BMW Group Malaysia bakal mempersembahkan BMW Luxury Excellence Pavilion buat julung kalinya di Malaysia pada 22 Februari hadapan. Program yang mengagumkan dan pertama seumpamanya itu juga akan memperkenalkan BMW Concept 8 Series untuk kali pertama, bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Kami sangat teruja kerana dapat membawakan BMW Luxury Excellence Pavilion ke Malaysia pada hujung bulan ini. Pavilion ini merupakan satu program yang menawarkan pengalaman yang unik dan tiada setandingnya. Ia sebelum ini dibuka di Toronto, Kanada dan kini berada di Malaysia. Pavilion ini menyerlahkan visi kami tentang tarikan kemewahan jenama kami. Buat pertama kalinya di Asia Tenggara, kami akan mendedahkan sebuah kereta konsep terkini kami, BMW Concept 8 Series.”
Menurut Han lagi, BMW Concept 8 Series membuktikan gabungan harmoni di antara aspek dinamik yang sangat mantap dengan kemewahan moden di dalam satu kenderaan. Pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan BMW Group dalam segmen mewah.
“Seperti yang diterangkan oleh Naib Presiden Kanan Reka Bentuk BMW Group, Adrian van Hooydonk mengenai BMW Concept 8 Series – ia merupakan sebahagian daripada persona sebenar dunia automotif. Jentera ini menunjukkan satu pendekatan baharu dalam penggunaan bentuk-bentuk pada permukaannya, demi menghasilkan satu kenyataan yang penuh kuasa dan mencipta sebuah model yang kaya dengan karekter. Pendek kata, BMW Concept 8 Series ialah sebuah kereta untuk pemandu dan jelas menyerlahkan aspek Sheer Driving Pleasure dalam cara yang paling mewah,” kata Han.
Kemasukan terhad dan eksklusif untuk setiap sesi oleh itu, orang ramai digalakkan untuk menyatakan minat mereka untuk mengunjungi BMW Luxury Excellence Pavilion di laman web: www.bmwpavilion.my mulai hari ini hingga 11 Februari 2018. Jemputan yang telah disahkan akan dikongsi bermula hari Rabu, 14 Februari 2018.