga minat memasak dan menjahit. Kami ingat dulu-dulu maklah yang menjahit baju Raya malah baju sekolah pun. Membuat bunga telur, menghias bilik pengantin, pelamin dan sebagainya, tetapi semuanya diketepi sebaik apak pergi buat selama-lamanya. Tetapi pandai melihat, sama ada buatannya cantik atau sebaliknya, bunga digubah dengan betul atau tidak?

Cerita fasal bunga telur dan kenduri kendara, mak dibawa ke Kuala Lumpur kerana cucunya Haris kahwin, dan berjanji untuk hadir ke majlis seorang lagi cucunya, Ihtisham. Namun bila sampai hampir tarikhnya mak tiba-tiba rasa tidak larat hendak pergi. Mak mahu dihantar pulang ke kampong.

Seminggu di kampong mak minta dibawa semula ke Kuala Lumpur. Katanya Tisham akan kecil hati pula kalau dia tidak hadir ke resepsinya. Dan dia mahu datang ke rumah saya melihat orang Rewang… mengisi telur dan ya majlis berinai… bersemangat sungguh dia.

Panjang senyumnya apabila adik saya mengambilnya dibawa ke Kuala Lumpur.  Sementara saya sibuk mengemas bilik untuk mak. Hari mahu dibawa ke rumah ini, tiba-tiba moodnya bertukar.  “Mak letih, nak balik kampong… tak larat pergi.” Cucunya Tisham datang memujuk. Tidak berjaya. Saya datang pula untuk memujuknya, juga tidak berjaya. “Nak balik kampong… tak mahu pergi mana-mana lagi.”

Hari resepsi saya awalnya diberitahu, mak tidak mahu datang. Dia hendak juga balik kampong. Masa adik bersiap, sekali lagi dipelawa tetapi mak memberitahunya dia mahu tidur, letih dan tidak sihat. Adik saya sedia menunggu, mak tidur, dan jam 12 dia bangun. Adik yang menunggu memberitahu yang mereka akan pergi sekarang untuk resepsi.

Waktu itu mak minta dipakaikan baju. “Jom… kita pergi kenduri Tisham.”

Mak sempat melihat cucunya bersanding… wajahnya ceria sepanjang majlis.

Syukur tertunai juga hajat kami anak beranak mahu mak hadir di majlis kenduri perkahwinan ini.

Pulang kenduri mak kembali sakit dan nafasnya sentiasa sesak. Seminggu kemudian keadaan kesihatan mak menurun, dan kini di dalam wad rawatan rapi.

Tolong doakan mak sempat sembuh sebab mak tidak sabar pulang ke kampong.

[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button